Namun, bagi Muslim yang benar-benar ikhlas serta bersungguh dalam beribadah bermula di awal Ramadan hingga ke akhir Ramadan, pastinya akan tetap dengan keimanan untuk terus istiqamah meskipun Ramadan telah berlalu kerana mengetahui amal ibadah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT hendaklah dilakukan pada setiap masa dan tidak melihat pada bulan apa kita berada semata-mata.

Sehubungan itu, bagi menjamin kesungguhan istiqamah da­lam ibadah khususnya ber­kaitan puasa Ramadan, umat Islam dianjurkan supaya melakukan amalan puasa sunat enam Syawal.

Puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal atau disebut juga sebagai ‘puasa enam’ adalah satu perkara yang sangat dituntut oleh agama Islam.

Puasa enam adalah puasa yang dilakukan semasa di dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal kerana pada hari tersebut merupakan hari raya yang adalah satu hari kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan berpuasa.

Maka, diharamkan untuk berpuasa pada hari berkenaan. Sebaliknya, kita diharuskan dan digalakkan untuk meraikan ke­gembiraan 1 Syawal itu selagi mana tidak me­langgar hukum syarak.

Tuntutan puasa enam ini juga ­dise­but oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Baginda SAW ber­sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan puasa pada bulan Ramadan dan enam hari selepas hari raya, dia telah menyempurnakan puasa sepanjang tahun. Ini kerana sesiapa yang mengerjakan kebaikan, dia akan mendapat ganjaran sebanyak 10 kali ganda.”(Hadis Riwayat Nasa’i).

Bagaimanapun bukan satu kewajipan kepada kita untuk mengerjakannya secara berturut-turut, sebagai contoh dari 2 Syawal hingga 7 Syawal atau 14 Syawal hingga 19 Syawal. Sebaliknya, puasa enam ini boleh dilakukan secara berselang atau berturut-turut dengan syarat kita masih berada dalam bulan tu pada tahun yang sama.

Bagi seseorang yang saban tahun mengerjakannya atau ber­azam untuk melakukannya pada Syawal ini, dinyatakan beberapa antara faedah-faedah mengerjakan ibadah puasa enam ini.

Antaranya, puasa enam ini menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun diibaratkan seperti sunat rawatib sesudah solat fardu bagi menyempurnakan kekurangan yang ada iaitu kekurangan puasa kita dalam bulan Ramadan.

Di samping itu, mengulangi dan meneruskan puasa yang dilakukan di dalam bulan Ramadan dengan harapan agar tahap keimanan kita kepada Allah SWT akan kekal serta bertambah walaupun tidak berada lagi dalam bulan Ramadan.

Antara faedahnya lagi adalah sebagai bukti dan cara kita bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan sepanjang bulan Ramadan lalu. Di samping itu, puasa enam ini sebagai penyambung bagi amalan puasa yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadan bertujuan mendekatkan diri dengan Allah SWT tidak terhenti begitu sahaja pada bulan Syawal ini.

Dengan sebab itu, puasa Ra­madan kita akan diiringi oleh puasa sunat enam di bulan ­Syawal dengan bertujuan amalan yang dilakukan itu dapat diteruskan secara istiqamah.

Oleh itu, dalam kesempatan baki Syawal yang ada ini, marilah kita berazam dan berusaha untuk melaksanakan puasa enam ini.

Bagi yang belum bermula, ta­namkan keazaman dan keyakinan bahawa kita mampu untuk melaksanakannya walaupun da­lam suasana meraikan Aidilfitri yang gembira ini.

Namun, jika kita seorang yang cekal dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi, pasti mampu untuk melaksanakannya. Masih sempat lagi untuk berniat dan mengambil ke­sempatan di atas kelebihan ber­puasa sunat enam ini.

Dalam hadis lain daripada Abu Ayub Al-Ansori r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa berpuasa bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam Syawal, maka seolah-olah dia ber­puasa setahun.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Bayangkanlah berapa ba­nyak ganjaran pahala berlipat ganda yang kita akan peroleh jika berjaya melaksanakannya.

Sesungguhnya, bagi seseorang yang beriltizam dan bersungguh-sungguh dengan niat semata-mata kerana Allah SWT, Insya-Allah akan dibalas ­ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Semoga dengan keikhlasan dan pengharapan daripada Allah SWT atas puasa sunat enam yang dilakukan ini, kita tidak akan kembali dan sentiasa dihindari daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dan orang yang ber­usaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-Ankabut: 69)