Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Ogos 2018

Perlu bersungguh sambut Zulhijjah, Aidiladha

Posted by epondok di Ogos 17, 2018

Oleh Latifah Arifin

 

UMAT Islam Menyambut Kedatangan Zulhijjah, Iaitu Bulan Terakhir Dalam Takwim Islam Dan Juga Tentunya Sinonim Dengan Ibadat Haji Serta Korban. Selepas Pecutan Ibadat Yang Dilakukan Pada Ramadan, Perkara Sama Perlu Diteruskan Secara Konsisten Khususnya Untuk Memanfaatkan 10 Hari Terawal Bulan Ini.

Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain hari yang 10 ini.” Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” (HR Ahmad)

Selain dikaitkan dengan ibadat terbabit, Zulhijjah juga memiliki banyak kemuliaan yang mungkin kurang diketahui atau diamalkan oleh masyarakat.

Oleh itu, setiap Muslim perlu menggali ilmu supaya tidak tertinggal kelebihan bulan yang bukan saja untuk mengejar ganjaran pahala, bahkan meningkatkan amal dan keimanan kepada Allah SWT.

Pendakwah santai, Abdul Halim Abdul Hafidz, berkata kelebihan 10 terawal Zulhijah banyak disebut dalam al-Quran dan hadis, bahkan turut diakui majoriti ulama.

Abdul Halim berkata, selain mengerjakan amal soleh seperti berpuasa sunat, solat jemaah di masjid dan berzikir, umat Islam digalakkan melakukan kegiatan bermanfaat seperti menghadiri majlis ilmu, mengeratkan silaturahim sesama Muslim serta meninggalkan perkara melalaikan.

“Dalam bab berpuasa, Rasulullah SAW memuliakan orang yang mengambil peluang menyempurnakannya bermula 1 hingga 9 Zulhijjah.

“Ia tidak bermaksud perlu buat sepenuhnya, sebaliknya bergantung kepada kemampuan individu dan puasa paling hebat jatuh hari kesembilan yang juga dikenali puasa hari tasu’a atau puasa Arafah.

“Orang yang berpuasa pada hari ini, mendapat kelebihan diampunkan dosanya selama dua tahun dan ia tidak dapat dijumpai pada puasa sunat yang lain,” katanya.

Abdul Halim memetik hadis mengenai puasa Arafat, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Ia menghapuskan dosa tahun lalu dan tahun akan datang.” (HR Muslim)

Beliau berkata, amalan yang digalakkan supaya dilaksanakan umat Islam itu bersifat sunat muakad, iaitu sangat dituntut dan digalakkan, manakala kedatangan Zulhijjah boleh diibaratkan hadiah oleh Allah SWT kepada kita semua hingga rugi sekiranya tidak mengambilnya.

Berkongsi sejarah Rasulullah SAW mengenai kemuliaan Zulhijjah, Abdul Halim berkata, masyarakat Arab Jahiliah yang memusuhi Baginda turut menghormati kedatangan bulan mulia itu.

“Ketika Nabi Muhammad SAW belum memulakan penghijrahan ke Madinah, Baginda dan keluarganya dikepung, selain turut dihalang dengan pelbagai cara termasuk dikenakan boikot ekonomi sehingga tidak boleh membeli makanan dan bekerja.

“Bagaimanapun, proses memboikot Baginda yang berjalan selama tiga tahun itu diberhentikan seketika hanya pada Zulhijjah. Ini kerana Arab Jahiliah amat menghormati bulan ini sehingga tidak dilancarkan peperangan atau melakukan sebarang provokasi terhadap Baginda,” katanya.

Justeru katanya, usahlah umat Islam bersikap tidak mengambil pusing dan menyambut kedatangannya secara ala kadar, sebaliknya menyemarakkan bulan berkenaan menerusi amal ibadat dan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Abdul Halim turut menyarankan masyarakat Islam mengambil tanggungjawab menggerakkan kempen pesta ibadat sempena kedatangan Zulhijjah.

“Jika kita tidak berpeluang menunaikan ibadat haji atau mengorbankan binatang sembelihan, usah perkara itu dijadikan faktor untuk tidak mengalu-alukan kedatangan Zulhijjah.

“Sebaliknya, berusahalah untuk melakukan pelbagai amalan yang tidak kurang hebatnya seperti sebelum ini kita bersungguh-sungguh mencari lailatulqadar,” katanya.

Abdul Halim mencadangkan masyarakat mempelbagaikan aktiviti dan kempen sempena sambutan Zulhijjah sama ada di peringkat masjid, surau atau kawasan kejiranan, sekali gus dapat membangkitkan kesedaran.

Antaranya dengan memperbanyakkan tazkirah atau ceramah khas Zulhijjah, menganjurkan iftar berjemaah bagi meraikan umat Islam yang berpuasa sunat dan majlis selawat.

Menyentuh Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah, Abdul Halim berkata, mengikut sejarah Islam, ia jauh lebih lama disyariatkan nabi terdahulu dibandingkan dengan Aidilfitri.

Jika dilihat secara teliti, sambutannya juga lebih besar kerana diiringi laungan takbir selama empat hari sedangkan Aidilfitri selama satu malam saja.

“Aidiladha disambut dengan ibadat besar, iaitu ibadat haji yang diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Malah ia bukan sekadar wajib, bahkan bersifat rukun.

“Sejarahnya juga jauh lebih lama kerana ia kesinambungan daripada syariat nabi terdahulu, iaitu Nabi Ibrahim AS ketika diperintahkan Allah SWT menyembelih anaknya, Ismail AS,” katanya.

Selain itu katanya, Aidiladha juga amat signifikan kerana ketika umat Islam daripada segenap pelosok dunia menunaikan ibadat haji, orang Islam di mana-mana pun melakukan ibadat sembelihan yang dapat mendorong kita berkongsi rezeki dengan agihan secara menyeluruh sama ada tergolong dalam kategori kaya atau miskin.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »