Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Ogos 2018

Eropah belajar bahasa Arab, kuasai ilmu Islam

Posted by epondok di Ogos 4, 2018

Oleh Dr Ayman al-Akiti

 

BERBICARA persoalan bahasa Arab memerlukan bacaan dan pengalaman lebih daripada sekadar sangkaan dan pengamatan sepintas lalu pada alaf 21 ini. Ia mungkin lebih layak dibahas orang terjun ke dalam ilmu bahasa ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bahasa Arab menurut catatan sejarah ialah bahasa sains dan ilmu sejak lahirnya Islam. Ia bahasa al-Quran yang menuntut semua Muslim wajib menggunakannya dalam ibadat dan memahami hukum syariat. Ia juga bahasa falsafah dan sains sebagai pengganti bahasa Latin. Dinasti Abbasiyyah di bawah Khalifah Harun al-Rashid mengasaskan Bayt al-Hikmah pada 786, iaitu perpustakaan yang juga berfungsi sebagai institusi penterjemahan karya ilmiah Yunani ke bahasa Arab. Ia diteruskan dan dikembangkan khalifah berikutnya.

Berkat usaha ini, pelbagai karya ilmiah penting dari tamadun Yunani menjadi rujukan umat Islam yang melahirkan banyak ahli falsafah seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibn Sina. Karya semisal Ariestotle diterjemah sama ada dalam bidang mantik, falsafah, perubatan bahkan muzik. Dari sini lahirlah kitab al-Qanun fi al-Tibb karya perubatan agung Ibn Sina; al-Musiqa al-Kabir (Great Book of Music) oleh al-Farabi dan Kitab Fi Shina’ah al-Astrolab (Kitab cara membuat astrolab) dalam ilmu falak oleh al-Kindi.

Ketika itu, Eropah dalam zaman kegelapan. Gereja adalah segala-galanya sehingga hal tidak masuk akal wajib diterima orang Eropah yang berada di bawah kekuasaan kerajaan yang tunduk sepenuhnya di bawah naungan autoriti ketua gereja mereka di Vatican dan Constantinople.

Islam pula mendahului Kristian dalam sains, teknologi dan falsafah. Akhirnya lahirlah pemikir Eropah yang terdesak untuk keluar dari zaman kegelapan dan terpaksa mengembara ke negara Islam untuk mencari ilmu dan kebijaksanaan.

Jacobus Golius misalnya melawat Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi pada 1622 dan bertemu dengan ulama al-Qarawiyyin. Beliau pulang ke Leiden membawa sejumlah manuskrip Arab langka yang kini tersimpan rapi di Perpustakaan Universiti Leiden. Di sini beliau mengajar Rene Descartes mengenai ilmu Matematik yang diambil dari dunia Islam.

Jauh sebelum itu, Maimonides, orang Yahudi Maghribi menyamar masuk Islam demi menuntut ilmu di Universiti al-Qarawiyyin hingga keluar membawa kesan falsafah Ibn Rushd dan al-Ghazali. Beliau kemudiannya mempengaruhi Thomas Aquinas, pendeta Katolik yang digelar Doctor Angelicus dan banyak membawa masuk falsafah ke dalam Gereja Katolik. Kesemua ahli falsafah Barat ini mempelajari bahasa Arab kerana ia bahasa ilmiah zaman itu.

Kepentingan bahasa Arab terus menjadi perhatian ulama Islam dan ilmuwan orientalis di Barat. Mahasiswa dari universiti seperti Harvard, Oxford, Cambridge, Sorbonne dan Leiden berbondong-bondong datang ke pusat pengajian bahasa Arab di Maghribi, Jordan, Mesir, Lebanon serta demi mempelajari dan mengasah bahasa Arab. Usaha menterjemah kitab Islam ke bahasa Eropah berjalan tanpa henti hingga zaman moden ini.

Pada era ini, bahasa Arab masih relevan dan menjadi bahasa ilmu. Selain wajib dalam kajian Islam, ia juga sangat diperlukan dalam pelbagai bidang termasuk industri kewangan dan kajian sains.

Industri kewangan Islam memainkan peranan besar dalam pembangunan Malaysia yang kini berada di hadapan dalam mempromosi dan mengembangkan industri kewangan di persada dunia. Tentunya industri ini tidak mungkin berada di tahap sekarang kalau pakarnya tidak mempelajari bahasa Arab dengan baik. Kalaulah bahasa Arab bukan bahasa ilmu lagi, nescaya industri ini tidak akan mengalami perkembangan pesat pada alaf 21 ini.

Antara kisah patut menjadi iktibar kepada sekalian pembaca adalah ketika jatuhnya Andalus di tangan Kerajaan Katolik Sepanyol yang kagum dengan keindahan dan kehebatan jurutera Islam membina istana Alhambra di Granada.

Salah satu bahagian penting ialah The Court of The Lions dibina pada abad ke-14. Ia pancuran air yang biasanya digunakan orang Islam untuk berwuduk. Kehebatan jurutera Islam mampu membuat pancuran air tanpa menggunakan mesin. Air keluar dari mulut salah satu dari patung singa mengikut waktu solat yang lima. Air juga mengalir masuk ke bilik istirehat musim panas yang mengelilingi pancuran air.

Ketika Sepanyol ingin mengetahui rahsia pancuran air, mereka menggali dan membuka pancuran berkenaan, lalu air pun berhenti. Ketika jurutera

dan arkitek moden ingin membaikinya, ternyata mereka tidak mampu hingga terpaksa membaca cetak biru pancuran air yang berupa manuskrip Arab dengan gaya bahasa syair. Disebabkan lemahnya bahasa Arab dan pengetahuan gaya kejuruteraan zaman dulu, sehingga kini pancuran air tidak dapat berfungsi dan hanya memakai mesin untuk mengeluarkan air.

Belum lagi keperluan kita membaca karya sarjana semasa dari dunia Arab yang menulis dalam bahasa Arab seperti pakar fizik dari Jordan, Prof Basil Altaie dan ahli falsafah dan logik dari Maghribi, Prof Dr Taha Abdurrahman.

Di tambah lagi, bahasa Arab masih bahasa rasmi umat Islam untuk terjun dalam pelbagai perbahasan Islam merentasi bangsa, negara dan benua. Apa akan terjadi kalau Kerajaan Malaysia menerima cadangan membuang bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan tidak lagi diajarkan di sekolah, nescaya umat Islam di Malaysia akan menjadi bodoh dalam bahasa yang sebenarnya dapat menaikkan nama bangsa ini sendiri di persada dunia. Kalaulah orientalis yang bukan Islam saja fasih berbahasa Arab, mengapakah kita yang sudah Islam tidak bangga kalau pandai berbahasa Al-Quran?

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »