Selain itu, kebanyakan juadah yang dihidangkan ketika bulan ini seperti lemang, rendang, kambing golek, ketupat dan kuih-muih mempunyai jumlah kalori yang tinggi.

Oleh demikian, pengambilan juadah seumpama ini tanpa kawalan boleh memberi risiko kepada kesihatan seperti me­nyumbang kepada penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti. Berlebih-lebihan dalam pengambilan makanan ketika musim perayaan bukanlah gaya sihat untuk menyambut Syawal.

Alangkah baik sekiranya sam­butan Syawal dilakukan dengan gaya sihat sebagai usaha untuk mengekalkan tubuh badan yang sihat. Tambahan pula, cara pemakanan begitu ditekankan di dalam Islam.

Hal ini boleh difahami melalui sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sebenarnya beberapa suap sahaja sudah cukup untuk menegakkan tulang rusuknya. Jika terpaksa dia harus mengisinya, maka se­pertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk bernafas. (Sunan Ibn Majah, Hadis 3349).”

Selain panduan asas yang ditekankan di dalam Islam, terdapat juga beberapa panduan khusus pemakanan secara sihat ketika Syawal oleh Kementerian Kesihatan melalui penerbitan ringkas bertajuk Makan Secara Sihat di Hari Raya.

Antara yang ditekankan adalah: (1) makan juadah raya dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil, (2) mengutamakan makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan, (3) mengehadkan pengambilan makanan yang berlemak dan berminyak seperti lemang dan rendang, (4) mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula seperti kek dan biskut raya, (5) mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek, dan (6) memilih untuk meminum air kosong berbanding minuman berperisa atau minuman berkarbonat.

Selain mengawal pemakanan melalui panduan-panduan khusus yang disarankan di atas, kita juga boleh memanfaatkan anjuran sunah berpuasa sunat Syawal sebagai jalan untuk mengekalkan momentum ibadah puasa di samping mengekang nafsu makan.

Anjuran ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari yang bermaksud: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal,maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa (Sahih Muslim, Kitab Puasa, Hadis 1164).”

Selain aspek sambutan Syawal yang sihat secara individu, adalah penting juga bagi penyedia atau penganjur hidangan jamuan Aidilfitri dan rumah terbuka untuk beralih kepada meraikan tetamu-tetamu yang berziarah dengan gaya yang sihat.

Antara perkara yang boleh diusahakan penyedia hidangan Syawal adalah: (1) menyediakan makanan dalam saiz hida­ngan yang kecil, (2) menyediakan air kosong kepada para tetamu, (3) mengasingkan gula apabila menghidangkan minuman seperti teh dan kopi bagi memberi ruang kepada para tetamu menentukan kuantiti gula yang diingini di dalam minuman berkenaan, (4) memperba­nyakkan hidangan berunsurkan sayur-sayuran dan buah-buahan ketika menghi­dangkan juadah utama, (5) menyediakan hidangan yang lebih sihat seperti sup berbanding hidangan yang berlemak, dan (6) mengurangkan hidangan juadah-juadah berunsur manisan atau yang tinggi dengan kandu­ngan gula.

Bulan Ramadan telah menjadi fasa penyucian diri agar kembali kepada fitrah kejadian asal kita iaitu bersih daripada dosa.

Secara fizikalnya pula, dengan kebaikan puasa kita turut kembali kepada keadaan asal kita iaitu dijadikan sihat dan sempurna tubuh badan oleh Allah SWT. Kita kembali kepada fitrah ini de­ngan latihan mengawal nafsu dan mendekatkan diri kepada pencipta.

Oleh itu, kedatangan Syawal tidak sepatutnya menjadi permulaan kepada kita untuk menghentikan perkara-perkara yang telah dipraktikkan pada bulan sebelumnya sehingga merosakkan fitrah yang dikurniakan tersebut. Bahkan, ia patut diteruskan sebagai tanda kejayaan kita memupuk nilai-nilai baik sepanjang Ramadan.

Nafsu kepada makanan pada bulan Syawal perlulah dikawal secara berterusan sebagaimana yang dilakukan pada bulan Ramadan dengan harapan kita sentiasa sihat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT sekali gus menjadikan Syawal diraikan dengan gaya yang sihat.