Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jasa Baitulmuqaddis kepada alam Melayu

Posted by epondok di Ogos 14, 2018


Nizam Yatim

 

Banyak pihak mu­ngkin menganggap ke­­sungguhan rak­yat Ma­­laysia memper­ta­hankan Bai­tul­muqaddis dan pendu­duk Palestin se­bagai solidariti saudara seagama.

Sebenarnya, langkah mempertahankan Baitulmuqaddis juga ada kaitan dengan sejarah lampau kerana tempat itu memberi sumbangan besar bagi mempertingkatkan pengetahuan bidang perubatan di Nusantara.

Minyak angin dan makjun yang telah digunakan di alam Melayu sejak dahulu adalah hasil pengajian tokoh perubatan Me­layu di Baitulmuqaddis. Individu berkenaan juga dikenali sebagai ulama tersohor.

Menurut penulis, antara ulama terkenal Nusantara yang mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di Baitulmuqaddis ialah Wan Ahmad Wan Muhammad Zain (1856-1908) atau lebih dikenali sebagai Sheikh Wan Ahmad Zain Al-Fatani.

Beliau adalah salah seorang daripada ulama Melayu yang bertanggungjawab mengembangkan syiar Islam di Nusantara. Beliau juga mahir dalam pelbagai bidang lain termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran.

Dalam buku ini, penulis menjelaskan bahawa selain Baitulmuqaddis, Wan Ahmad yang dilahirkan di Kampung Sena Janjar, Jambu, Pattani turut belajar di Mekah dan Mesir. Di Baitulmuqaddis pengajiannya khusus dalam bidang kedoktoran selama dua tahun.

Antara yang mengajar beliau ialah doktor termasyhur ketika itu yang berasal dari Kabul, Afghanistan iaitu Sheikh Abdur Rahim Al-Kabuli.

Kemahiran itu kemudiannya turut dikongsi dengan semua pihak menerusi penulisannya dalam dua kitab dan salah satu­nya adalah Tayyib al-Ihsan Fi Tibb al-Insan pada 1894. Beliau turut menulis catatan mengenai eksperimen terhadap pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan spesies binatang yang boleh digunakan untuk mengubat bermacam-macam penyakit.

Menerusi catatan itu, telah terbukti Wan Ahmad cuba menggabungkan hasil pengajiannya dengan penelitian beliau sendiri yang bersumberkan khazanah yang terdapat di alam Melayu.

Beliau kemudiannya me­nyam­bung pengajian dalam bidang aga­ma di Universiti Al-Azhar, Mesir selama tujuh tahun sekali gus menjadikannya antara anak Me­layu terawal yang pernah me­nuntut di pusat pengajian tinggi Islam yang tersohor itu.

Setelah tamat belajar di Mesir, beliau telah memberi tumpuan untuk mengajar pelbagai bidang ilmu di Mekah. Antara sumba­ngan Wan Ahmad yang lain adalah untuk meyakinkan khalifah Empayar Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II untuk menyokong dan membiayai penerbitan kitab-kitab ulama Melayu.

Sokongan daripada khalifah empayar berkenaan amat pen­ting berikutan sikap pihak pentadbir Mekah ketika itu yang hanya membenarkan penerbitan kitab-kitab berbahasa Arab.

Pada 1884, beliau dilantik oleh khalifah empayar itu sebagai Ke­tua Kilang Percetakan Al-Amiriyah di Mekah untuk menerbitkan kitab-kitab karya ulama Melayu.

Dengan kemudahan percetakan itu, kitab-kitab agama berbahasa Melayu dapat dilakukan dalam skala besar-besaran sekali gus dapat memesatkan perkembangan sistem pendidikan Islam.

Kehebatan beliau sebagai ula­ma tersohor terletak pada ke­lebihan dirinya yang mampu me­nguasai 47 bidang ilmu agama dan ilmu lain seperti bahasa, politik, perubatan dan kimia sehingga mampu membuat ramuan untuk menghasilkan emas. Beliau telah menghasilkan 54 karya dalam bahasa Arab dan 41 dalam bahasa Melayu.

Ketokohan beliau telah menyebabkannya menjadi sasaran untuk didekati Snouck Hurgronje, seorang sarjana Belanda yang terkenal kerana muslihatnya mendalami ajaran Islam demi kepentingan agenda penjajah itu.

Bagaimanapun, muslihat itu disedari Wan Ahmad yang me­ngambil sikap tidak melayan segala tipu daya orientalis terbabit yang menggelar beliau sebagai a savant of merit (seorang sarjana yang terulung).

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: