Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jaga adab, tutur kata ketika ziarah

Posted by epondok di Jun 18, 2018


Oleh Hasliza Hassan

 

SAMBUTAN Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim kerana sudah menjadi budaya bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini untuk saling kunjung-mengunjung pada hari raya.

Suasana harmoni dan keamanan dapat dirasai di saat sanak keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga menziarahi sepanjang Syawal, menikmati juadah dihidangkan sambil berbual mesra bertanya khabar.

Indahnya Islam, setiap tuntutan disediakan garis panduan supaya dapat dilaksanakan sebaiknya dan memenuhi kehendak ajaran agama yang sebenar. Begitu juga dalam aspek menjalinkan silaturahim terutama ketika meraikan Aidilfitri.

Pengerusi Surau Putra Al-Amin Prescint 8 Putrajaya, Zakaria Othman berkata, amalan kunjung-mengunjung untuk mengeratkan silaturahim boleh diluaskan, bukan terhad kepada ahli keluarga yang rapat sahaja.

Beliau berkata, penekanan hendaklah diberi kepada tujuan ziarah iaitu bagi menghubungkan persaudaraan dan mengeratkan hubungan sedia ada selain meluaskan rangkaian kenalan dalam menjalinkan hubungan sesama insan.

“Ibu bapa perlu mainkan peranan untuk mendidik anak supaya berkenalan dengan kaum kerabat. Kita tidak mahu apabila balik kampung anak-anak dibiarkan leka dengan telefon pintar atau menonton televisyen.

“Nabi Muhammad SAW menyuruh kita menyambung silaturahim antara kaum kerabat. Ada adik beradik yang jauh hubungan kekeluargaan kita dituntut pergi mencari. Jika ada orang tua dalam keluarga, tanggungjawab mereka untuk bawa dan perkenalkan susur galur keluarga,” katanya.

Buat persediaan rapi

Katanya, masyarakat sekarang tidak boleh melihat hubungan persaudaraan dalam kalangan yang ada hubungan darah atau kekeluargaan dengan mereka sahaja, sebaliknya hendaklah melebarkan ikatan itu kepada jiran, sahabat serta umat Islam umumnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyentuh mengenai adab berziarah, Zakaria berkata, ada perkara yang sering diabaikan atau tidak disedari kepentingan seperti menyusun program dengan mengambil kira perkara sebelum, semasa dan selepas berziarah.

Antaranya, sebelum bertandang ketua keluarga perlu memaklumkan kepada pasangan serta ahli yang lain mengenai pihak ingin diziarahi supaya mereka tahu latar belakang serta melakukan persediaan yang rapi.

“Contohnya, kita hendak pergi rumah pakcik yang keluarganya bukan orang senang, jadi dari segi pemilihan pakaian perlu sesuai. Janganlah pakai gelang hingga siku sehingga menyebabkan rasa tidak senang mereka kerana mereka tidak berkemampuan.

“Begitu juga dari segi tutur kata, biarlah berjaga-jaga supaya tidak menyakitkan hati tuan rumah nanti. Andai kita kalangan yang berkemampuan, jangan membandingkan diri atau mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pada hari raya sudah menjadi kebiasaan tuan rumah sentiasa bersedia menerima kedatangan tetamu, tetapi mereka juga memerlukan waktu untuk berehat serta melaksanakan kewajipan seperti menunaikan solat.

Justeru, pemilihan waktu untuk berkunjung juga penting dan elakkan waktu yang tidak sesuai seperti ketika tuan rumah sedang berehat atau pada lewat malam. Berbeza dengan rumah terbuka, waktu bertandang telah ditetapkan oleh tuan rumah.

Adab lain perlu dipelihara ialah memberi salam, menunggu izin sebelum memasuki rumah dan duduk di ruang yang disediakan atau dikhususkan oleh tuan rumah. Menjadi tugas ibu bapa menasihat anak supaya tidak bergerak bebas di rumah yang dikunjungi.

Ini kerana ditakuti tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah menyebabkan matlamat berziarah tidak tercapai kerana dikeruhkan oleh suasana itu. Nikmati hidangan yang dihidangkan dan jangan minta berlebihan.

Zakaria mengambil contoh ditunjukkan Rasulullah SAW yang tidak pernah memberi komen negatif terhadap makanan dan Baginda juga akan memberi alasan sebaiknya jika tidak mahu menjamah hidangan disediakan.

“Nabi pernah dihidangkan dhab dan sahabat iaitu Khalid al-Waleed menikmatinya tetapi Baginda tidak makan. Khalid bertanya adakah makanan itu tidak boleh dimakan. Nabi berkata Baginda tidak biasa makan dhab kerana tiada di tempatnya.

“Khalid yang sudah makan rasa senang kerana makanan itu tidak haram manakala tuan rumah pun tidak berkecil hati. Jika diminta komen, berilah komen yang harmoni dan sebaiknya jangan buat sebarang komen terhadap makanan dihidangkan,” katanya.

Pelihara tutur kata

Beliau berkata, kita dituntut untuk menjaga lidah dan memelihara diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti orang lain kerana ia termasuk dalam perkara menjaga hubungan silaturahim.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka.” (Riwayat an-Nasaie)

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaiknya dan mengelak masalah kecil atau remeh menyebabkan hubungan menjadi renggang, bermasam muka hingga saling membenci.

Zakaria berkata, ini boleh berlaku dalam kalangan adik beradik apabila masing-masing tidak berusaha memahami antara satu sama lain ketika semua pulang untuk berkumpul meraikan hari raya di kampung.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberitahu supaya semangat Aidilfitri untuk saling bermaafan, mengeratkan hubungan dan bersedekah terpelihara serta dapat dilaksanakan mengikut cara sepatutnya.

“Ada antara adik beradik yang hidupnya senang, ada pula sederhana sahaja. Apabila balik kampung janganlah kita bermegah-megah atau tunjuk kekayaan hingga ada yang berkecil hati. Ibu bapa berilah layanan sama rata antara anak dan menantu, tidak kira kedudukan mereka,” katanya.

“Sebab itu pada hari raya kita digalakkan saling memberi hadiah antara ahli keluarga dan kanak-kanak supaya dapat menimbulkan suasana kasih sayang dan harmoni,” katanya.

INFO
Adab sebelum berziarah

  • Memilih masa sesuai (digalakkan beritahu tuan rumah terlebih dulu)
  • Memakai pakaian sopan dan menutup aurat
  • Berniat pertemuan dan perpisahan kerana Allah SWT

Adab semasa menziarah

  • Memberi salam dan bersalaman
  • Meminta izin untuk masuk
  • Memendekkan tempoh ziarah
  • Mengawal pandangan
  • Merendahkan suara

Adab selepas menziarah

  • Meminta izin apabila hendak beredar
  • Memberi salam dan bermaafan sebelum beredar
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: