Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2019

Contohi integriti kepemimpinan cara Imam Syafie

Posted by epondok di Februari 27, 2019

Oleh Dr Wan Zulkifli Wan Hassan

 

MAM Syafie seorang tokoh perundangan Islam yang tidak asing lagi khususnya di Nusantara. Walaupun tidak terbabit secara langsung dengan politik dan kepemimpinan, pengalamannya cukup luas dalam kedua-dua bidang itu.

Kepemimpinan dari kaca mata Imam Syafie sangat penting dalam Islam. Banyak perbahasan diutarakan beliau, terutama dari sudut kelayakan seseorang sebagai pemimpin, sifat, gaya kepemimpinan dan sebagainya.

Kebanyakan idea ditunjukkan mengenai kepemimpinan selari dengan kehendak Islam, manakala instrumen kepemimpinan turut digariskan agar seorang pemimpin mempunyai kredibiliti dan integriti tinggi.

Bagi Imam Syafie seorang pemimpin semestinya mempunyai teras aqidah yang kukuh dan mantap untuk menjamin kejayaannya. Pegangan yang tetap dan akidah mantap akan mencorakkan kepemimpinan tegas dan beretika dalam perwatakan serta prosedur kerja.

Ilmu tingkatkan darjat pemimpin

Seorang pemimpin perlu melaksanakan kerjanya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT, bukan mencari keredaan manusia.

Justeru, Imam Syafie melihat pemimpin sebenar adalah yang dilantik disebabkan akhlak dan budi pekerti dimiliki, bukannya kekuatan kaumnya atau pendukungnya.

Menurut beliau budi pekerti yang baik dan mulia perlu menghiasi diri seseorang untuk mendapatkan kesejahteraan hidup dan tutur kata masyarakat terhadapnya juga akan menjadi indah.

Seseorang yang gila kuasa atau sangat berkeinginan untuk menjadi ketua, bagi beliau kemungkinan besar tidak akan mencapai cita-cita itu disebabkan keegoan dimiliki.

Orang yang berilmu akan ditingkatkan darjat dan tarafnya seperti dinyatakan dalam al-Quran. Justeru, semestinya seorang pemimpin dalam sebuah kerajaan atau mana-mana organisasi harus mempunyai ilmu pengetahuan mendalam. Bukan sahaja dalam aspek teknikal dan pengurusan, malah mengenai peraturan terkandung dalam al-Quran dan Sunah.

Seorang pemimpin berilmu pengetahuan tidak sewajarnya mengikut kehendak dan pandangan orang ramai yang jahil dan bebal, kerana ia akan memberi kesan buruk terhadap segala keputusan dibuat.

Ketidakadilan pemimpin undang fitnah

Perancangan dan pentadbiran bijak menjadi ukuran dan rujukan penting bagi sifat pemimpin. Imam Syafie amat menitikberatkan sifat kebijaksanaan pada setiap pemimpin. Tanpa sifat ini seseorang pemimpin boleh berdepan pelbagai masalah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Pemimpin amanah adalah seseorang yang benar dalam perkataan dan tindakannya. Ini selari dan menepati konsep ‘kepemimpinan melalui teladan’. Imam Syafie menekankan betapa penting seorang pemimpin melakukan amanah dengan sebaik mungkin.

Imam Syafie berpendapat pemerintah tidak adil patut diganti. Jika tidak, negara akan berdepan pelbagai fitnah. Pemerintah juga boleh diturunkan jika lemah menjaga kebajikan rakyat dan sebagainya.

Imam Syafie bukan sahaja dikenali sebagai seorang tokoh akademik, bahkan beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang pekerjaan dan politik.

Kebanyakan pandangan dan pengalaman dipancarkan beliau mengenai kepemimpinan adalah selari dengan kehendak Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Justeru, pandangan dan gaya kepemimpinan yang ditunjukkan Imam Syafie boleh dijadikan contoh dan teladan kepada pemimpin umat Islam, supaya segala perancangan dan kegiatan dilakukan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perlu saling memberi dalam rumah tangga untuk bahagia

Posted by epondok di Februari 25, 2019

 NAIMAH MUHAMMAD

Kata orang kalau dah suka, apa saja nampak sempurna di mata. Begitu juga dengan cinta hawa dan adam. Tiada istilah jarak usia, kalu dah suka sama suka, muda atau berumur bukan halangan.

Bagaimanapun, Pakar Rujuk Keluarga dan Pendidikan, Snbkasih Traning and Consultant, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, mempunyai pandangan beliau sendiri.

Menurutnya, perkahwinan lelaki dengan wanita berusia ini ada tiga sebab.

  • Pertama kerana cinta
  • Kedua, mungkin kerana wanita itu sudah ada kerjaya dan dia selesa bersama dengan wanita itu.
  • Ketiga wanita itu nampak matang dan keibuan.

“Orang yang ada kerjaya mereka lebih bergaya, pandai berkomunikasi dan bersifat keibuan. Itulah pesona wanita berusia membuatkan lelaki terpikat untuk dijadikan calon isteri,” katanya.Menurutnya, Siti Khadijah ra dan Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam memilih pasangan lebih berusia ini. Rasulullah ketika itu berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Pada ketika itu Khadijah yang melamar Nabi bukan sebaliknya. Khadijah yang menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada Rasulullah selepas tertarik dengan integriti dan sikap amanah yang ada pada Nabi.

“Sebabnya, semasa nabi menjalankan perniagaan milik Khadijah, keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda, berbanding mereka yang menjalankan perniagaan sebelum ini. Sudah jodoh yang ALLAH tetapkan, di mana Khadijah tiada tolok bandingannya, seorang rupawan, dermawan dan hartawan.

“Takdir ALLAH SWT, Khadijah telah membelanjakan seluruh hartanya untuk perkembangan Islam. Jodoh yang kuat ini sehinggakan Khadijah wafat, Nabi masih terkenangkan Khadijah, atas segala pengorbanan dirinya itu,” cerita Ustaz Akashah.

Dalam memilih calon isteri, Ustaz Akashah suka menerangkan empat faktor atau KPI yang boleh diikuti,

  1. Rupawan
  2. Berharta
  3. Keturunan baik
  4. Beragama

Nabi mengingatkan umatnya untuk memilih yang beragama, pasti kamu akan bahagia.Katanya lagi, tidak salah memilih kerana empat faktor itu, jika wanita itu tidak cukup empat faktor, tiga sudah mencukupi termasuk sekali ciri beragama. Tetapi jika suami sudah ada asas agama yang cukup tidak salah memilih isteri daripada tiga faktor lain. Yang mana suami yakin mampu mendidik dan membentuk isteri.

Menurutnya, sebagai seorang suami, ketika berhadapan dengan isteri lebih berusia, suami perlu faham kelebihan mereka ada segala-galanya; dari segi harta, kerjaya dan umur, pasti lebih banyak pengalaman. Ditambah kaum wanita ini ALLAH SWT bagi satu perasaan, iaitu dia boleh rasa, perkara itu betul atau salah. Tidak salah suami ikut isteri jika perkara itu betul. Namun sebaiknya keputusan rumah tangga perlu ada perbincangan bersama.

“Begitu juga tidak salah seorang suami sanggup berhenti kerja apabila gaji isteri lebih besar. Dia mengambil keputusan untuk menjaga sepenuhnya penghormatan isteri dan kebajikan anak-anak. Pergi dan ambil isteri pulang dari kerja. Jangan suami hanya tahu makan dan tidur sahaja. Jangan ambil kesempatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Itu Islam tidak benarkan.

“Dalam kes suami ambil duit isteri, tidak salah jika isteri reda. Itu dianggap sedekah dalam rumah tangga. Dalam rumah tangga, kita kena banyak memberi baru kita bahagia. Kadang-kadang suami isteri selalu bertanya apa hak aku dalam rumah tangga yang dibina. Sedangkan dia tidak pernah memberi.

Sebenarnya apa yang kita beri pada pasangan itulah yang kita akan dapat. Jika kita beri kebahagiaan, kita akan dapat bahagia,” akhiri Ustaz Akashah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Antara logo halal dengan restoran pengusaha muslim

Posted by epondok di Februari 23, 2019

USTAZ SYED SHAHRIDZAN SYED MOHAMED

 

SETIAP manusia di muka bumi ALLAH ini dituntut untuk menjalani kehidupan seharian mereka berpandukan syariat ALLAH SWT.

Antara tuntutan syarak yang perlu dipenuhi setiap hamba ALLAH adalah mencari makanan yang halal sepertimana yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Perkara ini ditekankan oleh Allah SWT melalui firman-Nya: “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168).

Sesuatu makanan yang halal ditentukan melalui proses pembuatan yang mana ia perlu menepati piawaian halal yang telah ditetapkan syarak. Sumber makanan itu perlulah tidak berasaskan elemen-elemen yang haram seperti arak, khinzir, darah, najis dan binatang yang tidak sembelih mengikut hukum syarak.

Selain itu, faktor keselamatan dan kebersihan amat dititikberatkan oleh Islam, maka, makanan yang mengandungi bahan membahayakan nyawa diharamkan seperti makanan mengandungi bahan beracun.

Salah satu cara untuk memastikan makanan yang bakal diambil itu sama ada halal atau pun tidak, merujuk kepada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang halal. Dalam konteks Malaysia, kita perlu merujuk kepada badan agama yang ada autoriti dalam bidang ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri bagi memastikan makanan yang dijual di kedai-kedai makan dapat dipastikan kedudukan halal lebih-lebih lagi makanan yang disajikan di restoran-restoran bukan Islam.

Ini dianggap penting kerana restoran-restoran yang dikendalikan individu bukan Islam dapat dibimbing dan dipastikan agar makanan yang dijual kepada orang Islam mestilah halal menurut syarak. Jika tidak, restoran sebegini tidak diiktiraf sebagai kedai yang menyediakan makanan halal.

Oleh itu, pentingnya logo halal yang sah kerana umumnya penyediaan makanan yang berlandaskan syarak bukanlah cara yang dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat bukan Islam.

Manakala restoran-restoran yang dikendalikan Muslim, tidak menjadi masalah yang besar jika tidak memiliki logo halal yang sah. Ini memandangkan individu-individu muslim sememangnya mempraktikkan penyediaan makanan yang halal, sama ada dari sudut sumber makanan atau produk dan proses penyediaannya. Jadi, jika seseorang berhajat untuk menikmati makanan di mana-mana restoran Muslim, tidak perlu risau tentang status halalnya kerana kebiasaannya restoran Muslim tidak menyediakan makanan yang berunsurkan tidak halal.

Namun begitu, setiap Muslim perlu menitikberatkan sikap warak dan berhati-hati dalam pemilihan makanan. Begitu banyak sekali hadis-hadis Rasulullah SAW menekankan gaya hidup yang berhati-hati terutama dalam perihal kebersihan dan perkara yang melibatkan halal dan haram. Apa yang dirisaukan adalah pemahaman halal menurut golongan bukan Islam tidak sama seperti yang ditetapkan oleh syarak kerana pengetahuan mereka yang cetek dan tidak meluas mengenai halal dan haram menurut Islam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Berhikmah nasihat wanita ‘tanggal’ tudung

Posted by epondok di Februari 21, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

‘TANGGAL’ tudung kerana belum bersedia sepenuhnya, iman turun naik dan enggan dituduh hipokrit antara alasan sering kedengaran apabila wanita bertudung kembali kepada imej lama.

Walaupun sedar bertentangan perintah menutup aurat seperti ditetapkan syarak, ada wanita Islam yang tidak janggal atau malu, sebaliknya mengharapkan masyarakat memahami dan menghormati keputusan mereka.

Senario itu dibimbangi menjadi perangkap untuk mengangkat fenomena normalisasi dalam pemakaian hijab hingga tuntutan agama diremehkan.

Hal ini memang wajar dipandang serius sebelum lebih ramai kecundang atas pelbagai faktor khususnya dalam kalangan remaja yang terdedah dengan trend semasa tetapi perlu dilakukan dengan berhikmah.

Ketua Jabatan dan Pensyarah Jabatan Siasah Syari’yyah, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, berkata sikap masyarakat yang terlalu menghukum dengan mengeluarkan kata-kata kecaman tidak membantu, bahkan lebih menyumbang kemudaratan.

“Janganlah terlalu lancang berkata-kata kerana perkara sama mungkin boleh berlaku kepada diri kita sendiri atau ahli keluarga.

“Dalam menanganinya, usah pula bersikap tidak ambil kisah sebaliknya perlu ada inisiatif menasihati dan menunjuk ajar bersesuaian mengikut keadaan supaya dapat menyedarkan mereka.

“Jika tidak, dibimbangi kita termasuk dalam golongan lemah imannya,” katanya kepada Ibrah BH di pejabatnya di UM, Kuala Lumpur.

Ia selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangannya; sekiranya tidak berkemampuan, dengan lidahnya dan sekiranya tidak berkemampuan, dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Beliau berkata, kedua-dua sikap menggunakan kata kesat dan tidak ambil peduli hanya mengundang kepada perkara lebih buruk termasuk golongan tidak bertudung akan mencari keaiban dengan menuding jari kerana tiada keharmonian antara pihak yang menegur dengan ditegur.

Sabda Rasulullah SAW: Mudahkanlah dan janganlah engkau persulit orang lain dan berilah khabar gembira pada mereka, jangan membuat mereka menjadi lari. (HR Bukhari)

Sharifah Hayaati bagaimanapun mengingatkan agak mustahil mengaitkan punca tanggal tudung disebabkan tidak faham agama kerana pendidikan agama diterapkan dalam masyarakat sekian lama, bahkan diajar di sekolah dan ceramah umum.

Beliau berkata, sikap kurang peka dan keinginan diri sendiri menjadi punca hingga ada yang tanpa rasa bersalah keluar ke tempat awam dengan hanya memakai baju tidur yang tidak sesuai dan tidak menutup aurat, manakala ramai pula bertudung tetapi mengenakan baju-T lengan pendek.

“Kita tidak boleh mengatakan masyarakat tidak faham, sebaliknya ia lebih kepada tidak ingin mengambil tahu dan serius mengenai hal aurat.

“Jangan ingat soal aurat boleh dipermainkan kerana hukum sudah jelas kepada wanita yang wajib menutup keseluruhan tubuh di hadapan lelaki ajnabi kecuali muka dan kedua tapak tangan.

“Aurat juga bukan bermaksud tutup semata-mata, sebaliknya memastikan bahagian tubuh dijaga daripada segenap aspek termasuk mengelakkan fabrik jarang dan busana ketat,” katanya.

Sharifah Hayaati berkata, antara godaan yang mampu melunturkan iman Muslimah ialah keghairahan mengikut trend fesyen yang semakin menjadi-jadi.

“Dunia fesyen semakin mudah diakses berjaya menambat keinginan khususnya anak muda hingga nafsu lebih terarah kepada hal itu berbanding mengutamakan hukum dalam menjaga aurat,” katanya.

Tambahnya, ia turut berpunca pengaruh trend fesyen artis, selain hiburan luar negara seperti fenomena drama Korea.

Justeru Sharifah Hayaati berkata, usaha menangani hal itu tidak cukup sekadar menekankan kepentingan kefahaman agama, sebaliknya perlu ditambah dengan pendekatan al-tadayyun, iaitu penghayatan ajaran Islam supaya istiqamah.

“Kefahaman menjaga aurat mesti datang daripada hati. Apabila ada niat dan memahami tujuan Islam menuntut wanita menutup aurat, penghayatan akan lahir.

“Proses ini perlu dilalui setiap Muslimah kerana sekiranya salah satu daripadanya lemah, ia mendorong perlakuan memakai tudung ketika di tempat dikenali ramai tetapi menanggalkannya apabila di tempat asing termasuk ketika bercuti di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan agama perlu kepada usaha berterusan kerana manusia diuji dengan dugaan dan musibah yang berbeza-beza serta tidak berlaku sekelip mata.

“Kita perlu mendengar, belajar, mengawal nafsu atau keinginan dan berdoa supaya Allah SWT menguatkan hati kerana tidak mustahil kita menjadi orang baik pada hari ini tetapi esoknya berubah.

“Islam mementingkan istiqamah supaya dapat terus memelihara agama hingga orang yang tetap menjaga solat, akan melakukannya walaupun sakit dengan kaedah ditetapkan syarak,” katanya.

Sharifah Hayaati turut mengingatkan Muslimah yang belum bersedia menutup aurat dengan sempurna supaya tidak menunggu seruan sampai.

“Seruan tidak sampai sekiranya kita sendiri tidak berusaha ke arah perkara kebaikan dan alasan sebegini sebenarnya sudah ketinggalan zaman kerana segala kecanggihan teknologi moden.

“Seruan atau hidayah memang benar anugerah Allah SWT yang boleh berlaku hanya sekadar terdetik untuk menutup aurat dalam hati, iaitu dinamakan iman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Muslimah supaya tidak menjadikan ‘seru belum sampai’ sebagai gurauan atau alasan menangguhkan penghijrahan.

“Setiap orang mesti menanam niat baik, barulah usaha untuk berubah atau berhijrah akan dipermudahkan.

“Ramai yang kita dapati apabila balik daripada menunaikan haji atau umrah, mula menutup aurat kerana mereka berusaha ke tempat suci dan berdoa kepada Allah SWT yang dengan izin-Nya, pintu hati terbuka untuk berubah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Saffian, menyentuh soal hukum menutup aurat dan menyifatkannya sama seperti hukum asas fiqh yang disebut dalam al-Quran, sunnah dan ijmak.

“Secara umumnya, mereka yang menolak kewajipan menutup aurat dan menyatakan tiada hukum menutup aurat, ia tidak wajar diikuti manusia, hukumnya murtad.

“Ini kerana mereka mengubah hukum ciptaan Allah SWT dan menjadikan perkara haram sebagai halal, sekali gus dihukum kafir dan jika mati tidak dikuburkan di tempat perkuburan Muslim.

“Mereka yang tidak menutup aurat kerana kelemahan diri, kejahilan atau takutkan manusia, hendaklah segera bertaubat,” katanya.

Bagaimanapun, Yasmin Hanani berkata, umat Islam sebaiknya mengambil sikap baik sangka dan usah terus menghukum tanpa sebab jelas.

“Kita tidak tahu isi hati mereka yang mungkin terleka melaksanakan hukum Tuhan kerana malas hingga jangan cepat menjatuhkan hukum itu kerana kesan amat besar kecuali mereka menyatakan tutup aurat bukan hukum Islam secara terang-terangan,” katanya.

Yasmin Hanani berkata, bagi yang baru berjinak-jinak menutup aurat, mereka perlu menambah ilmu agama dan kefahaman yang diikuti ikhlas menjadi yang terbaik.

“Pastinya ada banyak cabaran mendatang dalam proses berhijrah, sebaik-baiknya tanamkan sifat sabar supaya tidak mudah lalai.

“Selepas semua perkara dilaksanakan dengan baik, teruskan kehidupan dengan sentiasa beristiqamah supaya terus dipandu Allah SWT bukan sahaja di dunia, bahkan beroleh kejayaan akhirat kelak.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tindakan tegas terhadap penghina nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Februari 19, 2019

Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW

Sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Baginda SAW. Ini bermula sejak zaman Baginda SAW mula menyebarkan dakwah Islam lagi. Cukuplah ibrah dan sabab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kautsar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah SWT sendiri.

Mutakhir ini siri serangan kepada Rasulullah SAW mula berkembang melalui medium baru dan sudah pasti tidak menyenangkan hati umat Islam.

Penghinaan kepada batang tubuh Nabi SAW bermakna melanggar lampu merah dan tidak dibolehkan sama sekali. Bahkan ada antara ulama yang berpendapat jika penghinaan itu berkaitan batang tubuh Nabi SAW, seseorang itu boleh terus diambil tindakan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Justeru, umat Islam sewajarnya bersatu, bangkit mempertahankan Rasulullah SAW dengan menghantar surat bantahan atau apa juga yang difikirkan sesuai oleh ulama dan pemerintah dengan senada.

Dalil Pengharaman Perbuatan Menghina dan Mencerca Nabi SAW

Terdapat banyak dalil pengharaman perbutan menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Kami membahagikan dalil-dalilnya kepada dua:

  • Al-Quran
  • Hadis-hadis

 

Dalil al-Quran:

Firman Allah SWT:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

MaksudnyaDan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Taubah, 9:61)

Imam Abu Ja’far al-Tabari berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”, dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam.”

Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

MaksudnyaSesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

(Surah al-Ahzab, 33:57)

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

Syeikh al-Maraghi: “Terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.”

 

Dalil al-Hadis:

Daripada Ibn Abbas RA, dia menceritakan:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkanya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya)”. Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).”

Riwayat Abu Daud (4361), Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah SAW. Hadis ini adalah Sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.

 

Terdapat sebuah atsar daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) mak engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang  itu mencela Rasulullah SAW.”

Lihat al-Muhalla  (14/434)

 

Hukum Menghina Rasulullah SAW

Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Antaranya:

  • Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
  • Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. Lihat Tabsirah al-Hukkaam (2/212) oleh Syeikh Ibn Farhun.
  • Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjtuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, limpuh atau kurang ilmunya serta jahil. Lihat al-Fiqh `ala Madzahib al-Arba`ah (5/372) oleh Syeikh Abdurrahman al-Jaziri.
  • Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad SAW secara nyata maka wajib dibunuh.
  • Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” Lihat kitab Fath al-Baari (12/348)oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.
  • Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata: “Barangsiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” Lihat al-Sarim al-Maslul `ala Syatim al-Rasul (1/9).
  • Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi SAW tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”
  • Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”
  • Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.”

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.

 

Ibrah Pengajaran

  • Kisah Pertama: Si Murtad yang Dihina Kematiannya

Pada zaman Nabi SAW seorang sahabat yang juga penulis wahyu telah murtad dengan tawaran lumayan dunia yang diperolehi. Lebih teruk daripada itu beliau memperlekehkan Rasulullah SAW dengan pelbagai perkataan yang menyakitkan hati Baginda SAW sehingga Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah! Cukupkanlahnya daripadaku.”

Selepas beberapapa ketika lelaki tersebut pun mati dan dikebumikan oleh rakan-rakannya yang kafir di kota Mekah. Keesokan harinya mayat tersebut berada di atas kubur lalu mereka berkata: “Ini perbuatan Muhammad yang melampau.” Kemudian digali makin dalam seterusnya masih lagi timbul mayat tersebut beberapa kali. Akhirnya mereka hanya membiarkannya. Selepas itu datang burung dan binatang buas mencakar dan menghina mayat tersebut. Dikatakan seekor anjing dari jauh berlari menuju ke mayat tersebut akhirnya kencing dan membuang najis di atas muka mayat itu. Inilah balasan kepada penghina Rasulullah SAW

Semoga makhluk penghina dan konco-konconya ini dijatuhkan hukuman azab yang pedih oleh Allah SWT. Allahu Akbar wa liLlahilhamd!

Ya Rasulullah! Kami umatmu, Kami menyintaimu, selawat dan salam ke atasmu Wahai Kekasih Allah SWT.

  • Kisah Kedua: Mimpi Sultan Yang Adil, Mahmud Zinki

Pernah terjadi satu peristiwa apabila Tanah Haram di Madinah hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah SAW di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah SAW. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud al-Zinki tiga kali mimpi berjumpa Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW berkata kepadanya:

يَا مَحْمُوْد، أَنْقِذْنِي مِنْ هَذَيْن الشَّخْصَيْن

“Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada dua orang ini (kerana mahu melakukan kejahatan kepadaku).”

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah SAW serta mengetahui ada hadis yang berbunyi:

مَنْ رَآنِي في المنَامِ فَسَيَرَانِي في اليَقَظَةِ، وَلا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بي

Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku (di dalam mimpi). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku.”

Riwayat al-Bukhari (6993)

Tsabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah SAW maka itulah Rasulullah SAW kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah SAW. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham akan maksud mimpinya, kemudian dia memanggil menterinya yang soleh (ada riwayat mengatakan dia adalah Jamal al-Din al-Asfahani, atau al-Muwaffaq al-Qaisarani) dan memberitahu berkenaan mimpi yang diterimanya itu telah berlaku sebanyak tiga kali. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin. Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِياَضِ الْجَنَّة

Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6588) dan Muslim (1391)

Di situlah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menterinya memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah (sedekah) kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu olehnya dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang:

هَلْ بقي أَحَد لِمْ يَأْخُذْ شَيْئًا مِن الصَّدَقَة؟

Adakah masih ada sesiapa lagi (penduduk Madinah) yang berbaki tidak mengambil langsung sedekah ini?”

Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang yang bukan penduduk Madinah datang dari al-Andalus. Mereka adalah saudagar kaya yang datang menziarah untuk melakukan ibadat. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, Sultan Nuruddin Mahmud segera mengarahkan kedua-dua orang itu membawa ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa berlantaikan tanah, berhampiran dengan Masjid al-Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya perkakasan sedemikian diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah disisihkan, terdapat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, dan didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali menghala ke kubur Rasulullah SAW. Apabila kedua-duanya disoal-siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah SAW dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat, tetapi pada masa yang sama mereka menggali lubang untuk melakukan khianat terhadap umat Islam. Tanah yang digali diletakkan di dalam “kirbah”. Kirbah adalah bahagian anggota kambing yang biasanya dibuat tempat mengisi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di dalam telaga di luar tempat penginapan mereka sehingga orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di “Bab al-Salam” mengikut perintah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, dan mayat mereka dibakar di luar sempadan Madinah. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan kubur Rasulullah SAW dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali di kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki pada abad 13-M, dan diceritakan oleh Zain al-Maraghi di dalam Tahqiq al-Nusrah, Ibn Qadhi Syahbah di dalam al-Dur al-Thamin fi Sirah Nur al-Din, al-Samhudi di dalam Wafa al-Wafa’, Ibn al-Imad di dalam Syazarat al-Zahb, dan al-Barzanji di dalam Nuzhah al-Nazirin. Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad SAW pada masa hidup dan pada masa wafat baginda. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Rasulullah SAW adalah Nabi yang diutus Allah demi mengajar Islam kepada seluruh umat manusia.

 

Kecam dan tindakan tegas kepada penghina nabi s.a.w

Sebenarnya menyintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan termasuk dalam kemanisan iman. Benarlah sabda Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang  menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai  seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Kami menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paing mulia dipilih Allah, tidak seperti manusia lain. Rasulullah SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Allah SWT menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan panduan untuk semua umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

MaksudnyaDemi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab, 33: 21)

Perlu diingat dan difahami bahawa Rasulullah SAW dalam pemeliharaan Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

MaksudnyaDan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.

(Surah al-Maidah, 5: 67)

 

Imam Ibn Katsir berkata: Ayat ini bermaksud: “Sampaikanlah (wahai Muhammad) akan risalah-Ku (yakni Allah), sedangkan Aku-lah Penjaga-mu, Penolong-mu, Pendokong-mu menentang musuh-musuh kamu, yang akan mengangkatmu mengatasi musuh-musuh kamu, maka janganlah engkau takut dan jangan engkau bersedih, tidak akan selamanya sampai walau seorang pun daripada musuh-musuh kamu yang boleh mencederakan kamu.” Al-Maraghi berkata: “Yakni melindungimu daripada kejahatan manusia.”

Justeru kita wajib pertahankan Rasulullah SAW, memuliakan Baginda SAW, dan haram sama sekali kita menghinanya. Berat dan buruk natijahnya kita dapat lihat dalam sejarah terhadap penghina Rasulullah SAW. Marilah bersama-sama kita tekuni ayat al-Quran al-Karim seperti mana firman Allah SWT:

إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ

MaksudnyaSesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.

(Surah al-Hijr, 15: 95)

Imam Ibn Katsir berkata: (Ayat ini bererti:) “Lakukanlah (wahai Muhammad) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allahlah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.”

Syeikh Al-Maraghi berkata: “(Yakni) sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan, dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat Baginda melewati mereka. Allat SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka.”

Kenyataan menghina Nabi SAW mendapat respon daripada ramai ulama termasuk Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini. Semoga Allah SWT tambahkan lagi cinta dan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW. Mari bersama-sama kita pelajari sirah Baginda SAW, ikuti perintah dan suruhannya, meninggalkan larangan dan tegahannya, serta sentiasa berselawat kepada Baginda SAW. Semoga kita diterima menjadikan umatnya yang mendapat syafaat Baginda di Hari Akhirat kelak. Amin.

Wallahua`lam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Isteri bekerja usah sampai abai fitrah, tanggungjawab

Posted by epondok di Februari 19, 2019

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

KONSEP isteri bekerja untuk mencari rezeki perlu diperhalusi supaya tidak sampai mengabaikan fitrah, meninggalkan tugas hakiki dan menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, berkata konsep isteri bekerja untuk mempunyai sumber kewangan sendiri agak mengelirukan kerana mereka tidak perlu berbuat demikian jika hanya bertujuan mencari harta hak milik sendiri.

“Tanggungjawab suami mencari rezeki adalah bertujuan untuk memberikan nafkah kepada ahli keluarga.

“Kefahaman ini perlu diperbetulkan kerana fitrah isteri menerima nafkah daripada suami.

“Hanya jika pendapatan suami tidak mencukupi untuk membiayai keperluan asas keluarga, barulah timbul keperluan isteri membantu untuk memantapkan nafkah keluarga,” katanya.

Oleh itu, Mohd Nor mengingatkan jika suami isteri bekerja untuk keluarga, ia akan memperkukuhkan lagi ikatan kasih sayang ahli keluarga.

“Bagaimanapun pada hari ini, timbul suasana tuduh-menuduh dan saling mengaku harta hak milik masing-masing hingga mewujudkan ketegangan.

“Ia membawa kepada wujudnya perasaan tidak dihormati dan dihargai oleh pasangan yang akhirnya boleh membawa kepada perceraian,” katanya.

Beliau berkata, suami isteri tidak perlu sibuk mengambil tugas pasangannya hingga tertinggal dalam melaksanakan tugas hakiki.

Contoh katanya, mencari nafkah menjadi tugas suami, maka isteri tidak perlu keluar bekerja yang akhirnya boleh menjurus kepada perbalahan dan konflik.

“Jika suami tidak berupaya dan ingin membantu, isteri boleh keluar mencari rezeki dengan izin suami serta dengan niat membantu suami dan keluarga.

“Dengan suami bertanggungjawab mencari rezeki walaupun tidak mencukupi, saya yakin isteri bahagia dapat membantu.

“Tidak akan timbul perbalahan isu pendapatan hak milik sendiri ataupun suami yang mengambil kesempatan terhadap harta isteri,” katanya.

Rasulullah contoh sempurna

Mohd Nor berkata, Rasulullah SAW menjadi contoh paling sempurna suami yang bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak Baginda.

Katanya, di sebalik kesibukan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan ketua negara, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dalam mendidik keluarganya untuk dekat dengan Allah SWT.

“Malah Baginda tetap menyediakan nafkah keperluan untuk isteri dan anaknya dengan penuh tanggungjawab serta sifat pengasih dan penyayang.

“Rasulullah SAW bukan sekadar menunjukkan model suami yang tegas dalam mendidik ahli keluarga untuk beribadah kepada Allah SWT, Baginda juga suami yang romantik untuk isteri dan penyayang kepada anak,” katanya.

Mohd Nor turut mengingatkan suami dengan tanggungjawab sebagai nakhoda bahtera yang sangat berat dipikul. Firman Allah SWT: “Kaum lelaki ialah pemimpin bagi wanita kerana Allah melebihkan lelaki atas wanita dan kerana orang lelaki membelanjakan daripada harta mereka.” (An-Nisaa: 34)

Beliau berkata, sebagai ketua keluarga, suami bertanggungjawab memimpin keluarga ke jalan benar, mencari rezeki dan menyediakan nafkah.

Tugas suami

Katanya, menjadi tugas suami juga menjaga kebajikan dan menyediakan keperluan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan untuk semua ahli keluarganya.

“Seorang suami juga perlu memastikan keselamatan ahli keluarganya berada dalam keadaan baik dan perjalanan yang ditempuhi berjaya sehingga sampai ke destinasi, iaitu akhirat.

“Dalam perjalanan kehidupan itu, suami perlu menyediakan bekalan mencukupi, selain bijak membuat keputusan untuk setiap masalah dan cabaran yang dihadapi,” katanya.

Mohd Nor berkata, suami perlu memahami tujuan perkahwinan menjurus kepada perkongsian melaksanakan amanah untuk hidup bahagia dan membahagiakan satu sama lain.

“Suami perlu menjadi ketua yang membuat keputusan, sekali gus menuntut mereka untuk mempunyai ilmu dan matang dalam membuat keputusan terbaik.

“Seorang suami juga perlu bersungguh mencari nafkah dan mengelak daripada bergantung kepada isteri dalam soal nafkah.

“Namun, dalam kehidupan berkeluarga, kita juga saling bersinergi dalam menghargai dan menghormati peranan masing-masing kerana mempunyai skop tugasan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, pasangan yang baik akan saling bekerjasama dalam melaksanakan tugas untuk melengkapkan kehidupan keluarga dan bukannya melakukan kerja yang sama ataupun ego dengan kelebihan masing-masing.

Mengenai pemerhatiannya terhadap kes konflik dan perceraian rumah tangga dalam masyarakat, Mohd Noor berkata, memang wujud situasi pengabaian tanggungjawab dan isu nafkah yang dikaitkan dengan perceraian.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tular: jangan ditipu dan menipu

Posted by epondok di Februari 17, 2019

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

DALAM zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dunia jadi makin sempit. Apa yang berlaku beribu batu jauhnya dari kita di Malaysia, sampai juga ke pengetahuan kita dalam masa yang singkat. Inilah yang disebut dunia tanpa sempadan.

Malangnya kecepatan mendapatkan maklumat yang boleh terhasil di hujung jari, sering disalahguna. Contohnya dalam bab halal. Bagi orang Islam, bab halal haram makanan ini amat sensitif.

TANGKAP layar penjelasan Bahagian Hab Halal Jakim mengenai isu
TANGKAP layar penjelasan Bahagian Hab Halal Jakim mengenai isu ayam disangka tidak disembelih di Terengganu, baru-baru ini.

Pantang dapat maklumat atau tips tentang kedai atau premis yang menyajikan makanan tidak halal atau desas desus sijil halal syarikat tertentu ditarik balik oleh Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) macam peluru ia disebar dan ditularkan.

Bab kesahihan maklumat sering diabai. Walhal Allah SWT memberi peringatan yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka tabayyun (selidikilah untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)-sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Antara post terkini mengenai isu halal adalah pada 5 Februari lalu di bawah tajuk ‘Isu Tular Ayam Yang Disangka Tidak Disembelih’.

Merujuk kepada isu tular ini, pengadu telah datang ke Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) pada petang 4 Februari 2019 selepas membuat laporan di balai polis Manir, Terengganu. Setelah diperiksa oleh pegawai JHEAT, ayam tersebut disahkan sempurna syarat sembelihannya.

Selain tidak benar, berita itu sebenarnya adalah kes lama yang diulang siar. Hal itu ditegaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu yang mengesahkan ia berita setahun yang lalu.

Bukankah kita sudah ditipu dan kemudiannya menipu apabila memanjangkan mesej tersebut kepada orang lain.

Perbuatan ini bukan sahaja memberi imej negatif kepada Jakim dan agensi berkaitan seolah-olah tidak menjalankan tugas mereka. Selain itu ia juga menimbulkan kebimbangan umat Islam umumnya.

Bab makan minum bukan soal kecil kerana ia menjadi darah daging. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya. (Riwayat al-Tirmidzi)

Internet dan laman sosial yang bebas tanpa kawalan, bukan semua maklumatnya benar. Ada yang bersifat fitnah, spekulasi, sensasi dan andaian. Yang penting apa sikap kita apabila mendapat maklumat sebegini?

Adakah kita akan mempercayainya terus tanpa usul periksa. Malah lebih teruk daripada itu, mungkin kita pula yang akan menyebarkannya kepada rakan-rakan yang lain, lantas menjadi ejen penyebar berita, kononnya menjadi orang pertama mendapat berita dan menyebarkannya.

Pada 2 Februari lalu, Jakim sekali lagi menjadi perhatian ekoran aduan oleh pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertajuk Halal: Jakim ‘lembik’?

Alhamdulillah, Jakim tidak melatah sebaliknya menjawab dengan fakta disiarkan akhbar ini pada 5 Februari 2019.

Antara inti utama penjelasan itu adalah sehingga hari ini, terdapat 67 jawapan isu semasa yang tular dimuat naik di laman Facebook Bahagian Hab Halal iaitu http://www.facebook.com/HabHalalJakim/ yang boleh menjadi rujukan pengguna sebagai sumber yang sahih.

Malah sejak 2016, Jakim melalui Bahagian Hab Halal turut membangunkan laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim di samping akaun Twitter serta Instagram.

Ia adalah medium penyebaran maklumat serta menyediakan tempat rujukan kepada setiap isu yang tular dalam media sosial.

Jakim turut menubuhkan pasukan petugas khas halal yang diberi tanggungjawab menjawab setiap persoalan pengguna berkaitan isu halal dengan sasaran maklum balas disediakan dalam tempoh empat jam penularan bermula.

Ini bukan bermakna tidak boleh mengadu atau melapor kepada Jakim jika ada keraguan tentang status halal. Yang terbaik, semak dahulu melalui Facebook yang disediakan.

Bukannya ditular sewenang-wenangnya sebelum semakan dibuat. Melapor dan menularkan adalah perkara berbeza. Selalunya masyarakat lebih suka menular terlebih dahulu baru membuat semakan.

Bagi yang menyebarkan cerita mungkin berkata, “Saya hanya sebarkan saja. Berita itu bukan saya reka. Kalau betul, maka betullah, kalau palsu, bukan tanggungjawab saya”. Ungkapan sedemikian adalah sikap yang tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya, ada hadis yang melarang perbuatan menyebarkan semua perkara yang didengar ini. Orang seperti ini boleh dianggap jatuh dalam kumpulan atau kategori seorang penipu.

Ia berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Cukuplah bagi seseorang itu mendapat dosa sekiranya dia menceritakan kembali semua yang didengarinya (tanpa tapisan)”. (Riwayat Muslim)

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Yahudi bukan bangsa terpilih

Posted by epondok di Februari 15, 2019

KEGANASAN Israel terhadap Palestin sejak awal abad ke-19, tidak berkesudahan disebabkan sokongan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) hingga masyarakat dunia seakan-akan tidak boleh bersuara menentang regim Zionis itu.

Sebarang tindakan mengkritik Israel atau Yahudi dituduh sebagai anti-Semitik, iaitu diskriminasi terhadap bangsa itu seperti yang kita saksikan pada keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 berikutan tindakan menghalang kemasukan peserta dari Israel.

Pensyarah, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata Islam tidak menjadikan Yahudi sebagai justifikasi untuk memerangi bangsa atau individu berkenaan, sebaliknya menentang tindakan mereka atas nama negara Israel yang menindas Palestin termasuk membunuh, merampas harta benda dan menduduki tanah Palestin secara haram.

“Hubungan kita dengan Israel perlu tegas kerana tindakan yang melanggar batas kemanusiaan di Palestin. Kita menentang ideologi (Zionis) yang dibawa bukan menentang bangsa itu kerana ada dalam kalangan mereka sendiri menentang tindakan kejam kerajaan Israel terhadap Palestin,” katanya.

Justeru tambah beliau, penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Israel sangat bermakna dan konsisten sejak dahulu lagi.

Mengimbas sejarah bangsa Yahudi, Mohd Roslan berkata, sebelum menjadi begitu berpengaruh di Barat, Yahudi sebenarnya dilayan sebagai masyarakat kelas ketiga terutama di Jerman dan Eropah Timur.

Antara bukti kebencian Eropah terhadap Yahudi yang masih berbekas ialah peristiwa Holocaust yang menyaksikan jutaan orang Yahudi dibunuh atas arahan pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

“Bangsa Yahudi bangkit membuat pembelaan dengan menubuhkan World Zionis Organisation pada 1897 oleh Theodore Hezel.

“Pertubuhan itu bertujuan mendapatkan simpati untuk menubuhkan negara bagi bangsa Yahudi yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku bertajuk Der Judenstaat atau The State of Israel,” katanya.

Idea penubuhan Israel disokong Britain menerusi Deklarasi Balfour pada 1917 yang menyebut negara itu akan ditubuhkan di Palestin.

Kononnya bangsa terpilih

Mohd Roslan berkata, bangsa Yahudi pernah mentadbir Baitulmaqdis pada zaman Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS, lalu timbul anggapan bahawa sejarah membenarkan kota itu dijadikan sebagai negara mereka.

“Dalam Islam, kita percaya kepada Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan nabi sebelum itu seperti Nabi Adam AS pernah berada di Baitulmaqdis hingga orang Islam pun berhak menuntut Baitulmaqdis.

“Malah, kita dapati banyak ayat al-Quran menunjukkan orang Yahudi diminta Nabi Musa AS untuk masuk ke Baitulmaqdis tetapi mereka menolak,” katanya.

Antaranya firman Allah SWT: “Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang sudah ditentukan Allah bagimu dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang yang rugi. (Al-Maidah: 21)

Bagaimanapun tegas Mohd Roslan, Yahudi ingkar kepada arahan Nabi Musa AS kerana takut kepada kaum yang ketika itu sudah menetap di sana. Firman Allah SWT: “Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.” (Al-Maidah: 22)

Tambah Mohd Roslan, ini membuktikan pandangan Yahudi yang mengatakan mereka bangsa terpilih tidak tepat kerana mereka mestilah mematuhi arahan nabi, jauh sekali membunuh nabi.

“Kisah orang Yahudi ini banyak disebut dalam al-Quran, misalnya dalam surah al-Baqarah dan al-A’raf yang menceritakan larangan nabi jangan menangkap ikan pada Sabtu namun mereka tetap berbuat demikian,” katanya.

Mohd Roslan berkata, sejarah merekodkan pada 132 Masihi, Yahudi tidak dibenarkan masuk ke Baitulmaqdis pada zaman pemerintahan kerajaan Rom Byzantine disebabkan orang Kristian tidak bersetuju berkongsi kota suci itu dengan mereka.

Ia berlarutan hingga 637 Masihi sebelum Baitulmaqdis diperintah Khilafah Islam pada zaman Saidina Umar Al-Khattab. Berdasarkan fakta itu, ternyata yang membela orang Yahudi dan membenarkan mereka kembali ke Baitulmaqdis ialah orang Islam.

Konflik tanda kiamat

Tambah Mohd Roslan, konflik Israel dan Palestin juga sering dikaitkan dengan kiamat misalnya terdapat beberapa hadis menyebut tidak akan terjadi kiamat hingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi, lalu membunuh mereka hingga seorang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon. Bagaimanapun batu dan pohon berkata: “Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi di belakangku, ke marilah aku, bunuhlah dia!” Kecuali pohon ghorqod kerana ia pohon orang Yahudi.” (HR Muslim).

“Zaman itu nanti apabila batu pun sudah mampu bercakap maknanya sudah sangat hampir dengan kiamat.

“Surah al-Isra ayat satu hingga lapan menjelaskan orang Yahudi akan membuat kerosakan di atas muka bumi ini dua kali sebelum sampai hari akhirat.

“Sebahagian besar ulama tafsir percaya kedua-dua peristiwa itu sudah berlaku, iaitu kerosakan pertama berlaku pada zaman sebelum Islam apabila Rom Byzantine menghalang mereka masuk ke Baitulmaqdis, manakala peristiwa kedua ketika Baginda menghalau mereka keluar dari Madinah kerana membocorkan rahsia pertahanan Madinah kepada musuh, sekali gus mencabuli piagam yang dipersetujui bersama,” katanya.

Keadaan rakyat Palestin selepas diserang tentera Israel. – Foto NSTP

Bagaimanapun, terdapat satu tafsir yang dibuat oleh ulama abad ke-20, Sheikh Said Hawwa yang menyebut hanya satu kerosakan saja sudah berlaku, manakala kerosakan kedua belum berlaku.

“Sebab apa belum berlaku? Ini kerana dalam al-Quran menyebut kerosakan kali kedua berlaku dengan Yahudi yang bersifat sombong, bongkak dan bersama kekuatan.

“Said Hawwa percaya kekuatan itu merujuk peristiwa pada zaman moden dengan persenjataannya, selain sokongan dunia yang akan membuatkan Yahudi angkuh, sombong dan rasa kuat,” katanya.

Mohd Roslan berkata, apa yang paling ditakuti ketika ini ialah kerosakan yang dibuat kepada Masjid al-Aqsa.

“Sekarang mereka sedang giat mengorek dan menggali di bawah tapak Masjid al-Aqsa yang kedudukannya di atas bukit.

“Mereka giat menjalankan kerja ekskavasi di bawah Masjid al-Aqsa untuk mencari bukti kewujudan Haikal Sulaiman, iaitu rumah ibadat pertama orang Yahudi yang kononnya dibina 960 Sebelum Masihi yang malangnya sehingga kini tidak menemukan apa-apa yang signifikan walaupun seketul batu,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Foto lama dedah aurat tetap haram dipamerkan

Posted by epondok di Februari 13, 2019

 Cabaran 10 tahun atau #10 Years Challenge yang menjadi aliran terkini di media sosial mendorong ramai pengguna media berkenaan berlumba-lumba menyahutnya.

Foto yang pernah dirakam 10 tahun lalu dan foto terkini banyak terpapar di pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dengan umat Islam tidak terkecuali.

Bagaimanapun, apa yang lebih dikesali ada pengguna media sosial beragama Islam secara terang-terangan mengabaikan ketetapan syarak dalam menjaga aurat, sekali gus menyebabkan foto yang mendedahkannya bertebaran.

Malah, ia turut dilakukan oleh wanita Islam yang kini menutup aurat, tetapi tidak segan untuk memaparkan foto mereka sebelum ‘berhijrah’ dahulu.

Lebih menyedihkan tindakan memaparkan kecantikan itu tidak lebih daripada keinginan mendapatkan bilangan like dan komen daripada pengguna media sosial lain.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, berkata tidak salah untuk mengikuti perkembangan terkini media sosial selagi menjurus ke arah kebaikan.

“Umpamanya jika mengikutinya #10 Years Challenge, membuatkan kita berlumba-lumba ke arah perkara bermanfaat, tentu sahaja tidak salah di sisi Islam.

“Jika 10 tahun lalu, kita agak jahil, tetapi kini berubah dan berhijrah serta melakukan transformasi menjadi orang berilmu, mengapa tidak ia dipaparkan untuk manfaat bersama.

“Kita boleh meletakkan nasihat dalam status di media sosial untuk mengajak orang lain supaya sama-sama melakukan perubahan positif dalam hidup,” katanya pada Forum Media Sosial Mengikut Perspektif Islam di Masjid Al-Umm di sini.

Haram sengaja dedah aurat

Mohd Izhar berkata, tindakan mendedahkan aurat dengan sengaja walaupun menggunakan alasan ketika itu belum berhijrah, hukumnya haram.

“Menutup aurat ialah kewajipan yang tidak wajar dipertikaikan hingga kita perlu menyunting kembali foto berkenaan untuk melindungi anggota tubuh itu.

“Bukan sahaja di media sosial, dalam kehidupan harian terutama di rumah, ramai yang suka meletakkan foto keluarga di ruang tamu.

“Sekiranya ada gambar lama yang dahulunya tidak menutup aurat secara sempurna, ia perlu diturunkan atau dialihkan ke ruangan yang tidak dapat dilihat tetamu seperti bilik tidur,” katanya.

Tambahnya, jika ada kenalan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, apa yang boleh kita lakukan adalah menegur dengan cara berhikmah.

“Kita diajar dalam agama untuk menegur, tetapi tidak perlu sehingga tahap memaksa kerana hidayah milik Allah SWT.

“Ini termasuk isu wanita Islam tidak bertudung sama ada di sekeliling atau media sosial, perkara itu hanya terkait antara si pelaku dengan Allah SWT,” katanya.

Pada forum kendalian Setiausaha Masjid Al-Umm, Faezal Husni Arshad itu, Mohd Izhar turut menjawab keluhan dan kebimbangan masyarakat terhadap ledakan media sosial sehingga ada meminta ia diharamkan.

“Hal ini perlu dibincangkan secara ilmiah kerana untuk mengharamkan sesuatu, ia memerlukan sebab, asas dan melihat kemudaratannya.

“Media sosial antara nikmat yang dikurniakan Allah SWT kerana terdapat manfaat jika digunakan cara betul.

“Kita dapat saksikan dakwah berlangsung secara maya seperti melalui FB Live hingga ramai beroleh pahala, termasuk orang berkongsi di laman sosial,” katanya.

Menurut beliau, perkongsian ilmu bermanfaat termasuk dalam wakaf amalan, khususnya golongan yang tidak mampu daripada kewangan, tetapi dapat berbuat demikian dengan mewakafkan ilmu melalui media sosial.

Mohd Izhar berkata, apa yang merosakkan media sosial apabila ia digunakan untuk membuka aib, saling memfitnah dan menjatuhkan orang lain.

“Apabila datang perkhabaran, ia perlu diselidiki sebelum disebarkan. Ramai umat Islam yang rugi akibat fitnah, manakala orang yang menyebarkannya akan dilaknat Allah SWT.

“Ada perniagaannya rugi kerana fitnah manusia sehingga akhirnya tidak mampu lagi mengeluarkan sedekah, wakaf dan zakat.

Minta maaf, bertaubat

“Dalam hadis yang terkandung dalam Sahih Muslim, Nabi Muhammad SAW menyifatkan orang yang menyebarkan fitnah sebagai golongan muflis di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang pernah menyebarkan fitnah, mereka perlu mengambil tindakan selari dengan impak daripada perbuatannya itu, selain meminta maaf dan bertaubat.

“Fitnah lebih teruk daripada membunuh kerana ia bukan sahaja memberikan kesan kepada si pelaku, tetapi orang di sekelilingnya.

“Saya pernah bertemu seorang hamba Allah yang mengadu datuknya pernah dituduh berzina yang sehingga kini, mereka sekeluarga terus dikecam sebagai keturunan penzina.

“Sekiranya fitnah yang disebarkan itu memberikan impak misalnya kewangan, wajib penyebar fitnah membayar semula kerugian itu supaya tidak beroleh balasan di Padang Mahsyar kelak,” katanya.

Mohd Izhar turut menasihatkan umat Islam supaya mengikut panduan diberikan Imam al-Ghazali supaya menjadi manusia yang sentiasa gembira dengan kebahagiaan orang lain.

“Fitnah tidak akan berleluasa sekiranya kita sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan saling mendoakan sesama umat Islam.

“Rasulullah SAW mengajarkan umatnya, apabila melihat orang kaya, maka sunahnya berdoa terus kepada Allah SWT supaya dikurniakan dan beroleh rezeki seperti itu,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kemarahan dan merawat kemarahan

Posted by epondok di Februari 11, 2019

Dr. Muhaya Mohamad

 

Cara kita memandang sesuatu menentukan “FIKIRAN – EMOSI – TINDAKAN – HASIL KEHIDUPAN”. Memandang situasi negatif dengan menggunakan “kanta” positif akan menghasilkan emosi, tindakan dan hasil kehidupan yang positif.

Peristiwa negatif atau positif yang berlaku saban hari dan setiap detik waktu dalam hidup kita, tidak dapat kita kawal, kerana semuanya berlaku atas kuasa Allah SWT. Tetapi, kita mampu mengawal fikiran, emosi dan tindakan kita kalau kita bijak memilih “kanta kehidupan”.

Menangani peristiwa negatif atau positif, umpama kita memilih ‘kanta kehidupan’. Kalau kita memilih kanta berwarna biru, semua yang kita pandang akan kelihatan biru. Jika kita memilih kanta jernih semua yang kita pandang akan jelas dan jernih.

Hal ini bermakna kesan kehidupan kita bergantung kepada jenis dan warna kanta pilihan kita. Macam itulah kehidupan kita, pilihlah kanta yang betul/jelas supaya fikiran dan pandangan kita sentiasa betul dan jelas serta tidak tertakluk oleh emosi negatif.

Antara emosi negatif yang perlu dijauhi dalam hati dan fikiran kita ialah perasaan marah. Sebaik-baik manusia ialah orang lambat marahnya dan cepat padam perasaan marahnya.

Sejahat-jahat manusia ialah orang yang cepat marahnya dan lambat padam kemarahannya. Jom audit diri, adakah kita seorang yang cepat melenting marah atau di sebaliknya.

Oleh sebab itu, kalau kita rasa marah, tanyalah kepada hati kenapa kita marah? Ingatlah orang yang cepat marah banyak syaitan dalam diri mereka. Sesungguhnya Allah yang kurniakan sikap marah dalam hati kita, tetapi Islam mengajar kita macam mana hendak mengurus kemarahan.

Tujuh sifat yang membuatkan hidup kita susah. Pertama, cepat marah. Kedua, sentiasa berasa hendak betul dalam percakapan, yang membuatkan orang marah akan kita.

Ketiga, dalam semua urusan kita hendak lebih – kalau tidak dapat kita marah, kalau dapat orang pula yang akan marah kepada kita. Keempat, kita sentiasa hendak lebih daripada orang, hingga menyebabkan kita suka bersaing. Untuk dapat capai sasaran, kita sanggup buat apa-apa sahaja walaupun terpaksa menggunakan jalan yang salah atau menggunakan kekasaran/kemarahan.

Kelima, sangat fikir apa orang kata. Hingga kita marah kepada diri kita sendiri, kerana kita tidak boleh menjadi diri kita sendiri kerana asyik fikirkan tanggapan orang terhadap kita. Keenam, sangat fikir apa yang kita capai ialah hasil usaha kita, bukan bantuan orang lain dan pertolongan dan kuasa Allah SWT.

Sikap ini membuatkan kita marah apabila orang tidak memuji dan marah orang tidak menghargai hasil usaha dan kehebatan kita. Ketujuh, kita sangat pentingkan kedudukan dan pangkat kita (kesedaran keegoan atau nafsu yang menyebabkan punca kerosakan minda dan kesihatan manusia). Keegoan, kesombongan dan takbur menjadi umpan api menyemarakkan bara kemarahan.

Orang yang sifat keegoannya tinggi akan berasa dirinya lebih tinggi dan hebat daripada orang lain dan, cepat marah apabila dapati orang lain tidak mampu melaksana sesuatu yang kita rasa sangat mudah dan, mampu laksanakan dengan baik dalam masa singkat. Bagi merawat sikap negatif ini, kita pinda tujuh sifat negatif tersebut kepada tujuh sifat positif (kesedaran ketuhanan).

Pertama, kawal hati dan fikiran kita dengan memilih “kanta kehidupan” yang betul. Iaitu melihat dengan pandangan yang betul dan membuat nilaian positif terhadap perkara yang positif, dengan berpegang kepada sikap sabar, reda dan sentiasa bersyukur.

Kedua, jadilah pendengar yang baik. Didik hati dan jiwa supaya kurangkan bercakap tetapi lebihkan mendengar.

Pegangan

Bercakap pada perkara yang perlu sahaja dan, bercakap pada ketika kita diperlukan memberikan buah fikiran dan idea.

Jaga silaturahim de­­ngan terima pandangan orang bu­kan bertegang urat untuk mem­per­tahankan pendangan, prinsip dan pen­dapat kita, kecuali pada perkara melibatkan hukum Allah.

Ketiga, sentiasa buat sesuatu de­ngan kasih sayang dan bahagia apabila orang lain juga dapat manfaat sama macam kita dapat.

Keempat, tidak suka bersaing tetapi kita bekerja sama dengan semua orang. Kita sangat fikir untuk memberikan manfaat ke­pada orang lain, bukan untuk diri kita semata-mata. Kelima, sentiasa mencari kebaikan dan kecantikan da­lam situasi dan seseorang.

Yang di­fikirkan pandangan Allah terhadap kita, bukan apa kata orang terhadap kita. Keenam, sentiasa murah hati. Yang kita harapkan hanya reda Allah, bukan sanjungan dan pujian orang.

Lakukan semua perkara dengan ikhlas dan hanya harapkan balasan kebaikan daripada Allah SWT. Ketujuh, sentiasa menerima manusia seadanya di samping kita terus memperbaiki diri dan terima hakikat kita juga tidak sehebat mana dan tidak sempurna.

Dalam kelebihan kita ada kekurangan diri yang disempurnakan oleh orang lain. Ambillah iktibar daripada amanat Imam Ghazali, lihat dan nilai lima perkara, untuk merawat rasa takbur yang boleh membuak marah.

Pertama, apabila melihat anak kecil, hendaklah dilihat anak itu belum ada apa-apa dosa pun berbanding dengan kita, yang sudah dewasa tentulah lama hidup banyaklah dosa kita.

Kedua, apabila melihat orang tua, hendaklah kita beranggapan mereka lebih dahulu dan utama melakukan ibadah, maka tentulah mereka lebih baik dan mulia di sisi Allah, berbanding dengan kita. Ketiga, apabila melihat para cendekiawan, hendaklah kita berpandangan mereka lebih bijaksana daripada kita.

Keempat, apabila menemui orang bodoh, hendaklah dilihat, mereka melakukan maksiat dan kederhakaan kerana kebodohannya semata-mata. Tetapi, kita yang diberi Allah ilmu pengetahuan, masih lagi melakukan kemaksiatan. Tentu seksaan Allah terhadap kita lebih teruk berbanding dengan mereka yang melakukan maksiat kerana mereka tidak tahu atau tidak berilmu.

Kelima, kalau melihat orang kafir, hendaklah kita merasa tidak mengerti secara pasti. Sebab boleh jadi esok pagi mereka memeluk Islam, mereka beramal dosa mereka terampun dan pahala mereka terkumpul. Sedangkan kita yang sedia Islam, tidak khusyuk beramal, tidak sempat bertaubat, mati pun mengejut.

Demikianlah, padamkan api kemarahan dengan air keimanan. Berwuduk dan bersolat untuk menyejukkan amukkan hati. Kalau dalam hidup kita ini penuh dengan mengingat Allah, kalau orang berbuat sesuatu yang tidak kita suka pun, kita masih boleh senyum dan berterima kasih.

Contoh kalau orang mencuri barang kita, kita patut marah atau berterima kasih? Jawapannya, bergantung kepada tahap keimanan kita. Kalau kita tahap orang yang imannya biasa-biasa, kita akan marah.

Tetapi, orang yang maqam keimanannya tinggi, akan muhasabah diri, “jika rezeki itu bukan hak aku, maka ia tidak akan sampai kepadaku dan menjadi hak aku.” Maknanya dalam bahasa makrifat apabila kita diuji orang mencuri duit kita, kita akan berterima kasih kepadanya. Pertama, mungkin dia melarikan duit yang tidak halal dalam hidup kita.

Kedua, penat dia menggunakan tenaganya untuk menjalankan takdir hidup kita. Kemarahan membuka banyak lagi sikap, perkara dan situasi negatif. Ingatlah melepaskan kemarahan cukup mudah tetapi membalut luka hati akibat kemarahan amat susah.

Seperti kertas yang sudah dikeronyokkan, walaupun cuba diusapbetulkan kertas itu tidak akan menjadi elok seperti sediakala, tetap berbekas keronyokkannya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kemarahan-dan-merawat-kemarahan-1.455442#ixzz5eR2yWmBj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »