Kesibukan berhari raya dan memenuhi undangan rumah terbuka diharap tidak melalaikan kita mengekalkan momentum beribadat sepanjang Ramadan. Sebabnya solat fardu itu bukan part time atau bila kita ada masa tetapi ia perintah yang wajib ditunaikan oleh muslim yang mukalaf dan berakal. Perintah istiqamah ini disebut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Maka tetaplah (fastaqim) kamu dalam jalan yang benar sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan sesiapa yang bertaubat bersamamu dan tidak melampaui batas sesungguhnya Allah Maha Melihat setiap yang kamu kerjakan. (Hud: 112)

Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, khabarkan padaku sesuatu dalam Islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya selain daripadamu? Jawab baginda SAW: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama). (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, inilah seperkara yang amat sukar dalam hidup. Untuk beriman itu agak mudah pada kata-kata namun istiqamah selalunya sukar dilaksanakan. Mungkin ini boleh membantu, kata Saidina Umar al-Khattab: “Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa berubah-ubah seperti musang”. (Lihat Ibnu al-Qayyim dalam Madarij as-Salikin)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Wahai manusia, lakukanlah amalan sesuai de­ngan kemampuan kalian. Sebabnya Allah tidaklah bosan sampai kalian merasa bosan. (Ketahuilah bahawa) amalan yang paling dicintai Allah adalah yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit. (Riwayat Muslim)

Ramadan telah berakhir. Namun, adakah pelbagai amal soleh yang dilakukan sepanjang bulan puasa dapat kekal sehingga ke akhir hayat? Mampukah kita istiqamah solat subuh dan isyak berjemaah selepas Ramadan? Mampukah kita teruskan membaca dan mentadabbur al-Quran yang saban hari kita baca sepanjang bulan puasa?

Menurut Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal dengan panggilan Pak Hamka: “Jika ingin melihat orang Islam…datanglah ke masjid pada Aidilfitri dan Aidiladha tetapi jika ingin melihat orang yang beriman…datanglah ke masjid waktu subuh. Itulah beza orang Islam dengan orang beriman. Sesungguhnya, su­buh itu hakikat diri”.

Ingatlah, natijah daripada puasa Ramadan adalah menjadi orang bertakwa. Bulan Syawallah menjadi kayu ukur tahap keimanan dan ketakwaan seseorang itu. Adalah puasanya berjaya mendidik seseorang itu untuk istiqamah solat berjemaah, solat di awal waktu, banyak bersedekah dan menahan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia serta mengumpat termasuklah ‘mengumpat’ dalam alam siber. Semuanya akan terpancar kepada amalan individu ketika berada dalam Syawal.

Sesudah menyelesaikan tuntutan ibadah puasa, gesaan istiqamah selepasnya mempunyai signifikan yang tersendiri. Keadaan yang sudah bersih selepas sebulan beribadat, beristighfar dan bertaubat umpama bayi yang baharu dilahirkan di atas landasan fitrah. Justeru, ia menuntut untuk dicorakkan lembaran baharu kehidupan selepas mengerjakan Ramadan dengan warna-warna ke­taatan dan melaksanakan kebaikan serta amal soleh.

Untuk itu, marilah sama-sama istiqamah menunaikan solat fardu pada awal waktu dan dilaksanakan secara berjamaah di masjid atau surau; melazimi solat sunat ra­watib; mendirikan solat sunat witir walaupun hanya satu rakaat; berusaha mendirikan qiamulail dan teruskan memperbanyak sedekah dan perasan belas ihsan kepada insan-insan yang memerlukan.

Seperkara yang rugi jika ditinggalkan adalah melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal selepas puasa Ramadan kerana pahalanya seperti puasa setahun.

Apabila berakhir Ramadan, sama-samalah kita berdoa dan berusaha sedaya upaya mudah-mudahan amal soleh yang dilakukan akan terus berkekalan sepanjang hidup kita.