Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rukun Islam bentuk akhlak mulia

Posted by epondok di September 28, 2018


Rasulullah SAW diutus Allah untuk menyempurnakan akhlak mulia di tengah-tengah kehidupan umat manusia seperti maksud hadis: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR Baihaqi)

Justeru, Muslim perlu menjadi penunjuk nilai kepada akhlak mulia dalam kehidupan, sekali gus menonjolkan jati diri keislaman. Hanya dengan keadaan ini, barulah Muslim benar-benar mendokong risalah dibawa Baginda secara sepenuhnya.

Akhlak mulia ialah sifat perlu dihidupkan dalam diri Muslim seperti takwa, ikhlas, benar (al-sidq), amanah, adil, syukur, sabar, pemurah dan berani. Muslim juga mesti meninggalkan sifat tercela seperti munafik, syirik, khianat, zalim, bohong, riak, menipu, hasad dengki, melakukan perkara keji dan mungkar.

Seseorang individu apabila mahu menjadi Muslim, mesti memperaku dan meyakini akidah Islam yang terungkap dalam dua kalimah syahadah serta melaksanakan ibadah khusus, iaitu solat, puasa, zakat dan haji.

Justeru, akidah dan ibadah itu sendiri apabila dihayati setepatnya, berperanan aktif membentuk diri berakhlak mulia. Itulah yang disediakan dalam Islam dikenali sebagai Rukun Islam yang mencanai pembentukan akhlak mulia.

Setelah individu itu bersaksi memperakukan diri sebagai Muslim bahawa hanya Allah sahaja Tuhan wajib disembah dan memperhambakan seluruh diri kepada-Nya. Dia juga mesti memperakukan secara sekali gus bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah yang diikuti segala ajaran dibawanya daripada-Nya serta menjadikan segala muamalah harian Baginda sebagai uswah dan qudwah.

Yakin, beriman

Perakuan menjadi Muslim ini ialah satu titik tolak yang mempunyai makna besar dan signifikan kepada pembentukan akhlak mulia. Kawalan metafizik yang disediakan oleh keyakinan dan keimanan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa dalam semua perkara, menjadikan manusia tidak akan melakukan larangan-Nya dan menunaikan suruhan-Nya.

Sifat atau sikap inilah menjadi inti sari sifat takwa, iaitu melakukan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarang Allah SWT.

Kemudian, menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswah dan
qudwah pula ialah kunci utama pembentukan akhlak mulia. Ini kerana Baginda yang menjadi tempat rujukan ialah orang yang benar-benar memiliki akhlak mulia yang hebat seperti dijelaskan dalam firman Allah: “Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.” (Al-Qalam: 4)

Pelaksanaan secara sempurna terhadap tuntutan Rukun Islam, iaitu solat, puasa, zakat dan haji yang bertaraf Fardu Ain ialah pencanai serta penempa utama kepada proses pembentukan akhlak mulia. Ini jelas dalam solat, firman Allah SWT: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)

Jelas sekali dalam pelaksanaan tuntutan Rukun Islam, terpacak teguh unsur yang membentuk dan mendidik akhlak mulia. Setiap ibadah Fardu Ain ialah alat dan kaedah pendidikan ampuh dalam proses pembentukan akhlak mulia.

Bagaimanapun, proses pelaksanaan ibadah dalam Rukun Islam mesti ditunaikan dengan penuh sedar, ikhlas dan diangkat ke tahap yang diistilahkan sebagai ihsan, iaitu segala sesuatu dilakukan dalam ibadah daripada aspek modus operandi perlu disertakan keyakinan mendalam serta rasa kehadiran dan kebersamaan
Allah SWT yang sentiasa menonton setiap dilaksanakan dalam setiap detik waktu digunakan seperti yang terungkap dalam definisi al-ihsan yang diberikan Rasulullah SAW.

Laksana ibadah dengan ihsan

Ketika Rasulullah SAW disoal apa itu ihsan, baginda menjawab: “Bahawa kamu melakukan ibadah kepada Allah (dalam keadaan) seolah-olah kamu melihat-Nya; jika tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.”

Hanya apabila segala amalan terkandung dalam Rukun Islam dilaksanakan pada tahap itu, barulah amalan berkenaan dapat diharapkan untuk memberi sumbangan yang amat berkesan dalam proses pembentukan akhlak mulia.

Tidak hairan kita dapat menyaksikan Mukmin tekun melaksanakan solat atau puasa, tetapi masih tidak putus-putus melakukan maksiat dilarang agama atau ramai sudah menunaikan fardu haji, tetapi tetap melakukan pelbagai salah laku atau jenayah seumpama rasuah dan pecah amanah.

Dalam keadaan itu, ibadah orang berkenaan mempunyai masalah cukup besar pada tahap modus operandinya. Ini sama dengan kes wanita yang disebut Rasulullah SAW sebagai begitu banyak menunaikan solat, memberi sedekah dan berpuasa, tetapi lidahnya tidak putus-putus menyakiti jiran, maka Rasulullah SAW bersabda tempat perempuan itu di akhirat kelak ialah dalam neraka.

Berbekalkan maklumat itu dan mengamati ke tengah masyarakat Muslim semasa di serata dunia, termasuk di negara ini, maka dengan pasti boleh disimpulkan bahawa umumnya mereka masih belum selesai melaksana dengan tepat dan menghayati sepenuhnya tuntutan Rukun Islam, sama ada dalam bentuk langsung tidak menunaikan tuntutan tersebut, ataupun ditunai dalam keadaan tidak sempurna modus operandinya.

Dalam konteks negara ini, adalah sesuatu bersifat lumrah dalam kehidupan harian Muslim yang terperangkap dalam pelbagai gejala kebejatan akhlak yang ditemui dalam pelbagai sektor kehidupan politik, ekonomi dan sosial.

Bukanlah sesuatu yang sukar, misalnya untuk menemui laporan media massa dan data konkrit berkaitan gejala akhlak buruk, seperti penyalahgunaan dadah, anak tidak sah taraf, pembuangan bayi, rogol, pembunuhan, rompakan, lari dari rumah, rasuah dan pecah amanah, gaya hidup kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan perpecahan serius dalam kalangan ummah disebabkan politik.

Justeru, satu gerakan besar-besaran dalam bentuk pendakwahan dan pendidikan untuk membawa umat Islam kembali menghayati tuntutan Rukun Islam sangat penting demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

Pendekatan dakwah

Ia mesti digerakkan secara terancang di tengah masyarakat dengan memberikan fungsi kepada pelbagai institusi utama dalam masyarakat.

Bermula institusi keluarga di rumah, membawa kepada pelbagai rangkaian institusi kemasyarakatan, termasuk sekolah, masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media massa dan yang penting kerajaan. Pendekatan dakwah untuk memberi kefahaman mengenai perkara yang dihadapi dan seterusnya pendidikan formal dan tidak formal untuk melatih secara praktikal adalah dua aspek yang amat perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat kehidupan bermasyarakat.

Semua mesti dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan tepat bagi menjamin kejayaan dikehendaki. Sekiranya kerja pemulihan tidak dapat dijayakan, apalah maknanya kehidupan umat Islam. Cukup malang, apabila tuntutan Rukun Islam pun tidak berupaya dilaksanakan.

Mereka pastinya ummah yang kehilangan jati diri dan tidak berupaya berdiri tegap, apa lagi berasa bangga sebagai orang Islam. Kehilangan jati diri keislaman inilah yang sentiasa diusahakan oleh musuh Islam. Apakah umat Islam sendiri bersedia menerima dan berserah sahaja kepada keadaan malang ini?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: