Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pilih pemimpin berilmu bukan ikut nasab, kekayaan

Posted by epondok di Mac 1, 2019


Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Dan nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintah itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan ingatlah, Allah jugalah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakinya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 247)

Allah SWT dalam ayat itu memaparkan nabi dalam kalangan Bani Israel telah menyampaikan perintah Allah SWT supaya mereka menerima Talut sebagai pemimpin dan raja. Kebanyakan ahli tafsir menyatakan, nabi yang dimaksudkan ialah Sham’un atau Samwil.

Sebelum ini, Bani Israel meminta supaya diangkatkan seorang raja untuk memimpin mereka yang ingin berjuang kerana Allah SWT di bawah pimpinannya. Tetapi, mereka mempertikaikan pula tokoh yang dipilih Allah SWT, mengapa Talut yang miskin dipilih dan tidak daripada kalangan mereka sendiri.

Mereka sepatutnya menerima ketetapan Allah SWT demi kebaikan mereka, namun perkara itu tidak berlaku bahkan mereka berdebat dan mencabar pelantikan Talut sebagai pemimpin.

As-Syahid Qutb menyebut dalam tafsirnya, mereka membantah Talut dipilih Allah SWT sebagai raja kerana berasa mereka lebih berhak dari segi warisan disebabkan Talut bukan dari keturunan raja dalam kalangan mereka serta tidak mempunyai harta kekayaan. Semuanya itu adalah kekeliruan dalam kefahaman dan pemikiran yang menjadi sifat Bani Israel yang terkenal.

Raja dan nabi dalam kalangan Bani Israel mempunyai keturunan khas yang melahirkan nabi iaitu daripada Lawi, putera Yaakub, manakala keturunan melahirkan raja Yahudi juga putera Yaakub. Talut tidak daripada keturunan Lawi dan tidak juga daripada Yahudi, tetapi keturunan Bunyamin.

MELANTIK pemimpin yang baik dan berkeupayaan memerintah menjadikan rakyat sesebuah negara hidup aman dan makmur. – Foto hiasan

Justeru, dia sepatutnya tidak dipilih menjadi raja, lagipun dia tidak mempunyai harta kekayaan yang boleh dijadikan alasan untuk menafikan syarat keturunan itu.

Penolakan Talut sebagai raja dan pemimpin membayangkan manusia tidak berminat melantik orang yang sesuai dengan kemampuan menjalankan amanah tetapi lebih cenderung memilih yang disukai dan secocok dengan jiwa mereka.

Pelantikan berdasarkan wahyu menolak prinsip itu, sebaliknya pemimpin hendaklah dipilih daripada calon yang sesuai dengan jawatan. Jangan pilih calon berdasarkan nasab, kekayaan dan keturunan sedangkan harta dan kekayaan menjadi keutamaan kepada masyarakat Yahudi.

Justeru, mereka membantah jika raja yang dilantik itu seorang yang miskin. Tetapi Allah SWT dengan sifat Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana mahukan raja dan pemimpin yang mempunyai kekuatan ilmu dan keperkasaan tubuh badan.

Ayat ini mendahulukan ilmu pengetahuan daripada keperkasaan tubuh badan menunjukkan tidak ada kebaikan pada kepemimpinan orang jahil. Antara maksud ilmu di sini ialah ilmu syariat yang membolehkan seseorang menilai keamanan dan kepentingan peperangan.

Talut mempunyai pengetahuan yang cukup dalam ilmu itu, justeru beliau dipilih Allah SWT sebagai raja dan panglima perang. Itulah sifat yang mewajarkan seseorang menjadi pemimpin dan panglima perang.

Ibnu Kathir menyatakan, orang yang layak menjadi raja atau pemimpin satu-satu bangsa itu hendaklah mempunyai keupayaan, kekuatan jasmani dan rohani. Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat, jawatan raja dan pemimpin dipegang oleh pewaris takhta kerajaan atau yang mempunyai keturunan bangsawan.

Biasanya, masyarakat tidak mempedulikan aspek pengetahuan, keperibadian, akhlak dan sifat utama daripada orang yang memegang jawatan. Oleh itu, Allah SWT menjelaskan kesalahan Bani Israel kepada nabi-Nya kerana beranggapan kekuasaan hanya untuk yang berketurunan tinggi serta kaya-raya.

Al-Maraghi membuat kesimpulan, pemilihan Talut sebagai pemimpin kerana memiliki pengetahuan yang luas yang menjadi ciri utama pemimpin. Tubuhnya yang sasa menjadi asas fikiran sihat kerana akal sihat berpunca daripada badan yang sihat.

Apabila Allah SWT menghendaki sesuatu perkara sesuai dengan ketetapan hikmah-Nya, ia pasti berlaku tanpa halangan. Dia Maha Mengetahui segala hikmah dan Allah SWT memberikan kepada mereka hukum serta sistem yang berlaku di alam ini.

Hakikatnya, pemimpin tidak lahir dalam kekosongan tetapi mereka terbentuk dalam iklim persekitaran dan lingkungan. Mereka sepatutnya diberi ruang seluas-luasnya untuk mengembangkan bakat kepemimpinan, membina kemampuan berfikir dan memperkasa daya juang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: