Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ciri Peniaga yang diredhai Allah

Posted by epondok di Julai 18, 2018


Ciri-ciri Peniaga Muslim Bab 1

Oleh : Mufti Brunei

(Bahagian Pertama)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) Salah satu keperluan masyrakat dalam kehidupan seharian mereka ialah jual-beli, sama ada sebagai pembeli ataupun penjual atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, ada pihak yang menjalankan urus-niaga dan jual-beli sebagai salah satu daripada sumber mata pencarian mereka dan ini selari dengan kehendak syara‘ yang menuntut agar umatnya mencari rezeki melalui jalan yang halal dan baik. Sebenarnya dalam jual-beli itu terdapat faedah, iaitu membantu orang ramai dengan mewujudkan atau menghadirkan keperluan mereka. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda bahawa sebaik-baik sumber mata pencarian atau pendapatan itu ialah dengan berniaga, dan pekerjaan sebagai peniaga itu merupakan antara pekerjaan yang terbaik dan mulia. Selain itu, para sahabat Radhiallahu ‘anhum turut menjadikan perniagaan itu sebagai sumber mata pencarian mereka.

Dalam hadits yang lain pula menyatakan bahawa seafdhal-afdhal cara mencari pendapatan atau sumber rezeki antaranya ialah setiap jual-beli yang mabrur.

Jual-beli yang mabrur itu diertikan kepada dua,

  1. sama ada jual-beli yang diterima di sisi Allah Ta‘ala dan diberikan ganjaran,
  2. atau jual-beli yang diterima oleh syara‘, iaitu jual-beli yang tidak fasid (batal), tiada tipu-daya di dalamnya dan tiada khianat.

Kejujuran Dalam Urusan Jual-Beli

Semua orang maklum bahawa sifat jujur itu sentiasa dituntut dalam semua perkara dan keadaan, antaranya dalam urusan jual-beli. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan seorang pemuda dan ahli perniagaan yang sangat terkenal dengan kejujurannya sehinggakan kerana kejujuran Baginda itu Baginda dikenali dengan gelaran al-Amin.Peniaga jujur yang mengikut landasan syara‘ bakal memperolehi kedudukan yang tinggi berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Pedagang yang jujur lagi bersifat amanah, (dia) beserta para nabi, orang-orang yang jujur dan para syuhada’ (orang-orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Namun sesekali perkataan ‘jual-beli’ atau ‘berniaga’ itu dicemari juga dengan perkara yang negatif. Perbuatan ini mungkin dilakukan oleh mereka yang tidak mencontohi peribadi dan akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau pedagang yang jujur seperti yang dimaksudkan dalam hadits di atas. Oleh yang demikian, syara‘ telah menetapkan garis-pandu dan landasan yang betul untuk dipatuhi dalam urusan jual-beli terutama sekali terhadap peniaga.

Mengetahui hukum syarat jual-beli itu adalah fardhu ‘ain, kerana dengan mengetahui perkara ini umat Islam akan terhindar daripada melakukan perkara yang dilarang oleh syara‘. Dalam erti kata yang lain, jika mempelajari perkara rukun dan syarat jual-beli itu diabai-abaikan, maka akibat yang mungkin berlaku ialah pelanggaran hukum-hukum Allah Ta‘ala.

Khalifah Umar ibnu Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu pernah berpesan kepada sekalian peniaga muslim, beliau berkata: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu terlebih dahulu mengetahui hukum jual-beli yang telah ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri dia akan makan riba sedangkan dia tiada mengetahuinya”.

Pesanan ini ada kebenarannya kerana, sama ada disedari atau tidak, perkara-perkara yang menyalahi syara‘ dilakukan oleh peniaga-peniaga muslim seperti menipu, bersumpah palsu dan lain-lain, termasuk mengamalkan riba.

Ciri-Ciri Peniaga

Bagaimanakah ciri-ciri peniaga yang jujur atau yang menepati maksud hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?

Antara ciri-ciri itu telah disebutkan dalam sebuah hadits daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik pendapatan ialah pendapatan para peniaga, (iaitu) apabila mereka bercakap mereka tidak berbohong, dan jika mereka diamanahkan mereka tidak khianat, dan jika mereka berjanji mereka tidak mungkir, dan jika mereka membeli mereka tidak mengeji, dan jika mereka menjual mereka tidak (keterlaluan) memuji, dan jika ada atas mereka hutang mereka tidak menangguh-nangguhkan, dan jika mereka memberi hutang mereka tidak menyusahkan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Berikut dibawakan penerangan daripada Kitab Faydh al-Qadir mengenai ciri-ciri peniaga yang menepati maksud hadits di atas, iaitu:

  1. ‘Apabila bercakap mereka tidak berbohong’ ialah apabila mereka memberitahu atau mengiklankan perihal dan keadaan barang dagangan mereka, mereka tidak menipu mengenai suatu perkara pun pada apa yang mereka katakan kepada pembeli atau pelanggan mereka.
  2. ‘Apabila diamanahkan mereka tidak khianat’, ialah apabila mereka (peniaga) diberi kepercayaan mereka tidak berlaku khianat, misalnya jika pembeli, pelanggan dan selain mereka meminta untuk diberitahukan apaapa perkara umpamanya mengenai pembelian atau berapa modal peniagaannya.

iii. ‘Apabila berjanji mereka tidak mungkir’ ialah seumpama pelunasan hutang-hutang perniagaan, mereka tidak mengkhianati atau mengingkarinya dengan senghaja selagi masih mampu dilunaskan.

  1. ‘Apabila membeli mereka tidak mengeji’ ialah mereka tidak mengeji atau mencemuh barangan yang mereka beli. Sebaliknya jika suatu barangan itu dikomen sudah lama, kualitinya kurang memuaskan dan seumpamanya, sedangkan hakikatnya tidak seperti yang dikatakan, pada kebiasaannya tujuannya ialah agar barangan itu dijual dengan harga yang lebih rendah.
  2. ‘Apabila menjual barangan mereka tidak (keterlaluan) memuji’, iaitu pujian yang tidak membawa kepada penipuan atau berkata dusta.Sebaliknya jika suatu barangan itu dipuji secara keterlaluan antara tujuannya ialah untuk menarik hati pembeli agar barangan itu laris dibeli atau pembeli tidak merasa keberatan untuk membayar dengan harga yang lebih tinggi.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada penerangan di atas ialah sumber pendapatan sebagai peniaga itu adalah sebaik-baik keuntungan dengan syarat kesemua sifat-sifat peniaga itu dipatuhi. Sebaliknya, jika hilang sesuatu daripada sifat-sifat itu, maka keuntungan atau pendapatan sebagai peniaga itu menjadi seburuk-buruk pendapatan. Perkara inilah yang perlu diambil perhatian dan dijauhi oleh para peniaga pada masa kini.

  1. ‘Apabila berhutang mereka tidak menangguh-nangguhkan’ ialah tidak melewatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang-piutang mereka kepada pemiliknya (pemiutang).

vii. ‘Apabila memberi hutang kepada orang lain, sedangkan hutang itu dilunaskan, mereka (peniaga) itu bertimbang rasa, tidak berlaku keras atau menyusahkan.

Maka inilah sifat dan akhlak orang-orang yang menjaga batas-batas yang digariskan Allah Ta‘ala. Orang yang menjaga batas-batas Allah Ta‘ala itu ialah orang-orang yang Allah telah ikatkan perjanjian taat setia kepada mereka dan telah dihadiahkan syurga sebagai ganti kepada jiwa/diri mereka. Bagaimanapun kesemua ini tidak akan mampu untuk ditunaikan melainkan bagi mereka yang teguh dan yakin bahawa tetap ada penjamin rezeki dalam urusan pemberian rezeki. Mereka ini adalah orang-orang yang sempurna rasa takutnya, yang tenang jiwanya dan dijauhkan hatinya daripada perasaan kecintaan (tamak mendapatkan) mata pencarian tanpa mengira dengan cara apa dan bagaimana sekalipun. Mereka yang memiliki sifat dan akhlak ini juga layak dikatakan sebagai ‘bertaqwa’

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: