Kebebasan dalam tradisi Islam berkait dengan adab. Adab kata setengah ilmuwan adalah disiplin akal, disiplin hati dan disiplin amal. Disiplin akal memandu seseorang berfikir dengan baik dan mendatangkan manfaat. Ilmu yang dijana, maklumat yang diterima menjadikan kita dewasa dan matang. Tanpa disiplin ilmu dan maklumat pemikiran tidak terarah dan ilmu yang silap dijadikan pedoman dan kehi­­langan adab boleh terjadi.

Disiplin hati amat penting bagi manusia kerana sentuhan rohaniah bersama akal budi yang tinggi bakal memandu hati ke arah amalan yang baik. Disiplin hati dalam Islam mengambil pertimbangan menegak (vertical relation) dengan Allah dan mengambil pertimbangan merentas (horizontal relation) dengan manusia dan sistem.

Manusia dan sistem amat penting disantuni dengan di­siplin supaya cerminan adab terjadi. Sesama manusia tegur sapa, saling hormat, tidak meninggi diri, berjiwa pembim­bing dan suka membantu membina asas muafakat dan kasih sayang. Dalam sistem jiwa muafakat menghasilkan produktiviti dan kualiti supaya kerja dan pengurusan terhubung sebagai ibadah. Disiplin amal amat penting menghasilkan sesuatu yang baik untuk dijadikan sumber teladan. Amal yang baik boleh memberi manfaat kepada manusia dan sistem. Amal yang baik sebagai buah ibadah mengambil kira faktor amanah, adil, jujur dan ikhlas supaya melakukan sesuatu kerana Allah terjadi.

Kebebasan dalam tradisi orang yang beragama membawa bersamanya nilai dan etika. Ia memberikan pedoman supaya faktor manusiawi menjadi pertimbangan. Kebebasan dalam tradisi Islam berpandukan faktor syarak supaya hal-hal yang terlarang tidak terjadi dan hal-hal yang makruf disuburkan. Ini akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada manusia dan sistem.

Dalam tradisi orang liberal agama tidak dilihat sebagai sumber pedoman. Agama dikaitkan dengan sesuatu yang dogmatik atau khayali. Cara berfikir dan melakukan sesuatu berasaskan rasional atau pertimbangan akal semata-mata dijadikan sandaran. Lebih buruk lagi naluri yang didukung oleh nafsu-nafsi boleh menyebabkan salah amal berlaku kerana pertimbangan melakukan sesuatu berlegar di sekitar berseronok-seronok, kepuasan kebendaan dan sifatnya duniawi yang melalaikan dan merosakkan.

Kebebasan ikut fahaman liberal tidak saja cenderung menolak pertimbangan agama tetapi melakukan sesuatu tanpa batasan boleh dan tidak boleh atau dalam tradisi Islam pahala atau dosa, halal atau haram. Pola lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berkembang di Barat adalah jalur daripada kebebasan tanpa batas.

Hak asasi manusia yang diperjuangkan tidak terkan­dung ciri-ciri manusiawi yang fitrah iaitu mengekalkan atau mengembalikan manusia kepada sifat jadinya yang asas. Sifat jadi yang asas bagi manusia adalah kasih sayang, rasa persaudaraan tinggi, kualiti manusiawi dan timbang rasa yang sifatnya menyantuni. Ini menyebabkan sifat adil dan amanah lahir. Dalam tradisi Islam amanah kepada Allah sebagai hamba dan adil sesama manusia sebagai khalifah memberikan pedoman supaya kebebasan yang dianut dan disuburkan berasaskan faktor syarak yang memberi batasan supaya kehidupan manusia sentiasa dalam fitrah.

Seorang ayah dan ibu mengharapkan anaknya beradab kepada orang tua, cintakan ilmu yang benar dan bermanfaat, menjadi insan yang memiliki kualiti manusiawi yang tinggi dan tidak terlibat dengan hal-hal yang tidak bermoral. Bagaimana membentuk disiplin diri kalau tidak dengan nilai etika agama yang betul?

Menjadi insan beradab perlu ada pedoman agama supaya salahguna tidak terjadi dan bebas menjadi terbabas kerana batasan dalam amalan dan perbuatan tidak dijadikan pedoman. Disebut oleh para ilmuwan, masyarakat akhir zaman ialah masyarakat yang sudah kehilangan adab. Adab yang bertunjangkan agama amat perlu dalam mencari makna kebebasan supaya kebebasan mengekalkan manusia berada dalam fitrah dan tahu batasan boleh dan tidak boleh.

 DR. SIDEK BABA