Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Bezakan antara sunnah dan sunat

Posted by epondok di Ogos 2, 2018


Oleh Zamri Hashim

 

SERUAN kembali kepada al-Quran patut diberikan perhatian serius penggubal undang-undang hingga rakyat biasa. Namun ia bukan bermakna kita meninggalkan sunnah Rasulullah SAW.

Al-Quran memerintahkan kita mentaati Baginda seperti firman-Nya: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Al-Nisa’: 59)

Banyak ayat al-Quran memerintahkan Nabi SAW untuk menjelaskan al-Quran kepada manusia seperti dalam surah al-Nahl ayat ke-44. Allah SWT mengarahkan Baginda meleraikan kekusutan umatnya dengan menjelaskan maksud al-Quran (al-Nahl: ke-64).

Imam Syafie mengatakan apa juga hukum diputuskan Nabi SAW, adalah apa difahami Baginda terhadap al-Quran. Allah SWT juga meletakkan syarat ketaatan kepada-Nya dengan mentaati Baginda (al-Nisa’: 80 dan al Maidah: 92).

Oleh itu, sunnah Nabi SAW ialah sumber perundangan kedua selepas al-Quran dan wajib dipatuhi, sekali gus berperanan menjelaskan ayat al-Quran sama ada dari sudut keumuman ayat dan prinsip asas Islam serta menjelaskan ayat al-Quran yang umum secara praktikal seperti cara pelaksanaan solat dan haji. Imam Abu Hanifah berkata: “Jika tiada sunnah, tiada seorang pun akan memahami al-Quran.”

Namun ada keliru antara sunnah sebagai sumber perundangan Islam kedua dengan sunat dalam ibadat. Jika gagal membezakannya, kedudukan sunnah Nabi SAW sebagai sumber perundangan, rujukan dan mendapat autoriti dari Allah, akan dialihkan kepada alternatif sahaja. Ini disebabkan terpengaruh dengan pemahaman awam yang mengatakan sunat adalah perkara yang apabila dibuat dapat pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa.

Saya akan terangkan konsep sunnah mengikut disiplin ilmu Islam secara ringkas, selaras dengan objektif disiplin ilmu dipelajari.

Ahli bahasa mendefinisikan sunnah sebagai jalan sama ada menghala keburukan atau kebaikan, manakala ahli fiqh menumpukan hukum perbuatan manusia hingga menjadikannya antara hukum taklifiah, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Ahli dakwah menjadikan sunnah sebagai lawan perkara bidaah.

Ulama usul menakrifkan sunnah sebagai apa yang keluar dari Nabi SAW sama ada perkataan Baginda (kecuali al-Quran), perbuatan mahupun perakuan sebagai sumber perundangan. Ahli hadis memberi takrif: ‘Apa dikesani dari Nabi SAW sama ada ucapan, perbuatan, perakuan, sifat kejadian, akhlak dan sirah Rasul SAW.’

Ramai terperangkap dalam ‘penjara’ pemahaman sunnah dari sudut ilmu fiqh sehingga mengecilkan skop peranannya sebagai sumber perundangan Islam.

Ulama fiqh dengan skop perbincangan perbuatan manusia sebagai hamba Allah SWT, menakrifkan sunnah sebagai sesuatu yang pasti dituntut (melakukan atau meninggalkannya) melalui dalil syarie tetapi tidak sampai kepada perintah fardu ataupun wajib. Diberi pahala dan tidak berdosa meninggalkannya yang juga disebut mandub atau mustahab.

Hakikatnya, semua berpunca daripada arahan Rasulullah SAW, sama ada menerangkan al-Quran ataupun panduan Baginda sendiri. Adalah satu kesalahan merangkumkan semua hadis sebagai sunat yang diberi pilihan mengamalkannya ataupun tidak.

Saya cadangkan kita beransur-beransur mempopularkan perkataan mandub atau mustahab menggantikan perkataan sunat jika pemahaman ummah semakin mengecil hingga ‘terperangkap’ dalam mafhum hukum fiqh sahaja sedangkan sunnah mempunyai autoriti perundangan lebih luas.

Seruan kembali kepada al-Quran lebih mudah difahami dan dipraktik jika kita menjadikan sunnah sebagai sumber kedua yang memberi kefahaman kehendak Allah. Seruan itu mencelikkan pemerintah agar merealisasikan perintah jelas al-Quran seperti pengharaman riba, arak, perjudian, celaan terhadap LGBT dan pelaksanaan hudud.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: