Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kebebasan melampau mengelirukan umat Islam

Posted by epondok di Oktober 4, 2018


PERSOALAN kebebasan manusia sejak lahir hingga tidak perlu ‘diperhambakan’ dengan peraturan agama dan menolak tafsiran yang diberikan ulama sering menjadi gula-gula golongan liberalis.

Dua isu ini juga sering mengelirukan umat Islam khususnya golongan awam yang tidak mengikuti atau terdedah dengan tradisi ilmu agama yang sebenar.

Penolakan terhadap peraturan agama dengan menganggap akal rasional sudah mencukupi itu, menjadikan Muslim yang terpengaruh dengan dakyah berkenaan mempertikaikan hukum-hakam yang sudah tetap dalam Islam.

Pada masa sama, orang Islam yang terpedaya dengan slogan setiap orang mampu membuat penafsiran dan membentuk kefahaman berdasarkan akal sendiri pula, menambahkan kekacauan dalam pemahaman Islam dalam masyarakat.

Apatah lagi slogan itu ditambah dengan ulama bukan saja tidak maksum, bahkan mereka juga terdedah dengan hawa nafsu.

Dua kekeliruan yang merosakkan pemahaman masyarakat Muslim termasuk di negara ini terutama yang disebarkan oleh golongan liberal dibahaskan oleh Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.

Engku Ahmad Fadzil berkata, umat Islam di negara ini perlu diberi kefahaman yang lebih jelas supaya tidak terperangkap dalam dakyah yang dibawa kelompok terbabit.

Katanya, gerakan yang dibawa dari Barat ini sebenarnya bertujuan untuk menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad dan menunjukkan Islam sebagai agama yang batil.

Katanya, ancaman yang lebih radikal yang cuba dikembangkan oleh golongan ini, bukan saja memurtadkan orang Islam sebaliknya semua tunduk kepada ajaran lain.

“Golongan liberal cuba menyusupkan idea salah dalam minda masyarakat Islam dengan membawa prinsip kebebasan.

“Namun jika dilihat kembali, dalam ajaran Islam sememangnya terdapat kebebasan yang diterapkan kerana ia memudahkan penganutnya dalam melakukan ibadat, selain menjalani kehidupan seharian dengan wujud batasan yang diletakkan.

“Bagaimanapun golongan liberal ini menimbulkan kekeliruan yang sebenarnya memerlukan ulama, ilmuwan dan ustaz memperjelaskannya sebaik mungkin supaya umat Islam tidak termakan dengan hasutan yang dibawa,” katanya.

Engku Ahmad Fadzil berkata, kekeliruan yang sering dimainkan adalah dengan menyatakan manusia dilahirkan bebas hingga mendorong masyarakat supaya memikirkan mengapa mereka perlu diperhambakan dengan peraturan agama.

Beliau berkata, golongan ini menyatakan akal manusia sudah sudah cukup untuk memandu mereka kepada perkara baik dan buruk.

Katanya, kekeliruan yang dibawa oleh golongan ini boleh dianggap sebagai fantasi dan khayalan semata-mata.

“Memang betul, akal manusia dengan had dan batasan tertentu mampu membimbing ke arah kebaikan. Malah kanak-kanak yang sudah mumayyiz boleh dianggap mampu berfikir baik dan buruk kerana akalnya sudah matang serta berkembang dengan baik.

“Bagaimanapun akal manusia sebenarnya terbatas setakat mana pendedahan dan pengalaman diterima mereka, malah akal juga boleh dikalahkan dengan hawa nafsu dan kepentingan peribadi.

“Jadi akal manusia perlu kepada panduan hukum-hakam agama untuk membezakan antara perkara baik dan buruk,” katanya.

Selain itu, jelas Engku Ahmad Fadzil, kekeliruan yang sering dimainkan juga adalah mempertikaikan golongan ulama dan menganggap setiap orang mampu untuk mentafsir agama dengan sendiri.

Golongan liberal menyatakan tidak perlu terikat dengan ulama kerana mereka juga manusia yang tidak maksum dan terdedah kepada hawa nafsu serta penyelewengan sebaliknya cukup dengan berpandukan al-Quran serta sunnah.

Engku Ahmad Fadzil berkata, kekeliruan itu turut dipromosikan oleh ilmuwan dan intelektual yang mempunyai ilmu agama yang tinggi termasuk memakai gelaran ustaz serta ulama.

Katanya, penyelewengan yang dibawa ini menggunakan slogan yang betul tetapi maknanya diselewengkan.

“Selama ini fatwa yang dikeluarkan oleh ulama adalah berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Ulama boleh dianggap sebagai ‘khadam’ yang berkhidmat dengan menggali kefahaman yang benar terkandung dalam al-Quran.

“Hakikatnya, kita mengikut ulama kerana golongan itu ialah pakar dalam bidang agama dan bukannya disebabkan kita menganggap mereka maksum.

“Malah dalam kalangan ulama juga ada mekanisme untuk semak dan imbang, iaitu menerusi ijmak ulama yang menjadi benteng kepada penyelewengan hingga sebarang kesalahan yang dilakukan individu dapat dikesan serta ditolak,” katanya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya di antara hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Fathir: 28)

Menjelaskan ayat ini, Engku Ahmad Fadzil berkata, ia menjadi penghalang kepada golongan ulama daripada mengikut hawa nafsu dan melakukan penyelewengan.

Pengaruh dan ancaman liberalisme sememangnya diketahui sebagai agenda berbahaya kepada umat Islam kerana menerapkan kefahaman kebebasan melampau.

Apatah lagi perkara itu didorong oleh perbezaan politik yang melarat hingga wujudnya sifat taksub dan merosakkan kefahaman serta menimbulkan bidaah agama.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: