Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2019

Kelebihan Nabi Yahya kuasai ilmu

Posted by epondok di Januari 30, 2019

Oleh Syafiq Zulakifli

 

Perjuangan nabi dan rasul yang diberikan sebuah kitab untuk difahami bersungguh-sungguh adalah satu cerita penting yang harus diteladani. Kisah Nabi Yahya menjadikan Kitab Taurat sebagai pegangan menunjukkan Rasulullah SAW dididik meneladani perjuangan nabi yang berpegang kuat kepada kitabnya itu.

Kefahaman kepada kita mengenai sikap seorang nabi iaitu Nabi Yahya, sepupu kepada Nabi Muhammad SAW.

Perbincangan rancangan Ibrah yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman minggu lalu, memberi satu suntikan kepada kita mengenai kelebihan yang ada pada Nabi Yahya.

Ini diperincikan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya hikmat kebijaksanaan ketika dia masih kanak-kanak.” (Surah Maryam, ayat 12)

Nabi Yahya yang lahir di bumi Syria dan dimakamkan di Masjid Dimasy, Syria, adalah Nabi yang diberikan sebuah kitab, lalu diamalkan secara bersungguh-sungguh sejak kecil (kanak-kanak).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan dia seorang yang bertakwa. Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 13-14)

Allah SWT menceritakan kelebihan Nabi Yahya yang amat taat kepada kedua-dua ibu bapanya. Sikapnya yang tidak sombong dan derhaka antara perkara penting yang diceritakan oleh Allah SWT untuk menunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW kelebihan yang ada pada Nabi Yahya.

Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Yahya adalah kurniaan zuriat kepada Nabi Zakaria oleh Allah SWT dalam keadaan usia Nabi Zakaria pada waktu itu terlalu tua (sekitar 90 tahun). Namun, atas kuasa Allah SWT, zuriat itu dikurniakan sebagai meneruskan perjuangan Nabi Zakaria walaupun isterinya mandul.

Selain itu, kelahiran Nabi Yahya cukup istimewa kerana nama Baginda diberikan oleh Allah SWT. Ini dirakamkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam, ayat 7)

Kuasai kitab sejak kanak-kanak

Seterusnya, keilmuan Nabi Yahya terbukti apabila diberikan penguasaan untuk memahami Kitab Taurat sejak kanak-kanak lagi. Sesetengah ulama berkata, Nabi Yahya mengambil masa hanya tujuh tahun menguasai Kitab Taurat yang diwarisi daripada ayahandanya.

Dr Sheikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan, apabila kita membaca al-Quran, hendaklah dilaksanakan seperti Nabi Yahya, iaitu dengan bersungguh-sungguh. Teladan inilah yang ditunjukkan oleh al-Quran kepada Baginda Nabi Muhammad, sebagai proses mendidik umat supaya kefahaman yang mendalam menjadi asas memahami kitab suci.

Selain itu, sifat ‘hananah’ iaitu mendapat kasih sayang daripada langit (Allah SWT) dan Nabi Yahya menerima ucapan sejahtera daripada Allah SWT sendiri.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari dia diperanakkan dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Surah Maryam, ayat 15)

Terhindar daripada dosa

Nabi Yahya juga dikepung daripada dosa dan noda serta nabi yang salih, selain menjadi ketua yang setia dengan kebenaran seperti dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah SWT memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah dari Allah SWT dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri daripada berkahwin dan akan menjadi seorang nabi dari orang yang salih.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)

Kelebihan dan keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Yahya adalah kelebihan yang dikhabarkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di dalam al-Quran.

Kesungguhan Nabi Yahya dalam menguasai secara mendalam Kitab Taurat adalah petunjuk kepada Baginda Nabi untuk terus berpegang teguh kepada ajaran al-Quran lalu disampaikan kepada umatnya. Begitulah kisah Nabi Yahya yang diceritakan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Daurah Kitab Bersama Syeikh Nuruddin al-Banjari di Pondok Lubuk Tapah

Posted by epondok di Januari 29, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Syafaat di Padang Mahsyar ganjaran umat beriman dengan al-Quran

Posted by epondok di Januari 28, 2019

Satu-satunya penyelamat manusia pada hari akhirat kelak ialah kitab suci al-Quran. Malangnya, kerana terlalu cintakan dunia, ramai yang lari atau agak keterlaluan memisahkan al-Quran daripada kehidupan masing-masing.

Nafsu duniawi yang terlalu kuat juga mendorong ramai umat Islam terlupa akan muncul kiamat, sedangkan gambaran keadaan manusia dijelaskan secara terperinci dalam surah Abasa, ayat 33 hingga 37.

Antaranya, ia menghuraikan bagaimana setiap manusia perlu bergelut untuk menyelamatkan diri hingga tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk membantu termasuk ahli keluarga seperti ibu bapa, isteri dan anak yang ketika di dunia sentiasa berada di sisi.

Mereka tidak sesekali berupaya membantu, malah sibuk dengan urusan diri masing-masing pada hari pembalasan kelak.

Dalam keadaan itu, sudah tentu kita akan mengharapkan ‘pendamping’ yang dapat menyelamatkan diri daripada huru-hara yang berlaku di Padang Mahsyar.

Antara yang dapat membantu ialah al-Quran yang kekal mendampingi orang mengimaninya dalam bentuk syafaat, iaitu menjadi perantara ketika dihisab segala amal dan perbuatan yang pernah dilaksanakannya.

Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada kiamat memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Wajib dalami al-Quran

Justeru, mendalami al-Quran hukumnya wajib, sekali gus perlu mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.

Pendakwah, Dr Mohd Ali Saripan al-Hafiz, berkata al-Quran juga kunci untuk menjadi seorang insan yang sempurna di sisi Allah SWT.

“Hari ini, ramai yang mengakui secara lisan beriman dengan al-Quran tetapi hatinya tidak memahami, mata tidak merenung dan telinga pula tidak mendengarnya.

“Apa yang terjadi kepada orang yang kurang mendengar atau mengalunkan ayat suci al-Quran ini antaranya mereka bersifat tidak responsif kepada setiap kalimah-Nya.

“Ramai yang ada telinga untuk mendengar tetapi tidak dianugerahkan sifat Allah SWT, iaitu as-Sama’ kerana ia khusus bagi mereka yang mengimani al-Quran sahaja,” katanya ketika menyampaikan kuliah khas di Surau NSTP, Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur.

Sentiasa hayati al-Quran

Allah SWT berfirman: “Dan mereka berkata: Hati kami tertutup daripada apa yang engkau seru kami kepadanya dan pada telinga kami ada penyumbat serta di antara kami denganmu ada sekatan; oleh itu, bekerjalah engkau untuk agamamu, sesungguhnya kami juga tetap bekerja mempertahankan kepercayaan kami.” (Fussilat: 5)

“Batu di dalam telinga manusia disebut sebagai Waqr yang apabila kita membaca dan mendengar ayat al-Quran, barulah akan pecahlah batu penyumbat ini.

“Setiap Muslim perlu sentiasa menggunakan telinga untuk menghayati al-Quran, barulah batu ini dapat dipecahkan, sekali gus jauh daripada sifat pekak dan tuli terhadap keagungan kitab Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, manusia yang mata hati dan fikirannya selalu mengingati al-Quran, sekali gus akan sentiasa dirahmati Allah SWT dalam pelbagai cara.

“Antaranya, orang yang dekat dengan al-Quran akalnya akan terjaga dan tidak mudah menjadi majnun atau gila.

Terhindar sifat mazmumah

“Apabila al-Quran sentiasa tersemat di hati, terhindar daripada sifat mazmumah seperti mudah berprasangka buruk, risau tidak menentu, hasad, kufur dan riak.

“Rasulullah SAW bersabda: Manusia terbaik adalah yang mempelajari dan menyampaikan kandungan al-Quran,” katanya.

Firman Allah SWT: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Aali Imran: 110)

Beliau berkata, antara bukti kemuliaan al-Quran adalah ia terus terpelihara hatta selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga sampai kepada umat Islam hari ini.

“Al-Quran ialah kalam yang diturunkan dan tetap dijaga oleh Allah SWT tidak seperti kitab lain seperti Taurat dan Injil.

“Apabila wafat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, kedua-dua kandungan kitab suci ini diubah. Antaranya, seperti disebut dalam surah at-Taubah mengenai orang Yahudi memasukkan satu kalimah dalam Taurat dengan menyatakan Nabi Khidir adalah anak lelaki Allah.

“Hakikatnya, Nabi Khidir yang ditemui Nabi Musa semata-mata untuk mencari ilmu, hatta dicari sehingga ke lautan, sekali gus menjadi ibrah kepada umat islam akan kewajipan untuk mencintai orang alim,” katanya.

Beliau menambah, kitab Injil turut diubah seperti terkandung dalam surah al-Maidah ayat 18 yang menyebut orang Nasrani mendakwa Nabi Isa anak lelaki Allah SWT.

Katanya, apabila wahyu Allah SWT dalam kitab sebelum turunnya al-Quran diubah, ia tidak lagi wajib ditaati oleh umat Islam.

Justeru beliau berkata, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya rujukan utama untuk memastikan beroleh kejayaan yang bersifat kekal khususnya di akhirat kelak.

Bahkan, mencintai dan memahami setiap isi kandungan al-Quran juga adalah tanda ketaatan kepada insan paling dimuliakan Allah SWT, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah (suri tauladan) perlu disertai dengan merujuk dan beramal dengan wahyu iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Baginda.

INFO

Adab sebelum membaca al-Quran

*Berwuduk

*Duduk dengan tertib

*Niat kerana Allah SWT

*Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi dan bersih

*Mengharapkan pahala dan syafaat

*Mengadap kiblat

*Berpakaian bersih dan menutup aurat

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Derma Wakaf Tanah Pondok Sungai Durian, Kuala Krai

Posted by epondok di Januari 26, 2019

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Belajar hargai diri sendiri

Posted by epondok di Januari 24, 2019

Dr. Muhaya Muhamad

 

KEMBALILAH kepada asal diri kita, perbaiki diri dan betulkan segala kesilapan terhadap Allah dan sesama manusia. Hakikatnya, perkara yang susah hendak dilakukan ialah berbuat baik kepada mereka yang enggan berbuat baik kepada kita. Perkara paling mudah dilakukan ialah membalas kejahatan dengan kejahatan. Namun jika orang berbuat baik dan kita pula tidak boleh melakukan perkara serupa kepadanya, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada hati nurani ini. Maka nilailah dan lihatlah diri sendiri dahulu, sebelum melihat dan menilai orang lain supaya kita menjadi seorang yang sentiasa menghargai diri sendiri dan dihargai orang.

Sekiranya seseorang itu tidak menghargai diri sendiri, dia sebenarnya tidak bersyukur kepada Allah SWT yang mencipta dan menjadikannya.

Pertama, sikap tidak menghargai diri sendiri itu akan menjadikan seseorang tiada tujuan hidup iaitu tidak fokus kepada menjaga fizikal, minda, spiritual, silaturahim, dan kewangan. Orang yang menghargai diri sendiri akan menjaga fizikalnya agar sihat dengan cara memilih makanan yang sihat bukan makanan yang sedap.

Orang yang menghargai diri juga akan menjaga minda dengan cara menambahkan ilmu dan memilih bahan bacaan dan bahan tontonan, bukan sibuk mencari berita tetapi sibuk mencari ilmu. Seterusnya, orang yang menghargai diri akan menjaga spiritualnya dengan cara meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah. Orang yang menghargai diri sendiri juga memelihara silaturahim dengan cara berniat, setiap apa yang dilakukan hanyalah dengan niat mencari reda Allah, bukan mengharap penghargaan manusia. Ikhlas dan berlemah-lembut dengan orang. Jangan bersikap kasar dengan orang lain.

Kedua, sikap tidak menghargai diri sendiri juga akan menimbulkan perasaan rendah diri, iaitu memandang diri ini tidak setanding dengan orang lain. Sehingga kita mengambil sikap tidak mahu mencuba malah mengalah sebelum berjuang. Menjadikan diri seseorang itu tiada keyakinan diri sedangkan setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kelebihan masing-masing. Ramai orang tidak sedar akan hal ini yang mana setiap kelebihan yang ada akan melengkapkan kekurangan diri orang lain dan kekurangan kita pula dilengkapkan oleh kelebihan orang lain.

Ketiga, sikap tidak menghargai diri sendiri juga menjadikan seseorang itu tidak mengutamakan diri sendiri. Hal ini membuatkan kita sanggup menolak peluang untuk mengecap kejayaan kerana mendahulukan orang lain. Kita akan bersikap ‘tunggu dan lihat’, ‘tidak mengapa’ atau ‘nanti dahulu’. Sebab itulah jika berlaku kecemasan dalam kapal terbang, penumpang sentiasa diingatkan supaya mendapatkan oksigen untuk diri sendiri dahulu, bukan memberi oksigen itu kepada orang lain. Setelah diletakkan corong pernafasan pada hidung kita, baru diletakkan corong topeng oksigen pada hidung orang lain. Seumpama itulah hidup kita. Sebelum menolong orang lain, tolonglah diri sendiri dahulu. Jadikan ini sebagai keutamaan. Orang yang tidak ada keutamaan bermakna dia tidak ada kehidupan dan kualiti hidup. Jadi apabila keutamaan telah tentukan, maka kita harus melaksanakannya dan perlukan disiplin. Itu dipanggil pengurusan diri sendiri.

Keempat, sikap tidak menghargai diri sendiri akan menjadikan seseorang itu tidak tahu menyayangi dan membahagiakan orang lain. Hanya orang yang sayangi dirinya akan menyayangi orang lain dan hanya orang yang bahagia yang mampu membahagiakan orang lain. Sikap terhadap diri sendiri ini akan menentukan harga diri selain membentuk imej diri, sama ada positif atau negatif. Orang yang berimej positif senang didampingi orang berbanding dengan orang yang hidupnya stres, tidak tenang dan murung. Perbaiki kelemahan diri untuk penampilan diri yang positif. Ketidakyakinan diri dan kerisauan mampu diatasi dengan menjadikan diri seseorang itu tegas tetapi bukan seorang yang agresif. Orang yang tegas, menghormati hak sendiri dan menghormati hak orang lain. Orang yang agresif mengutamakan hak sendiri dan mengetepikan hak orang lain manakala orang yang pasif mengetepikan hak sendiri dan mengutamakan hak orang lain

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cepatnya masa berlalu

Posted by epondok di Januari 22, 2019

MOHD. KHATIM OTHMAN

 

MASA dan kehidupan itu amat berharga. Masa atau waktu akan terus berlalu. Tidak dapat diputar kembali. Sementara kehidupan hanyalah sekali. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Dan kematian pula tidak terbatas kepada kesihatan mahupun usia tua.

Hamzah Fansuri, seorang penyair tasawuf pernah berperi, hidup dalam dunia umpama dagang, datang musim kita kan pulang, La tasta’khiruna sa’atan lagikan datang, mencari makrifat Allah jangan alang-alang.

Jelas maksudnya, tidak dapat ditunda waktu saatnya kematian itu akan tiba.

Di dalam Islam, hidup sesudah mati adalah suatu perjalanan yang paling panjang. Bersedia dengan segala bekalan sewaktu hidup iaitu berbakti dan beramal. Alam dunia merupakan masa yang baik untuk memulai dan melakukan segala kebaikan. Ibarat di dunia kita menanam, di akhirat kita menuai. Jangan tunggu hari esok. Walaupun esok tetap ada, tetapi belum tentu esok milik kita.

Merujuk sirah nabi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Memelihara kesihatan dengan mengamalkan cara hidup seperti anjuran Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik panduan bagi kehidupan kita. Antaranya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Begitulah keadaannya ketika kita sihat, segala perkara dapat dibuat. Buatlah sesuatu yang bermanfaat. ”Manusia baik itu adalah yang memberi manfaat bagi manusia lainnya.” (Hadis riwayat Ahmad Athabrani)

Kekayaan berupa iman, ilmu, harta, kuasa, pangkat dan sebagainya merupakan amanah dan titipan untuk menebar benih kemaslahatan. Kekayaan yang ada bukan hanya untuk bekalan dunia, sebaliknya gunakanlah sebagai bekalan untuk sebuah perjalanan yang jauh. Antaranya bersedekah, berzakat dan berwakaf. Walaupun sedikit, Rasulullah tetap menyukainya jika dilakukan dengan istiqamah.

Menggunakan masa lapang dengan kunjung mengunjungi kaum keluarga, ibu bapa dan rakan taulan. Lebih daripada itu jangan sekali meninggalkan solat lima waktu dan segala suruhan Tuhan. Jangan sesekali disia-siakan masa lapang yang ada. Fikir dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Dalam lingkaran waktu, usia tua tentunya dapat merasai nikmatnya usia muda. Tetapi usia muda belum tentu melalui indahnya ketika dewasa dan seterusnya menjadi tua. Kerana mati itu akan menjengah tanpa mengira waktu.

Dalam syair Perahu, tulisan Hamzah Fansuri, turut berpesan:

Wahai muda kenali dirimu

Ialah perahu tamsil tubuhmu

Tiadalah berapa lama hidupmu

Ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman

Hasilkan kemudi dengan pedoman

Alat perahumu jua kerjakan

Itulah jalan membetuli insan.

Terakhir adalah soal hidup dan mati. Jangan hidup tetapi mati, tapi hiduplah mengingati mati. Cepat benar masa berlalu. Entah apa akan jadi pada janji-janji dahulu sedang di hadapan terbentang hamparan yang baharu, jangan dibawa harapan palsu. Gunakan kesempatan pada usia yang panjang untuk sebuah penyatuan. Menunai janji menuai harapan. Mengingati mati penuh keinsafan.

Di sebalik jendela yang baharu, sebenarnya kami rindu Malaysia yang dahulu. Hidup berbakti, saling menyantuni.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pondok Tunjung sedang buka daftar baru 2019 kepada pelajar lelaki dan perempuan

Posted by epondok di Januari 21, 2019

Posted in Pondok Tunjung | Leave a Comment »

Dari hati tenang lahirlah kebijaksanaan

Posted by epondok di Januari 20, 2019

Dr. Muhaya Muhamad

 

Mengikut kajian, apabila berfikiran negatif, kita akan menjadi lemah, dan akan menjadi kuat jika kita berfikiran positif. Kehidupan akan jelas hala tuju dan matlamatnya jika kita mengubah persepsi, mengubah keutamaan, mengubah fokus kehidupan, daripada negatif kepada positif.

Kehidupan kita ini sebenarnya dikawal oleh minda yang merupakan akal fikiran berfungsi mengawal tindak-tanduk kita dan hati yang mengawal perasaan kita.

Sebab itulah, pada zaman Rasulullah, apabila Hasan al-Hudaibi dipenjarakan, beliau berkata, “Penjara bukanlah tembok tebal atau jeriji besi. Penjara yang sebenarnya adalah belenggu dalam perasaan dan fikiran”.

Maksudnya, biarpun pada fizikalnya beliau diberkas dengan tali yang tidak mampu ditetas, tetapi mindanya masih bebas untuk beribadah kepada Allah. Maka itu, marilah sama-sama kita, set semula (reset) minda, ubah cara berfikir, dengan berprasangka baik kepada Allah, dan kepada orang sekeliling.

Hapuskan semua pemikiran negatif yang bersarang dalam minda. Berfikir secara positif dan bertindak secara positif – Insya-Allah kita akan berjaya, kerana kejayaan ada di mana-mana selagi berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Tuhan Yang Satu.

Sebagai pakar mata, saban hari saya merawat pesakit yang ingin memulihkan penglihatan dan berusaha untuk ‘celik mata fizikal’.

Walaupun kos rawatannya sangat tinggi, masih ramai sanggup mengorbankan wang ringgit, demi mencapai kesempurnaan dan keselesaan hidup daripada segi lahiriah.

Amatlah kita harapkan sebagaimana kita mahukan kesempurnaan ‘mata fizikal’, begitu jualah kita harapkan dalam usaha kita untuk merawat hati “celikkan mata hati”, yang tidak melibatkan kos yang tinggi, tetapi hanya perlu memperuntukkan masa mendidik hati dengan ilmu dan iman.

Ingatlah dalam diri kita ada seketul daging yang dinamakan hati – jika baik hatinya baiklah peribadinya dan begitulah sebaliknya. Hati bagai telaga, peribahasa Melayu mengatakan; “Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh”. Betulkan hati betullah sanubari, betulkan fikiran betullah kehidupan.

Penilaian imej diri kita ini bergantung kepada nilaian daripada segi ‘dalaman’ (hati nurani/jiwa/roh) dan nilaian daripada segi ‘luaran’ (fizikal/jasad) kita. Segala yang kita perlihatkan tentang diri kita kepada orang lain, itulah imej diri kita. Penampilan imej diri amat bergantung kepada emosi yang ada dalam hati atau jiwa kita.

Jika dalaman kita, iaitu jiwa tidak elok, secara tidak sedar, kita juga akan mempamerkan hanya yang tidak elok kepada sifat luaran kita dan penampilan diri kita.

Lazimnya, orang yang kacau jiwanya akan mempamerkan penampilan diri yang negatif; pakaiannya tidak terurus, rambut kusut-masai, berwajah masam muram dan susah hendak senyum.

Pada wajahnya sahaja sudah dapat kita baca isi hatinya – “Dari mata turun ke hati”. Jika akhlak kita buruk; mulut kita jahat, suka mengata atau mengumpat orang, asyik melihat dan mencari kesalahan dan kekurangan orang, kita sentiasa hendak menang apabila bercakap, bermakna kita memiliki imej diri negatif.

Mungkin buat pertama kali orang berjumpa dengan kita, orang suka akan kita, kerana orang belum dapat mengesan perangai kita yang sebenar. Tetapi, setelah mengenali kita dengan lebih lama, orang tidak akan menyukai kita, kerana hanya memiliki kecantikan luaran, dan tidak kecantikan dalaman.

Sebab itulah amat penting kita menjaga imej diri kita dan membina imej diri positif, agar kita dapat membina keyakinan orang lain terhadap kita.

Mengubah

Bahkan dengan imej diri positif dalam masa yang sama, kita juga yakin untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa dan pada mana-mana situasi sekali pun.Bagi mengelakkan kegagalan dalam kehidupan, elakkan perkara negatif berikut. Jangan mengeluh, merungut, menyalahkan orang lain dan membuat alasan, dan mengumpat.

Apa-apa yang kita perlihatkan kepada orang tentang diri dan sikap kita itulah gambaran hati atau kalbu kita. Kalau kita asyik nampak orang tidak elok bermakna dalaman pun tidak elok.

Bagi mengawal imej diri agar sentiasa positif, kita perlu mengawal diri kita dua perkara, iaitu ‘sistem kepercayaan’ kita dan ‘sistem nilai’ hidup kita. Apa yang kita fokus itulah yang akan terhasil.

Kalau ‘sistem kepercayaan’ kita mempercayai, untuk tingkatkan imej diri sebagai seorang ketua misalnya, kita mesti membataskan hubungan kita dengan orang bawahan, mesti memiliki kereta besar dan mewah, berpakaian mahal, dan seumpamanya bagi menunjukkan perbezaan status kita, maka kita akan membawa penampilan diri yang demikian.

Jika ‘sistem nilai’ kita pula contohnya, berfokus kepada kecantikan sebagai lambang kehebatan imej diri, maka kita akan menjadi orang yang sentiasa menjaga kecantikan dan takut hilang kecantikan. Kita akan takut kepada peningkatan usia, dan kita akan sibuk fokus mencari cara bagaimana hendak mengekalkan kecantikan.

Sesungguhnya kecantikan luaran itu tidak kekal, kalau hari ini kita disukai kerana kita cantik, 40 tahun akan datang kecantikan luaran kita (jasad) sudah hilang dimakan usia. Kecantikan yang kekal adalah kecantikan dalaman (jiwa/roh) kita, yang akan kita bawa nanti menghadap Ilahi ke alam abadi.

Cara membina imej diri, pertama lakukan transformasi diri, dari segi dalaman secara peningkatan spiritual dan luaran dengan menjaga kesihatan dan penampilan fizikal. Kedua, tulis visi hidup dengan menggunakan jurnal kehidupan.

Ketiga, sayang diri sendiri dengan cara bersyukur dengan pemberian dan kejadian Allah, dan bina kasih sayang Allah. Sebab hanya orang yang sayang Allah akan sayang dirinya.

Keempat, bina ketenangan diri dan hati dengan cara mengetahui tujuan hidup; orang yang tenang akan menang. Apabila memulakan sesuatu tindakan dengan ketenangan akan bermulanya kebijaksanaan.

Kalau kita mengubah dunia dalaman kita, yakni kita mengubah fikiran dan emosi kita, maka dunia luaran kita juga berubah. Kesannya, hasil kehidupan kita berubah.

Kita akan mendapat ketenangan, kebahagiaan, kesihatan kekayaan yang maksimum. “Jom setiap hari kita fikirkan perkara bermanfaat dan berniat untuk memberi sebanyak mungkin manfaat kepada orang sekeliling kita.

Ingat formula FIKIR BAIK – EMOSI BAIK – TINDAKAN BAIK – HASIL KEHIDUPAN BAIK.” “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Wanita Islam bebas suarakan kebenaran

Posted by epondok di Januari 19, 2019

KEBEBASAN bersuara dalam menyatakan pandangan tanpa halangan atau batasan, diiktiraf sebagai hak asasi manusia tanpa mengira jantina, agama, kaum atau pangkat sama ada melalui lisan, tulisan, slogan, lakonan atau ekspresi diri.

Namun, terdapat anggapan Islam menyekat hak kebebasan bersuara, terutama wanita sehingga mereka dipercayai menjadi mangsa penindasan dan kezaliman di bawah kepemimpinan lelaki.

Media Barat sering memainkan peranan mencorakkan imej stereotaip wanita sebagai mangsa yang ditindas, terpencil, ditakluk, dieksploitasi dan dianiaya.

Media selalu menonjolkan wanita Islam secara tradisinya tunduk dan patuh terhadap adat serta tradisi patriarki tanpa mempertimbangkan hakikat mereka mempunyai hak untuk berpendidikan tinggi dan berkerjaya.

Sebaliknya, wanita tetap menjadi subjek dalam perbalahan teks agama dan dimanipulasi sebagai objek kerana perbezaan dalam budaya dan tradisi.

Tidak dinafikan terdapat beberapa amalan menidakkan suara wanita dan ‘memaksa’ supaya wanita berdiam diri. Namun, ia tidak berteraskan Islam kerana Nabi SAW tidak pernah menghalang isteri dan anak perempuan Baginda serta sahabat wanita yang sezaman dengan Baginda untuk bebas bersuara.

Wanita pada zaman Rasulullah SAW mendapat bimbingan secara langsung daripada Baginda. Mereka menggunakan hak kebebasan suara untuk meluahkan isi hati selagi perkara itu tidak menyalahi agama.

Antara wanita wajar dijadikan contoh ialah isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah Abu Bakar RA yang meriwayatkan sejumlah besar hadis setanding Abu Hurairah RA dan Ibnu Umar RA. Beliau meriwayatkan 2,210 hadis dengan 174 daripadanya disepakati Imam Bukhari dan Muslim.

Aisyah menjadi rujukan utama sahabat dan tabiin (pengikut) serta memiliki daya kefahaman tinggi dalam pelbagai ilmu termasuk al-Quran, sunah, fiqh dan faraid. Beliau juga mahir dalam syair dan kesenian Islam.

Abu Musa al-Ashari RA berkata: “Kami pernah tidak dapat menyelesaikan satu masalah dan apabila diajukan kepada beberapa sahabat RA yang pakar dalam ilmu hadis, tidak ada sesiapapun dapat memberi jawapan kecuali Aisyah.”

Bijak gunakan hak bersuara

Aisyah menggunakan hak kebebasan bersuara untuk menyampaikan kebenaran dan berusaha mencegah kemungkaran. Namun, beliau tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kedudukan sebagai isteri Nabi SAW untuk berbangga dan berdusta.

Selain itu, Ummu Salamah terkenal dengan kisah mendapat jawapan langsung daripada wahyu yang direkodkan dalam al-Quran. Beliau bertanya beberapa soalan kepada Rasulullah SAW disebabkan sikap cemburu terhadap kedudukan lelaki yang dilihat mempunyai keistimewaan berbanding wanita.

Allah SWT menurunkan tiga ayat al-Quran, iaitu ayat ke-9 dan ke-35 dalam surah al-Maidah serta ayat ke-118 dalam surah al-Taubah yang menyatakan perbezaan jantina bukan penentu kehebatan seseorang, sebaliknya amalan dan ketakwaan yang dinilai Allah SWT.

Ummu Salamah juga isteri Rasulullah SAW yang bernikah dengan Baginda selepas suaminya, Abu Salamah Abdul Asad al-Makhzumi meninggal dunia pada tahun ke-4 Hijrah.

Ummu Salamah meriwayatkan 378 hadis yang dihafaz dengan baik, manakala 13 daripadanya direkodkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Contoh lain boleh dilihat dalam kisah Khansa’ Khidam al-Ansariy-yah yang menyatakan tidak setuju terhadap tindakan bapa yang ingin mengahwinkannya tanpa keizinan beliau biarpun janda. Khansa’ mengadu kepada Rasulullah SAW yang membatalkan pernikahan itu dan memintanya membuat pilihan.

Asma Shakal Ansariyyah RA pula ialah wanita yang sangat suka bertanya kepada Rasulullah SAW sehingga membuat Baginda tersipu malu. Kebanyakan soalannya berkaitan hal wanita seperti haid, tetapi Nabi SAW tetap menjawab dan meminta bantuan Aisyah untuk menerangkan secara terperinci. Wanita Ansar suka bertanya bukan kerana untuk menguji, sebaliknya mendapat kepastian daripada Baginda.

Sikap berani bertanya dan bersuara ialah keistimewaan wanita berketurunan Ansar. Malu tidak menghalang mereka untuk belajar lebih banyak daripada Nabi SAW seperti yang dinyatakan Aisyah: “Wanita terbaik ialah wanita Anṣār. Malu tidak menghalang mereka daripada menjadi beragama mengenai agama mereka.” (HR Bukhari)

Di negara ini, hak untuk bersuara, berekspresi atau mengutarakan pandangan terpelihara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, hak itu tidak boleh digunakan sewenangnya tanpa membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Sensitiviti isu agama dan bangsa perlu dijaga, manakala suara wanita perlu dilontarkan sewajarnya pada tempatnya. ‘Diam tanda setuju’ tidak lagi wajar digunakan kini khasnya buat wanita kerana suara mereka perlu didengari.

Ini tidak bermaksud semua wanita perlu lantang bersuara dan menjerit sesuka hati, namun cukup menggunakan peluang dengan penuh hikmah.

Suara wanita ialah kunci utama memainkan peranan penting dalam perjalanan memperjuangkan hak mereka. Siapa lagi yang mahu mempertahankan hak itu melainkan golongan terbabit sendiri.

Islam biarpun memberi hak kebebasan untuk bersuara, Rasulullah SAW berpesan untuk menjaga lidah dan adab tutur kata.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa beriman kepada Allah dan akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau kalau tidak dapat berkata yang baik hendaklah berdiam diri saja.” (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Sahl Sa’ad RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menjamin kepadaku mengenai kebaikannya apa yang ada antara kedua tulang rahangnya, mulut atau lidah serta antara kedua kakinya- kemaluannya, maka aku memberikan jaminan syurga untuknya.” (Muttafaq ‘alaih)

Peringatan itu sebenarnya tidak dikhususkan kepada wanita sahaja, sebaliknya lelaki juga perlu menjaga adab dalam menunaikan hak kebebasan bersuara.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lawan waswas ibadah dengan ruqyah

Posted by epondok di Januari 18, 2019

IBADAT yang dilakukan sering terganggu disebabkan perasaan waswas yang menguasai diri. Bisikan dan hasutan syaitan yang membelenggu manusia menyebabkan mereka terkeliru dan terganggu dalam melaksanakan ibadat.

Antara yang sering diperhatikan ketika mengambil wuduk ada yang terlupa anggota basuhan dilakukan sehingga terpaksa mengulangi wuduk.

Begitu juga dalam solat apabila sukar mengangkat takbiratul ihram sehingga terpaksa melakukannya berkali-kali. Malah, ada juga waswas bilangan rakaat yang sudah dilakukan.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Daripada kalangan jin dan manusia.” (An-Naas: 1-6)

Pendakwah, Emran Ahmad, berkata perasaan waswas menyebabkan seseorang tidak pasti status ibadat yang dilaksanakan sah atau tidak.

“Syaitan terus menghasut dan membisikkan kepada manusia supaya kita waswas, seterusnya tidak dapat merasai kenikmatan ibadat yang dilakukan,” katanya.

Turut diriwayatkan, sahabat Rasulullah SAW, Uthman ibnu Abi al-‘As RA datang bertemu Baginda mengadu dengan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku terganggu.” Rasulullah SAW bersabda: “Itulah syaitan yang disebut Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu daripadaku.” (HR Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubai Kaab RA, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang mengganggu) yang bernama al-Walahan. Maka jauhilah waswas air!” (HR Tarmizi)

Jelas Emran, gangguan dan bisikan syaitan dalam bentuk waswas juga menyebabkan manusia malas serta lemah dalam melakukan ibadat, seterusnya menjadikan ia tidak sempurna.

“Banyak panduan dalam Islam untuk merawat dan melawan perasaan waswas dalam ibadat yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW, Sahabat RA dan tabiin serta pengikut mereka.

“Rasulullah SAW menganjurkan ayat khusus untuk mengubati perasaan waswas ini dengan mengamalkan ayat Kursi dan surah al-Ikhlas, an-Naas serta al-Falaq, iaitu surah yang dibaca Jibril AS ketika merawat Rasulullah SAW yang disihir oleh seorang Yahudi.

“Terdapat riwayat sahabat RA merawat seorang Arab Badwi menggunakan al-Fatihah dan dengan izin Allah SWT, penyakit yang dihadapi sembuh,” katanya.

Emran berkata, paling penting kita perlu tahu ayat al-Quran yang boleh dijadikan ruqyah untuk mengubati sesuatu penyakit.

Katanya, dalam mengubati seseorang yang waswas perlu juga diperbetulkan akidah dan keimanannya kepada Allah SWT.

Katanya, seseorang yang sentiasa berada dalam kemaksiatan dan kepercayaan tahyul serta syirik menjadikan syaitan akan terus mendampingi dan sukar untuk merawat perasaan waswas yang ada dalam diri mereka.

“Kita perlu percaya segala manfaat dan mudarat datang daripada Allah SWT dan makhluk lain tidak mempunyai kuasa. Jika kita meletakkan kekuasaan Allah SWT melebihi segalanya, menjadikan penguasaan syaitan dalam diri kita semakin lemah.

“Selain itu, seseorang yang mengalami waswas perlu difahamkan mengenai sifat Allah SWT yang tidak pernah membebankan makhluk-Nya, malah Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

“Dalam menghindari waswas, mereka perlu difahami dengan perbandingan dalam mazhab; kita berpegang kepada mazhab Syafie mengangkat dan melafazkan takbir itu adalah perkara sunat, sebaliknya cukup dengan menghadirkan niat ketika ingin bersolat,” katanya.

Jelas Emran, seseorang yang mengalami masalah waswas dalam kehidupan seharian seperti terlupa menutup lampu tidak boleh disamakan dengan perasaan waswas dalam perkara ibadat.

Sebaliknya, Emran berkata, perkara itu hanyalah disebabkan oleh lemah ingatan yang memerlukan seseorang untuk menajamkan akalnya dengan memperbanyakkan amalan zikir dan juga menjauhi perkara yang boleh melemahkan fikiran.

“Ulama terdahulu mempunyai ingatan yang tajam disebabkan mereka ini menjaga kehidupan harian mereka daripada perkara kemaksiatan malah turut menjauhi perkara syubahah.

“Namun sekarang, ia tidak dilakukan menjadikan fokus kehidupan harian menjadi terganggu dan mula dibelenggu dengan masalah,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »