Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Contohi integriti kepemimpinan cara Imam Syafie

Posted by epondok di Februari 27, 2019


Oleh Dr Wan Zulkifli Wan Hassan

 

MAM Syafie seorang tokoh perundangan Islam yang tidak asing lagi khususnya di Nusantara. Walaupun tidak terbabit secara langsung dengan politik dan kepemimpinan, pengalamannya cukup luas dalam kedua-dua bidang itu.

Kepemimpinan dari kaca mata Imam Syafie sangat penting dalam Islam. Banyak perbahasan diutarakan beliau, terutama dari sudut kelayakan seseorang sebagai pemimpin, sifat, gaya kepemimpinan dan sebagainya.

Kebanyakan idea ditunjukkan mengenai kepemimpinan selari dengan kehendak Islam, manakala instrumen kepemimpinan turut digariskan agar seorang pemimpin mempunyai kredibiliti dan integriti tinggi.

Bagi Imam Syafie seorang pemimpin semestinya mempunyai teras aqidah yang kukuh dan mantap untuk menjamin kejayaannya. Pegangan yang tetap dan akidah mantap akan mencorakkan kepemimpinan tegas dan beretika dalam perwatakan serta prosedur kerja.

Ilmu tingkatkan darjat pemimpin

Seorang pemimpin perlu melaksanakan kerjanya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT, bukan mencari keredaan manusia.

Justeru, Imam Syafie melihat pemimpin sebenar adalah yang dilantik disebabkan akhlak dan budi pekerti dimiliki, bukannya kekuatan kaumnya atau pendukungnya.

Menurut beliau budi pekerti yang baik dan mulia perlu menghiasi diri seseorang untuk mendapatkan kesejahteraan hidup dan tutur kata masyarakat terhadapnya juga akan menjadi indah.

Seseorang yang gila kuasa atau sangat berkeinginan untuk menjadi ketua, bagi beliau kemungkinan besar tidak akan mencapai cita-cita itu disebabkan keegoan dimiliki.

Orang yang berilmu akan ditingkatkan darjat dan tarafnya seperti dinyatakan dalam al-Quran. Justeru, semestinya seorang pemimpin dalam sebuah kerajaan atau mana-mana organisasi harus mempunyai ilmu pengetahuan mendalam. Bukan sahaja dalam aspek teknikal dan pengurusan, malah mengenai peraturan terkandung dalam al-Quran dan Sunah.

Seorang pemimpin berilmu pengetahuan tidak sewajarnya mengikut kehendak dan pandangan orang ramai yang jahil dan bebal, kerana ia akan memberi kesan buruk terhadap segala keputusan dibuat.

Ketidakadilan pemimpin undang fitnah

Perancangan dan pentadbiran bijak menjadi ukuran dan rujukan penting bagi sifat pemimpin. Imam Syafie amat menitikberatkan sifat kebijaksanaan pada setiap pemimpin. Tanpa sifat ini seseorang pemimpin boleh berdepan pelbagai masalah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Pemimpin amanah adalah seseorang yang benar dalam perkataan dan tindakannya. Ini selari dan menepati konsep ‘kepemimpinan melalui teladan’. Imam Syafie menekankan betapa penting seorang pemimpin melakukan amanah dengan sebaik mungkin.

Imam Syafie berpendapat pemerintah tidak adil patut diganti. Jika tidak, negara akan berdepan pelbagai fitnah. Pemerintah juga boleh diturunkan jika lemah menjaga kebajikan rakyat dan sebagainya.

Imam Syafie bukan sahaja dikenali sebagai seorang tokoh akademik, bahkan beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang pekerjaan dan politik.

Kebanyakan pandangan dan pengalaman dipancarkan beliau mengenai kepemimpinan adalah selari dengan kehendak Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Justeru, pandangan dan gaya kepemimpinan yang ditunjukkan Imam Syafie boleh dijadikan contoh dan teladan kepada pemimpin umat Islam, supaya segala perancangan dan kegiatan dilakukan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: