Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tegas tangani penghinaan terhadap Islam

Posted by epondok di Julai 14, 2018


Oleh Latifah Arifin

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani pelbagai ancaman dan hinaan terhadap Islam. Selain dibimbangi menggugat kedaulatan institusi Raja sebagai pelindung agama Islam, cabaran besar yang sedang dihadapi turut meliputi pelbagai sektor termasuk pendidikan dan ekonomi sehingga kepada pembangunan dakwah.

Lebih memburukkan keadaan, kebencian yang disebarkan ini bukan datang sepenuhnya daripada musuh Islam, sebaliknya sebahagian orang Islam sendiri turut dengan menyebarkan sentimen tertentu sehingga menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat beragama di negara ini.

Presiden Sekretariat Pembela Islam (SPI), Manolito Dahlan, berkata penganjuran Persidangan Meja Bulat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pendakwah Islam di Akademi Darul Huffaz, Kajang bermatlamat untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada pelbagai persepsi yang tidak benar.

“Persidangan ini membabitkan 47 NGO dan lebih 30 individu termasuk dalam kalangan pendakwah. Ketika ini umat Islam resah kerana dihimpit dengan pelbagai isu antaranya yang menghina kewujudan sekolah agama berorientasikan Islam.

“Kemudian antara perkara lain berlegar ialah ancaman lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang benar-benar bertentangan dengan agama Islam.

“Kita mahu NGO Islam dan komuniti berperanan dalam mempertahankan kedaulatan Islam mengikut perlembagaan Islam dan negeri,” katanya kepada BH di sini.

Sedia resolusi untuk tindakan lanjut

Manolito berkata, terdapat 10 resolusi dicapai hasil daripada persidangan itu, antaranya menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) segera bertindak memperkukuh kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan menyatakan secara jelas agenda, dasar serta pelan tindakan kepada masyarakat umum.

Ia antara lain turut meminta kerajaan supaya tidak tunduk dengan tuntutan golongan anti Islam, sekular dan liberal yang cuba mengambil kesempatan selepas PRU-14 untuk mencorakkan negara mengikut kehendak, ideologi dan hawa nafsu mereka.

Katanya, dua resolusi utama ini amat penting untuk dibincangkan kerana ia membabitkan masa depan umat Islam di negara ini.

“Sebagaimana Rasulullah SAW menyebut, ancaman kepada Islam ini datang dalam lima ujian yang sangat hebat. Pertamanya ia adalah datang dalam kalangan umat Islam sendiri, ada yang hasad dengki, tidak kurang juga tidak memahami jiwa Islam dengan betul.

“Kedua, barulah Baginda sebut, ia datang daripada golongan munafik iaitu yang bencikan Islam, manakala ketiganya, orang kafir dengan tujuan memerangi agama kita.

“Golongan keempat ialah syaitan yang cuba untuk menyesatkan dan terakhir, nafsu dalam diri manusia itu sendiri yang sentiasa bergolak,” katanya.

Melihat kepada sabda Nabi Muhammad SAW ini tidak hairanlah hari ini kita lihat percubaan untuk merosakkan nama baik Islam itu datang dalam kalangan penganutnya sendiri.

Bagaimanapun, mereka ini tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana ia terjadi mungkin atas pelbagai faktor, termasuk menerima pendidikan awal berbentuk sekular, sebahagiannya mempunyai ilmu separuh masak mengenai Islam tidak kurang juga terlalu mengikut fikiran rasional dalam melontarkan pendapat.

Bimbing puak benci Islam secara berhemah

Manolito berkata, hasil daripada resolusi itu seharusnya menjadi pencetus kepada usaha kerajaan bagi memberikan bimbingan yang lebih menyeluruh kepada puak tertentu yang mempunyai agenda songsang terhadap Islam.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cara yang lebih baik untuk berhadapan dengan golongan sedemikian, antaranya dengan merancang dialog secara aman untuk membantu dan memberikan bimbingan, sekali gus memperbetulkan persepsi mereka terhadap agama Islam.

Katanya, sebagai negara Islam bertamadun, lebih murni sekiranya mereka yang mempunyai pandangan negatif terhadap Islam ini dibawa bersemuka dengan pihak benar-benar berkelayakan khususnya golongan ulama.

Mengambil tindakan undang-undang kepada golongan ini sepatutnya menjadi langkah terakhir sekiranya mereka masih berdegil dan secara berterusan tampil dengan tuduhan tidak berasas sehingga menimbulkan perpecahan dan permusuhan di antara umat Islam sendiri.

Pelihara institusi tahfiz

Manolito berkata, resolusi membabitkan sistem pendidikan tahfiz juga turut diutarakan. Ia antara lain meminta supaya kerajaan mengangkatnya sebagai salah satu bentuk pendidikan arus perdana dan turut disepadukan dengan pengajaran sains dan teknologi.

Menurutnya, sejak 1961 pendidikan sekolah tahfiz dimulakan, ia sudah banyak berjasa dalam melahirkan modal insan beriman dan bertaqwa, sekali gus dapat membendung pelbagai kebejatan moral termasuk gejala rasuah, maksiat dan kes jenayah.

“Kita rasa terpanggil untuk menjawab isu yang menghina institusi dan undang-undang Islam di negara ini. Ia termasuk kenyataan dikeluarkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya menutup maahad tahfiz.

“Perkara ini menimbulkan keresahan kepada umat Islam kerana institusi ini dibina berasaskan peruntukan undang-undang dan Perlembagaaan,” katanya.

Beliau berharap isu seumpamanya ditangani kerajaan secara lebih mesra, sekali gus dapat menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini dan sentiasa memperjuangkan nasib institusi agama secara adil dan saksama.

Katanya, resolusi berkenaan dijangka akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: