Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hukum sebat syariah tidak kejam

Posted by epondok di Oktober 1, 2018


HUKUMAN sebatan syariah membabitkan kesalahan takzir yang dilaksanakan di Terengganu baru-baru ini mengundang polemik yang pelbagai. Ada pihak yang menyokong hukuman berkenaan yang dianggap sebagai menjalankan perintah dan hak yang ditetapkan Allah SWT.

Tidak kurang juga pihak menentang hukuman syariah ini dengan alasan ia hukuman yang menyeksa pesalah. Malah ada membawa tanggapan bahawa ia adalah satu bentuk hukuman rimba.

Menjawab tuduhan yang dilemparkan ini, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, pihak yang membuat polemik membabitkan hukuman sebatan syariah ini mempunyai agenda masing-masing.

Katanya, ada pihak yang ingin melihat penambahbaikan dalam institusi mahkamah syariah dan tidak kurang juga yang menggunakan isu ini untuk menjatuhkan reputasi undang-undang syariah yang dikuatkuasakan.

“Pertikaian membabitkan hukuman sebatan syariah ini timbul sebelum ia dilaksanakan di Terengganu lagi. Presiden Majlis Peguam terlebih dulu mengeluarkan kenyataan sebatan syariah ini sebagai undang-undang zalim dan kejam. Dianggap boleh memberi kesan psikologi kepada pesalah.

“Selain itu, ada juga kedengaran sebatan ini bukan sebahagian daripada ajaran Islam malah hukuman yang dilaksanakan akan mewujudkan perkembangan yang tidak sihat kepada perundangan Islam,” katanya pada Forum Hukuman Syariah: Keadilan atau Kezaliman yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Yang turut bertindak sebagai ahli panel pada forum terbabit adalah Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Abd Rahim Sinwan dan Ketua Penguatkuasa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Nik Zulhaiza Ismail.

Sebat beri pengajaran

Musa berkata surah An-Nisa’ jelas membahaskan mengenai hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah takzir.

Allah SWT berfirman “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukul mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (An-Nisa’ : 34)

Musa berkata, ayat berkenaan menjadi hujah dan dalil dalam perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan takzir.

“Sebatan dijadikan hukuman utama dalam kesalahan takzir untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada pesalah.

“Hukuman sebat dilaksanakan serta-merta selepas disabitkan kesalahannya dan selepas itu pesalah dibebaskan untuk membolehkannya menjalani kehidupan biasa berbanding hukuman penjara,” katanya.

Namun, dalam kes membabitkan pasangan lesbian yang dijatuhkan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, pesalah sudah diberi ruang untuk merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Mengenai hukuman yang dijalankan di tempat awam, Musa menjelaskan ia wajar dilaksanakan kerana kesalahan yang dilakukan juga adalah di tempat umum. Malah jelas Musa, Islam menggariskan tujuan hukuman dilakukan di depan khalayak sebagai berbentuk pencegahan.

“Bagi individu yang melakukan kesalahan, hukuman itu menjadi pencegahan kepada pesalah untuk tidak mengulang kesilapan yang sama sementara kepada masyarakat, orang yang hadir, bukan sekadar menyaksikan hukuman dijalankan tetapi mereka turut sama mendoakan pesalah supaya menjadi warga yang baik dan kembali ke jalan yang benar.

Sementara itu, Zamri berkata, dakwaan hukuman sebatan syariah yang dijalankan di Terengganu itu tidak mengikut lunas ajaran Islam perlu ditolak.

Beza antara hudud dan takzir

Beliau berkata, masyarakat perlu memahami dan tahu membezakan antara pelaksanaan hudud dan hukuman takzir. Hukum hudud sudah termaktub dalam al-Quran membabitkan hukuman kepada penzina yang mana pesalah boleh dihukum 100 sebatan manakala orang yang menuduh orang berbuat zina tanpa membawa saksi boleh dikenakan 80 kali sebatan.

“Berbeza dengan hukuman takzir yang mana pihak berkuasa menentukan hukuman. Namun hukuman itu mestilah tidak sampai mengeluarkan darah, tak mencederakan kulit dan tak mematahkan tulang pesalah.

“Hukuman syariah ini tidak sekejam didakwa, sebaliknya pelaksanaan hukuman sebatan itu juga ada syarat yang perlu dipatuhi.

Rotan yang digunakan bukan rotan yang sangat baharu sehingga boleh menyebabkan kesakitan yang kuat, bahkan bukan juga rotan tua, hingga pesalah tidak rasa apa-apa,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: