Hak asasi warganegara Malaysia sentiasa dipelihara berdasarkan acuan, adat dan budaya serta kerangka yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Ketetapan ini merupakan pendirian jitu yang berakar sumber ruh, watak dan semangat negara ini semenjak sekian lama. Sebagai golongan yang diamanahkan untuk mentadbir negara ini, seharusnya para menteri yang dilantik meletakkan undang-undang, sejarah dan naratif negara sebagai garis panduan utama dalam menjalankan tugas mereka. Mereka haruslah sentiasa ingat bahawa mereka tertakluk pada sumpah jawatan yang dilafaz dan ditandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

Golongan LGBTQ ternyata menjunjung fahaman dan gaya hidup yang mengetepikan acuan, adat dan budaya serta undang-undang negara. Kepincangan mereka semakin tegar sekali sehingga membolehkan mereka menuntut agar gaya hidup mereka diterima sebagai suatu norma. Tuntutan mereka disuarakan melalui platform organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memekik dan melaungkan desakan mereka yang sudah tentu bersifat dititik belah, dipalu datar.

Desakan yang mendatangkan kemudaratan haruslah ditangani dengan bijaksana dan berkesan. Sebagai contoh, dalam menormalisasikan kewujudan golongan LGBTQ, mereka juga mendesak agar takrifan dan pemahaman masyarakat kepada perkataan ‘jantina’ digantikan dengan istilah yang lebih inklusif iaitu ‘gender’. Penerimaan istilah gender memberikan ruang yang amat luas untuk mengiktiraf golongan LGBTQ sebagai normal dan duduk sama tinggi dengan mereka yang mengamalkan kehidupan berdasarkan peranan jantina biologikal. Hal ini hanya akan menyebabkan kepincangan yang teruk kepada masyarakat apabila perkara yang sudah terang merosakkan dianggap sebagai suatu kebiasaan.

Selain itu, antara desakan yang paling sumbang yang mereka adakan adalah dengan menuntut agar undang-undang yang mengharamkan hubungan di luar tabii dimansuhkan. Undang-undang yang wujud bagi memelihara agama dan keharmonian hidup sosial negara telah dicemuh sebagai ketinggalan zaman dan tiada lagi tempat dalam era ini. Walhal undang-undang ini, walaupun sudah bertahun diterima masuk ke dalam kerangka perundangan negara, masih memainkan peranan penting dalam memastikan keluarga sebagai unit asas sosial diberikan martabat dan peliharaan yang utuh.

Golongan ini bukan saja mendesak agar gaya hidup songsang mereka diiktiraf, bahkan lebih biadap lagi, mereka memanggil sebarang inisiatif untuk mendidik masyarakat tentang kepincangan LGBTQ sebagai sesuatu yang memudaratkan dan mendiskriminasikan golongan ini. Sebagai contoh, Program Mukhayyam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dikecam sebagai mengundang gangguan kepada pengamal LGBTQ sedangkan pendekatan tersebut adalah untuk menyantuni golongan mereka bagi membantu menguatkan daya tahan emosi dan rohani golongan ini. Malah, ruang untuk memelihara hak-hak beragama mereka yang pernah terjerumus ke dalam kancah kehidupan songsang itu juga dapat dizahirkan melalui pendekatan alternatif yang dijalankan melalui dokongan pelbagai pihak yang ikhlas membantu pihak berautoriti agama Islam.

Ini adalah penting kerana data yang didapati melalui kajian pakar menunjukkan golongan LGBTQ ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental dan kemurungan. Bukankah sebarang program yang membantu untuk menguatkan kesihatan mental mereka dengan memberi pengisian rohani adalah sesuatu yang baik dan wajar diberikan lebih banyak ruang? Atau adakah mereka yang mencemuh program-program yang menyantuni LGBTQ sebetulnya mahukan golongan ini terus dihimpit masalah mental yang berterusan tanpa penyelesaian?

Dalam menangani masalah yang dihadapi oleh golongan LGBTQ, tiada penyelesaian mudah yang boleh dianggap pukul rata sebagai satu-satunya cara penyelesaian yang terbaik untuk mereka. Keangkuhan segelintir pejuang LGBTQ hanya akan merosakkan lagi golongan ini. Seharusnya sebarang langkah yang diambil untuk memastikan hak asasi manusia yang paling asas kepada semua warganegara Malaysia secara lebih komprehensif perlulah dialu-alukan dan ditambah baik.

Ramai kalangan pengamal perubatan yang berpandangan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dalam menangani sesuatu penyakit. Untuk itu langkah kerajaan dalam mengharamkan sebarang tingkah laku yang memudaratkan haruslah diteruskan. Sebagai contoh, pengharaman hubungan di luar tabii seperti di bawah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) adalah turut berkait rapat dengan penjagaan kesihatan.

Membimbangkan

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan seks songsang mempunyai risiko setinggi 46% untuk menyebarkan penyakit virus imunodifisiensi manusia (HIV). Data ini membimbangkan kerana isu ini turut melibatkan penjagaan kesihatan negara.

Saban tahun peruntukan kewangan untuk bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital kerajaan semakin berkurangan. Sebagai contoh, peruntukan negara untuk ubat-ubatan pada tahun 2018 adalah RM4.1 bilion. Walaupun jumlah ini dilihat besar, namun sebetulnya adalah masih rendah berbanding syor yang dikemukakan oleh Pertubuhan Perubatan Sedunia (WHO). Kebimbangan akan timbul apabila ubat-ubatan yang diberikan melalui subsidi kerajaan tidak mencukupi untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia terutama mereka yang berpenyakit sensitif dan memerlukan ubatan yang lebih mahal, seperti pesakit HIV.

Adakah pendokong LGBTQ sedar akan kesan yang menimpa negara bukan saja daripada aspek sosial, perundangan, bahkan kewangan negara apabila amalan songsang dibiarkan berleluasa tanpa kekangan? Sebarang tindakan yang menguar-uarkan cara hidup yang menghakis kehidupan yang sejahtera adalah langkah yang biadap dan tidak bertanggungjawab kepada penjagaan masyarakat majoriti. Samalah juga dengan mereka yang mengambil risiko untuk tidak menvaksinkan bayi mereka dan mengharapkan tiada penyakit yang akan menular di dalam negara yang boleh mendatangkan bahaya kepada keluarga dan masyarakat dek tindakan mereka.

Sebarang initiatif untuk menyantuni golongan LGBTQ perlu mengambil kira hak asasi mereka sebagai manusia untuk mendapatkan kemudahan asas seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, serta perlindungan daripada ancaman kepada hidup mereka. Bagi membolehkan mereka untuk hidup dengan bermaruah juga, golongan LGBTQ harus dibantu untuk mendapatkan sumber hidup yang elok. Dr. Mujahid Rawa menyebut bagaimana 80 peratus daripada golongan transgender terlibat dalam industri seks. Dapatan ini membimbangkan kerana risiko kepada masalah kesihatan yang tinggi dalam industri seks masih tidak dapat dibendung.

Kendatipun wujud keperluan untuk memastikan hak asasi mereka dipelihara, tetapi ini tidak bererti memberi pengiktirafan kepada mereka untuk terus hidup dalam amalan yang tidak bermoral dan berisiko tinggi. Setiap warganegara mempunyai hak yang sama rata untuk memastikan golongan minoriti tidak mendatangkan risiko kemudaratan kepada golongan majoriti, termasuklah daripada segi kesihatan. Janganlah nanti ikan sekambu rosak dek ikan seekor.

Apabila berbincang tentang hak sesuatu kumpulan, suka untuk penulis tekankan, kita haruslah bijak untuk tahu tentang tanggungjawab yang perlu digalas oleh mereka. Kewujudan sesuatu kumpulan sebagai golongan rentan tidaklah sehingga membolehkan mereka untuk hidup tanpa sebarang sekatan. Masih ada tatakrama yang harus mereka halusi dalam memastikan kehidupan bermasyarakat terpelihara. Tidak wajar sekali untuk mereka yang mendesak dan melaung-laungkan slogan hak asasi manusia mengambil pendekatan simplistik tanpa mengimbangi tuntutan mereka dengan tanggungjawab yang harus dihormati.