Pertembungan antara dua tamadun dan agama tidak boleh diselesaikan dengan hanya menyerang dan membunuh penganut agama tertentu.

Atau membaling molotov cocktail, membakar dan memecahkan cermin bangunan. Pihak yang berkepentingan dan mempunyai agenda tertentu pastinya mahu melihat pertelagahan ini terus berlaku.

Jika difikirkan hanya dengan tindak balas fizikal sahaja boleh selesaikan masalah, sesiapapun akan risau dunia akan kembali ke zaman batu. Jika itulah yang berada dalam kotak fikiran, maka persepsi Islamophobia pasti akan ‘bertahan’ untuk 50 tahun lagi.

Keganasan bukanlah sesuatu yang baharu melanda dunia Islam. Ia merupakan satu masalah sebelum 9/11 lagi. Di Pakistan, Kashmir dan Palestin, putaran keganasan yang disebabkan oleh mazhab, ideologi dan serangan telah banyak meragut nyawa yang tidak terhitung.

Di Palestin yang dijajah, mangsanya merupakan orang Islam dalam negara yang dikatakan ‘menaja’ keganasan. Sememangnya majoriti mangsa yang dianiaya secara dalaman dan luaran, mental dan fizikal adalah orang Islam.

Perkara utama di sebalik wujudnya persepsi ini ialah tindakan kejam yang memulakannya iaitu serangan di New York dan Washington pada 11 September 2001.

Kejadian 9/11 membuka lembaran baharu. Ia bermula dengan kumpulan masalah yang telah wujud sekian lama.

Lebih daripada satu generasi, sekurang-kurangnya sejak Revolusi Iran, retorik politik dalam dunia umat Islam berubah daripada fahaman kebangsaan untuk kemerdekaan dan kebebasan, kepada usaha-usaha agresif dan berunsur militan dengan alasan untuk menegakkan Islam.

SATANIC VERSES

Tidak lama sebelum tercetus 9/11, Satanic Verses yang diterbitkan pada 1988 merupakan novel kontroversi yang menggoncang hubungan dunia Barat dan kaum Muslimin. Novel ini dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW secara fiksyen.

Tindakan Perdana Menteri Britain menerima kehadiran penulis novel tersebut iaitu Salman Rushdie dianggap memberi sokongan kepada penghinaan yang dilakukannya.

Begitu juga apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), George Bush menerima kehadiran Salman Rushdie di Rumah Putih, secara jelas beliau menyetujui tindakan penulis kelahiran India tersebut. Kedua-dua situasi ini menonjolkan penolakan Barat ke atas agama Islam.

Kontroversi seterusnya tercetus apabila pada 12 September 2005, Jyllands-Posten, sebuah surat khabar Denmark, menyiarkan karikatur yang menggambarkan wajah Nabi Muhammad SAW.

Pada 2008, Belanda pula menimbulkan kontroversi dengan penerbitan filem Fitna tulisan Geert Wilders, salah seorang ahli politik pembangkang negara itu.

Filem yang diterbitkan oleh Arnoud Van Doorn, yang juga seorang ahli politik Belanda itu menggambarkan Nabi Muhammad SAW secara salah. Namun Van Doorn telah memeluk Islam pada 2017.

WAR ON TERROR?

Sebagai respons kepada peristiwa 9/11, War On Terror atau Perang Terhadap Keganasan dilancarkan oleh AS, membawa ketegangan politik di seluruh dunia ke suatu peringkat lebih tinggi.

Perang ke atas keganasan ini sebenarnya menghasilkan lebih banyak keganasan.

Ia bukan sahaja merubah sejarah di Iraq, Afghanistan dan Pakistan tetapi juga batu loncatan kepada kebangkitan semula Taliban dan terbitnya kumpulan baharu berunsur militan seperti Jemaah Islamiyyah dan Shabab di Afrika.

Ia juga memberi inspirasi untuk al-Qaeda wujud di Eropah dan AS. Reaksi Barat terhadap ‘pengganas Islam’ di Iraq dan Afghanistan menambahkan lagi pandangan negatif kepada Islam dan penganutnya.

Ketakutan dan kejijikan terhadap orang Islam merupakan perkara yang terbentuk dalam minda masyarakat Eropah apabila dikhabarkan tentang Islam.

Tinjauan pendapat yang dilaksanakan di Perancis dan Jerman pada 2016 menunjukkan persepsi negatif orang ramai terhadap Islam semakin meningkat.

Jumlah itu merupakan pertambahan sebanyak 5% berbanding 2010, sekali gus menunjukkan bahawa persepsi negatif terhadap Islam semakin meningkat. Sebanyak 47 % penduduk di Perancis dan 43 % di Jerman beranggapan bahawa agama Islam merupakan satu bentuk ancaman.

Malah, menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Compass, Jean Christophe Bas selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Peningkatan Pengaruh Islamophobia dan Konflik Identiti di Eropah’ anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Putrajaya beberapa tahun lalu, lebih 68% tinjauan pendapat yang diadakan di kedua-dua negara itu menyebut penduduk Islam enggan berintegrasi dengan penduduk setempat sehingga wu­jud persepsi negatif itu.

Cuma jika ingin disenaraikan semua kes yang berlaku, pastinya memakan masa yang lama. Cuma bilakah Islamophobia akan berakhir?

AL-QURAN

Salah faham telah menimbulkan ‘Islamophobia’ suatu ketakutan dan kebencian untuk orang yang mengikuti , mempercayai dan mengamalkan agama Islam.

Islam tidak tegar kerana ia bertujuan untuk setiap masa. Al-Quran telah memberikan jawapan untuk semua masalah yang dihadapi oleh umat manusia.

Di sebalik itu, setiap mazhab ditafsir dengan berbeza antara satu sama lain dan menjadi punca umat Islam menuduh sesama mereka bahawa mazhab mereka adalah benar.

Kerana ribuan tafsiran yang berbeza daripada Islam dan sangat banyak mazhab-mazhab yang berbeza, setiap daripada mereka mengaku sebagai pengikut Islam yang sebenar, umat Islam menjadi keliru.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman dalam kalangan bukan Islam , tetapi umat Islam juga telah tertakluk kepada tafsiran yang berbeza daripada Islam.

Pastikan al-Quran bergerak dalam diri dan sistem kehidupan bukan setakat tergantung di dinding sebagai perhiasan dan tersimpan di dalam almari sebagai koleksi sahaja.

Contohilah bagaimana bergerak dan hidupnya al-Quran pada zaman nabi, para sahabat dan pemimpin Islam sebelum ini yang mendatangkan kegemilangan dalam mentadbir dunia dengan agama.