Penghinaan yang dilakukan ini sememangnya tidak boleh diterima kerana ia boleh memberi kesan yang amat negatif. Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai agama bagi Persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

Penulis yakin semua pihak tahu akan fakta tersebut. Namun masih terdapat individu tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan provokasi dengan melakukan pelbagai bentuk penghinaan terhadap Islam termasuk melibatkan junjungan besar Rasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda.

Sebagai pencinta, pengikut dan umat Rasulullah, perbuatan menghina Baginda adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Atas alasan apa sekali pun termasuk kebebasan bersuara Rasulullah adalah nabi kami yang tidak boleh dihina sebegitu rupa. Kami sanggup melakukan apa sahaja demi memelihara kesucian Baginda.

Justeru, komitmen kerajaan untuk menggubal beberapa peruntukan membabitkan kesalahan kebencian agama dan perkauman perlu direalisasikan segera memandangkan masih terdapat individu-individu tidak bertanggungjawab yang sengaja menghina Islam.

Jangan hanya setakat pada bibir sahaja tanpa disusuli dengan satu tindakan yang konkrit. Banyak pihak yang skeptikal dengan hasrat tersebut berdasarkan suasana kerajaan sedia ada tetapi penulis lebih cenderung memberi mereka peluang untuk mewujudkan satu hukuman lebih tegas melalui penggubalan tersebut.

Provokasi agama adalah satu isu yang amat serius memandangkan negara ini didiami oleh rakyat pelbagai agama dan etnik. Oleh itu jika isu ini gagal dibendung, dikhuatiri akan berlaku seseuatu yang tidak dingini. Paling dibimbangi boleh memberi kesan kepada keselamatan negara, boleh mendatangkan huru hara.

Terbaharu, seorang lelaki warga emas telah ditahan dan kemudian didakwa atas pertuduhan menghina Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah. Wai Foo Sing, 68, didakwa memuat naik karikatur yang dikatakan menghina Nabi Muhammad dan Saidatina Aisyah di Facebook miliknya atas nama Foo Sing Wai, 17 Februari lalu.

Akibat daripada perbuatan Foo Sing itu, umat Islam di seluruh negara telah mengadakan beberapa siri perhimpunan membantah perbuatan tersebut dan pada masa sama mahu si pelaku ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Mahu tidak mahu kerajaan perlu melakukan sesuatu dalam isu berkenaan perlu agar provokasi agama ini dapat dibendung sepenuhnya. Sebelum kes Foo Sing sudah terdapat beberapa kes lain yang berlaku (menghina Islam) tetapi undang-undang sedia ada seolah-olah gagal menanganinya dengan berkesan.

Di Eropah, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) di Perancis pada 27 Oktober tahun lalu telah memutuskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan mana-mana individu memfitnah Nabi Muhammad SAW.

ECHR menyatakan bahawa perbuatan atau aktiviti memfitnah Rasulullah melangkaui had kebebasan berucap. ECHR membuat keputusan itu ketika mengekalkan sabitan bersalah seorang wanita Austria yang memberi gelaran buruk terhadap Rasulullah.

Menurut Fox News, ECHR memutuskan menghina Nabi Muhammad adalah ‘melampaui had dibenarkan untuk mengadakan debat secara objektif’ malah mampu mencetuskan prejudis seterusnya menggugat kedamaian agama.

Sebenarnya isu agama ini isu besar dan kerajaan tidak boleh memandangnya sebelah mata. Sekali lagi penulis ingin tekankan, penggubalan itu perlu dilakukan seberapa segera. Kalau boleh dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat yang dijadual diadakan pada 11 Mac ini. Buktikan yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) benar-benar komited dan bukan hanya bersifat retorik semata-mata.