Menurut Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, penukaran jantina bermaksud lelaki menyerupai pe­rempuan iaitu meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti wanita dari segi perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung atau dari segi gaya bercakap seperti bercakap sengaja dengan suara yang halus dan lanjut atau dari segi berjalan seperti berlenggok-lenggok dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara itu, seorang perempuan meniru gaya lelaki adalah dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala dan seum­pamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki. Sehubungan itu, perkara yang dilarang menyerupai jantina lain adalah mengubah bentuk fizikal termasuk jantina, gaya berjalan, gerak badan, percakapan suara, perhiasan dan pakaian.

Hukum menukar jantina adalah haram dan berdosa besar. Maka dengan itu, bagi sesiapa yang terpesong daripada akidah Islam ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT kerana masih belum terlambat selagi mana nyawanya masih belum ditarik oleh malaikat atas perintah Allah SWT.

Ini kerana Allah SWT melarang hambanya menukar ciptaannya apatah lagi ia semata-mata kerana nafsu dan kepuasan diri sendiri. Perbuatan ini adalah bertenta­ngan dengan ajaran Islam kerana menukarkan ciptaan itu seakan-akan menganggap ciptaan Allah SWT tidak baik dan tidak sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah, dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata.” (Surah An-Nisa’: 119)

Sebagai seorang Muslim yang beriman, apabila mengetahui sesuatu kemaksiatan maka wajib mencegahnya mengikut kemampuan dan kesesuaian kita. Sekurang-kurangnya, apabila di akhirat kelak, apabila ditanya oleh Allah SWT, maka kita mampu untuk menjawabnya terutama berhubung tentang kelakuan dan tindak tanduk yang dilakukan oleh saudara-saudara di sekeliling.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri (r.a), beliau mendengar Rasulu­llah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa dalam kala­ngan kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan ta­ngannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Gejala ini tidak lain tidak bukan adalah pengaruh budaya Barat yang telah diterapkan ke dalam jiwa dan diri masyarakat kita terutamanya dalam kalangan umat Islam. Lebih menyedihkan, golongan ini langsung tidak segan silu dengan mempamerkan perwatakan mereka kepada khalayak ramai.

Ada juga dalam kalangan mereka yang menukar perwatakan mahupun jantina semata-semata kerana ingin mempromosikan jualan produk seperti produk kecantikan, pakaian dan sebagainya.

Ini sama sekali bertentangan de­ngan syariat Islam dan seakan-akan memperlekehkan pencip­taan dan perancangan Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana.

Di samping itu, antara kesan dan permasalahan yang timbul berkaitan isu jantina ini adalah ketika pernikahan, memandikan jenazah dan batas-batas dalam pergaulan seharian.

Sehubungan itu, semua pihak tidak kira sama ada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), jabatan kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan harus menjalinkan kerjasama untuk membanteras dan menangani isu ini dengan lebih berkesan.

Masih ada ruang bagi sesiapa yang telah jauh tersasar dalam mengenal pasti jati diri dan perwatakan sebenar mengikut jantina masing-masing. Ingatlah, ba­hawa ciptaan Allah SWT adalah sebaik-baik ciptaan.

Tiada kekuatan dan kuasa lain yang mampu untuk melawan kehebatan dan kebesaran Allah SWT apatah lagi mahu memper­lekehkannya. Oleh itu, perba­nyakkan beristighfar dan berdoa memohon keampunan kepada Allah Maha Pengampun di atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.

Janganlah sesekali kita mencuba untuk menukar perwatakan diri sendiri dengan menukar jantina. Sesungguhnya azab Allah SWT menanti golongan yang terus menerus mengikut arus kehidupan yang negatif ini sedangkan Allah SWT jualah sebaik-baik penciptaan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At-Tin : 4).