Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kenali hakikat diri capai bahagia akhirat

Posted by epondok di Mac 15, 2019


Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

Kefahaman terhadap hakikat diri sebagai manusia yang mempunyai perjanjian azali dengan Allah SWT ketika di alam roh, dapat memastikan kita mencapai kebahagiaan hakiki di akhirat.

Hal itu perlu untuk memastikan maqasid atau tujuan syariat difahami dalam kerangka pandangan alam Islam.

Maqasid syariat terbahagi dua secara kasar, iaitu dunia dan akhirat. Tujuan akhirat dikenali sebagai tujuan keagamaan, manakala maqasid keduniaan perlu membawa kepada tujuan keagamaan.

Empat perkara dalam maqasid iaitu nyawa, akal, keturunan dan harta ini mesti dipupuk dan dilindungi untuk mencapai matlamat tertinggi, iaitu agama atau ad-din.

Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Md Asham Ahmad, berkata matlamat sebenar manusia adalah untuk memperoleh kebahagiaan abadi di akhirat, manakala dunia dan kehidupan hanya menjadi alat atau penyampai kepadanya.

“Kita tidak boleh dikelirukan antara alat dengan matlamat kerana kecelaruan itu akan menyebabkan kita khilaf terhadap keutamaan masing-masing.

“Sebagai Muslim, setiap yang kita lakukan di dunia matlamat akhirnya ialah akhirat, tetapi fahaman sekularisme menyebabkan ramai orang lupa terhadap hakikat penting ini,” katanya pada Bengkel Maqasid Syariah: Aplikasi Dalam Organisasi di IKIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Md Asham berkata, kehidupan duniawi yang mengasyikkan menjadikan manusia lupa terhadap nasib akhirnya di akhirat.

Imam al-Ghazali menjelaskan bahaya tipu daya dunia dalam karyanya, Kitab Dhamm al-Ghurur (Kecelaan Tipu Daya) antaranya manusia terpedaya disebabkan dua perkara, iaitu kehidupan dunia dan salah sangka terhadap Allah SWT.

“Kehidupan dunia sering kali menyebabkan manusia lupa terhadap nasib di akhirat yang menjadi punca penderhakaan kepada Allah SWT, sekali gus menzalimi diri sendiri,” katanya.

Justeru, Md Asham berkata, perbahasan nyawa dan akal penting kerana ia berhubung kait dengan hakikat diri insan.

“Islam menganjurkan kita faham makna diri yang jauh berbeza daripada apa dianjurkan kebudayaan Barat. Kita mesti menegaskan maqasid syariah tidak boleh dipisahkan daripada gagasan pemikiran atau pandangan alam yang menerbitkannya.

Berbeza falsafah Barat

“Ia tidak boleh ditafsir secara melulu tanpa mengambil kira gagasan pemikiran yang menjadi rangka besarnya,” katanya.

Beliau berkata, jika maslahah diletakkan dalam gagasan pemikiran sekular sebagai rangka besar, maknanya akan turut berubah menurut gagasan terbabit.

“Maka, kita akan dapati tiada pertimbangan terhadap matlamat akhir dalam rangka hidup sekular, sebaliknya semata-mata nasib manusia dalam kehidupan duniawi ini,” katanya.

Jelas Md Asham, matlamat akhir manusia dianjurkan falsafah humanisme atau kemanusiaan bersifat sekularisme, iaitu mentafsir memelihara nyawa sebagai kelangsungan hidup; keturunan (kelangsungan spesis); harta (kelangsungan keperluan hidup) dan akal (pemandu kehidupan).

“Ia menjadikan tiada pertimbangan akhlak dan syariat kerana apa difahami golongan sekularisme dengan kebahagiaan bersifat duniawi semata-mata.

“Menurut Islam, hukum dan akhlak adalah sebahagian agama, manakala pemikiran Barat sekular, ia berada dalam bidang kuasa negara semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, manusia bukan hanya diri jasmani yang berhajat kepada makan minum, rehat tetapi lebih penting ialah diri rohani. Namun jelasnya, kedua-dua aspek itu tidak boleh dipisahkan kerana ada hak masing-masing mesti ditunaikan.

“Diri hayawani ialah diri zahir yang hidup dan bernafas serta perlu kepada makan minum, rehat dan tidur. Diri akali pula merujuk diri insan sebenar yang juga dikenali sebagai roh, hati dan nafsu,” katanya.

Al-Quran turut menceritakan diri insan yang pernah menyaksikan peristiwa besar di alam roh, iaitu perjanjian azali.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam daripada (tulang) belakang mereka dan Dia menjadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri. Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai mengenai (hakikat tauhid) ini.” (Al-A’raaf: 172)

Md Asham berkata, peristiwa itu menunjukkan di alam roh lagi insan sudah diberikan ilmu perihal diri sendiri dan Tuhannya.

“Kita mesti memahami pengakuan manusia ialah hamba milik Allah SWT itu, iaitu kewajipan hamba untuk menghambakan diri kepada tuan dan pemiliknya.

“Menyerah diri dan menghambakan diri kepada Allah SWT itu bermaksud hidup beragama. Daripada perjanjian itu, kita boleh simpulkan agama dan ilmu dua sifat semula jadi insan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Md Asham, manusia bersifat pelupa dan cenderung untuk melupakan perjanjian itu sebagai punca menjadi zalim.

“Namun, manusia dikurniakan pancaindera dan akal bagi membolehkannya memahami alam sekeliling serta rasul diutuskan untuk membawa petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT.

“Malah dengan segala kelengkapan itu, manusia memikul amanah sebagai sebagai khalifah Allah SWT,” katanya.

Sebagai khalifah, beliau berkata, kita mesti bersifat adil dengan keadilan menurut Islam bermula dengan diri dan ia perlu ditafsirkan sebagai meletakkan diri hayawani di bawah takluk diri akali.

“Diri manusia sebenar ialah diri akali yang mengenali siapa diri dan Tuhannya sedangkan diri hayawani cenderung kepada kelazatan jasmani hingga lupa nasib akhir diri. Jika hanya diikutkan tuntutan diri hayawani itu, manusia akan terjerumus ke lembah kebinasaan,” katanya.

Menurut Md Asham, hanya dengan ilmu manusia dapat mengenali tempat sebenar setiap sesuatu, manakala akal ialah alat dan tempat jatuhnya ilmu.

Memupuk akal

Justeru, jelas Md Asham kita mempunyai kewajipan untuk memupuk akal dan memeliharanya daripada kerosakan.

Beliau turut memetik kisah ahli ibadat diuji dengan arak, zina dan membunuh tetapi memilih minuman keras kerana menyangka ia paling ringan.

“Bagaimanapun apabila dia meminum arak, kewarasannya hilang hingga mabuk dan melakukan dua perbuatan keji, iaitu berzina dan membunuh. Apabila akal rosak, akhlak dan budi pekerti turut punah hingga mengancam seluruh kehidupannya. Oleh itu, Islam menitikberatkan soal memelihara nyawa dan akal.

“Hukum qisas ditetapkan untuk kesalahan membunuh atau mencederakan, manakala hukuman sebat diperuntukkan bagi memelihara akal daripada dirosakkan oleh arak dan dadah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: