Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hikmah dialog ahli Syurga dan Neraka

Posted by epondok di Jun 25, 2018


Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan yang mengerjakan solat; Dan kami tidak pernah memberi makan orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.” (Al-Muddaththir: 42-46)

Di dalam al-Quran, disebutkan di akhirat nanti manusia terbahagi kepada dua golongan. Pertama, ashab al-yamin atau al-maimanah (golongan kanan), manakala kedua, disebut ashab asy-syimal atau al-masy’amah (golongan kiri). Golongan kanan ialah kelompok yang memperoleh keredaan Allah SWT dan syurga-Nya, sedangkan golongan kiri bakal mendapatkan kemurkaan dan seksa Tuhan.

Ayat di atas menunjukkan hubungan antara ahli syurga dan neraka nanti masih belum putus; mereka boleh bertanya khabar dan melihat wajah satu sama lain. Bagi menjawab persoalan keperluan komunikasi itu, ahli tafsir memberi dua jawapan.

Pertama, dialog terbuka mengenai masa depan akhirat sangat berfaedah bagi orang mukmin semasa di dunia kerana ia membekalkan mereka maklumat lebih jelas terhadap bahaya di sepanjang perjalanan ke akhirat untuk dijauhi.

Ini kerana pengetahuan tempat berbahaya tidak kurang pentingnya daripada pengetahuan hidayah dan kebenaran. Orang yang ingin membina kejayaan masa depan hendaklah mengetahui sifat dan penderitaan yang menimpa orang tidak membina masa depan.

Kedua, pertanyaan kepada ahli neraka mengapa dimasukkan ke neraka, memberi kepuasan tambahan kepada orang mukmin di atas nikmat syurga itu.

Surah al-Mudatsir menggambarkan neraka Saqar ialah tempat penyiksaan yang sangat pedih. Bentuk penyiksaan berupa sengatan api membakar kulit manusia hingga kulit menjadi hitam.

Ibnu Abbas RA berkata, Saqar membakar kulit lalu menghanguskan dan mengubah warnanya.

Jawapan pula membayangkan sifat dan dan perangai ahli neraka sewaktu berada di dunia. Antara yang menyebabkan manusia dimasukkan ke Saqar ialah meninggalkan solat.

Solat ibadat wajib dalam Islam. Ia pengakuan keagungan Allah SWT dan kewajaran-Nya untuk disembah serta dimohon bantuan-Nya. Dengan demikian pengakuan mereka tidak termasuk golongan hamba Allah yang solat mencerminkan buruknya hubungan mereka dengan Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia ialah solatnya. Jika solatnya baik, dia akan bahagia dan beruntung, Jika solatnya buruk, dia termasuk orang rugi. (HR Tirmizi)

Ibadat solat yang dimaksudkan menurut Sayyid Qutb ialah keseluruhan iman. Ini menunjukkan pentingnya dalam akidah Islam sehingga dijadikan lambang dan bukti iman.

Sebab kedua, tidak menolong orang dalam kesusahan. Membantu golongan miskin ialah kewajipan syarie, kemanusiaan, kemasyarakatan, akal dan budaya. Apabila kemiskinan menimpa individu sehingga tidak lagi mampu mendapatkan keperluan asas seperti makan, pakaian, kediaman dan perubatan, masyarakat akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Sikap Islam tegas dan jelas dalam pemberian bantuan kepada golongan miskin apabila menjadikannya sebagai juzuk perlindungan daripada neraka.

Ia juga antara jalan amat berkesan bagi mendekatkan jarak antara golongan kaya dengan miskin dalam masyarakat, sekali gus mencegah kezaliman akibat pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.

Mufassirin menyatakan maksud bantuan ialah zakat diwajibkan. Ini kerana meninggalkan pemberian sunat sudah tentu tidak diancam dengan balasan neraka. Tafsiran ayat juga menjadi sandaran kepada yang berpendapat zakat diwajibkan di Makkah cuma penjelasan hukum, nisab dan haul ditentukan di Madinah dan diletakkan di bawah pentadbiran baitulmal.

Ketiga, mendustakan Akhirat. Banyak sekali ayat al-Quran memperkatakannya yang bertujuan membimbing manusia agar kualiti diri ditingkatkan. Pasti ingatan terhadap hari akhirat akan lenyap dalam diri sekiranya tidak pernah bercakap atau mengingatinya.

Antara pendekatan al-Quran ialah menerangkan keperitan dalam diri umat Islam sejak dahulu. Antaranya mereka berhadapan pemimpin zalim yang didukung pengikut mereka. Pertemuan antara pengikut dan pemimpin zalim berlaku tatkala dimasukkan bersama-sama ke dalam neraka Jahanam. Mereka saling melaknat antara satu sama lain dan masih mengingati bagaimana keadaan di dunia ketika berpakat menghina dan memberi gelaran buruk kepada orang beriman.

Iman satu-satunya jalan kita mengenali dan mencapai keredaan Allah SWT. Ia menjadi bekalan menuju ke akhirat. Kita tidak mampu menanggung penderitaan di atas jalan menuju syurga dan tidak pula sanggup melawan nafsu syahwat yang mengheret ke neraka kecuali dengan keimanan. Kekuatan ini akan mengubah penderitaan menjadi kesenangan dan membuat kita sanggup menanggung ujian menuju ke jalan Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: