Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Konsep ‘insan kamil’ gambarkan kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Julai 20, 2018


Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

Istilah insan kamil yang menggambarkan kesempurnaan dimiliki Nabi Muhammad SAW memang bukan istilah yang wujud sejak zaman Baginda tetapi konsep itu sebenarnya diperjelaskan daripada al-Quran dan hadis.

Tidak hairanlah, ada sesetengah pihak yang mengambil sikap sinis hingga mempertikaikan kesempurnaan yang diletakkan pada Rasulullah SAW kerana menganggap kesempurnaan hanya terletak pada Allah SWT.

Ulama Indonesia, Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani, berkata dalam memahami perkara itu, kita tidak boleh terlalu beremosi sebaliknya menggunakan sumber wahyu dan pemikiran akal sihat dalam merungkaikan konsep insan kamil.

Beliau berkata, kesempurnaan yang dimiliki Rasulullah SAW bermaksud kehidupannya memenuhi kriteria tertentu hingga umat Islam bersepakat Baginda ialah manusia yang mencapai darjat kesempurnaan dalam hidup hingga menjadi tumpuan masyarakat disebabkan sifat terpuji dalam dirinya.

“Allah menyempurnakan akhlak dan peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai teladan terbaik kepada umat berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah.” (Al-Ahzab: 21)

“Hal ini selari dengan hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia.” Malah dalam al-Quran banyak ayat yang menerangkan Rasulullah sebagai nabi dan utusan Allah, iaitu kemuliaan yang tidak ada pada manusia yang lain.

“Kenabian Rasulullah SAW juga berada pada kedudukan spiritual yang sangat tinggi. Hanya manusia tertentu yang dapat meraihnya apabila dapat berkomunikasi secara terus dengan Allah menerusi perjalanan Israk dan Mikraj yang tidak pernah ditempuhi oleh manusia sebelum dan selepas Baginda.

“Jadi ia cukup untuk membuktikan kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW yang tidak boleh disamakan dengan umat manusia yang lain,” katanya ketika menyampaikan tazkirah mengenai Rasulullah Hakikat Insan Kamil pada Majlis Ta’lim Darul Mujtaba di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati di sini.

Penutup tugas utusan Allah

Sheikh Rohimuddin berkata, membuktikan kesempurnaan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT kepada umat manusia yang diamanahkan sebagai penutup tugas rasul sebelumnya.

“Allah SWT menyempurnakan Kitab-Nya, al-Quran dengan membenarkan dan menyempurnakan kitab Allah sebelumnya. Al-Quran diamanahkan kepada Baginda sebagai mukjizat untuk membentuk umatnya sehingga akhirat kelak.

“Allah SWT juga menyempurnakan agama-Nya daripada agama samawi sebelumnya. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai penutup dari agama terdahulu, sekali gus sebagai petunjuk seluruh hamba-Nya,” katanya.

Beliau berkata, selain al-Quran dan hadis, selepas kewafatan Rasulullah SAW kesempurnaan Baginda turut diceritakan menerusi qasidah, syair dan puisi yang ditulis serta diperturunkan dari zaman sahabat secara turun-temurun.

Sheikh Rohimuddin berkata, amalan qasidah sebagai contohnya, medium yang dapat menyentuh rohani, jiwa dan rasa rindu kepada Rasulullah SAW.

“Cara untuk mengingati dan menyatakan kecintaan terhadap Rasulullah SAW juga adalah melalui pembacaan sejarah Baginda. Pada zaman sahabat, mereka membaca riwayat Nabi Muhammad SAW untuk menaikkan semangat. Jika pergi berperang, mereka membaca riwayat Rasulullah ketika berperang,” katanya.

Adat dan tradisi

Sheikh Rohimuddin berkata, masyarakat pada hari ini menjadikan acara maulid untuk menyatakan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan, ia boleh dianggap sebagai cara paling tidak serius untuk mengingati Rasulullah sekiranya hampir menjadi adat dan tradisi semata-mata.

“Acara maulid kini hanya dirayakan pada hari tertentu saja dalam setahun seperti sambutan Maulidur Rasul ataupun Israk dan Mikraj. Kita sebenarnya perlu sentiasa merayakan, mengingati dan memuliakan kedudukan Rasulullah SAW setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, dalam merayakan dan mengingati Rasulullah SAW juga bukan hanya pada pemikiran tapi dengan jiwa.

“Seorang pencinta tidak akan lupa kepada kekasihnya dan akan terus terbayang-bayang. Cinta hakiki adalah cinta yang melekat dan susah dijauhi.

“Sebab itu kita disuruh supaya mengambil contoh dan teladan yang ada pada Rasulullah SAW agar dalam diri mempunyai akhlak dan sifat yang ada pada Baginda. Jadi di mana saja berada, sifat Baginda sentiasa ada pada diri,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: