Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2018

Taqwa jadi ukuran kemuliaan

Posted by epondok di November 30, 2018

Oleh Zamri Hashim

 

Sesuatu yang sudah disepakati oleh semua ialah penilaian kemuliaan seseorang itu adalah taqwa. Ini jelas termaktub di dalam al Quran “Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa” (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).

Juga diterangkan oleh Nabi Muhamad SAW : “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi,)

Syarat utama taqwa yang menjadi nilai ukuran utama kemuliaan di sisi Allah SWT ialah beriman dengan Allah SWT, hari akhirat, beriman dengan kandungan al Quran dan sifat-sifat taqwa lain yang terkandung di dalam al Quran mahupun hadis Rasulullah SAW.

Pendek kata, taqwa hanya mampu diraih oleh orang yang mempunyai syarat paling asas iaitu seorang Muslim. Mustahil orang kafir dan mensyirikkan Allah itu menjadi orang yang bertaqwa dan meraih kemuliaan Allah SWT.

Jelas sekali, jika kita membuat perbandingan antara orang kafir dengan orang Islam yang mampu meraih taqwa adalah hanya orang Islam bahkan orang kafir tidak sekali-kali mampu meraih taqwa kerana mereka tidak mempunyai syarat paling asas iaitu keimanan kepada Allah SWT.

Jadi patut difahami dari ayat dan hadis di atas ialah persaingan untuk meraih taqwa adalah sesama orang Islam sementara orang kafir sejak dari awal lagi terkeluar dari persaingan itu.

Taqwa penentu nikmat-Nya

Satu perkara yang sering dilupakan ialah, sebagaimana ukuran kemuliaan individu itu adalah taqwa, begitu juga sesebuah kelompok sama ada berdasarkan komuniti sesuatu tempat mahupun bangsa dan keturunan diukur kemuliaannya berdasarkan taqwa. Ini bermakna taqwa bukan setakat menjadi ukuran kemuliaan kepada individu tetapi juga ukuran kemuliaan kepada kelompok termasuk pelbagai bangsa yang diciptakan oleh Allah SWT.

Allah SWT pernah mengingatkan sekelompok penduduk kampung, keimanan, ketakwaan dan kekufuran mereka akan menjadi penentu kepada keseimbangan pengurniaan nikmat daripada-Nya.

Firman Allah SWT : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan. (QS al A’raf :96)

Berdasarkan kefahaman di atas, mana-mana bangsa yang individunya adalah Muslim maka individu itu adalah berpotensi untuk meraih taqwa tanpa mengira bangsa sama ada Cina mahupun India. Di sinilah terserlah keistimewaan bangsa Melayu yang kesemuanya Muslim.

Apabila kita bercerita tentang bangsa Melayu seharusnya kita memahami bahawa bangsa yang hampir keseluruhannya adalah beragama Islam di negara kita adalah bangsa Melayu. Satu bangsa yang mempunyai modal asas untuk meraih taqwa daripada Allah SWT.

Bila disebut ketuanan Melayu, janganlah terus melatah dengan mengatakan ia adalah asabiyyah yang terlarang di dalam Islam kerana perjuangan orang-orang Melayu di negara ini berkait rapat dengan perjuangan mempertahankan ketuanan Islam di nusantara ini.

Ketuanan Melayu gaya Muslim

Tiada bukti sejarah ketuanan Melayu bermaksud menjadikan bangsa lain sebagai hamba.

Buktinya kita lihat pada hari ini bangsa lain jauh lebih menguasai ekonomi negara dan bebas berpolitik dan menyuarakan pandangan dan tuntutan bahkan mempertahankan bahasa, budaya dan mempunyai sekolah vernakular mereka tersendiri.

Memaknakan ketuanan Melayu sebagai orang Melayu Muslim sebagai tuan rumah kepada negara ini tidaklah salah dari sudut syarak kerana bangsa ini diistimewakan Allah kerana mereka adalah Muslim. Terbukti di dalam sejarah, darah bangsa inilah yang paling banyak tumpah mempertahankan pertiwi dan bangsa yang terbukti sangat baik hati, boleh berkongsi hidup dan kekayaan negara ini bahkan kerakyataan juga ditolak ansurkan kepada bangsa yang minoriti dan terbukti boleh hidup aman damai.

Faktor utama perkara ini berlaku adalah Islam mengajar dan mendidik bangsa Melayu bersikap begitu.

Cuma istilah ketuanan Melayu ini pernah disalahgunakan oleh segelintir kecil orang Melayu yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar dengan mengambil peluang mengaut keuntungan peribadi. Mereka ini tidak mewakili majoriti orang Melayu Islam yang lain. Jangan disebabkan nila setitik, susu sebelanga dibuang.

Ada pula pihak lain yang menggunakan kesempatan memomokkan istilah ini untuk untuk menuntut keadilan dengan slogan hak sama rata antara tuan rumah dan orang yang datang bertamu dengan memberi konotasi buruk terhadap istilah ini. Sedangkan di dalam Islam sama rata tidak semestinya adil tetapi keadilan itu ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Secara logiknya tuan rumah adalah adil untuk mempunyai keistimewaan daripada orang yang datang bertamu.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Permohonan masuk Pondok Sungai Durian, Kuala Krai sedang dibuka

Posted by epondok di November 30, 2018

Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2018 di Pondok Sungai Durian, Kuala Krai

Posted by epondok di November 29, 2018

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah 2018 di Pondok Munawwarah, Jelawat, Bachok

Posted by epondok di November 28, 2018

maps

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Mencintai nabi Muhamamd s.a.w syarat perkuat ummah

Posted by epondok di November 28, 2018

Oleh Latifah Arifin

 

ISTILAH tidak kenal maka tidak cinta cukup tepat menggambarkan Rasulullah SAW. Amatlah rugi sekiranya umat Islam meninggalkan sirah Nabi Muhammad SAW yang dapat ditelusuri kisah hidupnya, sekali gus menghubungkan jiwa kita dengan rohani Baginda yang diangkat di tempat tertinggi oleh Allah SWT.

Tidak sukar untuk mengenali Rasulullah SAW kerana segala kisah Baginda termaktub dalam al-Quran secara jelas, manakala perbuatan dan amalannya dapat dibaca menerusi tinggalan hadis yang diriwayatkan sahabat untuk dijadikan panduan hidup masyarakat Islam pada setiap zaman.

Apatah lagi dalam konteks hari ini, masyarakat termasuk umat Islam berdepan dengan krisis nilai sehingga turut memberi implikasi negatif kepada akhlak, jati diri dan kemanusiaan.

Hal ini dapat ditangani sekiranya kita dapat mengangkat semula Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan, sekali gus sentiasa berusaha ke arah menjadi umat yang lebih baik bukan sahaja di dunia tetapi mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

Pendakwah, Zul Ramli Mohamad Razali, berkata antara kemelut nilai yang melanda manusia hari ini adalah tidak dapat mengenal pasti apakah perkara paling penting dan perlu dihargai serta dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Elak kepentingan duniawi

“Adakalanya kita menganggap satu perkara itu sebagai bernilai sedangkan sebenarnya ia tidak langsung memberi manfaat.

“Nilai yang penting untuk manusia adalah kembali kepada jalan kebenaran hingga mereka akan faham perlunya seseorang yang memimpin supaya tidak terjerumus ke arah jalan menghancurkan.

“Antara perkara perlu diperbetulkan ialah manusia lebih banyak melihat kepentingan duniawi tanpa mengetahui cinta kepada Nabi Muhammad SAW yang amat bernilai harganya,” katanya.

Zul Ramli berkata, tidak mustahil untuk menggapai cinta Nabi Muhammad SAW walaupun pada zaman ini kita tidak mampu atau berpeluang melihat wajah atau berdepan dengan Baginda.

“Perasaan cinta tidak hanya wujud dengan melihat Rasulullah SAW kerana pada zaman Baginda dulu, ada manusia yang melihatnya tetapi masih ingkar dan tidak menunjukkan cinta.

“Jadi, faktor yang mengaitkan sukar untuk mencintai Nabi Muhammad SAW kerana tidak melihatnya adalah tidak tepat kerana kita masih boleh mengenalinya dengan menggunakan mata hati.

“Walaupun kita berada di dunia akhir zaman, ia tidak menghalang untuk mengenali Rasulullah SAW dan perasaan cinta itu wujud dalam hati setiap daripada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, cinta fitrah bagi setiap manusia. Apabila melihat kepada perkara atau benda cantik, secara tidak langsung kita akan mudah tertarik kepadanya.

“Semua perkara baik, cantik dan indah ada pada Rasulullah SAW. Jika kita lihat semula kepada sirah Baginda, jelas gambaran yang diberikan sangat sempurna khususnya akhlak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perasaan cinta tidak akan timbul sekiranya tiada usaha mengenali Rasulullah SAW secara serius dan antara cara mengenali ialah sirah, hadis serta akhlak Baginda.

Memperjelas akhlak Baginda

“Jika sekadar kenal menerusi sirah, ia tidak cukup lengkap kerana orang bukan Islam juga mengenali Nabi Muhammad SAW menerusi cara sama, bahkan mungkin mereka hafaz riwayat Baginda dengan lebih baik daripada kita.

“Malah, orang yang berulang-alik belajar hadis juga mungkin ada kelemahan dalam memupuk cinta terhadap Nabi Muhammad SAW sekiranya meninggalkan aspek paling penting, iaitu melihat akhlak Baginda,” katanya.

Justeru Zul Ramli berkata, antara peranan pendakwah hari ini adalah memperjelaskan akhlak Baginda akan mendorong kita untuk mengenal dan menzahirkan kecintaan Nabi SAW kepada masyarakat.

“Apabila kita tengok akhlak Nabi Muhammad SAW, pastinya akan terpaut, termasuk dalam kalangan orang Barat sendiri yang mengakui Baginda, tokoh yang hebat.

“Jika kita imbas kembali, zaman Baginda dulu, Islam berkembang pesat dan kuat yang semuanya atas faktor sama, iaitu adanya Rasulullah SAW.

“Amat penting untuk kita pupuk cinta Nabi ini kerana musuh Islam melihat Rasulullah SAW sebagai kekuatan utamanya,” katanya.

Suntik kesedaran

Antara ancaman dan agenda musuh, termasuk membuatkan masyarakat Islam lupa mengenai kisah Nabi Muhammad SAW yang turut dibawa menerusi orang Islam sendiri sehingga mengeluarkan pelbagai dakwaan palsu untuk menjatuhkan Islam.

“Racun paling berbahaya adalah menerusi pemikiran yang berlaku tanpa sedar hingga ada dalam kalangan umat Islam mempersenda dan mempertikaikan amalan selawat.

“Cara untuk mengatasinya, saya kira umat Islam perlu menjadi lebih kuat berbanding golongan ini, antaranya dengan menyuntik semula kesedaran terhadap mencintai Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau menambah, kesedaran terhadap hal ini perlu diberikan kepada semua golongan daripada pemimpin dan ulama hingga ibu bapa serta generasi baharu.

“Apabila setiap diri dalam umat Islam ada matlamat, maka secara tidak langsung ia akan digerakkan secara menyeluruh demi agama,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Formula 5S, raih syafaat Rasulullah

Posted by epondok di November 26, 2018

Oleh Siti Haliza Yusop

 

Ketidaksempurnaan amalan dan dosa yang dilakukan sepanjang kehidupan, akan membawa manusia kepada keadaan yang sukar di Mahsyar.

Ketika itulah kita mengharapkan syafaat Rasulullah SAW untuk melepaskan diri daripada kekalutan Mahsyar dan seksaan neraka.

Bagaimanapun dengan kelompongan dalam amalan kita, bagaimanakah untuk kita memastikan diri tergolong sebagai mereka yang berkesempatan menerima syafaat daripada Baginda?

Pendakwah bebas, Halim Hafidz, menggariskan lima formula yang boleh dijadikan rutin sebagai usaha untuk meraih keistimewaan syafaat Rasulullah SAW.

Halim berkata, formula 5S itu dimulai dengan amalan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang kepentingannya disebut dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Menurut Halim, berbeza dengan suruhan-Nya yang lain, perintah selawat tidak hanya disebut, bahkan dilakukan Allah SWT, sekali gus menggambarkan ‘tingkat’ kepentingannya.

“Allah SWT memerintahkan kita untuk solat, zakat, haji dan berpuasa tetapi Tuhan tidak melakukannya.

“Bagaimanapun apabila Allah SWT mengarahkan kita berselawat kepada Rasulullah SAW, perintah itu dimulakan dengan Tuhan sendiri berselawat kepada Baginda,” katanya kepada BH di sini.

Halim berkata, kelebihan selawat itu bukan saja akan memudahkan umat manusia menemui ‘jalan’ memperoleh syafaat di Mahsyar, bahkan akan diberi balasan 10 kali ganda oleh Allah SWT.

“Sekali kita selawat, Allah SWT akan membalas semula dengan berselawat kepada kita sebanyak 10 kali, manakala Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Orang yang rapat denganku di syurga nanti adalah yang banyak berselawat’,” katanya.

Beliau berkata, 5S kedua ialah amalan memberi salam ke atas Baginda yang boleh dilakukan di mana-mana saja pada apa waktu sekalipun.

“Saya pernah ditegur seorang sheikh kerana banyak selawat tetapi tidak memberi salam kepada Rasulullah SAW.

“Bagaimanapun dalam amalan biasa kita, salam buat Rasululullah SAW hanya dikirim kepada mereka yang bakal mengunjungi makam Baginda sedangkan lafaz ‘Assalamualaikum Ya Rasulullah’ boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Ia boleh diucapkan selepas bangun tidur atau ketika berada di hutan dan lautan,” katanya.

Halim mengakui penerimaan amalan memberi salam tidak begitu meluas seperti amalan selawat sedangkan gabungan salam dan selawat baik untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian.

Seperti perumpamaan tak kenal maka tak cinta, formula ketiga adalah menekankan kepentingan menguasai sirah Nabi Muhammad SAW untuk menanam rasa cinta mendalam kepada tokoh agung itu.

Melalui sirahnya, Halim berkata, umat Islam berpeluang meneladani akhlak Rasulullah dalam setiap perkara hingga dapat melihat bagaimana Baginda mendepani setiap situasi, selain mengikuti akhlaknya ketika berdepan dengan musuh.

Halim berkata, kita sering mengambil jalan mudah dengan melawan kekerasan menggunakan kekerasan sedangkan pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW itu membolehkan kita menyedari kelembutan Baginda.

“Daripada melawan sengketa dengan sengketa, mengapa tidak kita mencontohi akhlak ketika berdepan dengan musuh apabila Baginda sedar dibenci termasuk dibaling dengan najis setiap hari.

“Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak sekali melawan dengan cara kekerasan malah menziarahinya yang jatuh sakit hingga individu itu akhirnya memeluk agama Islam,” katanya.

Halim juga menganjurkan umat Islam mengikuti setiap sunnah Rasululah daripada sekecil-kecil hinggalah perihal besar termasuk memerintah negara.

“Sunnah ini terlalu banyak untuk dikira tetapi setiap apa yang dilakukan Baginda akan membawa manfaat untuk dicontohi dan mendekatkan kita hingga memperoleh syafaat nanti,” katanya.

Halim berkata, umat Islam juga perlu menyuburkan ingatan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW termasuk dengan sentiasa menyebut nama dan mengaitkan Baginda dalam setiap apa yang dilihat dalam kehidupan seharian termasuklah kebudayaan moden.

Sebagai contoh, Halim menyebut Halloween diraikan besar-besaran di Barat sangat sinonim dengan labu sedangkan ia sebenarnya sangat digemari Rasulullah SAW.

“Justeru sebagai umat yang amat menyayangi Rasulullah SAW, berbanding mengambil bahagian dengan perayaan itu, mengapa tidak kita luncurkan ingatan kepada Baginda setiap kali melihat labu.

“Ingatilah tanaman itu sebagai kegemaran Baginda dan elakkan daripada mengaitkannya dengan sambutan demikian,” katanya.

Halim berkata, kemuncak cara mengingati Rasulullah ialah meniatkan setiap apa yang dilakukan dibuat ‘untuk Nabi Muhammad SAW.’

“Apabila ingin memohon sesuatu, sentiasa sebut yang kita melakukannya ‘kerana Allah dan untuk Nabi Muhammad SAW’ kerana Baginda wasilah yang paling kuat untuk kita menyampaikan hasrat kepada-Nya.

“Moga-moga setiap apa yang kita hajati dan lakukan tentunya akan lebih lancar dan diberkati,” katanya.

INFO: Formula 5S raih syafaat

• ‘Selawat’ ke atas Nabi

• ‘Salam’ ke atas Nabi

• Kuasai ‘sirah’

• Amalkan ‘sunnah’

• Sering ‘sebut’ Nabi

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rahmat miliki ikatan hati cintakan Rasulullah

Posted by epondok di November 22, 2018

Kelahiran Nabi Muhammad SAW membawa rahmat dan barakah yang besar kepada alam ini sehinggakan terdapat syair menggambarkan kemuliaan serta kegembiraan menyambut kelahiran Baginda Rasulullah SAW.

Antara syair yang berkumandang tatkala kelahiran Baginda yang dirakam oleh umat terdahulu adalah ‘bibir zaman ini mengukir senyuman menerima kelahiran seorang insan yang agung’.

Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.30 pagi berkata, tidak ada perkara yang paling memberi rahmat dan keberkatan kepada alam maya ini selain menerima kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, umat Islam yang berkumpul secara beramai-ramai bertujuan memuji dan mengingati kelahiran Baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana perbuatan itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut Mohd Nazrul, sungguhpun ada sesetengah pihak melemparkan suara sinis mempertikaikan perbuatan mengingati kelahiran atau kedatangan insan agung ke dunia sebagai perbuatan bidaah atau seumpamanya, itu hanyalah pandangan dangkal dan cetek.

Mengingati kelahiran Rasulullah

Ajaran Islam sangat luas, cantik dan Islam itu sendiri menganjurkan kepada perkara yang membawa kebaikan. Seorang Mukmin yang ada iman di dada, ada kematangan dan kebaikan dalam dirinya tidak sesekali mempertikaikan perbuatan yang mengajak umat Islam untuk menyambut kelahiran Nabi SAW.

Bagi seorang Mukmin yang jiwa dan rohnya dekat dengan Rasulullah SAW, secara tidak langsung menghadirkan perasaannya untuk mengingati kelahiran Baginda dengan melaksanakan amalan baik seperti berhimpun beramai-ramai serta berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Menjelaskan lanjut, Mohd Nazrul membuat analogi suami yang mencintai isterinya tidak memerlukan sebarang dalil untuk menjelaskan perasaan cinta terhadap isterinya kerana manusia yang mencintai manusia lain, perasaan cinta itu terbit secara azali tanpa perlu dipaksa atau dicipta perasaan itu.

Riwayat mengisahkan mengenai seorang lelaki Bani Israel yang membuat kejahatan sehingga kaumnya membenci kejahatan lelaki itu. Apabila lelaki itu meninggal dunia, jenazahnya tidak diuruskan sebaliknya dilempar ke tempat pembuangan sampah.

Nabi Musa diberi wahyu oleh Allah SWT untuk menyempurnakan mayat lelaki itu. Nabi Musa dengan tangannya yang mulia menguruskan sendiri mayat lelaki berkenaan. Selesai menguruskan mayat, Nabi Musa ke rumah keluarga lelaki itu dan bertanya kepada isterinya: “Apakah amalan yang dilakukan oleh lelaki ini sehingga mendapat fadilat demikian iaitu mayatnya mendapat kemuliaan Allah SWT. Isteri lelaki itu menjawab: Sebelum tidur, dia meletakkan kitab Taurat di sebelahnya dan membacanya. Dalam pembacaannya apabila tiba pada satu nama, maka dia berhenti dan mencium nama itu. Nama itu adalah Nabi Muhammad SAW.”

Lelaki itu mempunyai ikatan hati yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW, malah hatinya telah ditakluk dengan nama Nabi Muhammad SAW. Justeru, Allah SWT memberi kerahmatan kepada lelaki yang memiliki hati yang kuat terhadap Baginda Rasulullah SAW.

Oleh itu, bagi seorang Mukmin yang mencintai Rasulullah SAW, mempunyai kekuatan perasaan yang utuh dan kuat kepada Baginda adalah satu perbuatan yang tidak ditolak oleh Allah SWT. Mempunyai rasa cinta dalam hati bukan sesuatu yang dipaksa kerana ia hadir secara semula jadi.

Mencintai Rasulullah SAW akan mendapat kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Sungguhpun umat hari ini tidak berpeluang menatap wajah Rasulullah SAW, tetapi perasaan cinta kepada Baginda tetap diterjemahkan dengan pelbagai cara asalkan tidak bercanggah syariat Islam.

Jika dilihat riwayat kehidupan Abu Lahab yang mempunyai peluang menatap serta hidup pada zaman Nabi SAW, tetapi kerana tiada iman di dada, Abu Lahab menolak ajaran Nabi Muhammad SAW.

Bebas hamba, kahwinkan anak dengan anak Rasulullah

Walaupun demikian, dalam satu riwayat menceritakan pada waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat gembira dengan kehadiran Baginda, sehinggakan membebaskan hambanya bernama Suwaibah kerana terlalu gembira. Bukan itu sahaja, Abu Lahab mengahwinkan anaknya dengan anak Rasulullah SAW.

Lantaran kasih terhadap Baginda, disebut dalam hadis riwayat Bukhari yang diceritakan Ibn Abbas, beliau bermimpi bertemu Abu Lahab dan bertanyakan apakah yang telah Allah SWT lakukan kepadanya di alam kubur. Lalu Abu Lahab menyatakan, pada setiap Isnin Allah SWT telah melepaskan dirinya daripada seksa kubur dan Allah SWT telah mengeluarkan air dari celah jarinya untuk diminum. Ini adalah pemberian rahmat dan pembalasan Allah SWT terhadap satu hari kegembiraan Abu Lahab menyambut kelahiran Nabi SAW ke dunia ini.

Jika hari ini, umat Nabi Muhammad SAW gembira sepanjang waktu apabila mengingati Baginda, apatah lagi pada hari kelahiran Nabi ke dunia ini, betapa besar rahmat dan kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.

Seseorang Mukmin yang cintakan Nabi Muhammad SAW menzahirkan perasaan kasih dan sayang dengan kebahagiaan serta kesyukuran mengenang kehadiran Baginda ke dunia ini. Malah, seorang Mukmin juga dianjurkan untuk sembunyikan kegelisahan serta kesedihan atas kewafatan Baginda yang jatuh pada hari sama dengan kelahirannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pendidikan perlu tekankan sirah, keperibadian Nabi s.a.w

Posted by epondok di November 21, 2018

Oleh Noorazura Abdul Rahman

 

Pengajaran sirah dan keperibadian Nabi Muhammad SAW pernah menjadi sukatan pelajaran yang utama dalam sistem pendidikan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

Penekanan terhadap sirah dan sahsiah itu, melambangkan tekad khilafah berkenaan untuk membina masyarakat khususnya generasi muda dan baharu yang sempurna.

Syeikhul Ruwaq Jawi di Mesir, Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari, berkata guru pada zaman Uthmaniyah yang mampu mengajar ilmu itu akan diberikan gaji khas berikutan fungsinya yang sangat besar dalam membentuk akhlak umat Islam ketika itu.

“Oleh itu empayar Uthmaniyah dikagumi dan bertahan 600 tahun sehingga abad ke-20 dengan sistem madrasah yang diamalkan sangat berpengaruh.

“Guru dalam empayar itu pula mampu mengajar kitab Syamail Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi dan kitab as-Shifa karya Qadi Iyadh sangat dihargai.

“Pengajian dan pengajaran melalui kitab ini akan mendekatkan masyarakat Islam dengan insan yang membawa syariat, iaitu Rasulullah SAW,” katanya kepada BH ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pinang, Pedu di sini.

Mohd Nazrul berkata, dalam konteks pembahagian ilmu dalam Islam, ilmu mengenali Rasulullah SAW menjadi fardu ain hingga wajib dipelajari oleh Muslim,”

Beliau yang juga Pengarang Kitab As-Syamil Fi Khulasatis Syamail (Kesempurnaan Peribadi dan Akhlak Rasulullah) berkata, hal itu boleh dicontohi oleh Malaysia dengan turut menyerlahkan pengajaran sirah dan keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam sistem pendidikan.

Mengenai penulisan kitab mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW, Mohd Nazrul berkata, beliau menghasilkan kitab As-Syamil Fi Khulasatis Syamail untuk memudahkan orang ramai memahami kitab dalam siri syamail (kesempurnaan Nabi SAW).

Katanya, selepas itu orang ramai boleh meneruskannya dengan mempelajari kitab Syamail Muhammadiyah dan As-Shifa.

“Kita perlu mengetahui cara Rasulullah SAW berkomunikasi dengan masyarakat dan sahabat termasuk cara Baginda bermuamalat apatah lagi zaman yang serba mencabar ini menuntut kita untuk mencontohi Baginda.

“Umat Islam kini sudah ‘liar’ ibarat kambing yang terlepas daripada tali tuannya, iaitu Rasulullah SAW hingga perlu kembali kepada Baginda.

“Apabila kambing kembali kepada tuannya, maka kita tidak akan sesat dimakan serigala seperti yang disebut dalam hadis,” katanya.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW: “Tiadalah dari suatu desa atau sahara yang berpenduduk tiga orang (atau lebih) yang tidak didirikan solat (jemaah) kecuali syaitan menguasai mereka. Maka tetaplah kamu berjemaah, sesungguhnya serigala itu hanyalah menerkam kambing yang terpencil dari kawanannya.” (HR Abu Daud dan Nasa’i)

Jelas beliau, dengan mengangkat kembali ilmu sunnah Nabi Muhammad SAW, umat Islam pada zaman sekarang akan terselamat daripada kemurkaan Allah.

Syamail Muhammadiyah diiktiraf sebagai kitab yang terkenal dan diterima dalam memberikan gambaran Nabi Muhammad SAW.

Kitab karangan ulama hadis kelahiran Tirmiz (kini Uzbekistan) itu, menjelaskan penampilan fizikal, tabiat dan rutin kehidupan Nabi Muhammad SAW, selain menyorot ibadat serta kerohanian Baginda.

Beliau menghimpunkan hadis yang diriwayatkan Sahabat RA dan ahli keluarga Nabi Muhammad SAW sehingga membacanya akan menjadikan kita lebih mengenali susuk serta peribadi Baginda.

As-Shifa atau judul panjangnya, as-Shifa bi Ta’rifi Huquq al-Mustafa pula dikarang oleh Qadi Iyadh yang dilahirkan di Ceuta ketika Dinasti Almovarid memerintah wilayah itu yang kini di Sepanyol dan pernah menjadi Kadi Kerajaan Amiriah Granada.

Kitab itu menjelaskan kehidupan Nabi Muhammad SAW termasuk ketinggian keperibadian dan mukjizat Baginda.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Rebut pahala, lembutkan hati dengan berselawat

Posted by epondok di November 20, 2018

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

RABIULAWAL adalah bulan ketiga dalam kalendar Hijrah yang dalamnya tercatat pelbagai peristiwa besar dan penting mengenai sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam yang sudah pasti menjadi ingatan kepada seluruh umat Islam.

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree mengimbas kembali sejarah nama Rabiulawal itu sendiri yang bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tumbuh-tumbuhan. Mengikut kebiasaan di tanah Arab, pada bulan Rabiulawal, pokok mula berbunga dan berbuah.

Lebih memberi makna besar, pada bulan inilah kelahiran Nabi Muhammad SAW, yang sekali gus menambah kemuliaan kepada bulan itu sendiri.

Dengan mengambil keberkatan dan kebaikan bulan Rabiulawal yang di dalamnya diberi kemuliaan kerana kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam haruslah mengambil sebanyak mungkin iktibar daripada peristiwa penting pada bulan ini untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.

Menurut Syed Abdul Kadir, umat Islam hendaklah menumpahkan sepenuh kasih dan sayang terhadap Nabi Muhamad SAW bukan hanya sekadar setiap kali mengingati bulan kelahiran Baginda semata-mata, tetapi ketaatan menurut sunah Baginda dan taat kepada suruhan Allah SWT diterjemahkan setiap masa dan waktu.

Setiap Mukmin yang mencintai Allah dan Rasulullah patut menunjukkan rasa kasih kepada Baginda dengan menuruti perintah Allah SWT dan Rasul melalui amal perbuatan yang akan memartabatkan ajaran Islam yang murni.

Zahir kecintaan kepada Nabi SAW

Syed Abdul Kadir turut mengulas mengenai pandangan sesetengah orang yang berpendapat bahawa sambutan Maulidur Rasul sebagai suatu bidaah, beliau mengambil pandangan ulama yang berlapang dada terhadap sambutan Maulidur Rasul sebagai perbuatan yang tidak bercanggah dengan Islam asalkan ia disambut mengikut syariat Islam.

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan untuk menterjemahkan kasih sayang dan cinta terhadap Baginda, tidak perlu dipertikaikan jika ia satu amalan yang membuatkan kita mengenang tarikh kelahiran Baginda.

Sesungguhnya setiap masa kita digalakkan untuk berselawat kepada Baginda, tetapi jika kita membuat sesuatu aktiviti seperti ceramah agama yang mengungkapkan kembali tentang sirah Nabi Muhammad SAW, berselawat dengan pujian terhadap sifat atau akhlak Nabi serta menganjurkan acara yang menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW adalah amat digalakkan.

Bagi umat Islam yang mencari kebaikan dalam kehidupan dan mengejar rahmat Allah SWT, digalakkan untuk melembutkan hati dengan mengambil kebaikan serta tawaran pahala Allah melalui selawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Syed Abdul Kadir berkata, mereka yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda SAW. Ia dizahirkan dengan mengamalkan sunahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu semata-mata.

Baginda Rasulullah SAW menyebut dalam sepotong hadis berkaitan dengan selawat ke atas baginda yang bermaksud: “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. ( Hadis Muslim)

Kelebihan berselawat

Dalam sebuah hadis lain Nabi Muhammad menyebut, seseorang mukmin yang berselawat ke atas Baginda bukan saja akan diberikan ganjaran pahala, tetapi dijanjikan syafaat Baginda di akhirat nanti. Sesungguhnya seseorang manusia yang mencintai Nabi sama jalannya seperti mencintai Allah SWT.

Syed Abdul Kadir juga menjelaskan mengenai kelebihan bagi seseorang yang selalu menghidupkan lidahnya dengan selawat kepada Rasulullah SAW adalah diberikan kelapangan serta hati yang lembut untuk menerima kebaikan.

Seseorang yang hatinya lembut mudah menerima ilmu atau apa juga amalan kebaikan yang difahami berdasarkan agama yang dipelajari akan dipamerkan melalui amal perbuatan dan akhlak diri.

Justeru kesempatan berada di bulan Rabiulawal, amatlah digalakkan seseorang Mukmin itu untuk menghidupkan bulan ini dengan lebih banyak amalan yang menjurus kepada kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sambutan Maulidurrasul s.a.w semarakkan kasih kepada nabi s.a.w

Posted by epondok di November 19, 2018

“ALLAH SWT berselawat ke atas Muhammad,” sering kita lafazkan sama ada dalam bentuk selawat mahupun qasidah yang mengandungi ucapan itu, sekali gus menunjukkan betapa agungnya cinta Allah SWT terhadap pesuruh-Nya itu.

Martabat Rasulullah SAW di sisi Allah SWT amatlah tinggi sehingga Baginda digelar kekasih Allah tetapi sejauh mana kita menghayati dan menjiwai cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad SAW?

Oleh itu, antara tanda dalam memuliakan Rasulullah SAW ialah menganjurkan Maulidur Rasul yang menjadi pengisian kerohanian amat baik kerana sekurang-kurangnya mampu mengingatkan setiap umat Islam supaya menjadikan Baginda sebagai panduan mengisi keperluan duniawi dan mengejar akhirat.

Selain selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, majlis Maulidur Rasul memberikan ilmu dan maklumat berguna kepada masyarakat apabila diisi dengan tausiyah atau ucapan oleh alim ulama serta pendakwah mengenai sirah dan sunnah termasuk doa untuk meraih keberkatan dan dilimpahi rahmat Allah SWT.

Pendakwah bebas, Habib Nael Ben Taher, berkata tujuan utama menyambut Maulidur Rasul adalah menyemai dan menyuburkan rasa bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada kita.

“Jika ada pihak yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar budaya, maka sesungguhnya ia sebaik-baik adat dan budaya. Sehingga saat ini, begitu banyak negara yang menyambut Maulidur Rasul sejak turun-temurun di seluruh dunia seperti Indonesia, India dan Mesir.

“Tujuannya adalah untuk menggerakkan semangat dan menyemai cinta serta rindu yang sejati kepada Rasulullah SAW. Ini kerana jika kita sentiasa ingat kepada Rasulullah SAW, kemuliaan itu akan kembali kepada kita sendiri kerana Baginda sebenarnya sudah dimuliakan, dicintai dan dirindui Allah SWT,” katanya kepada Ibrah di sini.

Beliau yang juga Pembimbing Majlis Rasulullah SAW Malaysia berkata, orang pertama menyambut Maulidur Rasul adalah Baginda sendiri. Ini kerana ada orang bertanya kepada Nabi SAW mengenai kelebihan puasa Isnin, Baginda bersabda: Hari Isnin adalah hari aku dilahirkan, hari aku diutuskan menjadi rasul dan hari al-Quran diturunkan kepadaku.” (HR Muslim)

“Menurut ulama, Rasulullah SAW yang mengikatkan hari kelahirannya sendiri dengan kesyukuran kepada Allah SWT, iaitu dengan melaksanakan ibadat puasa. Justeru kita perlu mengagungkan hari kelahirannya kerana Baginda sendiri bersyukur dan menyambut dengan ibadat yang mulia,” katanya.

Habib Nael berkata, Imam Ibnu Kathir menerusi kitabnya Al-Bidayah Wa An-Nihayah menjelaskan antara sambutan terawal Maulidur Rasul dibuat oleh Raja al-Muzaffar yang menganjurkannya pada Rabiulawal dengan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

“Beliau membelanjakan sebanyak 300,000 dinar setiap tahun untuk menyambut Maulidur Rasul di Ibril yang terletak berdekatan Syam, bermula 604 Hijrah hingga dihadiri rakyat yang datang dari segenap tempat.

“Raja al-Muzaffar dikatakan seorang alim, adil dan sanggup mengeluarkan hartanya dengan begitu banyak demi menyambut Maulidur Rasul kerana baginda mengetahui keagungan Nabi Muhammad SAW dan jasa terhadap umatnya yang kalau dikeluarkan seluruh harta dunia sekalipun tidak akan mampu membalas jasa itu,” katanya.

Susulan itu, kata Habib Nael, Maulidur Rasul disambut pada setiap zaman dan kawasan sehingga ulama menulis dan menghasilkan pelbagai kitab Maulid yang terkemuka.

Antaranya Maulid Ad-Daiba’i, Maulid Dhiya Ulami’ dan Maulid Simtut Durar yang mengandungi ayat al-Quran, hadis, sirah, syair dan doa munajat serta selawat kepada Rasulullah SAW.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang melabel majlis Maulidur Rasul menyimpang daripada syariat Islam. Habib Nael berkata, majlis sedemikian tidak terkeluar sama sekali daripada ajaran Rasulullah SAW.

“Dalam majlis ini, ada bacaan al-Quran, hadis Nabi, zikir, berselawat, bacaan sirah Nabi dan tausiyah daripada ulama mengenai Rasulullah SAW serta peringatan selain berdoa.

“Bukankah semua ini perkara mulia dianjurkan Rasulullah SAW. Selagi majlis itu tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan dalam islam, maka ia dibolehkan serta mendapat pahala atas segala kebaikan yang kita lakukan seperti yang ditegaskan Imam Ibnu Hajar, Imam Suyuti dan Ibnu Taimiyyah.

“Sekiranya majlis seumpama itu mengandungi perkara diharamkan, maka sudah tentu hukumnya adalah haram,” katanya.

Bagi pencinta Rasulullah SAW, Habib Nael berkata, mengingati Maulidur Rasul adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab:56).

“Kita meyakini Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam seperti yang jelas dalam al-Quran, maka Allah SWT memerintahkan kita bergembira dengan rahmat-Nya. Orang yang gembira terhadap nikmat Allah akan mudah bersyukur kepada-Nya.

Habib Nael berkata, Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menyatakan antara ubat penyakit ujub ialah gembira atas pemberian Allah SWT.

“Jika kita gembira dan berkata, ‘Ya Allah, segala puji-pujian kepada-Mu kerana melalui Nabi Muhammad SAW, kami dapat membaca al-Quran, menunaikan solat dan mengetahui bagaimana cara mendekatkan diri dan mencintai-Mu, sekali gus mempelajari bagaimana berakhlak mulia.’

“Bukankah hal ini akan menambahkan kesyukuran kepada hati sehingga dapat mengubati penyakit hati seperti sombong dan berbangga dengan amalannya sendiri atau ujub itu,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Amaluddin Mohd Napiah, berkata Maulidur Rasul bukan perayaan biasa sebaliknya sambutan majoriti kaum Muslimin di seluruh pelusuk dunia untuk menyatakan perasaan syukur kepada Allah dan melahirkan rasa gembira atas kelahiran serta keputeraan Nabi Muhammad SAW.

“Malah di sesetengah negara, sambutan ini berlangsung dari awal hingga akhir Rabiulawal dalam rangka menghayati dan menghidupkan sunnah.

“Tidaklah bermakna kita tidak mencintai Nabi Muhammad SAW pada bulan lain kerana setiap masa kita dituntut agama untuk berbuat demikian tetapi kemuliaan Rabiulawal yang dinisbahkan kepada kelahiran Rasulullah SAW ditunggu-tunggu dan membawa cahaya, sekali gus umat Islam menzahirkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah SWT,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kelahiran Nabi Muhammad SAW disebut-sebut jauh lebih awal daripada kelahiran Baginda yang termaktub dalam dalam kitab terdahulu seperti Injil dan Taurat bahawa akan ada penutup nabi yang lahir dengan pelbagai ciri serta petanda.

“Jadi, kelahiran Nabi Muhammad menjadi berita gembira yang ditunggu oleh kaum yang masih beriman di antara masa jahiliyah yang menimpa, malah Baginda seolah menjadi cahaya terang-benderang dalam kegelapan pada era jahiliyah.

“Imam Ahmad RA meriwayatkan hadis dari al-Irbadh ibnu Sariyah as-Sulami, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku berada di sisi Allah dalam Ummul Kitab, penutup Nabi dan Adam masih dalam bentuk tanah serta aku akan menjelaskan takwilnya kepada kalian: “Aku adalah doanya ayahku Ibrahim, berita gembira Isa kepada kaumnya, mimpi ibuku yang melihat cahaya keluar darinya menerangi istana Syam, demikian juga ibu sekalian Nabi melihat peristiwa yang sama.” (HR al-Hakim)

Amaluddin berkata, antara hujah ulama mengharuskan majlis Maulidur Rasul ialah kenyataan dikeluarkan mantan Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i.

“Beliau berkata, setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang tidak ditentukan syariat (Allah) waktu dan tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya.

“Begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat, maka hukumnya adalah harus. Apa yang selainnya (yakni ada larangan) adalah bidaah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya,.

Bahkan, ilmuwan Islam, bekas Sheikh al-Azhar, Sheikh Abdul Halim Mahmud memetik hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Sesiapa yang melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya. Sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya.” (HR Muslim)

Menurut Sheikh Abdul Halim, peninggalan salafussoleh (generasi tiga abad pertama dalam Islam) bagi amalan soleh ini selagi tidak bertentangan dengan syariat, apatah lagi ia membabitkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »