Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Umat Islam semakin hilang kesedaran jadi ummah terbaik

Posted by epondok di September 20, 2018


SUASANA tidak kondusif dan aspek kepemimpinan masyarakat yang rosak, termasuk pemimpin kaum Quraisy ketika itu, iaitu Abu Jahal menjadi faktor penghijrahan Nabi Muhammad SAW pada tahun ke-13 kenabian Baginda bersamaan 622 Masihi ke Yathrib yang kemudian dikenali Madinah.

Selanjutnya Madinah menjadi punca kemajuan peradaban Islam yang berkembang ke Afrika, Eropah dan hingga Nusantara khususnya Tanah Melayu, kini dikenali Malaysia.

Berkembangnya syiar Islam ke seluruh dunia berpunca daripada kepemimpinan Baginda yang sentiasa berusaha mendidik insan di sekeliling berubah daripada kejahilan dan kemusyrikan ke arah insan mulia bertamadun, berpendidikan dan beragama. Ia dilakukan menerusi pembinaan jiwa atau tarbiah ruhiyah bersumberkan wahyu Alah yang terhindar daripada kerosakan dan penyimpangan tauhid.

Peristiwa hijrah sudah berlalu dan tidak keterlaluan dikatakan selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, umat Islam menghadapi pelbagai cabaran khususnya krisis kepemimpinan. Ini bermaksud pemimpin yang datang dan pergi selepas zaman Rasulullah SAW memberikan kesan kesatuan umat Islam.

Namun, perlu diakui pemimpin Islam pada abad pertama selepas kewafatan Baginda, khususnya khulafa al-Rasyidin hingga kepada abad kedua selepas peristiwa hijrah berjaya mengurus umat Islam sehingga lahir ramai ulama dan ilmuwan di seluruh dunia.

Namun, senario kini berbeza. Hampir keseluruhan dunia Islam mengalami masalah atau kerapuhan kepemimpinan sehingga banyak negara Islam mengalami pelbagai masalah seperti di Asia Barat khususnya Lubnan, Mesir, Iraq, Libya, Palestin, Yaman dan Syria.

Syria ketika ini sedang mengalami krisis yang cukup menyedihkan kerana seolah-olah pemimpin negaranya sedang melakukan pembunuhan secara terbuka terhadap rakyatnya sendiri dengan bantuan negara lain demi mencapai cita-cita dan kepentingan sempit.Kesedaran kesinambungan peranan ummah.

Dalam konteks tanah air selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), umat Islam seolah-olah mengalami krisis kepemimpinan. Ini dilihat beberapa isu membabitkan ummah di negara ini yang ada kala terzahir kelemahan dan rendahnya imej Islam dalam kalangan bangsa lain.

Perkara ini berlaku berkemungkinan disebabkan faktor krisis kepemimpinan seperti ketidakupayaan memimpin. Umat Islam atau pemimpin utama negara umat Islam tidak lagi menjadi pemimpin dunia secara global walaupun kita mempunyai elemen dan kekuatan untuk memimpin khususnya pedoman al-Quran dan sunah serta peradaban tetapi kita gagal menggunakan segala kekuatan dan kelebihan.

Ia juga berpunca krisis keberkesanan. Satu fakta penting yang hilang daripada jiwa ialah kesedaran kesinambungan peranan ummah untuk terus memainkan peranan untuk menjadi umat terbaik.Allah berfirman yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) beriman (seperti yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang fasik.” (Ali Imran: 110).

Berdasarkan ayat itu, tokoh ketenteraan Islam, Rabi ibnu Amir menetapkan piawaian keberkesanan umat Islam dengan menyatakan Allah SWT mengutus umat Islam adalah untuk menghindarkan manusia daripada menyembah manusia, kesempitan dunia kepada keluasan dan daripada penindasan kepada keadilan berteraskan Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Hari kiamat akan datang ketika dunia dikuasai orang Rom dan Baginda menyebut beberapa sifat mereka antaranya: Orang Rom ialah orang yang bijak ketika berleluasanya fitnah, paling cepat sedar ketika tertimpa bencana, paling cepat bangkit berperang setelah pasukannya kucar-kacir, paling baik terhadap orang miskin, anak yatim dan golongan lemah. Kebaikan paling indah ialah mereka bangsa paling mampu mencegah kezaliman pemimpin.” (HR Muslim).

Berdasarkan hadis itu dapat difahami untuk menyelesaikan, bukan sekadar bergantung kepada kuantiti bahkan kemahuan untuk berusaha dan bekerja keras. Dalam hal ini, Nabi SAW menyebut orang Rom bersedia bekerjasama dengan masyarakat dan saling membantu orang miskin dan memberi perlindungan kepada orang lain. Dapat difahami orang Rom ialah bangsa mampu menyelesaikan masalah, sentiasa mengkaji menganalisis dan mampu untuk bertindak keluar daripada kesusahan dan kesukaran.

Perlu diakui kelemahan umat Islam kini ialah ketidakmampuan dalam berkomunikasi dan berinteraksi sesama Muslim, sekali gus memberikan impak yang besar kepada umat dan bangsa lain serta seolah-olah banyak bercakaran sesama sendiri serta gagal untuk menyelesaikan masalah yang ada dalam kalangan umat serta kelihatan saling bertentangan pendapat dalam banyak perkara.

Oleh itu, pada asasnya krisis kita hadapi ialah kelemahan dan tiada keupayaan memberikan pengaruh serta pembentukan pola fikir, membetulkan nilai rosak dengan nilai baharu.

Ketiga, krisis kesedaran terhadap nilai kepemimpinan dan sedar mengenai kepemimpinan yang menjadi amanah perlu dipertanggungjawabkan di dunia dan akhirat.

Saidina Umar Khattab pernah berkata: “Demi Tuhan, aku tidak boleh solat dan tidur dengan tenang. Pada suatu ketika aku membaca ayat-ayat al-Quran, namun aku tidak tahu apakah aku ada di awalnya atau di akhirnya kerana kesusahan aku memikirkan manusia sejak menerima berita ini, iaitu aku akan memangku jawatan Amirul Mukminin.

”Kini, ramai dalam kalangan pemimpin yang hilang kesedaran erti kepemimpinan sehingga akan wujudnya cinta berlebihan terhadap jawatan, kedudukan dan ini akan menyebabkan berlakunya perebutan, perlumbaan serta persaingan secara tidak sihat untuk menjadi pemimpin walau dengan apa cara sekalipun termasuk penipuan, curang atau menindas orang lain.

Ini bertepatan kata-kata ilmuwan terkenal, Tan Sri Prof Dr Muhammad Syed Naquib al-Attas yang menyatakan wujudnya manusia yang kehilangan adab. Selain lemahnya mental dan nilai kerohanian dalam diri yang menjadi sebahagian masalah umat Islam yang mengakibatkan kita gagal bermuhasabah sendiri, mengenali bangsa dan gagal mengenal nilai tawhidik dengan baik.

Oleh itu, umat Islam memerlukan langkah teratur dan tersusun untuk keluar daripada segala macam krisis yang ada khususnya tiga krisis yang sudah disebutkan akibat daripada krisis yang menimpa umat Islam yang umumnya diakibatkan hilang watak kepemimpinan yang dapat menjadi wakil tuhan di muka bumi atau yang disebut sebagai khalifatullah fil ardhi.

Saidina Umar sentiasa berdoa ketika beliau memegang jawatan khalifah: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada semangatnya orang fasik dan lemahnya orang bertakwa,”. Kemudian ada bertanya: “Adakah negara yang makmur akan hancur?

Beliau menjawab: “Ya, jika orang jahat menguasai orang yang baik.” (Ibnul Qayim)Sempena kita menyambut hari baharu Hijrah 1440 Hijrah ini dan negara kita beralih kepada kepemimpinan baharu, kita semua mengharapkan akan dikurniakan pemimpin mempunyai watak atau karakter nabi dan juga Amirul Mukminin yang sentiasa menegakkan keadilan, membela yang lemah, menghukum dengan adil serta membangun negara bangsa dengan nilai ketuhanan yang bersifat tawhidik.

Selamat tahun baru Islam 1440 Hijrah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: