Sebab itu, kita terkejut dengan tindakan beberapa individu beragama Islam membaca doa bersama penganut agama lain dalam Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), pada malam 23 November lalu. Program anjuran Sathya Sai Organisation of Malaysia menyaksikan lima wakil setiap agama berkongsi pentas dengan memperdengarkan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara kepada 300 hadirin.

Perbuatan itu kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad disifatkan merendahkan martabat Islam. Walaupun berniat baik, perbuatan itu tetap salah kerana Islam seharusnya memimpin bukannya dipimpin. Tindakan individu terbabit yang bergilir-gilir membaca doa bersama penganut agama Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh seolah-olah memberi gambaran Islam setara agama lain.

Perbuatan itu bukan sahaja salah tetapi memberi tanggapan kepada masyarakat bukan Islam, Islam setaraf dengan agama mereka. Walhal hanya Islam agama yang diterima oleh Allah. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam”. (ali-Imran: 19)

Hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Jika benar penganjurnya yang bukan Islam tidak mengetahui mengenainya, adalah menjadi kewajipan kita yang Islam ini menjelaskan hal tersebut kepada mereka. Bukannya kita turut sama dengan mereka ‘menjayakan’ perbuatan berkenaan. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Islam itu adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”. (Riwayat al-Baihaqi)

Janganlah kita terpedaya atau terpesona dengan apa juga helah sebegini waima, konon bagi menunjukkan kesepakatan. Banyak cara lain mahu tunjukkan kesepakatan. Ia sebenarnya adalah cubaan memasukkan jarum-jarum halus golongan pluralisme agama kepada umat Islam Malaysia. Asas utamanya, semua agama adalah sama dalam aspek ketuhanan. Inilah yang bercanggah dengan akidah Islam.

Adian Husaini memetik definisi pluralisme agama menurut Majlis Ugama Indonesia (MUI) sebagai satu fahaman yang menyeru kepada persamaan antara agama menjadikan tiada sesiapa berhak mendakwa agamanya sahaja yang paling benar sedangkan agama lain salah. Ini bermakna pendukung fahaman ini cuba meletakkan agama pada kedudukan yang sama kerana mereka berpegang kepada sumber semua agama adalah Tuhan yang sama. Perbezaan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada pentafsiran dan tanggapan yang berbeza setiap penganut agama. (Adian Husaini, 2005. Islam Liberal, Pluralisme Agama & Diabolisme Intelektual. Surabaya: Risalah Gusti)

Dalam agama, matlamat tidak menghalalkan cara. Mana mungkin kita boleh berada dalam satu pentas untuk sama-sama berdoa. Jika berlaku demikian, sepatutnya hanya satu doa yang dilakukan iaitu cara Islam.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut, mukanya berdebu, menadah kedua tangannya ke langit dan berdoa “Wahai Rabbku! Wahai Rabbku!” Padahal makanannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doa itu?” (Riwayat Muslim)

Terlibat dalam benda yang haram pun sudah tidak makbul doa, bagaimana mungkin doa mahu diterima Allah sedangkan yang memohon itu mensyirikkan Allah. Sedarlah, pluralisme agama ancaman besar masyarakat Islam. Kepada golongan ini, renungilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagi kamu agama-mu, bagiku agama-ku”. (al-Kafirun: 6)