Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perbaharui kitab lama pikat anak muda

Posted by epondok di Oktober 2, 2018


Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian agama di Asia Barat pula, mereka didedahkan dengan kitab turath yang dihasilkan oleh ulama silam dalam bahasa Arab.

Bagaimanapun bagi orang awam yang mahu menggali khazanah keilmuan Islam, tetapi mempunyai kekangan sama ada penguasaan tulisan Jawi lama atau bahasa Arab klasik, mereka berdepan dengan kesukaran untuk memahaminya.

Justeru, timbul persoalan keperluan sama ada melakukan transliterasi daripada Jawi lama kepada Rumi, atau penterjemahan daripada bahasa Arab klasik kepada bahasa Melayu moden.

Ini bukan sahaja dapat memastikan khazanah ilmu tidak diabaikan oleh masyarakat awam di negara ini, bahkan dapat menambahkan perbendaharaan ilmu dalam bahasa Melayu sendiri.

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM) Nilam Puri, Prof Dr Mohd Muhiden Abd Rahman, berkata apa yang menjadi kebimbangan ialah ilmu dalam kitab ini hilang sedikit demi sedikit, apabila golongan tua yang berpengalaman dan berkelayakan mengajarnya sudah tiada.

“Saya lihat usaha yang serius perlu diambil, terutama pihak berkuasa dalam bidang agama atau pendidikan seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri atau Kementerian Pendidikan bagi memastikan warisan ini dimanfaatkan sepenuhnya.

“Begitu juga dalam kalangan sarjana dan cendekiawan Islam perlu berusaha memberi roh baharu kepada kitab lama ini, agar ia lebih relevan dan sesuai dengan generasi kini dan situasi semasa.

“Kebanyakan kitab ini bahasa dan tulisannya masih terikat dengan gaya serta ejaan lama, sekali gus sukar untuk difahami oleh generasi baharu hari ini,” katanya.

Beliau menambah, hal itu tidak sepatutnya dianggap sebagai halangan, sebaliknya perlu ada usaha, termasuk penerbitan semula dengan mentransliterasi dan menterjemahkannya dalam bentuk penulisan menggunakan gaya bahasa moden supaya lebih difahami.

Mohd Muhiden berkata, terdapat beberapa kitab lama yang disunting dan dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu moden yang amat sesuai dimasukkan dalam silibus, khususnya pada peringkat sekolah menengah dan universiti.

Beliau berpandangan, peringkat umur yang sesuai untuk mempelajari kitab lama ini adalah pelajar sekolah menengah, khususnya bermula tingkatan tiga dan ke atas.

“Antara kitab yang karya asalnya dalam bahasa Melayu Pattani lama dan sudah dimodenkan dalam bahasa Melayu ialah Munyatul Mosolli.

“Selain itu, terdapat banyak kitab turath bahasa Arab yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan ia sangat penting untuk diperkenalkan kepada generasi hari ini seperti Hadis 40, Riyadul Solihin dan al-Azkar karangan Imam Nawawi,” katanya.

Keistimewaan kitab lama

Mohd Muhiden berkata, banyak keistimewaan menimba ilmu agama daripada kitab lama ini, berbanding naskhah moden.

“Kitab lama atau turath antara sumber utama yang mempunyai nilai autentik tinggi dalam bidang ilmu agama kerana ia dihasilkan oleh mereka yang benar-benar berautoriti dalam bidang masing-masing.

“Justeru, kita akan memperoleh ilmu yang tepat dan dengan cara yang jelas kerana pengajaran kitab lama ini kebiasaan kandungannya secara terus dan satu persatu.

“Ia juga adalah wasilah dan peluang untuk ‘mendekati’ ulama silam kerana mereka dalam kalangan orang soleh,” katanya.

Ini bermakna, kata Mohd Muhiden, secara tidak langsung kita boleh mengenali diri ulama atau pengarang kitab berkenaan, dengan mempelajari karya mereka.

Penilaian kitab

Beliau menambah, kitab lama juga penting untuk memperkukuhkan kefahaman umat Islam daripada pandangan, fahaman dan falsafah ilmu moden serta Barat, yang bercanggah dengan agama.

Bagaimanapun, setiap individu yang ingin mempelajari kitab lama perlu menyelidiki sumber bacaan itu dari aspek autoriti dan memastikan ia tidak bercanggah dengan akidah Ahli Sunah Jamaah serta syariat Islam.

“Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melihat penulis sesebuah kitab, apakah pengarangnya betul-betul berautoriti dalam bidang yang ditulis atau sebaliknya.

“Kemudian tajuk atau topik kitab hendaklah mengikut keutamaan berdasarkan keperluan masing-masing.

“Dalam hal ini, sudah pasti keutamaan ilmu ialah akidah yang bersumberkan al-Quran dan hadis. Kemudian dengan ilmu syariat yang juga bersumberkan al-Quran dan hadis,” katanya.

Tinggalkan komen