Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Suburkan cinta resipi keluarga bahagia

Posted by epondok di November 9, 2018


Oleh Siti Haliza Yusop

 

Kepincangan terhadap institusi kekeluargaan adalah masalah penting yang perlu ditangani apatah lagi institusi itu mempunyai peranan yang signifikan dalam pembentukan masyarakat dan pembangunan negara.

Ada ketikanya, perasaan selamat, dihargai dan disayangi tidak berlaku secara ideal dalam perkahwinan menyebabkan penceraian terpaksa dipilih sebagai ‘jalan keluar’ terakhir dalam menyelesaikan ketidaksefahaman.

Namun, situasi mutakhir hari ini memperlihatkan bagaimana dalam sesetengah perkahwinan, bukan saja faktor persefahaman pasangan tidak berlaku, malah lebih menyedihkan apabila institusi kekeluargaan ini seolah-olah membawa satu tekanan yang luar biasa kepada suami isteri.

Pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa, berkata laporan mengenai pelbagai kes jenayah yang berpunca daripada tekanan berat ini menjadi seolah-olah satu penunjuk bagaimana institusi rumah tangga itu menjadi tempat bercambahnya kegelisahan, pemberontakan serta amarah bagi sesetengah pasangan.

Beliau yang juga Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia berkata, tekanan melampau dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan hari ini menyebabkan berlakunya masalah emosi serta mental dan yang lebih menyedihkan ialah apabila akhirnya ia menjurus kepada pelbagai perlakuan jenayah.

Rasa tenang, sakinah

Katanya, banyak ayat al-Quran yang menyebut mengenai soal rumah tangga, termasuk firman Allah: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum yang berfikir.” (Al-Rum: 21)

“Maksud firman Allah itu ialah kehadiran pasangan itu berlaku supaya kita berasa sakinah dan berasa tenang, tetapi kewujudan banyak kes jenayah hari ini memperlihatkan seolah-olah wujudnya masalah dalam institusi kekeluargaan kita.

“Ada kes mengenai suami mencederakan isteri dan sebaliknya, selain insiden ibu pula mencederakan anak.

“Seharusnya makin lama usia sesebuah perkahwinan, semakin sukar digambarkan mendalamnya kasih sayang dan perasaan cinta, tetapi ia juga tidak boleh datang sendiri dan perlu diikhtiarkan,” katanya pada Simposium Keluarga Bahagia Cinta Hakiki yang dirasmikan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yusof Mamat di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Simposium itu diadakan bagi memberi panduan kepada umat Islam untuk membina keluarga bahagia berlandaskan konsep rahmatan lil-‘alamin selain menyalurkan maklumat mengenai isu kekeluargaan berpandukan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Norhafizah berkata, tanpa usaha daripada pasangan, potensi kesusutan dan kehilangan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan akan berlaku dan inilah keadaan yang banyak terjadi hari ini.

Peranan, tanggungjawab

Antara yang ditekankan sebagai ramuan cinta bagi pasangan suami isteri ialah bagaimana si suami perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan tidak mengambil mudah hal berkaitan pemberian nafkah isteri dan anak.

Menurut Norhafizah, dari segi syariat Islam, tidak gugur tanggungjawab seorang suami itu untuk memberi nafkah kepada pasangannya meskipun isterinya seorang wanita yang bekerja.

Katanya, meskipun si isteri bekerja dengan hasrat untuk membantu, tetapi suami masih perlu menyelesaikan tanggungjawabnya dalam hal nafkah yang akan mendorong isteri mempunyai rasa hormat serta memberikan kasih sayang yang tidak berbelah- bahagi kepada suami.

“Barakah daripada komitmen nafkah suami itu akan melembutkan jiwa isteri untuk memberi ketaatan justeru, janganlah sesekali seseorang suami memandang kecil hal ini dan mengelak dari menunaikan tanggungjawab mereka.

“Selama mana suami memberi nafkah, hak mereka juga tidak boleh dinafikan oleh isteri dan besarnya persoalan nafkah ini hingga ia menjadi ikatan untuk kita taat, malah si suami pada masa sama juga tentunya akan merasa bangga dapat memenuhi tanggungjawabnya kepada isteri.

“Jika suami isteri saling berlumba untuk menunaikan tanggungjawab, di sinilah akhirnya kita akan mendapat rumah tangga yang saling sayang menyayang.” katanya.

Anugerah daripada-Nya

Selain itu katanya, pasangan suami isteri juga perlu terus menyuburkan kasih sayang dan melapangkan hati dengan menerima dan melihat pasangan sebagai anugerah yang terindah daripada-Nya.

Ada yang melihat pasangan sebagai bala dan tindakan itu katanya, menyebabkan cinta menjadi lebih sempit.

“Sikap tidak bersyukur akan menyebabkan nikmat dan sayang yang lebih besar gagal mengalirkan cinta dalam rumah tangga.

“Pada masa sama, pasangan suami isteri perlu mengamalkan komunikasi berkesan. Elakkan dari menjerit-jerit dan sentiasa memilih perkataan yang baik.

“Ada yang sanggup mengeluarkan perkataan yang pedas, supaya pasangan dapat mengingati apa yang disebut sehingga akhir hayat mereka, tetapi tindakan ini menyebabkan kasih dan sayang tidak dapat subur dalam keluarga,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: