Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2019

Hakim bin Hazam infak harta, rumah demi Islam

Posted by epondok di April 30, 2019

Oleh Mohd Faiz Othman

 

Hakim bin Hazam adalah anak saudara Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang membesar dalam keluarga kaya raya. Kelewatan beliau memeluk Islam bukti hidayah milik Allah SWT.

Beliau memeluk Islam dan mendapat hidayah ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah. Selepas beliau memeluk Islam, banyak harta diinfakkan beliau demi Islam bagi menebus kesilapan yang lalu. Ikuti kupasan menarik kisah tokoh hartawan yang dermawan ini bersama al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

Saidina Hakim bin Hazam antara tokoh hartawan dalam kalangan Muhajirin. Rasulullah SAW pernah berkata kepada himpunan sahabat saat Baginda mengenangkan orang yang berada di Makkah yang belum memeluk Islam.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya di Makkah itu terdapat empat orang yang aku tidak setuju mereka kekal di Makkah dalam keadaan syirik dan aku sangat mengharapkan mereka mendapat agama Islam. Salah seorang daripada mereka, ialah Hakim ibnu Hazam.”

Kisah Hakim dikongsikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm. Sejarah telah terpahat indah mengenai Hakim bin Hazam, satu-satunya manusia yang dilahirkan di dalam Kaabah.

Beliau adalah anak saudara kepada Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Hakim membesar dalam keluarga yang kaya raya, mempunyai kedudukan dan kemuliaan. Hidupnya penuh dengan kegembiraan dan kemakmuran.

Beliau dikurniakan oleh Allah SWT akal cergas dan kemuliaan yang baik sehinggakan dengan kelebihan itu kaumnya telah melantik beliau sebagai orang yang memegang satu kedudukan besar dalam kalangan bangsa Arab, jawatan rifadah.

Rifadah ialah seorang yang menanggung perbelanjaan jemaah haji yang terputus bekalan makanan dan bekalan kehidupan. Beliau membelanjakan hartanya sendiri untuk golongan itu.

Beliau juga sahabat yang sangat akrab dengan Baginda SAW sebelum Baginda diutuskan menjadi Rasul. Hubungan mereka menjadi lebih erat dan akrab apabila terjalinnya hubungan kekeluargaan tatkala Baginda mengahwini Saidatina Khadijah.

Pastinya bermain di fikiran kita bahawa Hakim antara yang terawal memeluk Islam kerana keakrabannya dengan Baginda SAW. Namun, sejarah mencatatkan beliau bukan yang terawal memeluk Islam, bahkan beliau memeluk Islam selepas lebih 20 tahun Baginda SAW berdakwah.

Inilah ketentuan Allah SWT dan ternyata hidayah itu milik Allah SWT. Bukan kita sahaja berasakan pelik, tetapi Hakim juga setelah memeluk Islam berasa pelik dan hairan mengapa beliau lewat memeluk Islam.

Menangis lewat masuk Islam

Pada satu ketika, pernah anaknya melihat Hakim menangis lalu ditanya, “Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai ayahku? Maka jawabnya: Banyak hal wahai puteraku yang menyebabkan aku menangis. Yang pertama apabila aku mengenangkan lambatnya aku memeluk Islam sehinggakan aku telah didahului oleh ramai orang baik yang telah membuat kebaikan demi kebaikan. Mereka juga telah banyak menafkahkan hartanya ke jalan Allah SWT. Aku juga terkenangkan bagaimana Allah SWT, telah menyelamatkan aku dalam Perang Badar dan Uhud kerana pada ketika itu, aku keluar untuk menghunuskan pedang ke arah Rasulullah SAW dan memerangi Baginda. Alangkah baiknya kalau aku tidak melakukan hal yang sedemikian itu, aku hanya dimusnahkan dan dirosakkan kerana mengikut kepada tradisi nenek moyang yang menyebabkan aku jauh daripada agama Allah pada awalnya. Maka kenapakah aku tidak menangis wahai anakku.”

Hakim memeluk Islam dan mendapat hidayah Allah SWT beberapa hari sebelum Rasulullah SAW masuk ke kota Makkah dalam peristiwa ‘Pembukaan Kota Makkah’. Peristiwa itu berlaku pada 20 Ramadan tahun ke-8 daripada hijrah Rasulullah SAW. Ketika itu, Baginda ingin memberikan kemuliaan buat Hakim.

Ketika Baginda SAW masuk ke Kota Makkah, Baginda memerintahkan sekumpulan melaungkan kata-kata sesiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, dia selamat.

Barang siapa yang berada di pekarangan Kaabah dan meletakkan senjata, dia juga selamat. Barang siapa yang menutup pintu rumahnya dan tidak menentang, dia juga selamat.

Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Suffyan, dia juga selamat dan sesiapa yang memasuki rumah Hakim, maka dia juga selamat. Rumah Hakim ini antara rumah yang Baginda muliakan sehingga memberikan jaminan keamanan kepada sesiapa yang memasuki rumah beliau.

Hakim telah memeluk Islam dengan sepenuh jiwa raganya dan sanggup berkorban demi agama serta banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT demi menebus segala kesilapannya yang lalu.

Salah satu daripada kebaikannya untuk agama Allah SWT, beliau telah menjual rumahnya yang bernama Darul Nadwah, tempat persidangan pembesar Quraisy. Beliau telah menjual dengan harga 100,000 Dirham.

Infak harta

Orang ramai mengatakan kepadanya: “Engkau telah menjual kemuliaan Bangsa Quraisy. Hakim menjawab: Tidak sama sekali, sesungguhnya kemuliaan itu sebenarnya hanyalah bertakwa kepada Allah. Maka, bersaksilah seluruh daripada harga jualan rumah ini, aku berikan ke jalan Allah SWT.”

Bukan itu sahaja, bahkan tahun demi tahun ketika musim haji, Hakim telah menginfakkan beberapa harta demi jalan Allah SWT dan membawa bersamanya seratus orang hamba untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama.

Ada satu peristiwa yang membuatkan Hakim menjadi seorang yang begitu dermawan. Ketika berlakunya Perang Hunain, bagi menggembirakan orang Makkah yang telah memeluk Islam, harta rampasan perang telah diserahkan kepada mereka.

Perkara ini telah menjadi cakap-cakap dalam kalangan golongan Ansar yang mengatakan Baginda SAW telah pulang ke kampung dan melupakan mereka. Mendengarkan kata-kata itu, Baginda kemudian berkata: “Tidakkah kalian reda wahai orang Ansar, yang aku berikan kepada mereka hanyalah kambing dan unta sedangkan kuberikan kepada kalian ialah diriku yang akan pulang bersama kalian.”

Maka seluruh sahabat Ansar menangis. Rasa teruja melihatkan harta yang banyak dalam peperangan Hunain, maka Hakim telah pergi kepada Rasulullah SAW untuk meminta pemberian harta. Apabila diminta, Baginda berikan.

Begitulah berlaku setiap kali beliau meminta kerana Baginda mahu menghiburkan hati mereka yang baru sahaja memeluk Islam dan kali pertama menyertai peperangan. Pemberian yang diberikan kepada Hakim itu, sarat di atas muatan seratus ekor unta.

Baginda berkata kepada beliau: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini sesuatu yang sangat menarik. Sesiapa yang mengambilnya dengan bersyukur dan berhati-hati, Allah akan memberkatinya. Sebaliknya sesiapa yang mengambilnya mengikut runtunan hawa nafsu dan keinginan, maka dia tidak akan diberkati pada hartanya. Kemudian pada penghujung pesanan Baginda kepada Hakim: Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

Saat Hakim mendengarkan kata-kata Baginda SAW itu, beliau sangat terkesan sehingga beliau mengatakan: “Wahai Rasulullah, demi Tuhan yang mengutuskan engkau, aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapa pun selepas ini serta aku juga bertekad tidak akan mengambil sesuatu pun daripada sesiapa juga selepas ini.” Begitulah peristiwa dan kisah kehidupan yang boleh menjadi pengajaran yang terbaik buat kita.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Laungan ‘Buka Aurat’ tidak bertamadun

Posted by epondok di April 29, 2019

Saifulizam Mohamad

 

Nampaknya gerakan liberalisme di negara ini semakin berani. Mereka semakin berani menonjolkan diri secara terbuka. Tidak lagi bersembunyi seperti dahulu. Mungkin kerajaan sekarang lebih `lunak’ dengan golongan ini. Yalah, semuanya mungkin.

Dahulu mungkin mereka tidak berapa berani seperti sekarang. Mungkin pada masa itu pihak berkuasa lebih tegas baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri. Namun segala-galanya kini sudah berubah. Seolah-olah semuanya boleh.

Dibiarkan sahaja golongan ini mencetuskan kontroversi yang jelas menyentuh sensitiviti agama. Secara spesifiknya agama Islam. Apa yang mereka lakukan dilihat cuba mencabar hukum dalam Islam. Mencabar ketetapan yang jelas termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Persoalannya, siapakah yang melakukannya? Mereka ini ialah orang Islam yang secara umumnya tahu akan hukum asas dalam Islam. Namun corak pemikiran mereka cukup berbeza. Mereka telah didoktrinkan dengan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam.

Dari segi definisi, liberalisme adalah satu fahaman sekularisme iaitu yang memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama. Dengan kata lain hak kebebasan individu adalah segala-galanya.

Bagi mereka hak asasi adalah paling utama. Agama tidak boleh menghalang kebebasan seseorang untuk melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar undang-undang negara.

Yang pasti, fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang kini cuba masuk ke dalam aliran pemikiran Islam. Liberalisme menafikan wujudnya hubungan antara agama dan kehidupan. Golongan liberalisme ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga perlu dibuang.

Begitu dahsyatnya pemikiran ini dan sekarang ia berusaha mempengaruhi umat Islam di Malaysia melalui gerakan atau pertubuhan berasaskan liberalisme. Umat Islam perlu berwaspada kerana pendukung-pendukung gerakan ini adalah dalam kalangan orang Islam sendiri. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar.

Baiklah, isu yang ingin penulis sentuh minggu ini ialah berkenaan penganjuran forum Malay Woman & Dehijabbing atau maksud dalam bahasa Melayu, Wanita Melayu & Buka Tudung pada 13 April lalu di Petaling Jaya. Dalam forum tersebut ditampilkan beberapa panel yang mengisahkan bagaimana mereka membuat keputusan untuk membuka tudung selepas mengenakan hijab beberapa tahun.

Di samping itu turut dilancarkan buku bertajuk Unveiling Choice yang memuatkan kisah mereka yang membuat pilihan untuk menanggalkan hijab mereka selain mengisahkan apa yang dikatakan `penderitaan’ wanita Muslim dalam konteks pemakaian tudung sebagai salah satu busana yang wajib dipakai.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar forum seperti ini dianjurkan? Apakah niat di sebalik penganjuran forum ini? Yang jelas, mereka sengaja menyentuh sensitiviti agama Islam memandangkan hukum menutup aurat adalah wajib. Muktamad.

Dalam Islam menutup aurat baik lelaki mahupun wanita hukumnya wajib. Tiada kompromi. Hukumnya termaktub dalam dua sumber hukum utama dalam Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Penulis percaya masyarakat Islam seluruhnya maklum tentang perkara tersebut. Kalau mereka kata tidak tahu, itu mustahil.

Mengapa pula secara tiba-tiba sahaja ada pihak yang cuba menimbulkan polemik dan kontroversi dengan mempopularkan wanita yang bertudung kemudian mengambil keputusan membuka tudungnya dalam penganjuran forum seumpama ini?

Hakikatnya, penganjuran forum tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah dan manfaat sebaliknya boleh mengundang kemarahan dalam kalangan umat Islam negara ini kerana perkara yang disentuh dalam forum itu melibatkan hukum asas dalam agama.

Seperti mana ujar Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid:”Memilih untuk membuka tudung adalah urusan peribadi mereka. Akan tetapi untuk menganjur suatu perbahasan yang menyentuh soal agama tanpa menujuk kepada pihak berautoriti dalam agama memberi implikasi yang negatif kepada Islam.”

Apapun sudah terang lagi bersuluh bahawa penganjuran forum ini sebenarnya bukan setakat mahu mempopularkan wanita membuka tudung (aurat) malah ia adalah gerakan licik puak-puak liberalisme untuk menyebar luas fahaman itu kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mereka cuba mengasingkan agama dalam kehidupan dengan meletakkan pilihan individu paling utama. Aurat adalah subjek yang paling mudah digunakan. Justeru, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu melakukan siasatan. Jika benar forum itu mendatangkan mudarat kepada masyarakat Islam, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Setakat hari ini, JAIS belum membuat sebarang pengumuman tentang hasil siasatan yang dibuat. Masyarakat Islam masih menunggu akan perkembangannya. Adakah penganjur tersebut bersalah atau sebaliknya.

Bagi penulis, forum-forum seperti ini perlu disekat kerana mudaratnya lebih besar. Ini soal aurat. Mungkin esok luas tentang kebebasan lain pula. Tentang hubungan bebas antara lelaki dan wanita. Mungkin juga akan dianjurkan forum membenarkan perkahwinan sejenis. Nauzubillah. Semuanya berkemungkinan dan inilah yang perlu dibanteras.

Dalam pada itu, penulis amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa keputusan kerajaan mendiamkan diri berhubung penganjuran forum tersebut seolah-olah membuktikan perkara itu hanya dipandang remeh.

Tidak dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, telah ambil maklum dan menyifatkannya sebagai serius namun itu sekadar kata-kata. Hingga hari ini tiada tindakan konkrit diambil terhadap pihak yang terlibat dalam forum berkenaan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Feminisme Barat hanya memporak-perandakan

Posted by epondok di April 28, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

Isu penindasan, penderaan, diskriminasi dan gangguan seksual yang berlaku terhadap wanita Muslim sering dijadikan peluang kepada golongan feminisme Barat untuk menyerang hukum dan prinsip Islam.

Ia sengaja diperbesar-besarkan sejak sekian lama untuk mewujudkan sentimen feminisme yang tidak sihat hingga ramai terpengaruh dan mula menerima ideologi yang jelas bertentangan syarak.

Apatah lagi perjuangan feminisme kononnya dapat memberikan hak saksama kepada wanita, menjaga keadilan, kebajikan dan kebebasan tanpa diikat atau berada di bawah kongkongan agama.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian, berkata selagi masyarakat tidak menjadikan Islam sebagai rujukan hidup, sukar membawa mereka kembali kepada jalan kebenaran.

Yasmin Hanani berkata, ada pihak yang mempersoalkan Rasulullah SAW dengan pelbagai tuduhan berat seperti mengaitkan bagaimana Baginda memberikan nafkah kepada isteri dan anak.

Kerangka Islam

“Tuduhan sebegini amat merbahaya hingga sampai ke tahap mempersoalkan mengapa nabi dan rasul diturunkan daripada kalangan lelaki sahaja.

“Ada kelompok feminis yang menuduh Islam membenarkan keganasan seperti membenarkan suami memukul isteri sedangkan mereka hanya mengambil dalil secara separuh dan terus mengeluarkan pelbagai label tidak ber-asas.

“Pemikiran golongan ini tidak dikawal Islam, bahkan cenderung tidak mendahulukan hak Allah SWT hingga apa sahaja yang masuk seperti feminisme dan liberalisme dirasakan tidak salah dan terus diterima,” katanya pada Wacana Intelektual Siri 4: Kuasa Wanita Dalam Mengislahkan Dunia Moden di USIM, Nilai.

Yasmin Hanani mengupas lanjut, kuasa wanita amat besar tetapi perlu berada dalam kerangka Islam yang akan menjamin hak setiap individu.

“Ada banyak bukti Islam memelihara hak dan kedudukan wanita seperti hukum lian yang menjaga maruah isteri daripada dituduh melakukan zina oleh suami sendiri,” katanya pada wacana anjuran Sekretariat Fiqh Fatwa USIM.

Beliau menambah, tidak salah sekiranya wujud semangat memperkasakan wanita dalam segenap bidang tetapi perlu memastikan asas dan hak dituntut selari dengan Islam.

Dalam konteks peranan wanita memperbaiki masyarakat, Yasmin Hanani berkata, terdapat tiga tanggungjawab utama perlu dikuasai dan diberikan penekanan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu berkaitan cara hidup secara berkeluarga bermula di rumah, kewajipan menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah.

“Ia saling memerlukan kerana bayangkan kita ada rumah cantik tetapi ahli keluarga tidak diajak untuk solat sedangkan islah bermula dalam kalangan orang terdekat.

“Begitu juga wanita dikatakan tidak perlu belajar hingga ke universiti kerana akhirnya akan duduk di dapur juga.

“Hal ini tidak tepat kerana wanita perlu ada ilmu mantap kerana sekiranya satu hari nanti bergelar ibu, anak itu perlu dididik baik, bahkan untuk mengislahkan masyarakat juga perlu ada daya intelek tinggi,” katanya.

Bahkan katanya, tidak dinafikan ada sesetengah masyarakat berpandangan skeptikal mengenai wanita yang memegang jawatan tinggi di sesebuah organisasi.

Karakter wanita yang menjadi pemimpin sering dikaitkan dengan tingkah-laku negatif termasuk terlalu cerewet, sukar bertoleransi dan suka mengarah.

Menurut Yasmin Hanani, ia sebenarnya tidak dipengaruhi oleh gender, sebaliknya karakter bergantung kepada bagaimana amalan hidupnya bermula di rumah.

Sekiranya krisis keluarga dapat dikurangkan dengan mengikut prinsip agama, sentiasa mengamalkan akhlak seperti dituntut Islam, ini akan menjadi acuan membentuk individu ketika berada dalam lingkungan masyarakat.

Beliau turut menasihati Muslimah supaya tidak sekali-kali memanipulasi ‘kuasa wanita’ untuk tujuan tertentu atau demi kepentingan sendiri.

Usah ambil kesempatan

“Ada dalam kalangan ibu mengatakan kuasanya itu sangat tinggi, maka anak tidak boleh ‘menderhaka’ dalam apa juga cara atau situasi.

“Setiap ibu masih perlu memantapkan diri dengan iman dan takwa, sekali gus tidak bermakna status ibu akan membuatkan mereka automatik dapat terus ke syurga.

“Walaupun diberikan kelebihan daripada Allah SWT, janganlah ambil kesempatan seperti menentukan hidup anak hingga ke tahap menetapkan calon isteri kerana mereka juga ada hak menentukan hidup sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sebagai isteri pula, jangan sekali-kali berasakan diri tidak lagi mempunyai hak untuk menentukan hidup sendiri selepas berkahwin.

“Namun, yakinlah amanah Allah SWT melalui kurniaan suami itu untuk memimpin dan membawa isteri kepada jalan kebenara.

“Pada masa sama, isteri masih ada hak untuk menjalani hidup dalam kerangka selari dengan syarak,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jiwai adab terbaik membaca al-Quran

Posted by epondok di April 26, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

 

GAMBARAN membaca al-Quran pada perumpamaan ulama dan ahli sufi menunjukkan ia bukan suatu amal biasa, sebaliknya suatu perbuatan yang mempunyai tertib dan keagungan.

Ulama besar dan ahli hadis India, Maulana Muhammad Zakaria Kandhalawi umpamanya membuat analogi seorang yang mahu membaca al-Quran ibarat masuk menghadap ke balai penghadapan raja.

“Sesiapa yang pernah memasuki balai penghadapan raja dapat mengetahui daripada pengalamannya, manakala orang yang tidak pernah berbuat demikian dapat membayangkan kesan kehebatan titah diraja kepada hati.

“Al-Quran ialah perkataan Kekasih dan Pemerintah, maka kita perlu mengambil kira kedua-dua adab itu serentak,” tulisnya dalam kitab pentingnya, Fadhail Amal.

Berkaitan ‘menghadap’ Kekasih, tokoh besar sufi, Maulana Jalaluddin Rumi mengumpamakan al-Quran sebagai pengantin wanita yang hanya membuka wajahnya kepada pengantin lelaki yang berhak daripada segala aspek zahir dan batin.

Ikhlas kunci pintu adab

Justeru, Imam Nawawi yang disepakati sebagai menjadi rujukan muktamad dalam mazhab Shafie bersama-sama Imam Rifa’i, menghasilkan kitab al-Tibyan fi Adabi Hamalati al-Quran yang memperincikan adab membaca kitab suci itu.

Imam Nawawi menekankan keikhlasan sebagai kunci membuka pintu adab membaca al-Quran, sekali gus memusatkan seluruh pandangan hati kerana kita sedang bermunajat kepada Allah SWT.

Beliau menggunakan kaedah al-iqtibas (mengutip hadis riwayat Saidina Umar RA tanpa dijelaskan sumber) ketika mengibaratkan membaca al-Quran seperti keadaan orang yang melihat Allah SWT dan jika tidak boleh, sesungguhnya Allah SWT melihatnya.

Adab pertama secara fizikal yang dibincangkan oleh Imam Nawawi ialah membersihkan mulut dengan siwak atau peralatan bersesuaian sebelum membaca al-Quran.

Pembaca juga dinasihatkan berada dalam keadaan suci meskipun boleh berbuat demikian dalam keadaan berhadas kecil berdasarkan ijmak atau kesepakatan ulama.

Pilih lokasi bersih

Pemilihan tempat untuk membaca al-Quran pula disunatkan bersih dan terpilih dengan ramai ulama menganjurkannya di masjid.

Keutamaan masjid berdasarkan kebersihan dan kemuliaannya, selain mendorong kepada amalan ibadat yang tidak kurang pentingnya, iaitu iktikaf atau berada dalam masjid dengan niat beribadat.

Dalam konteks waktu membaca al-Quran, Imam Nawawi menyebut paling baik adalah ketika menunaikan solat.

Sekiranya membaca al-Quran di luar solat, beliau menyebut waktu utama ialah malam dengan separuh terakhirnya lebih baik, manakala waktu disukai adalah antara Maghrib dengan Isyak atau selepas solat Subuh.

Hari yang terpilih ialah Jumaat, Isnin, Khamis dan hari Arafah; sepanjang Ramadan khususnya 10 hari terakhir dan 10 hari pertama Zulhijjah.

Perbincangan adab dan hukum huraian Imam Nawawi itu menunjukkan kemuliaan dan keutamaan ibadat itu, manakala analogi ulama serta ahli sufi menggambarkan setiap umat Islam perlu mempersiapkan diri secara jasmani dan rohani secara terbaik untuk ‘berbicara’ dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Adab membaca al-Quran:

• Bersiwak atau membersihkan mulut

• Memilih tempat bersih dan utama khususnya masjid

• Mengadap kiblat sekiranya membaca di luar solat

• Membaca taawuz (meminta perlindungan daripada syaitan) dan basmallah

• Khusyuk dan merenung makna ketika membaca

• Mengulang-ulang ayat supaya dapat direnung secara mendalam

• Menangis dengan menghadirkan perasaan sedih dalam hati terutama ayat peringatan, ancaman dan janji serta dosa yang dilakukan

• Tartil, iaitu membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru

• Memohon rahmat atau meminta jauh daripada kejahatan dan seksaan ketika membaca ayat berkaitan

• Tidak ketawa, bising dan bercakap sesuatu yang sia-sia

• Membaca dengan salah satu daripada tujuh qiraat (cara bacaan yang disepakati)

• Membaca dengan mashaf lebih utama daripada membacanya berdasarkan hafazan

• Dianjurkan membaca secara berjemaah dan diharuskan secara bersilih ganti

• Menggunakan suara yang kuat

• Sunat mengindahkan suara atau melagukan bacaan al-Quran

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tinggal solat ibarat hilang keluarga, harta benda

Posted by epondok di April 25, 2019

MANUSIA yang tiba-tiba kehilangan keluarga dan harta bendanya sering diibaratkan sebagai orang yang tinggal sehelai sepinggang.

Malah, gambaran kerugian itu akan terasa lebih dahsyat lagi andai ahli keluarganya itu sudah beranak-pinak, manakala harta yang dicari dan diusahakan bertahun-tahun.

Begitulah analogi kepada orang beriman yang tidak mengerjakan solat atau leka dengan kesibukan dunia hingga terlepas daripada melakukan ibadat yang dianggap tiang agama itu.

Naufal ibnu Muawiyah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Seseorang yang terlepas satu solat seumpama orang yang kehilangan keluarga dan harta bendanya. (HR Ahmad dan Ibnu Hibban)

Bagaimana pula dengan orang Islam yang terus mengabaikan dan meninggalkan solat kerana mengejar dunia meskipun ia diwajibkan terhadap setiap mukalaf atau orang yang akil baligh?

Beri peringatan, amaran keras

Rasulullah SAW memberikan peringatan dan amaran keras kepada umat Baginda yang mempersia-siakan lima waktu.

Abdullah ibnu Abbas RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengumpul dua solat tanpa sebarang keuzuran (meninggalkan solat secara berturut), sesungguhnya dia sudah tiba ke salah satu pintu dosa besar. (HR Hakim)

Solat berbeza dengan amalan lain kerana mengabaikan semua ibadat bergantung kepada kedudukan solat, sekali gus dianggap tiang seri yang menanggung semua binaan bangunan.

Justeru, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menunaikan solat hingga orang yang sakit pun diperintahkan berdasarkan kemampuan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengajian Kitab Umum Sempena Ramadhan 1440H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di April 24, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Syaaban dan penyatuan ummah

Posted by epondok di April 23, 2019

BULAN Syaaban adalah satu bulan yang dipenuhi dengan beberapa kelebihan seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadtih sahih.

Amalan kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT di dalam bulan Syaaban.

Ini berdasarkan hadith Rasululillah SAW . Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW : Bulan Syyaban Itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadhan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekelian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalan ku di dalam keadaan aku sedang berpuasa ( Musnad Ahmad dan Sunan al Nasa’i)

Saidatina Aisyah menceritakan bahawa bahawa Rasulullah melengkapkan puasa penuh sebulan di dalam bulan Ramadhan dan sangat banyak sekali berpuasa di dalam bulan Syaaban. (HR Imam al Bukhari dan Muslim)

Bulan Syaaban yang penuh keistimewaan itu , terlebih istimewa dengan adanya satu malam yang dikhaskan oleh Allah SWT dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT . Malam tersebut dikenali sebagai malam ke separuh bulan Syaaban atau disebut malam nisfu Syaaban.

Daripada Mu’az bin Jabal r.a , daripada Nabi SAW bersabda : Allah menjenguk hamba-hambanya pada malam nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bertelagah. (HR Ibnu Hibban dan al Tobroni)

Seorang sahabat Nabi SAW bernama ‘Ulbah bin Zaid bin Harithah , tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin tatkala Nabi SAW menggalakkan para sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan : aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu. Rasulullah SAW bersabda : sedeqah kamu telah diterima (di dalam kitab al Isobah)

Maka apabila ditanya , apakah amalan terbaik pada malam itu? Jawapannya ialah saling maaf-memaafkan, merapatkan saf sesama Islam dan mencari titik-titik perpaduan.

Umat Islam di negara ini wajib merebut tawaran pengampunan Allah SWT itu dengan mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan mengusahakan perdamaian dan penyatuan sesama muslimin. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersegera menyelesaikan masalah umat Islam sehingga perpaduan dapat dikekalkan. Sahl bi Said r.a menceritakan bahawa ahli Quba’ berselisih faham sehingga saling melemparkan batu sesama mereka. Lantas secara pantas Nabi SAW bersabda : Pergilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka. (HR al Bukhari)

Tidak salah menjalin hubungan dengan orang bukan Islam. Penilaian yang sepatutnya jelas di dalam minda umat Islam ialah , jika orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang yang menolak Allah sebagai Tuhan, tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai rasul akhir zaman , apakah alasan untuk tidak boleh berbaik-baik dengan rakan-rakannya yang sama-sama beriman dengan Allah SWT, sama-sama mengakui Rasulullah SAW sebagai utusan Allah bahkan solat mengadap kiblat yang satu.

Mengusahakan penyatuan Umat Islam adalah suruhan Allah di dalam al Quran. Firman Allah SWT : Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (QS al Nisa’ :114)

Perpaduan sesama Islam itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Rahmatan lil Alamin dijelmakan di dalam penyatuan sesama Islam. Mereka yang menolak perpaduan ini sebenarnya telah menolak rahmatan lil alamin sepertimana yang sebenar! Firman Allah SWT dalam surah al Hujurat ayat 10 yang diakhiri dengan perkatan “rahmah” patut dihayati oleh umat Islam.

“Hanya sanya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan persaudaraan antara saudara kamu, bertaqwalah mudah-mudahan kamu dirahmati” (QS al Hujurat :10)

USTAZ ZAMRI HASHIM

Timbalan Mufti Perak

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Melakar Peta Kehidupan yang baik

Posted by epondok di April 21, 2019

Dr. Muhaya Mohamad

 

ALLAH SWT menjadikan manusia untuk hidup di dunia dengan tiga tujuan. Pertama, sebagai hamba Allah. Kedua, sebagai khalifah. Memimpin diri sendiri dan orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ketiga, wajib menjalankan kehidupan di dunia ini mengikut hukum Allah. Bagi mengetahui tujuan manusia dihidupkan, perkara penting yang perlu difahami adalah tentang erti kehidupan dan peringkat kehidupan.

Peringkat pertama, alam roh. Sebelum manusia itu dilahirkan, roh sudah ditetapkan dan dimasukkan ke dalam jasad. Dalam alam roh manusia berjanji dengan Allah SWT untuk memberikan ketaatan. Dalam surah Az-Zumar ayat 6 Allah berfirman yang bermaksud, “Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita.”. Bermula dengan ciptaan pertama apabila bersatunya mani antara lelaki dengan wanita lalu menjadi nutfah. Kemudiannya nutfah menjadi segumpal darah yang disebut alaqah. Seterusnya alaqah bertukar menjadi segumpal daging, iaitu mudghah. Dalam bentuk yang tiga ini, (nutfah, alaqah dan mudghah) manusia dalam kandungan ibu akan berada dalam tiga suasana gelap. Pertama, gelap dalam rahim. Kedua, gelap dalam tuban-tuban atau selaput pembungkus janin yang dikelilingi air ketuban. Ketiga, gelap dalam perut ibu.

Peringkat kedua, dalam rahim ibu. Semasa dalam alam rahim manusia itu sangat baik, sangat taat dan tidak tahu melakukan kejahatan. Tidak ingkar akan perintah Allah serta tidak pernah persoalkan apa-apa perkara yang berlaku. Di saat itu manusia benar-benar suci daripada dosa. Tetapi, mengapakah ada di antara manusia selepas dilahirkan terutama ketika dewasa berperangai buruk, tidak seperti fitrah kejadian mereka?

Peringkat ketiga, apabila dilahirkan manusia itu akan berada di alam nyata dan di peringkat ini mereka digelar bayi. Hakikatnya tiada seorang bayi pun yang dilahirkan tahu melakukan kejahatan. Seorang bayi itu adalah suci ibarat sehelai kain putih. Manusia yang normal fikiran dan emosinya pasti akan tenang apabila melihat bayi. Semua pandangan positif terhadap bayi adalah kerana mereka adalah sumber doa yang baik. Mereka amat dekat dengan Allah dan bersih suci daripada sebarang dosa. Ibu bapalah yang memberikan warna kehidupan kepada seorang bayi sama ada mengekalkan kesuciannya atau menghitamkan kehidupannya selain faktor sekeliling yang mempengaruhinya.

Peringkat keempat, manusia berada di alam barzakh selepas kematiannya. Pada peringkat kehidupan ini manusia akan meninggalkan dunia yang amat melalaikan. Menurut Saidina Ali r.a terdapat enam perkara berkaitan dengan keseronokan dunia. Enam perkara itu ialah yang dimakan, diminum, dipakai, dicium, ditunggangi dan yang dikahwini. Maka, janganlah seseorang itu berduka cita apabila kehilangan duniawi, kerana duniawi itu tidaklah sehebat mana.

Peringkat kelima, apabila tiba hari kiamat. Itulah destinasi hidup yang sebenar dan kekal. Di akhirat setiap manusia akan disoal tentang amalan semasa di dunia. Jika di dunia lebih banyak bersuka ria, tunggulah balasan azab daripada Allah. Jom renung dan auditlah diri serta nilailah minda dan hati dengan merenung di mana peringkat kehidupan kita sekarang? Sekiranya tahu, kita mudah membuat pilihan tentang corak kehidupan yang dimahukan sama ada ketika di dunia mahupun akhirat.

Masa hadapan dilakar pada hari ini. Segala yang dilakarkan, itulah yang bakal dinikmati keindahannya pada masa hadapan. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dan mempunyai wawasan tersendiri dalam mencorakkan kehidupannya. Justeru, seseorang itu perlu melakarkan peta kehidupannya sendiri untuk menuju ke arah sasaran. Terdapat empat perkara yang perlu dilakukan sebelum melakar peta kehidupan berkenaan.

Pertama, sebelum melakar peta tersebut, seseorang itu mesti tahu di mana dia berada sekali gus memudahkan proses untuk bermula. Dia perlu tahu tentang keadaan fizikal, mental, kewangan, hubungannya sesama manusia dan hubungannya dengan Allah. Kedua, perlu tahu arah tujuan. Contohnya sebagai orang Islam perlu pastikan tujuan hidup yang mana paling utama adalah untuk mendapatkan husnulkhatimah dan hidup yang dirahmati Allah di negeri abadi iaitu bukan hanya sekadar mengecapi kebahagiaan, ketenangan, kesihatan serta kekayaan di dunia.

Ketiga, perlu tahu cara mana untuk menuju ke destinasi lakaran peta kehidupan. Sebagai contoh, perlu mempunyai kesihatan yang baik. Jika kita mahu tingkatkan kerohanian, tubuh badan mesti baik dan sihat. Keempat, perlu lakarkan corak peta kehidupan berkaitan kewangan. Dalam soal mencari rezeki pastikan pekerjaan dilakukan itu mengikut jalan yang Allah reda. Biarlah hidup dengan rezeki yang sedikit tetapi mendapat keberkatan.

Keberkatan ini bermaksud, rezeki yang diperoleh sedikit tetapi manfaat dan berkatnya berpanjangan. Jika rezeki berlebihan pula, kita bermurah hati untuk infak rezeki tersebut kepada orang lebih memerlukan. Pastikan peta kehidupan yang dilakar itu bermula dengan persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat dan berakhir dengan kemuncak kebahagiaan yakni mendapat balasan syurga-Nya.

Apapun peta kehidupan yang menjadi wawasan hidup ini kalau boleh biarlah dilakarkan dengan skrip kehidupan. Skrip yang ditulis berkaitan dengan sasaran kehidupan. Jika hanya peta kosong sahaja dan seseorang itu tidak tahu apa yang hendak dilakarkan, maknanya dia tidak memiliki cita-cita. Orang yang tidak ada cita-cita ialah orang yang tidak ada matlamat hidup. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ketegasan Brunei hentikan serakah penyokong LGBT

Posted by epondok di April 19, 2019

KHAMIS lalu saya hubungi seorang sahabat lama (warga kerja Mahkamah Syariah Brunei Darussalam). Saya tanya khabar mengenai dirinya serta perkembangan terkini mahkamah tempat dia bertugas, dan mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Islamnya baharu yang kini menjadi sasaran serangan oleh puak-puak pro LGBT. Beliau menjawab segalanya berjalan dengan baik.

The Dorchester di London antara sembilan buah hotel milik keluarga
The Dorchester di London antara sembilan buah hotel milik keluarga 

Beliau ambil maklum bahawa Michelle Bachelet (seorang pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia PBB) mahu Brunei menghentikan pelaksaan hukuman rejam ke atas puak LGBT.

Beliau juga tahu tentang pendirian Human Rights Campaign (sebuah NGO Barat) yang menuduh kerajaan Brunei bertindak “tidak bertamadun dengan menjadikan golongan LGBT sebagai sasaran”.

Semua kritikan itu tidak melemahkan semangat kerajaannya meneruskan langkahnya melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara itu.

Beliau juga tahu bahawa ada beberapa artis Barat yang menentang undang-undang itu, termasuklah George Clooney. Pelakon Hollywood ini menyeru orang ramai memboikot sembilan hotel milik keluarga diraja Brunei, termasuklah Hotel Beverly Hills dan Hotel Bel-Air (kedua-duanya di Los Angeles).

Tujuh hotel lain adalah The Dorchester (London), 45 Park Lane (London), Coworth Park (Ascot, UK), Le Meurice (Paris), Hotel Plaza Athenee (Paris), Hotel Eden (Rome) dan Hotel Principi (Savoia, Milan).

Bagaimanapun, Clooney segera dibidas pelbagai pihak lain yang menyifatkannya sebagai “seorang hipokrit” kerana tidak membuat saranan sama terhadap Arab Saudi yang turut melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Antara celebrity lain yang menyokong Clooney adalah pemuzik Elton John, yang orang ramai tahu adalah seorang homoseksual.

Soalnya kenapakah Clooney, artis-artis lain serta NGO antarabangsa begitu berminat menyerang Brunei tetapi sunyi sepi, terkunci mulut dan tidak berani menentang keganasan puak zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza?

Kenapa tidak bantah tindakan Israel menduduki secara haram lebih 85 % tanah asal penduduk Palestin?

Akhbar Daily Telegraph menyatakan bahawa tindakan memboikot hotel milik Sultan Brunei seperti yang disaran oleh Clooney itu tidak akan memberi apa-apa kesan.

Mengikut akhbar itu, sebagai salah seorang individu terkaya dunia, baginda sultan boleh “dengan mudah menangani masalah ini”.

Pada Oktober 2013 lalu, Sultan Brunei mengisytiharkan hasrat baginda melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negaranya. Selaras dengan perisytiharan itu, Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 (PKJS) diluluskan.

Undang-undang baru ini mengandungi 254 seksyen, dimuatkan dalam 5 Bahagian (iaitu Bahagian I hingga V) dan lima Jadual.

Dalam Bahagian I (Preliminary), terdapat peruntukan mengenai tafsiran, pemakaian dan kriteria seorang Muslim. Dalam Bahagian II (Exceptions) terdapat peruntukan mengenai, antara lain, kanak-kanak, orang tidak siuman, hak membela diri, manakala dalam Bahagian III (Abetment) terdapat peruntukan mengenai subahat, niat bersama.

Yang penting sekali adalah Bahagian IV Bab I, yang menghuraikan pelbagai kesalahan berat seperti sariqah, hirabah, zina, zina bil-jabar, liwat, qazaf, mengambil minuman yang memabukkan, dan irtidad.

Hukuman bagi kesalahan zina disebutkan dalam Seksyen 69, iaitu setelah tertuduh disabitkan oleh mahkamah.

Sabitan akan hanya dibuat oleh mahkamah sekiranya ada ikrar (pengakuan) oleh tertuduh sendiri, atau ada keterangan daripada sekurang-kurangnya empat syahid mengikut hukum syarak selepas mahkamah puas hati kehendak tazkiyah al syuhud.

Jika tertuduh yang disabitkan itu muhshan, hukumannya adalah rejam sehingga mati; andainya tertuduh bukan muhshan, hukumannya adalah 100 kali sebat dan penjara satu tahun.

Hukuman bagi kesalahan liwat adalah sama bagi kesalahan zina (Seksyen 82), dan kesalahan liwat ini juga perlu dibuktikan sama seperti kesalahan zina (Seksyen 83). Di bawah Seksyen 86, ikrar zina dan ikrar liwat boleh ditarik balik oleh tertuduh.

Hukuman bagi kesalahan musahaqah (hubungan seks antara wanita) disebutkan dalam Seksyen 96, iaitu denda sehingga B$40,000, penjara 10 tahun, 40 sebat atau kombinasi mana-mana dua hukuman itu.

Pelaksanaan undang-undang baru ini secara berperingkat-peringkat ditekankan oleh Sultan Brunei sejak awal lagi.

Sewaktu baginda bertitah di majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Bandar Seri Bagawan pada 30 April, 2014, baginda menyatakan “Beta reda dengan takdir dan bersyukur kepada Allah untuk mengumuman bahawa esok, Khamis 1 Mei 2014 akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu yang akan diikuti fasa-fasa berikutnya”.

Baginda menambah “Ingatlah fokus kita hanyalah kepada Allah jua, untuk mencari reda-Nya… bukan melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak”

Dalam fasa satu, hanya kesalahan di bawah Bahagaian IV Bab IV (Kesalahan Am) dilaksanakan.

Antara kesalahan di bawah bahagian ini adalah enggan melakukan solat Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadan, khalwat, berkelakuan kurang sopan, menuduh orang Islam itu kafir, menghina Nabi, enggan bayar zakat dan sebagainya, yang kesemuanya membawa hukuman ta ‘zir (denda dan penjara).

Dalam fasa dua pula, hukuman yang akan dikenakan adalah bagi kesalahan yang lebih serius seperti dinyatakan dalam Bahagian IV, Bab I (sudah dihuraikan di atas tadi), II (qatl dan menyebabkan kecederaan) dan III (menarik balik syahadah), iaitu hukuman hadd dan qisas, tetapi tidak melibatkan hukuman mati.

Dalam fasa tiga, iaitu selepas 24 bulan undang-undang ini diperkenalkan, Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 akan dilaksana sepenuhnya, termasuklah hukuman mati.

Pada 17 Disember 2015 lalu, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei, Dr. Norarfan Zainal berkata bahawa seluruh rakyat negara itu menerima baik pelaksanaan hukum hudud sejak ia dilaksanakan pada Mei 2014.

“Namun setakat ini (Disember 2015), belum ada mana-mana rakyat Islam Brunei yang dikenakan dan menjalani hukuman hudud,” tambahnya lagi.

Pada 3 April 2019 lalu, Brunei mengumumkan hukuman rejam sampai mati akan dikenakan bagi kesalahan homoseksual (hubungan seks sejenis).

Hukuman inilah yang ditentang hebat kumpulan LBGT sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia.

DATUK SALLEH BUANG

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tingkat iman, kawal hawa nafsu hadapi fitnah wanita

Posted by epondok di April 17, 2019

SIRAH nabi dan kisah orang soleh memberikan banyak pengajaran serta ibrah kepada umat Islam termasuk dalam mengungkapkan bahaya fitnah atau ujian daripada wanita.

Sabda Rasulullah SAW: Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita. (HR Muslim)

Bagaimanapun, ibrah terhadap implikasi fitnah atau ujian itu bukan menunjukkan kedudukan wanita yang rendah, sebaliknya sebagai peringatan kepada manusia supaya meningkatkan keimanan yang dapat mengawal serta menundukkan hawa nafsu.

Antara kisah fitnah wanita yang dikonsi oleh Mudir Pondok Wakaf Budi Sekam, Pattani, Tuan Guru Baba Ghazali Ahmad al-Fathani al-Azhari atau lebih dikenali sebagai Baba Li Sekam, ialah kisah Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha dan ahli ibadat, Juraij dengan pelacur.

Beliau berkata, Nabi Yusuf AS cuba digoda oleh isteri kepada pembesar Mesir, Zulaikha untuk melakukan perbuatan yang dilarang kerana wanita itu terpukau dengan keindahan rupa paras Baginda.

“Semua pintu mahligai ditutup dan Nabi Yusuf AS sudah terkepung. Peluang itu diambil oleh Zulaikha untuk menggoda dan mengajak Nabi Yusuf melakukan perbuatan yang dilarang,” katanya pada Diskusi Ilmu & Soal Jawab bersama Tuan Guru Baba Ghazali Sekam al-Fathoni di Masjid Ibrahim, Pasir Puteh.

Firman Allah SWT: “Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya, merayu Yusuf untuk dirinya; dan dia menutup pintu serta berkata: Marilah kamu. Jawab Yusuf: Aku berlindung kepada Allah; sesungguhnya Tuhanku memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya.

“Dan wanita itu berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pun berkehendak kepada wanita itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya. Demikianlah, Kami jauhkan Yusuf dari keburukan dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba Kami yang ikhlas. (Yusuf: 23 dan 24)

Baba Li Sekam berkata, Nabi Yusuf AS bergegas ke pintu tetapi pada masa sama, Zulaikha terus menarik baju Baginda dari belakang hingga menyebabkannya terkoyak.

“Apabila pintu dibuka dan pembesar itu sangat terkejut tetapi Zulaikha menuduh Nabi Yusuf AS berbuat jahat kepadanya.

“Bagaimanapun, kebenaran akhirnya terungkai dengan muncul seorang individu yang memberikan logik dengan keadaan baju Nabi Yusuf yang terkoyak di bahagian belakang yang menunjukkan Baginda tidak bersalah,” katanya.

Firman Allah SWT: “Yusuf berkata: Dia yang menggoda diriku dan seorang dari keluarga perempuan itu tampil memberi pendapatnya dengan berkata: Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan wanita itu, dan jadilah Yusuf dari orang yang dusta.

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah wanita itu, dan Yusuf adalah dari orang yang benar.

“Setelah dia melihat baju Yusuf koyak di belakang, berkatalah ia: Sesungguhnya inilah tipu dayamu wahai wanita; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar.” (Yusuf: 26-28)

Baba Li Sekam turut berkongsi kisah balasan menyakiti hati ibu menerusi kisah ahli ibadah, Juraij yang tidak menyahut panggilan ibunya sebanyak tiga kali pada hari berlainan yang mengunjungi anaknya ketika bersolat.

Beliau berkata, ibu Juraij berdoa supaya Allah jangan mengambil lagi nyawa anaknya itu melainkan selepas diberi ujian bersama pelacur yang datang mengakui anak dikandungnya adalah dari benih Juraij.

Katanya, selepas kelahiran bayi itu, kebenaran terbongkar tetapi Juraij mengakui fitnah yang dilempar kepadanya itu adalah balasan terhadapnya yang menyakiti ibunya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohd Rosman Che Harun, berkata kedatangan Baba Li Sekam dinantikan kerana tokoh itu sangat berpengaruh dan bukan sahaja di Thailand dan Kelantan, bahkan di negeri lain.

“Majlis ilmu kali ini kerjasama antara pihak masjid dengan Pejabat Agama Jajahan Pasir Puteh.

“Kami memang kerap mengadakan majlis agama seperti ini dengan menjemput beberapa tokoh agama yang sudah pasti banyak ilmu agama yang dapat disampaikan kepada jemaah masjid,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »