Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Guna kekayaan tingkat martabat agama

Posted by epondok di Februari 5, 2019


Kaum Muslimin perlu mempertingkatkan kecemerlangan hingga berjaya menjadi hartawan. Umat Islam masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi, sekali gus mesti berusaha keras melahirkan lebih ramai hartawan Muslim dan bukan setakat cukup-cukup makan.

Ini bukan bertujuan mendabik dada dan menyombong diri sehingga lupa daratan tetapi banyak keperluan hidup di dunia dan bekalan di akhirat memerlukan Muslim menjadi berharta termasuk dapat meninggikan martabat agama serta menghindarkan fitnah.

Bagaimanapun, hartawan Muslim tidak boleh menunjuk-nunjuk kemewahan dan kekayaan kerana boleh menimbulkan fitnah serta melukakan perasaan orang lain. Golongan ini disaran memperbetulkan niat menjadi kaya raya dan hidup mewah supaya menggunakannya untuk meninggikan martabat agama serta menolong saudara seagama.

Pada harta terdapat dua persoalan besar yang akan ditanya, iaitu daripada mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan. Oleh itu, berusahalah memperoleh harta melalui cara dibenarkan dan tidak memilih jalan pintas seperti menipu, mengambil rasuah atau menindas.

Mereka perlu diingatkan dengan sabda Nabi SAW: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya daripada kalangan orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya daripada golongan wanita.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih)

Perbanyak sedekah

Orang Islam yang kaya pasti mempunyai lebihan pendapatan, sekali gus memerlukan mereka melaksanakan ibadat dengan menggunakan modal harta itu. Antaranya, menunaikan kewajipan zakat harta supaya dapat diagihkan kepada asnaf memerlukan. Sudah tentu untuk merealisasikannya, memerlukan sumber pendapatan melebihi had kifayah atau garis kecukupan.

Hartawan Muslim juga perlu memperbanyakkan sedekah dan wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan tetapi tidak layak menerima zakat. Malahan ruang untuk melakukan sedekah jariah ataupun wakaf cukup luas hingga merangkumi pelbagai keperluan kehidupan manusia.

Nabi SAW bersabda: “Ada tujuh perbuatan yang diterima pahalanya sampai sesudah mati: Orang yang membangunkan masjid, dia tetap menerima pahala selagi ada yang solat di dalamnya; orang yang mengalirkan air sungai selagi ada yang meminum airnya; orang yang menulis mashaf, selagi ada yang membacanya; orang menggali perigi, selagi ada memanfaatkan airnya; orang yang menanam tanaman, selagi dimakan manusia atau burung; orang yang mengajarkan ilmu berguna, selagi diamalkan orang mempelajarinya dan orang yang meninggalkan anak soleh mendoakan dan membaca istighfar baginya – yakni jika dikurniakan anak lalu diajarkan ilmu dan al-Quran, ayahnya akan mendapat pahala selagi anak itu melaksanakan ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri, sebaliknya jika dibiasakan berbuat fasik, dia mendapat dosa tanpa mengurangi dosa orang berbuat pekerjaan itu sendiri.” (HR Ibnu Khuzaimah, Baihaqi dan Ibnu Majah)

Dengan berwakaf, hartawan Muslim boleh membangun masjid, sekolah dan universiti untuk melahirkan pelajar cemerlang dunia dan akhirat, selain turut mendoakan pewakaf. Persoalannya bagaimana untuk menjayakan semua itu jika ekonomi orang Islam ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Perlu tetap berwaspada

Contohilah sahabat seperti Abdul Rahman Auf RA yang kaya-raya dan banyak bersedekah di jalan Allah. Al-Zuhri menyebut beliau pernah bersedekah separuh hartanya pada zaman Nabi, iaitu 4,000 dinar. Setelah itu, beliau bersedekah lagi sebanyak 40,000 dinar, membiayai 500 kuda dan 500 unta fisabilillah.

Kekayaan itu hasil usaha perniagaan dijalankannya. Dikatakan beliau memiliki sebanyak 30 juta wang dirham, 150 juta wang dinar dan pernah bersedekah sebanyak 200,000 dirham. Seorang lagi hartawan dalam kalangan sahabat ialah Zubair Awwam RA yang memiliki sejumlah hartanah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Dikatakan ketika beliau meninggal dunia, sebanyak 38 juta dirham hartanya diwariskan, manakala 19.2 juta dirham diwasiatkan.

Sudah tentu hartawan Muslim perlu tetap berwaspada kerana seseorang kaya di dunia belum tentu kaya di akhirat. Apatah lagi jika gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap harta kekayaannya. Justeru, berpada-pada dengan kekayaan dimiliki dan bersyukur atas segala pemberian Ilahi.

Tinggalkan komen