Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Ogos 2018

Tidak dalami agama punca mudah bidaahkan orang

Posted by epondok di Ogos 16, 2018

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

Gejala melemparkan tuduhan bidaah secara semberono terhadap amalan yang dilakukan dalam masyarakat Islam berpunca daripada tidak mendalami agama dengan cara yang betul.

Mudir Pondok Sekam, Pattani, Baba Ghazali Ahmad, berkata tindakan menuduh bidaah itu semakin membudaya dalam masyarakat Islam pada masa kini, sedangkan tuduhan itu dibuat terhadap amalan yang tidak dianggap bidaah berdasarkan kerangka ilmu dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baba Ghazali berkata, hanya perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan al-Quran dan hadis secara sabit sama ada dalam bentuk nas atau mafhumnya, barulah boleh dikira sebagai bidaah.

“Gejala membidaah ini wujud disebabkan kita tidak mengikut ‘silibus’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan sahabat RA.

Tidak lari manhaj sunah

“Walaupun sesuatu perkara itu tidak disebut secara jelas oleh Baginda, pengamalannya tetap dikira mengikut sunah sekiranya ia tidak lari daripada manhaj sunah,” katanya pada Forum Ancaman Aqidah di Abad Milenium di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra di sini.

Mengambil contoh zikir dan berdoa selepas solat, Baba Ghazali berkata, memang tidak diterangkan secara jelas mengenainya, namun terdapat ayat al-Quran dan hadis yang menganjurkan supaya kita berzikir dan memohon doa kepada Allah SWT.

“Allah SWT berfirman: Wahai orang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi mahupun petang. (Al-Ahzab: 41-42),” katanya.

Beliau mengingatkan proses untuk memahami agama secara mendalam bukannya mudah, sebaliknya ia memerlukan masa yang panjang.

Katanya, usaha untuk memahami manhaj yang dibawa Rasulullah SAW dan kemudian diikuti sahabat RA, memerlukan kita berpegang kepada al-Quran dan hadis dengan mengambil kira semua kaedah yang ditunjukkan dalam kitab suci itu dan riwayat yang ditinggalkan Baginda.

Tewas kepada ujian, fitnah

Baba Ghazali turut memberikan nasihat kepada pelajar yang akan sentiasa diuji secara tanpa disedari, iaitu ujian ikhlas dalam mendalami ilmu.

Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Jangan kamu mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan ulama, berdebat dengan orang bodoh atau memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu, maka neraka tempatnya.” (HR Tarmizi)

Beliau berkata, sesiapa yang memiliki niat dan tujuan tidak betul, maka individu itu akan kalah dengan pelbagai ujian dan fitnah yang mungkin dihadapinya dalam memahami agama Islam.

“Berapa ramai pada hari ini menghadiri majlis ilmu dan mempelajari ilmu agama dalam keadaan tidak ikhlas sama ada sekadar ingin mengisi masa lapang, mencari kesilapan dan kesalahan orang, bertujuan mendapat ganjaran tertentu dan ingin dilihat atau disanjung oleh sebahagian manusia.

“Allah SWT dan Rasulullah SAW murka terhadap ibadat yang tidak disertai dengan niat ikhlas. Ikhlas ialah perintah Allah SWT, manakala menuntut ilmu agama menjadi fardu ain ke atas setiap Muslim,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »