Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pemimpin wajib teladani akhlak Nabi s.a.w

Posted by epondok di Mac 23, 2019


Oleh Hafizah Maidin

 

Rasulullah SAW menjadi ikon dan teladan yang terbaik sepanjang zaman, malah empat sifat wajib bagi nabi serta rasul perlu diletakkan sebagai ciri penting yang perlu diikuti umat Islam.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah SWT ketika susah dan senang.” (Al-Ahzab: 21)

Empat sifat

Empat sifat wajib itu seperti diketahui umat Islam ialah siddiq yang bermaksud benar; amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Setiap rasul dianugerahkan empat sifat ulung itu, sekali gus melengkapkan dan menaikkan martabatnya sebagai penyampai agama Allah SWT.

Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson, Shafie Muhammad, berkata umat Islam juga perlu meneliti empat sifat lawan yang dinafikan ada pada rasul, iaitu kadzib yang bermakna dusta; khianat; kitman (menyembunyikan) dan jahil (bodoh).

Angkat martabat

“Antara hikmah Allah SWT meletakkan empat sifat itu adalah untuk mengangkat martabat utusan terpilih dan mendapat kepercayaan manusia untuk mengikuti ajaran dibawa oleh mereka.

“Bayangkan jika seorang utusan Allah itu bersifat menyembunyikan? Bagaimana ajaran Islam akan tersebar dan diikuti oleh manusia?” katanya.

Shafie turut menekankan keunggulan sifat Rasulullah SAW hingga disifatkan oleh Ummu al-Mukminin, Saidatina Aisyah RA yang menggambarkan akhlak Baginda seperti al-Quran, iaitu sempurna dan suci.

“Ini bermakna Rasulullah SAW menterjemah al-Quran melalui tingkah laku dan percakapan Baginda,” katanya.

Beliau berkata, segala perbuatan, percakapan hatta diamnya Rasulullah SAW menjadi panduan hidup kepada generasi seterusnya sehinggalah kiamat.

“Kunci utama untuk meneladani akhlak Rasulullah SAW adalah dengan berkasih sayang kerana Baginda sendiri penuh dengan kasih-sayang,” katanya.

Allah SWT mewujudkan sifat terpuji itu dalam diri Nabi SAW dengan hikmah supaya sifat kasih-sayang yang ditunjukkan itu, ramai manusia mula memeluk Islam kerana jatuh cinta pada kelembutan Baginda.

Sifat terpuji

Shafie berkata, empat sifat wajib bagi rasul ini seharusnya diteladani oleh umat Islam tidak mengira kedudukan atau pangkat.

Katanya, sifat terpuji itu tidak hanya terhad untuk sesuatu golongan atau bangsa sahaja untuk diamalkan.

“Sifat ini tidak hanya terhad kepada golongan pemimpin sahaja, sebaliknya kita semua juga perlu amalkan dalam kehidupan,” katanya.

Setiap pemimpin dituntut untuk mengaplikasikan empat sifat terpuji itu dalam memimpin tetapi umat Islam perlu memahami setiap manusia ialah pemimpin atau khalifah.

Justeru, setiap individu juga dituntut untuk menterjemah sifat terpuji itu dalam kehidupan harian.

Amanah

Misalnya, setiap individu perlu amanah dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan walaupun sekecil-kecil tanggungjawab, selain menghayati lebih mendalam sifat wajib bagi rasul.

Beliau berkata, setiap individu pada hari ini perlu menghayati empat sifat terpuji itu dalam kehidupan.

“Sifat ini bukan sekadar menjadi pengetahuan atau hanya dibincangkan di majlis ilmu tetapi harus diteladani dan diaplikasi dalam kehidupan sebenar.

“Akhlak Rasulullah SAW sangat berharga dan perlu dihayati untuk kita aplikasikan dalam kehidupan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: