Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bencana alam, peringatan buat manusia

Posted by epondok di Ogos 24, 2018


BUMI dan alam semesta diciptakan Allah SWT dengan sangat menarik dan cantik dipandang mata. Tumbuh-tumbuhan menghijau dan langit biru memberikan pandangan yang menyegarkan. Ini membuktikan kekuasaan-Nya menciptakan segala isi langit dan bumi.

Namun sebahagian manusia tidak mengambil kesempatan daripada kurniaan dan penciptaan Allah SWT ini untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sekiranya kita memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya, kehidupan kita akan sentiasa diberkati dan diredai Tuhan.

Sebaliknya apa yang berlaku, alam tidak dipelihara dan dijaga bersama-sama hingga Allah SWT sentiasa mengingatkan kita agar sentiasa memelihara alam ciptaan-Nya yang mempunyai manfaat dan kebaikan kepada semua makhluk. Peringatan yang cukup jelas diberikan Allah SWT itu berbentuk bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh dan gempa bumi.

Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu musibah menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah dan sesiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)

Ayat ini menyatakan setiap ujian dan musibah diturunkan kepada hamba hanya dengan ketentuan serta kekuasaan-Nya. Ia mempunyai hikmah yang perlu difikir dan dinilai setiap Mukmin. Justeru, segala bencana alam yang sering dilihat dan dipaparkan dalam media adalah ketetapan Allah SWT yang memilih siapa yang akan menerima musibah itu, tempat dan waktu. Apa yang pasti, ia mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah.

Bumi semakin hari semakin tua dan menunggu pengakhiran, iaitu kiamat. Malangnya, manusia langsung tidak menyedarinya apatah lagi unutk menjadikannya sebagai peringatan. Kita dapat lihat bagaimana aktiviti tidak sihat kepada alam sering dilakukan pihak tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram dan pembuangan sampah ke dalam sungai. Ini akan memberi kesan tidak baik kepada sistem semula jadi, sekali gus menjejaskan persekitaran yang sempurna. Firman Allah SWT: “Telah jelas kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41)

Setiap musibah dan ujian diturunkan perlu dijadikan iktibar dan jangan kita mempersoalkan mengapa Allah SWT memperlakukan sedemikian sedangkan kita mengetahui Dia berhak atas kekuasaannya sendiri. Ia peringatan kepada kita untuk mencapai nilai ketakwaan dan keimanan tinggi. Hayati firman Allah SWT: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Al-Ahzab : 17)

Oleh itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar ujian seperti gempa bumi, tsunami dan ribut taufan membuka hati kita untuk terus beriman. Jangan sesekali bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan karut berkaitan bencana alam kerana ia boleh memesongkan akidah.

Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain Allah SWT. Kita juga perlu berdoa agar mereka yang ditimpa ujian dan musibah ini diberikan perlindungan sebaiknya. Semoga semua mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan kecekalan hati untuk meneruskan kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: