Bagaimanapun, daripada perspektif Islam, hak asasi manusia adalah tidak mutlak dan bermatlamatkan melindungi maruah dan karamah insan yang membezakan antara manusia dari makhluk Tuhan lain. Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Islam sebagai agama yang bersumberkan wahyu dari Allah SWT dan Islam adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak-hak asasi manusia.

Sebagai contoh, perubahan dari zaman jahiliah yang mana kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dizalimi dan dibunuh kerana jantina mereka ke zaman Islam yang mana kedudukan wanita dimartabatkan dan dipelihara. Ini adalah satu titik tolak kepada elemen penting terhadap hak kebebasan dan kesamarataan bagi manusia. Juga ditegaskan dalam surah Al-Isra’ ayat 70:

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan (status) anak-anak Adam.” Dan di dalam surah Al-Hujarat, Ayat 13: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan telah kami menciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang lebih takwanya.”

Islam meletakkan penghormatan mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang itu. Sebaliknya, apa yang penting dalam Islam ialah komitmen seseorang individu itu kepada usaha memperkuatkan akidahnya dan juga peningkatan takwanya kepada Allah SWT.

Jika apa yang diperjuangkan oleh mana-mana individu itu dilihat sebagai usaha menjatuhkan kemuliaannya sebagai manusia dan boleh lebih menjauhkan dirinya daripada Allah, maka tidak rasional usaha itu dilihat sebagai satu bentuk tindakan menegakkan haknya sebagai seorang insan.

Penghormatan atau ruang juga tidak perlu diberikan kepada golongan yang memperjuangkan satu bentuk hak asasi yang jelas membelakangkan nilai-nilai moral sejagat dan juga prinsip-prinsip asas etika.

Berbeza dengan perspektif Islam, pemikir-pemikir Barat lebih cenderung mengaitkan hak asasi manusia dengan kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata. Bagi golongan ini, hak asasi manusia dan kebebasan individu adalah bersifat mutlak dan kepentingan individu lazimnya mengatasi kepentingan manusia sejagat.

Maka lahirlah pelbagai corak kehidupan manusia moden yang kadang kala seolah-olah membawa ketamadunan manusia itu beberapa langkah ke belakang dan mengulangi kesilapan golongan manusia lampau yang pernah wujud dalam zaman sebelum kedatangan Islam.

Penting untuk difahami bahawa Islam meletakkan hak asasi manusia sebagai satu bentuk anugerah Allah kepada khalifah-Nya di muka bumi ini. Ia bersifat syumul dan ajarannya selari dengan fitrah kejadian insan di samping merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Oleh itu, satu prinsip penting dalam pemahaman ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia ada batasannya.

Semestinya, hak tersebut juga perlu bertunjangkan kepada prinsip keadilan serta penegasan kepada usaha pencapaian matlamat syariah iaitu penyuburan lima kepentingan asas merangkumi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Sejujurnya, hak asasi manusia dalam Islam adalah mengenai penegakan hak-hak yang sesuai dengan fitrah seorang insan. Insan di sini bukan hanya terhad kepada kehidupan individu tetapi juga mencakupi tugasnya sebagai seorang hamba kepada Allah SWT dan khalifah di muka bumi ini. Islam membawa satu sistem nilai yang hakiki yang mampu memberi makna dan bentuk kepada kerangka hak asasi manusia demi kelangsungan peradaban manusia masa kini.