Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tuan Hussain Kedah wariskan kitab, pondok

Posted by epondok di September 26, 2018


BALING: Perkembangan dakwah Islam dan tradisi ilmu di Kedah turut diwarnai dengan kehadiran alim ulama dari pelbagai wilayah di alam Melayu termasuk Aceh, Banjar serta Pattani.

Antara yang terkenal ialah Hussain Nasir Ibnu Muhammad Taib al-Mas’udi al-Banjari atau lebih dikenali sebagai Tuan Hussain Kedah, sekali gus menjadi ulama berketurunan Banjar yang masyhur di negeri itu pada awal abad ke-20.

Kehebatan ulama terkemuka itu dibukukan dalam karya Biografi Ulama Malaysia: Tuan Hussain Kedah: Penggiat Sistem Pengajian Pondok di Malaysia yang ditulis Ahmad Yumni Abu Bakar, Ahmad Fauzi Yahaya, Mustapa Abdullah dan Mohamad Kamil Ab Majid.

Ahmad Yumni yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UITM) Kedah, berkata ulama Banjar terawal yang berhijrah ke Kedah ialah Kadi Abu Su’ud Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari.

“Sebenarnya Kadi Abu Su’ud tidak pernah merancang untuk menetap di negeri ini tetapi kapal layar yang dinaikinya untuk pulang ke Banjar selepas menunaikan fardu haji mengalami masalah hingga memerlukan bantuan dan terpaksa singgah di Kuala Kedah untuk mendapatkan bekalan makanan serta minuman.

“Bagaimanapun ketika itu Kedah dan Siam masih berperang, iaitu sekitar 1710 hingga kapal terbabit diserang oleh panglima yang berkawal sebelum dibebaskan selepas penumpang kapal disiasat.

“Disebabkan kecerdikan dan mempunyai ilmu agama yang tinggi, Sultan Kedah, Tuanku Sultan Muhammad Jiwa mengangkat Kadi Abu Su’ud kepada kedudukan yang tinggi sebagai guru dan penasihat baginda serta mengahwinkan ulama itu dengan kerabat diraja Kedah,” katanya pada Majlis Bicara Karya Biografi Ulama Malaysia: Tuan Hussain Kedah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil di sini.

Ahmad Yumni berkata, Tuan Hussain Kedah ialah cucu kepada Muhammad Taib Mas’ud Kadi Abu Su’ud yang banyak memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat setempat bukan saja di negeri itu, bahkan di seluruh Tanah Melayu termasuk Perak dan Pulau Pinang.

“Tokoh agama yang dilahirkan pada 2 November 1863 di Titi Gajah, Alor Setar itu, membuka beberapa institusi pondok bermula dengan Pondok Alor Ganu pada 1897 hingga 1890; Bohor (1890 hingga 1912) dan Bagan Ulu, Pantai Merdeka (1912 hingga 1920).

“Selain itu, beliau turut membuka pondok di Selengkoh, Sungai Limau (1920 hingga 1924); Batu 16, Padang Lumat (1924 hingga 1929) dan akhir sekali al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Kampung Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai pada 1929 hingga 1936,” katanya.

Ahmad Yumni berkata, Tuan Hussain Kedah mengembara ke merata tempat untuk mencari ilmu pengetahuan sejak usia muda lagi.

“Beliau sangat berhemah tinggi dan bersifat tegas dalam melaksanakan perintah Allah SWT bukan saja dalam kehidupannya, bahkan membabitkan orang di bawah jagaannya,” katanya.

Sumbangan besar dakwah Islamiah Tuan Hussain Kedah ialah dalam bidang pengajian sistem pondok dan pendidikan, selain penulisan yang memperlihatkan kelebihannya dari sudut penggunaan pelbagai teknik penyampaian dalam karya ilmiah.

Beliau berkata, Tuan Hussain Kedah menghasilkan 19 kitab dalam tulisan jawi dalam pelbagai bidang termasuk bidang tasawuf, tauhid dan syariah.

“Antara karya agung beliau ialah al-Nur al-Mustafid fi Aqa’id Ahl al-Tawhid, Bidayat al-Talibin, Bunga Geti dan Majmu al-Iksir dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, berkata analisis terhadap tatacara penulisan dalam kitab Tuan Hussain Kedah dapat merumuskan bagaimana proses pemahaman dan asimilasi hadis dalam karangan ulama itu.

“Walaupun jauh daripada lengkap, hasil karya beliau dirasakan memadai untuk memberikan gambaran umum mengenai pandangannya dalam beberapa aspek berkaitan hadis.

“Beliau amat mengutamakan penggunaan hadis yang sahih dan berautoriti daripada sumbernya yang muktabar,” katanya ketika membentang kertas kerja Ketokohan Tuan Hussain Kedah Dalam Bidang Hadis.

Daripada aspek metodologi, Muhammad Mustaqim berkata, Tuan Hussain Kedah menampilkan ciri-ciri pengajian hadis yang diwarisi daripada tradisi keilmuan Makkah ketika itu.

Beliau berkata, walaupun terdidik dalam metode ulama tradisional, sikapnya yang sering mengkritik sebarang amalan dan pandangan yang dilihat bercanggah dengan nas agama mendekatkan dengan metodologi ulama reformis atau Kaum Muda.

“Semua pandangan dan buah fikiran yang dilontarkan dalam karyanya terutama dalam menangani perubahan suasana pemikiran serta sosial masyarakat pada awal ke-20, amat berharga dan relevan untuk tatapan umat Islam pada masa kini,” katanya.

Saranan Pensyarah ACIS UITM Kedah, Dr Mohd Nasir Ayub, supaya perbincangan tokoh ulama khususnya di Nusantara perlu dipergiatkan untuk tatapan masyarakat kini, perlu diberikan perhatian.

Mohd Nasir berkata, umat Islam di rantau Arab turut memberikan sumbangan kecemerlangan ilmu di Nusantara, sekali gus menjadikan gabungan daripada pengalaman keilmuan di Makkah, Madinah dan Mesir menyemarakkan semangat Islam untuk menyebarkan ilmu serta memantapkan akidah umat Islam.

“Tuan Hussain Kedah melalui penubuhan institusi pondok yang tersusun berjaya ditadbir urus dengan baik, selain melaksanakan sistem pengajaran berkesan sehingga mendapat sambutan ramai daripada pelajar seluruh Nusantara,” katanya yang membicarakan Kecemerlangan Ilmu Islam: Perbandingan Aspek Pemikiran Tuan Hussain Kedah dan Syeikh Badiuzzaman Said Nursi.

Sementara itu, cicit Tuan Hussain Kedah, iaitu Muhammad Nasri Osman, berkata dua pondok saja yang aktif sehingga kini dan dijadikan sekolah agama rakyat, iaitu Pondok Pokok Sena di Pulau Pinang dan Pondok Pak Ya Junid di Kedah, manakala selebihnya dibiarkan begitu saja tanpa diambil alih oleh mana-mana pihak.

Tuan Hussain Kedah pulang ke rahmatullah pada malam 17 Zulkaedah 1354 Hijrah dan disemadikan di tanah perkuburan wakafnya sendiri di Titi Gajah pada usia 72 tahun

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: