Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2018

Menjadi kaya tetapi lebih bertakwa

Posted by epondok di Ogos 30, 2018

Dr. Muhaya Muhamad

 

Kesilapan yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang adalah apabila kita membenarkan banyak sistem kepercayaan yang negatif dan yang tidak betul, menjadi prinsip hidup. Lebih rumit lagi apabila prinsip hidup negatif itu melekat dalam minda bawah sedar kita, dan sukar untuk diubah persepsi itu.

Contohnya, kita biasa mendengar ada orang yang berkata, “Jangan menjadi kaya nanti kita lupa diri, sombong dan menjadi jahat.” Biasa juga kita mendengar para isteri berkata, “Saya takut kalau suami saya kaya, nanti dia menjadikan alasan untuk berkahwin lagi, sebab dia berkemampuan. Biarlah hidup sederhana, tidak kaya pun tidak mengapa asalkan hati kita bahagia”.

Benarkah dengan tidak menjadi kaya kita akan bahagia dan rumah tangga tidak porak-peranda? Memanglah wang bukan segala-galanya, tetapi ingatlah bahawa segala-galanya memerlukan wang. Sebenarnya bukan wang yang mengubah kehidupan dan sikap manusia, tetapi wang itu yang membuka ‘topeng’ siapa sebenarnya manusia itu?

Kalau kita seorang manusia yang beriman, wang boleh menjadikan kita lebih bertakwa. Sebab orang yang paradigmanya baik, dengan adanya wang dia akan menjadi lebih baik. Apabila kita ada wang, kita boleh bersedekah, kita boleh menaja orang mengerjakan umrah atau haji, boleh belanja orang makan dan seumpamanya. Malah, dengan wang kita boleh gunakan untuk manfaat diri sendiri dalam mempertingkatkan nikmat beribadah, menyediakan bilik yang berhawa dingin, misalnya. Dengan wang kita boleh mempertingkatkan ibadah kita, mengerjakan umrah, bersedakah dan mewakafkan harta yang semuanya itu untuk menjadi ‘pencen kubur’ kita.

Sesungguhnya wang sebagai ‘alat’ untuk kita mendapat manfaat dan memberikan manfaat kepada orang lain, serta menyambungkan silaturahim. Dengan wang kita boleh bahagia membahagiakan. Apa yang kita telah beri kepada ‘dunia’ dan apa yang ‘dunia’ telah berikan kepada kita – bergantung kepada emosi kita. Emosi orang yang tertekan atau stres hidupnya kerana terpaksa terkejar-kejar mencari wang bagi menafkahi diri dan keluarganya, berkemungkinan besar sukar mengecapi bahagia. Ingatlah, hanya orang yang bahagia sahaja yang berupaya membahagiakan orang lain.

Sebab itulah Saidina Umar al-Khatab pernah berkata, “Ada tiga perkara yang menyebabkan kalau boleh, aku hendak kekal hidup di dunia ini. Iaitu pertama, kerana di dunia aku dapat berjihad ke jalan Allah. Kedua, kerana di dunia aku dapat berqiamullail. Ketiga, kerana di dunia aku dapat menghadiri majlis ilmu.”

Jom audit diri kita adakah kita melakukan ketiga-tiga perkara itu, yang membolehkan kita mengecapi kebahagiaan dan memberikan kebahagiaan kepada orang lain? Hakikatnya kini ada orang yang kuat berjihad tetapi tidak mempunyai waktu untuk berqiamullail dan tidak bersedia menuntut ilmu. Ada orang yang suka belajar mendalami ilmu, tetapi tidak berqiamullail dan tidak berjihad. Ada orang pula suka melakukan qiamullail, tetapi dia enggan belajar mendalami ilmu dan tidak mahu berjihad.

Jihad dalam konteks zaman kini, termasuklah usaha kita membantu orang ke jalan Allah dengan menggunakan wang ringgit kita. Kalau boleh kita hendak didik hati kita agar mahu melakukan ketiga-tiga perkara tersebut, dan membelanjakan wang kita untuk ke arah mendekati Allah. Kita mahukan kekayaan dengan niat untuk lebih bertakwa kepada Allah.

Maka kerana itu kita kena berusaha dan berdoa untuk menjadi kaya. Dalam al-Quran banyak ayat yang boleh dijadikan amalan untuk dilimpahkan rezeki. Antaranya surah Sad ayat 54 yang bermaksud, “Sesungguhnya inilah rezeki daripada Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis”.

Jika kita mengamalkan membaca al-Ma`thurat ada doa yang kita akan baca yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kekafiran dan kefakiran.” Maknanya Allah mahukan kita berdoa untuk mengelakan diri daripada menjadi fakir. Demikian jugalah amalan doa ini yang bererti, “Ya Allah sesungguhnya aku lemah, maka kuatkanlah aku. Sesungguhnya aku hina, maka muliakanlah aku. Sesungguhnya aku miskin, maka kayakanlah aku, wahai Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah”.

Dari segi konsep pemikiran ‘Reset Minda’ pula, kalau kita ingin mendapatkan sesuatu, kita programkan hasrat kita itu dalam minda bawah sedar. Sebab dalam hidup ini setiap hari kita kena menjaga tiga perkara. Pertama, apa yang kita cakap kepada diri kita akan menjadi kenyataan kehidupan kita. Kalau kita kata kita tidak mampu, maka selamanyalah kita tidak akan mampu.

Kedua, tahap tindakan kita bergantung kepada fikiran dan emosi kita. Kalau fikiran kita positif, emosi kita juga akan positif, dan tindakan kita juga positif. Maknanya kita akan bertindak dan berusaha selari dengan niat dan hasrat kita. Maka positifkan fikiran dan emosi kita.

Ketiga, sentiasa fikirkan apakah perkhidmatan yang kita mahu atau sasarkan dalam hidup ini? Contohnya, kalau kita ingin rumah banglo, pada waktu itu kita berasa tidak mampu untuk memilikinya, jangan cakap kita tidak mampu. Tetapi, katakan kepada diri kita bagaimana kita hendak dapatkan rumah banglo itu? Iaitu kita buat perancangan dan berusaha untuk mendapatkannya.

Sebab itu ahli psikologi mengatakan untuk melihat kejayaan seseorang itu, lihat sekelilingnya dan lihat apa yang dia ada. Apa yang dia ada hari ini, itulah kemahuannya yang kuat pada suatu masa dahulu, yang dia berusaha kuat untuk ke arah itu dan menggenggam matlamat untuk mendapatkannya!

Maka dengan menggunakan konsep pemikiran tersebut dan sistem kepercayaan dan nilai yang positif, tidak salah kalau kita menyimpan impian untuk menjadi kaya. Dengan kekayaan itu nanti kita berniat hendak membantu keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling kita. Contohnya bantu kawan-kawan kita berniaga, dengan membeli barang jualannya sebagai tanda kita menyokong perniagaan dan suka melihat kawan kita berjaya dalam perniagaan.

Bersihkan hati kerana semuanya bergantung kepada niat. Kita beli dengan niat untuk menyampaikan hajat orang yang berniaga. Seandainya kita tidak memerlukan barang tersebut, sedekah kepada orang. Maka kita dapat tiga perkara, iaitu sampaikan hajat orang, sedekah kepada orang dan menyambung silaturahim. Setiap nilai yang kita beri kepada orang itulah nilai yang kita akan terima.

Hidup ini mesti ada ‘sasaran’ dan tempoh ‘sasaran’ itu akan tercapai, dengan syarat gigih berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jika gagal mencapai ‘sasaran’ terima sebagai takdir, dan ia bukan kegagalan tetapi kejayaan yang tertangguh. Sebab Allah Yang Maha Mengatahui, menggenggam rahsia-Nya mengapa Dia tidak capaikan hasrat kita pada waktu yang kita harapkan itu. Berbaik sangkalah kepada Allah. Jika kita diizinkan Allah menjadi kaya, jadikan kekayaan itu laluan meningkatkan ketakwaan kepada-Nya dan jambatan menghubungkan silaturahim sesama insan tanpa mengira darjat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Profil PPPB

Posted by epondok di Ogos 29, 2018

Baca baki entri ini »

Posted in Pengenalan PPPB | Leave a Comment »

Tangani kelicikan syaitan

Posted by epondok di Ogos 28, 2018

Susunan Hashnan Abdullah

 

FIRMAN Allah dalam surah al-Baqarah: 168, bermaksud “…dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana syaitan itu adalah musuh nyata bagimu”, bukan sahaja selalu disebut oleh penceramah dalam kuliah agama tetapi turut menjadi antara elemen penting untuk ibu bapa mendidik anak-anak agar akidah Islam mereka kekal sehingga akhir hayat.

Bagaimanapun, seorang pendakwah kelahiran New South Wales, Australia, Kamal Saleh mengakui bahawa segelintir umat Islam tidak menghayati intipati yang terkandung dalam firman Allah itu. Ini jelas dalam kebanyakan kes, mereka seperti ketagihan untuk melakukan maksiat atau lebih tepat mengikut jejak langkah syaitan.

“Saya yakin setiap Muslim pasti ada terdetik dalam hati untuk mengelakkan situasi tersebut kerana gerun dengan azab Allah SWT ketika di dunia mahu pun akhirat nanti.

“Pasti ada tertanya-tanya, apakah cara untuk mengatasi ketagihan itu? Nasihat yang boleh saya berikan ialah menewaskan iblis atau syaitan melalui permainan yang mereka ciptakan,” katanya yang dipetik dari laman web, iLovUAllah di YouTube, baru-baru ini.

Ikuti temu bual bersama beliau di bawah ini:

Boleh tuan jelaskannya?

Kamal Saleh: Kita bukan hanya kena pelajari dan fahami terlebih dahulu helah atau cara syaitan memanipulasikan manusia, bahkan mengenal pasti pendekatan untuk mengatasi tipu daya mereka itu.

Ini kerana, tanpa pengetahuan sedemikian, musuh utama manusia itu akan mudah mendekati dan seterusnya menyebabkan kita terus terjerumus dalam tabiat atau berkelakuan buruk secara berulang kali.

Bagaimana dia (syaitan) melakukannya?

Iblis atau syaitan sebenarnya mempunyai formula khusus yang mereka ikuti sepanjang masa, iaitu mereka datang kepada kita secara berperingkat-peringkat.

Mereka tidak datang secara tiba-tiba sambil berkata-kata, “Hei, jom kita buat dosa.” Sebaliknya, dia akan membuatkan kita memandang ringan atau remeh terhadap sesuatu kelakuan atau tindakan (dosa) itu.

Contohnya, dia (syaitan) tidak akan datang kepada kamu dan kata, “Hei, kamu kena tengok filem lucah,” atau “Hei, kamu sepatutnya minum arak.”

Tetapi dengan kata-kata, “Hei, tengoklah video muzik atau filem ini. Ia tidak haram walaupun ada serba sedikit perkara tidak baik di dalamnya.”

Kata-kata itu diluahkan dalam nada pujukan berterusan sehingga menimbulkan rasa keraguan atau was-was dalam diri tentang hukum atau pandangan Islam terhadap tindakan (dosa) tersebut.

Jadi, bagaimana untuk elakkan situasi itu?

Jangan dekati perkara yang berpotensi haram. Jika kita berada dalam satu persekitaran atau bersama dengan kawan-kawan tertentu yang mendedahkan kepada tindakan haram, maka tinggalkan atau jauhi dengan segera.

Ini supaya kita tidak terperangkap dengan rantaian pujukan syaitan yang bermula dengan melihat sebelum disusuli oleh perbualan, kemudian senyuman, pelukan dan pastinya berakhir dengan kemurkaan Allah SWT.

Apa nasihat tuan?

Kita sepatutnya menegur diri sendiri. Jika persekitaran, kawan, pandangan dan lain-lain yang membawa kepada melakukan tindakan yang diharamkan, maka berhentilah dan buang jauh-jauh atau fikirkan perkara lain.

Kita juga perlu paksa diri berada dalam persekitaran yang berupaya melindungi dan membolehkan ingatan kepada Allah SWT dilakukan dengan lancar.

Percayalah, ia mampu menyelamatkan kita daripada terjatuh dan terus terperangkap dalam kawalan syaitan untuk selamanya.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bezakan perjuangan LGBT, keadilan Islam kepada khunsa

Posted by epondok di Ogos 27, 2018

PERJUANGAN menuntut hak kesaksamaan dan hak asasi manusia seolah-olah menjadi zikir harian masyarakat di negara ini. Islam jelas menjamin hak asasi manusia, namun diikat dengan syarat tidak melanggar hukum-hakam syarak sebagai hak Allah yang wajib dipatuhi.

Antara perjuangan golongan itu adalah untuk memujuk masyarakat Islam di negara ini menerima LGBT, iaitu akronim golongan les-bian, gay, biseksual, dan transeksual. Islam jelas mengharamkan semua perbuatan ini berdasarkan al-Quran dan hadis.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam Malaysia Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989, mengambil maklum laporan urus setia bahawa Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya ke-126 pada 24 Februari 1983 dan mempersetujui fatwa dikeluarkannya seperti berikut:

“Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak. Seseorang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. Seseorang yang dilahirkan perempuan hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.”

Perlu ditegaskan golongan ini berbeza dengan khunsa kerana Islam mengiktiraf kewujudan golongan hermaephrodites, iaitu orang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan.

Khunsa ada 2 jenis

Golongan ini dibahagikan oleh ulama fiqh kepada dua jenis, iaitu khunsa wadhih dan khunsa musykil. Khunsa wadhih ialah orang yang nyata memiliki tanda kelelakian atau kewanitaan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat serta ciri alat kelamin atau tempat keluar air kecil terlebih dahulu. Jantina dapat dikenal pasti berdasarkan alat yang mana lebih dominan berbanding yang kurang berfungsi.

Khunsa musykil pula individu mempunyai dua alat kelamin dan air kecil keluar serentak serta identiti jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibuat perbezaan setelah baligh.

Keadaan musykil hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kecil, kuantiti paling banyak atau dikira paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti datang haid) atau kelelakian misalnya tumbuh janggut dan misai.

Dalam kes ketidaktentuan jantina ini, syarak memberi pengecualian kepada khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong keterangan pakar terbabit. Kelonggaran bersifat khusus sebagai ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna.

Tiada perbezaan ketara antara kriteria khunsa seperti dibincangkan ulama dalam kitab fiqh dan pakar perubatan terutama pandangan mengenai khunsa musykil (hermaephrodites). Pendekatan yang diguna pakai oleh ulama fiqh dalam menentukan kekeliruan gender adalah lebih kepada tanda zahir pada seseorang. Penentuan jantina diukur dengan mengenal pasti salah satu alat kelamin yang lebih dominan berbanding yang satu lagi. Bagaimanapun, pakar perubatan kini membuat beberapa ujian bagi memastikan jantina bayi yang mengalami kekeliruan gender.

Haram bedah tukar jantina

Ulama pada umumnya berpandangan membuat pembedahan jantina bagi khunsa musykil adalah dibenarkan tetapi pembedahan untuk menukar jantina daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya jelas haram hukumnya.

Dr Muhammad Khalid Mansur dalam bukunya al Ahkam al Tobi’ah al-Mun’aliqah bi al-Nisa’ fi al Fiqh al-Islami menjelaskan dua keadaan pembedahan jantina yang dibenarkan. Pertama, pembedahan jantina individu yang tidak dapat ditentukan jantinanya semasa lahir sama ada lelaki ataupun perempuan, manakala keadaan kedua ialah mereka yang didapati mempunyai alat kelamin lelaki dan perempuan.

Menurut Dr Muhammad Khalid, pembedahan jantina bagi kedua-dua golongan itu adalah sebagai usaha mengubati penyakit yang diharuskan oleh syarak dan tidak termasuk dalam kategori mengubah kejadian Allah SWT. Membiarkan mereka dalam situasi kekeliruan gender bukan sahaja mendatangkan mudarat, bahkan bertentangan dengan prinsip Islam yang berpaksi untuk maslahah ummah.

Jelaslah pergerakan LGBT tidak termasuk dalam perbahasan ulama kerana ia sangat jelas bertentangan dengan syarak. Masyarakat perlu faham untuk membezakan antara perjuangan yang jelas ditolak dengan keadilan Islam dalam menyelesaikan masalah khunsa musykil yang berlaku dalam masyarakat.

Islam yang mengamalkan prinsip keadilan, memperuntukkan hak sewajarnya kepada golongan khunsa sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan pendidikan. Bagaimanapun untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna, penentuan jantina sama ada lelaki atau perempuan amat penting. Firman Allah SWT: “Dan bahawa sesungguhnya Dialah yang menciptakan pasangan, lelaki dan perempuan.” (An-Najm: 45)

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Bencana alam, peringatan buat manusia

Posted by epondok di Ogos 24, 2018

BUMI dan alam semesta diciptakan Allah SWT dengan sangat menarik dan cantik dipandang mata. Tumbuh-tumbuhan menghijau dan langit biru memberikan pandangan yang menyegarkan. Ini membuktikan kekuasaan-Nya menciptakan segala isi langit dan bumi.

Namun sebahagian manusia tidak mengambil kesempatan daripada kurniaan dan penciptaan Allah SWT ini untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sekiranya kita memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya, kehidupan kita akan sentiasa diberkati dan diredai Tuhan.

Sebaliknya apa yang berlaku, alam tidak dipelihara dan dijaga bersama-sama hingga Allah SWT sentiasa mengingatkan kita agar sentiasa memelihara alam ciptaan-Nya yang mempunyai manfaat dan kebaikan kepada semua makhluk. Peringatan yang cukup jelas diberikan Allah SWT itu berbentuk bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh dan gempa bumi.

Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu musibah menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah dan sesiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)

Ayat ini menyatakan setiap ujian dan musibah diturunkan kepada hamba hanya dengan ketentuan serta kekuasaan-Nya. Ia mempunyai hikmah yang perlu difikir dan dinilai setiap Mukmin. Justeru, segala bencana alam yang sering dilihat dan dipaparkan dalam media adalah ketetapan Allah SWT yang memilih siapa yang akan menerima musibah itu, tempat dan waktu. Apa yang pasti, ia mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan oleh kita sebagai khalifah.

Bumi semakin hari semakin tua dan menunggu pengakhiran, iaitu kiamat. Malangnya, manusia langsung tidak menyedarinya apatah lagi unutk menjadikannya sebagai peringatan. Kita dapat lihat bagaimana aktiviti tidak sihat kepada alam sering dilakukan pihak tidak bertanggungjawab seperti pembalakan haram dan pembuangan sampah ke dalam sungai. Ini akan memberi kesan tidak baik kepada sistem semula jadi, sekali gus menjejaskan persekitaran yang sempurna. Firman Allah SWT: “Telah jelas kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41)

Setiap musibah dan ujian diturunkan perlu dijadikan iktibar dan jangan kita mempersoalkan mengapa Allah SWT memperlakukan sedemikian sedangkan kita mengetahui Dia berhak atas kekuasaannya sendiri. Ia peringatan kepada kita untuk mencapai nilai ketakwaan dan keimanan tinggi. Hayati firman Allah SWT: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Al-Ahzab : 17)

Oleh itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar ujian seperti gempa bumi, tsunami dan ribut taufan membuka hati kita untuk terus beriman. Jangan sesekali bergantung kepada perkara khurafat atau kepercayaan karut berkaitan bencana alam kerana ia boleh memesongkan akidah.

Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa dalam menentukan segala-galanya selain Allah SWT. Kita juga perlu berdoa agar mereka yang ditimpa ujian dan musibah ini diberikan perlindungan sebaiknya. Semoga semua mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan kecekalan hati untuk meneruskan kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Petua Sembelihan Binatang

Posted by epondok di Ogos 22, 2018

Posted in Amalan Pilihan, Video Kenangan | Leave a Comment »

Lembaga Pemegang Amanah PPPB sesi 2018/2019

Posted by epondok di Ogos 20, 2018

Pengerusi

Dr Hj Lokman bin Hj Abdullah (Mudir Pondok Lubuk Tapah)

Timbalan Pengerusi I

Tuan Guru Hj Awang b Yusuf  (Mudir Pondok Gelang Mas)

Timbalan Pengerusi II

Ustaz Hj Ahmed Shukri bin Hj Abdul Rahman

( Pondok Sungai Durian)

Setiausaha

Hj Ahmad Shairazi bin Hj Atiqullah

( Pondok Pasir Tumboh )

Bendahari

Ustaz Hj Mohd Jalaluddin Sayuti b Hj Mohamed

( Pondok Beta Hilir )

Ahli jawatankuasa

Ustaz Hj Abu Bakar bin Osman ( Pondok Pasir Tumboh )

Dr Hj Abdul Basit b Hj Abdul Rahman (Pondok Sungai Durian)

Ustaz Hj Hamdan b Hj Abdulllah (Pondok Lubok Tapah)

Ustaz Hj Abdullah Zawawi (Mudir Pondok Lubok Setol)

YB Ustaz Hj Muhamad bin Awang (Mudir Pondok Bukit Gading)

Ustaz Abdul Kadir b Yasin  (Pondok Sungai Durian)

Tuan Hj Zaidi bin Hassan

Ustas Sobarudin b Osman

Posted in Pengenalan PPPB | Leave a Comment »

Khutbah Aidil Adha 1439H

Posted by epondok di Ogos 19, 2018

Khutbah Aidil Adha 1439H

خطبة عيد الأضحى 1439 هـ

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Doa Hari Arafah

Posted by epondok di Ogos 19, 2018

Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah. Maksudnya, doa ini paling cepat diterima atau diqabulkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Sehinggakan kita diperintahkan untuk berterusan dan mengambil berat untuk melakukan ibadah yang satu ini pada hari Arafah.

Lebih-lebih lagi untuk orang yang sedang berwukuf di Arafah.

Daripada ‘Aisyah rhodiyallahu ‘anha, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ؟

Maksudnya: “Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Dia akan mendekati mereka lalu Allah berbangga dengan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” [HR. Muslim no. 1348].

Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda,

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ،

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi–Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”. [HR. Tirmizi no. 3585. “Hasan”].

Maksudnya, inilah doa yang paling cepat dipenuhi atau dikabulkan. (Lihat Tuhfatul Ahwazi, 10: 33).

Persoalannya, apakah keutamaan doa ini hanya khusus bagi mereka yang wukuf di Arafah? Apakah termasuk juga keistimewaan ini bagi orang yang tidak menunaikan ibadat haji?

Ulama’ berbeza pandangan dalam masalah ini; Ada ulama’ yang mengatakan bahawa mustajabnya doa tersebut adalah umum, baik bagi yang menunaikan haji mahupun yang tidak. Ini kerana keutamaan yang ada adalah keutamaan pada hari Arafah.

قال الباجي رحمه الله: قوله: (أفضل الدعاء يوم عرفة) يعني: أكثر الذكر بركة ، وأعظمه ثواباً ، وأقربه إجابة. ويحتمل أن يريد به الحاج خاصة ؛ لأن معنى دعاء يوم عرفة في حقه يصح ، وبه يختص وإن وصف اليوم في الجملة بيوم عرفة فإنه يوصف بفعل الحاج فيه ، والله أعلم . انتهى . ” المنتقى شرح الموطأ ” (1 / 358) .

Berkata Al-Baji rahimahullah: Makna Hadis “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah” ialah: Zikir yang paling banyak berkat, paling besar pahala dan paling hampir dengan ijabah (diperkenan/diterima).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan puasa hari Arafah

Posted by epondok di Ogos 19, 2018

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

ETIKA ini Mekah semakin padat dengan bakal-ba­kal haji sementelahan berbaki tiga hari sahaja sebelum wukuf. Didoakan para jemaah haji berada dalam sihat walafiat melaksanakan pelbagai ibadat walaupun dikhabarkan cuaca di Mekah agak panas sehingga mencecah 50 darjah Celsius.

Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang me­lakukan pelbagai ibadat sunat dalam 10 hari pertama bulan Zulhijah. Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)

Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyak solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.

Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

Antara amalan yang sangat dianjurkan untuk kita laksanakan adalah:

  • Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan. (Riwa­yat Ahmad dan Abu Daud)
  • Mengucapkan takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan ha­dis Ibnu Umar di atas yang me­ngatakan: “Maka perba­nyak­kanlah padanya bertahlil (me­ngucapkan La-ilaha-illallah), ber­takbir (me­ngucapkan Allahu Ak­bar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”. Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a me­nuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.
  • Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji. Mengenai perbezaan ‘hari wukuf’ Arab Saudi dan Malaysia, kita perlu kembali kepada perbahasan ilmu falak. Secara ringkasnya, umat Islam adalah tertakluk kepada rukyah hilal di negeri masing-masing. Umat Islam di Malaysia tidak perlu mengikuti tarikh Arab Saudi, kerana matla’ (kaedah penentuan anak bulan), kita dan Arab Saudi adalah berbeza. Oleh yang demikian, jangan risau, ikut sahaja tarikh yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia. Allah, pemilik dan pengurus masa, lebih me­ngetahui. Sebagai tambahan, tiada istilah ‘hari wukuf’ di Malaysia. 
Dalam konteks tahun 1439H (2018), hari melihat anak bulan adalah Sabtu 11 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1439H. Di Malaysia, anak bulan tidak kelihatan, justeru 1 Zulhijah jatuh pada Isnin 13 Ogos. Sementara di Arab Saudi pula anak bulannya kelihatan, jadi 1 Zulhijah di sana jatuh pada Ahad 12 Ogos.
  • Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »