Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Universiti al-Qarawiyyin tekan pengajian turath

Posted by epondok di Julai 31, 2018


Oleh Latifah Arifin

 

Universiti dalam peradaban Islam sebenarnya wujud lebih awal daripada pusat pengajian di Barat yang sering diagung-agungkan seperti Universiti Oxford, Leiden dan Cambridge.

Malangnya, tidak ada usaha tuntas untuk mengangkat dan memartabatkan semula tradisi keilmuan Islam yang berjaya melahirkan tokoh serta sarjana hebat merentasi pelbagai bidang ilmu itu.

Selain Universiti al-Azhar di Mesir, masih ada institut pengajian Islam berprestij di negara Arab yang masih kekal sebagai pusat ilmu hingga hari ini seperti Universiti al-Qarawiyyin yang terletak di Maghribi, sekali gus menjadi antara yang tertua di dunia.

Universiti yang diasaskan oleh wanita hartawan yang solehah, Fatima el-Fihri itu pada awalnya bertujuan untuk memberi pendidikan agama kepada ahli keluarganya dan umat Islam yang menetap di bandar Fes.

Selain berfungsi sebagai masjid, ia juga dijadikan universiti kerana menjadi pusat pengajian bagi pelajar lepasan lulusan madrasah agama di sekitarnya.

Sejarah mencatatkan antara subjek yang diajar di Universiti al-Qarawiyyin satu masa dulu termasuk ilmu kalam, tafsir, hadis, fiqh dan ilmu bahasa Arab seperti nahu serta sorof.

Malah ia tidak hanya mengajar ilmu agama, bahkan universiti itu turut menyediakan pendidikan dalam subjek seperti fizik, falsafah, matematik, muzik, seni dan kejuruteraan.

Usah perlekeh pengajian agama

Pendakwah yang mencatat sejarah sebagai anak Melayu pertama lulus kelas pertama Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Qarawiyyin, Dr Muhammad Ayman al-Akiti melihat umat Islam seakan tidak cukup tenaga dan sokongan untuk menghidupkan lagi kemegahan institusi pendidikan bertaraf dunia sebegini.

“Tradisi ilmu ialah warisan Islam yang menjadi asas kewajipan kita sebagai umat Islam. Rasulullah SAW bersabda menuntut ilmu ialah fardu kepada seluruh umat Islam.

“Terdapat banyak universiti Islam tradisi seperti Universiti al-Qarawiyyin, Universiti al-Zaytounah, Tunisia dan Universiti al-Azhar, Mesir.

“Apa yang menyedihkan, mahasiswa Malaysia tidak memilih untuk menuntut ilmu di al-Qarawiyyin hanya kerana takut tidak lulus, bahkan sesetengahnya memandang lekeh terhadap pengajian seperti pondok, tahfiz dan pengajian agama,” katanya.

Tambahnya, perkara sebegini menjadi kekangan dalam perkembangan pendidikan umat Islam khususnya di tanah air.

“Bayangkan, kita memiliki sekurang-kurangnya 6,000 pelajar di Universiti al-Azhar dan hanya seorang daripadanya menyambung pengajian sehingga peringkat PhD selain cuma puluhan saja menyambung sarjana.

“Berbeza dengan Indonesia, mereka juga memiliki 6,000 pelajar yang menuntut di al-Azhar tetapi mereka memiliki puluhan calon PhD dan ratusan daripadanya sedang melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana,” katanya.

Perlu sedia terima cabaran

Muhammad Ayman berkata, pihak Universiti al-Qarawiyyin amat berharap sekiranya lebih ramai pelajar Malaysia mengambil peluang menuntut ilmu di universiti tertua di dunia itu.

Beliau turut mengakui, mereka yang berminat untuk mengikuti pengajian di sini perlu menerima segala cabaran kerana sistem pengajiannya yang bertaraf tinggi.

“Jika ingin menyambung pengajian dalam sistem pendidikan tradisional yang bersifat turath (tradisi ilmu secara lisan atau tulisan) dan perlu menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan mantap, selain memiliki asas bahasa Arab yang tinggi secara bacaan, tulisan serta pertuturan.

“Sekiranya ingin fokus dalam dunia akademik dan kajian, maka mestilah mempersiapkan diri dengan bahasa Arab yang tinggi, bertutur secara fasih bahasa Inggeris dan boleh berbahasa Perancis.

“Selain itu, pelajar juga perlu memiliki pengetahuan luas dalam pengajian Islam seperti akidah, fiqh dan tasawuf dengan jumlah bacaan kitab turath yang banyak,” katanya.

Beliau turut berbangga kerana seorang lagi rakyat Malaysia yang juga anak didiknya, Izham Hakimi sedang melanjutkan pengajian pada peringkat PhD di Kampus Darul Hadis Hasaniyyah, Universiti al-Qarawiyyin, Rabat dalam bidang fiqh dan usul fiqh.

Tesis rujuk kitab turath

Mengulas keistimewaan universiti yang melahirkan ramai sarjana hebat termasuk Ibnu Khaldun, Ibnu Aajurum, al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-Arabi dan Ibn Batutah itu, Muhammad Ayman berkata, ia masih menjaga keaslian sistem pendidikan tradisional atau dipanggil dengan istilah al-ta’lim al-atiq.

“Menghafaz ilmu matan ialah salah satu unsur yang diutamakan oleh pihak universiti dan Kementerian Wakaf di sini.

“Mahasiswa di al-Qarawiyyin dituntut untuk mengkaji kitab lama itu dan cuba membawanya ke dalam konteks semasa,” katanya.

Maka, tesis yang dihasilkan membahas perbahasan kontemporari dengan rujukan kitab turath, mengkritik pandangan dan pemikiran dengan manhaj ilmu yang diasaskan oleh ulama terdahulu atau mengkaji perkembangan ilmu.

Tidak hairanlah dengan sistem pengajian yang digerakkan jika golongan orientalis Barat seperti Maimonides juga turut mengambil kesempatan untuk menuntut ilmu di sini.

Bahkan, dalam kalangan pemikir Kristian turut melawat universiti ini termasuk Jacobus Golius dari Belanda dan Nicolas Cleynaerts yang berasal dari Belgium.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: