Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Akhlak pengguna media sosial lambangkan status hati

Posted by epondok di Mac 7, 2019


Oleh Nurhafizah Maidin

 

Umat Islam yang berinteraksi dan berkongsi maklumat dalam media sosial bukan hanya perlu mengikut etika seperti difahami Barat, sebaliknya berlandaskan akhlak serta adab dalam pandangan alam Islam.

Ini termasuk Sindrom Toll Poppy, iaitu menjatuhkan seseorang yang berjaya dengan komen negatif tidak berasas.

Pengarah Pusat Kajian Shariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata Barat mentafsir etika sebahagian cabang falsafah, bersifat tidak tetap dan bergantung kepada asas falsafah dipegang sesuatu aliran pemikiran.

Mohd Farid berkata, tafsiran itu menyebabkan etika mempunyai pelbagai bentuk yang mungkin berbeza berdasarkan aliran pemikiran dipegang.

“Istilah etika difahami Barat tidak sepenuhnya selari dengan ajaran Islam yang meletakkan asas dan nilai akhlak pada agama.

“Baik buruk akhlak adalah apa dikatakan baik dan buruk oleh agama. Sebagai Muslim, akhlak kita tidak berbeza mengikut tempat, keadaan atau zaman.

“Jika dulu sesuatu perkara dipandang buruk oleh agama, ia masih sama meskipun pada hari ini,” katanya pada Forum: Etika di Media Sosial di Bilik Cube, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), di sini.

Mohd Farid berkata, akhlak dalam Islam bermula dalam diri, malah ulama memulakannya dengan membersihkan aspek dalaman, iaitu hati.

“Akhlak baik datang daripada hati yang baik. Menurut ulama dan ahli psikologi terulung Islam, al-Razi, tingkah laku seseorang dicerminkan bagaimana individu itu membersihkan hati.

“Namun, ilmuwan Barat berpandangan akhlak tidak bermula dari dalam, sebaliknya bergantung kepada karakter luaran seseorang,” katanya.

Beliau berkata, meskipun media sosial berfungsi mendapatkan maklumat, ruang hari ini dibuka terlalu besar hingga pengguna lemas dalam lambakan informasi.

Amal konsep tabayyun

“Penggunaan media sosial dengan lambakan informasi boleh menimbulkan kekeliruan hingga memerlukan ilmu dan kebijaksanaan dalam memastikan informasi diperoleh adalah benar,” katanya.

Justeru, Mohd Farid berkata, konsep tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu perlu digunakan terutama ketika gejala forward semakin berleluasa.

“Masyarakat mengamalkan gejala forward maklumat tanpa membaca, memahami dan menyelidik hingga menimbulkan salah faham serta fitnah.

“Setiap maklumat diperoleh perlu dibaca, difahami dan diselidik kesahihannya sebelum disampaikan supaya menjadi ilmu bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.” katanya.

Mohd Farid berkata, generasi Y menjadi golongan paling ramai menggunakan media sosial dengan Instagram antara yang paling mendapat sambutan.

“Masing-masing berlumba mempamerkan kehidupan sehingga luar batas, sekali gus melanggar batas ajaran Islam apabila muncul sifat riak dan takabur.

“Malah, generasi Y juga banyak bergantung kepada gajet dan teknologi tetapi mempunyai pemikiran yang sangat skeptikal kerana lambakan informasi hingga sukar menerima sesuatu wibawa agama atau politik.

“Mereka cenderung bersifat relatif, iaitu membuat keputusan bergantung kepada sekeliling dan bersetuju dengan semua perkara kerana maklumat terlalu banyak, sekali gus bertentangan ajaran Islam yang menekankan sifat yakin atas segala ilmu atau maklumat disampaikan,” katanya.

Jelas Mohd Farid, selain menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial, aplikasi ini juga membawa mudarat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Akademi Pengajian Islam (API) UM, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, berkata etika berkait dengan ethos atau karakter seseorang.

“Etika seperangkat nilai dan normatif diasaskan kepada fahaman dan kepercayaan sesebuah komuniti.

“Masyarakat Barat dan Timur mempunyai pandangan berbeza mengenai etika, misalnya orang Melayu berpandangan buang angin ketika makan, tidak baik tetapi Barat berpandangan sebaliknya,” katanya.

Beliau menambah, perkataan akhlak berasal daripada khuluqun (adat kebiasaan) yang berkait dengan Khaliq (pencipta) dan makhluk (dicipta).

Katanya, perbuatan seseorang lahir daripada spiritual dan hati yang dicerminkan melalui tingkah laku perbuatan yang berkait dengan Pencipta.

Beliau berkata, konsep hubungan dengan Allah SWT (habluminallah) dan manusia (habluminnas) wajar dijadikan pedoman pengguna media sosial.

Medan dakwah

“Sekiranya seseorang menjaga hubungan dengan Allah SWT dan manusia dengan cemerlang, hubungan di media sosial akan berlangsung selaras tuntutan Islam.

“Media sosial boleh menjadi medan dakwah dan berkongsi maklumat yang memberi kebaikan kepada orang lain, sekali gus plat-form berkongsi pandangan dan berinteraksi tanpa sempadan.

“Segala perkongsian dan tulisan kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Justeru, apa yang ditulis, kongsi dan tular perlu selari akhlak ditekankan Islam,” tegasnya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: