Tetapi terbuka kepada pengaruh yang bercanggah dengan syarak tidak dianjurkan. Pengaruh negatif bakal memberi kesan tidak sihat kerana menerima pengaruh asing memerlukan daya saring yang tinggi supaya ia tidak mendatangkan mudarat yang bercanggah dengan agama.

Ilmu mengenai akidah, ibadah, syariah dan akhlak menjadi asas penting mengukuhkan sikap dan pendirian seseorang supaya apa saja pengaruh yang mendatangi dapat disantuni dengan bijaksana.

Sebagai seorang dai’ atau pendakwah umpa­ma­nya yang berdepan de­ngan pelbagai macam situasi yang menuntut dialog dan pertukaran pendapat terjadi, keterbukaan sikap membimbing mad’u atau sasaran ke jalan yang benar. Ia kena disantuni de­ngan sabar dan bijaksana supaya maklumat yang berpindah dan keinsafan terhadap kebenaran berlaku.

Umpamanya kita menerima pluraliti atau kepelbagaian sebagai suatu realiti di negara ini. Ia perlu disantuni dengan bijaksana supaya rasa kesali­ngan membawa seseorang memahami perbezaan dan persamaan. Tetapi Islam tidak boleh menerima pluralisme dalam beragama yang mana diunjurkan semua agama itu sama benarnya. Perbezaan dari sudut akidah adalah perkara pokok tetapi etika interaktif yang terdapat pada agama-agama dalam hubungan sosial dan budaya diharuskan selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Begitu juga pendekatan liberal dalam memberi tafsiran terhadap agama. Al-Quran dan sunnah berpandukan wibawa ulama yang muktabar bukannya sebarang orang yang tidak mempunyai ilmu dan kepakaran dalam memberi tafsir ke­rana Sabda Rasullullah SAW: “Memutuskan sesuatu perkara dalam kalangan orang yang bukan ahli dalam bidangnya, tunggulah kehancuran”.

Dr. Zakir Naik adalah contoh yang baik dalam mengemukakan hujah-hujah keagamaan dengan merujuk kepada al-Quran dan juga kitab agama lain sebagai bandingan supaya apa yang disoal dijawab dengan jelas dan dalam banyak situasi orang yang bertanya diberi hidayah kerana hujah-hujah yang diberi bukan sifatnya emosional dan mengambil pendekatan menang-kalah tetapi risalah kebenaran mesti disampaikan sebaik mungkin.

Sering keterbukaan dalam debat terhadap sesuatu isu didorong dengan maksud mengalahkan pihak lawan supaya kemenangan dan populariti berada di pihaknya. Perdebatan dalam tradisi Islam ialah suatu proses mengemukakan hujah-hujah terbaik dan fakta serta analisis yang benar dan santun supaya kemenangan itu berada pada hujah yang benar.

Justeru keterbukaan sikap, pemikiran mestilah kena pada tempatnya. Jika keterbukaan tanpa pedoman ia boleh menyebabkan kecelaruan dan kekeliruan. Bersikap terbuka dengan maksud meningkatkan kualiti ilmu dan kefahaman terhadap sesuatu isu yang berfaedah memang digalakkan. Rasa perkongsian yang meningkatkan lagi martabat keinsanan amat dituntut kerana kualiti manusiawi mendorong keterbukaan terpedoman menjadi tunjang kepada keterbukaan sebenar berlaku.