Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Jun 2018

Puasa ajak Kembali kepada fitrah

Posted by epondok di Jun 14, 2018

PUASA atau siyam seperti yang diungkapkan oleh al-Quran membimbing manusia kepada jiwa takwa. Jiwa takwa di sisi Allah adalah suatu kemuliaan. Keadilan Allah mengukur kehebatan insan bukan kepada warna kulit, pangkat, kekayaan dan harta tetapi ukuran itu adalah kepada rijal yang muttaqeen.

Takwa dalam bahasa mudah dihubungkan sebagai takutkan Allah. Dalam bahasa syaraknya adalah kegentaran terhadap balasan Allah yang amat pedih. Di hari pembalasan nanti seluruh apa yang dilakukan dalam hidup ini akan dihisab. Orang berjiwa muttaqeen semasa hidupnya akan sentiasa mendukung sesuatu yang makruf dan menjauhkan diri daripada kemungkaran .

Siyam adalah latihan rohaniah supaya kawalan diri sentiasa dijadikan pedoman. Berlapar dan dahaga di samping dapat mengawal hawa nafsu, hikmahnya adalah mencetuskan keinsafan mengenai hakikat lapar dan miskin. Lalu pengalaman siyam menjadikan ahli ibadah orang yang sedar bahawa sifat pemurah dan tidak bakhil menyebabkan rasa peduli terhadap yang lain dirasai sama.

Siyam juga melatih diri supaya sabar dengan ujian dan ke­renah nafsu. Mengawal dan menjinakkan nafsu supaya menjadi nafsul mutmainnah atau nafsu berjiwa tenang adalah amat penting kerana ia adalah bawaan diri yang fitrah.

Sekiranya ini terjadi jalan hidup yang dituju hasil siyam dan ibadah lain adalah kembali kepada fitrah. Memang asal jadinya manusia adalah dalam keadaan fitrah. Siyam dan ibadah yang lain diibaratkan sebagai melakukan penyucian dan pembersihan jiwa supaya jiwa yang kotor, hasad dan dengki, bengis dan berprasangka buruk kembali semula kepada diri secara fitrah.

Inilah yang menjadi maksud sebenar mengapa siyam diwajibkan kepada orang beriman supaya jalur muttaqeen menjadi sumber ikutan terbaik. Beza orang yang muttaqeen dengan orang yang tidak muttaqeen amat nyata. Yang satu patuh, akur, taat dan tunduk kepada suruhan Allah dan yang satu lagi sentiasa dalam keingkaran dengan memiliki sifat-sifat mazmumah iaitu perangai-perangai yang terkeji.

Mengembalikan diri kepada fitrah adalah maksud utama untuk menjadi insan soleh dan solehah. Sebab itu, Aidilfitri yang dirayakan membayangkan tamatnya proses madrasah rohhiyyah selama sebulan. Ia adalah hari kemenangan yang merintis transformasi diri insan supaya kembali ke fitrah.

Darinya kita lakukan ziarah sesama keluarga mohon maaf yang tersilap dan terlanjur. Kita temui teman dan kawan, sahabat dan taulan mengenai perbuatan masa lalu yang melukakan hati mereka. Diziarahi anak yatim, golongan daif dan miskin, kelompok yang terbiar dan mereka yang tidak bernasib supaya makna Aidilfitri itu dirasakan sama.

Bayangkan golongan seperti ini yang sudah kehilangan suami atau isteri, yang sudah tiada kedua ibu bapanya, yang tua dan uzur akan merasakan sesuatu yang bernilai sekiranya diziarahi. Inilah asas ukhuwah yang dituntut oleh agama kerana ianya adalah tuntutan yang fitrah.

Kembalinya insan kepada fitrah memang amat dituntut oleh Islam. Perubahan ini amat besar ertinya dalam Islam. Al-Quran dalam Surah al Asr – Illallazi na’amanu waamilussalihat – orang yang beriman itu melakukan amal soleh adalah gambaran terbaik bagaimana keindahan Islam itu terlihat pada amalan dan perbuatan.

Justeru warga Madrasah Ramadan seharusnya menamatkan pembangunan dirinya supaya tidak saja perubahan dalaman berlaku tetapi juga perubahan pemikiran terjadi. Tarbiyyah Ramadan harus banyak membawa diri insan merenung ke dalam diri tentang betapa pentingnya kita kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Jiwa muttaqeen yang dibina memberi erti seolah-olah kita ini dilahirkan semula. Kalau pada masa lalu banyak kesilapan dilakukan, mengabaikan solat dan amalan-amalan yang fardu, serakahnya perangai terhadap pasangan dan anak-anak, sombongnya pada jiran dan kerabat, bongkaknya terhadap pangkat dan kedudukan, merasakan dunia ini segala-gala, Aidilfitri memberikan kita sempadan melakukan perubahan. Membangun jiwa muttaqeen menjadi prasyarat untuk kita menyambut hari kemenangan yang mana sebulan berpuasa memberi makna yang amat bererti kepada kita dan hari depan yang bakal dilalui.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Syaitan bakal dilepaskan, bersediakah kita?

Posted by epondok di Jun 14, 2018

Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz

 

BEBERAPA hari lagi, musuh sejati manusia bakal dilepaskan. Apabila bebas, dia akan masuk pejabat seperti biasa untuk merosakkan manusia melalui semua lubang, pintu, tingkap dan bumbung. Apa nak buat itu adalah janji yang diikatnya selepas dilaknat oleh Allah SWT.

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; “Kemudian aku akan datangi mereka (dari segenap penjuru, iaitu), dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur,” (al-A’raf 7: 16-17).

Antara keistimewaan syaitan dalam menggoda dan merosakkan jiwa manusia adalah kemampuan mereka meneroka segenap tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Ulama berselisih pandangan tentang hadis ini:

1. Ada memahaminya secara zahir iaitu syaitan memang bebas bergerak dalam pembuluh darah manusia seperti lebuh raya.

2 . Ada juga yang memahaminya secara kiasan iaitu kemampuan syaitan menghasut manusia dalam berbagai cara seolah-olah mereka mampu bergerak bebas dalam pembuluh darah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Ketika manusia berpuasa, pergerakan syaitan dalam tubuh manusia agak terbatas kerana sumber makanan yang melancarkan perjalanan darah berkurang (Lata’if al-Ma’arif oleh Ibn Rajab al-Hanbali, ms 291). Ini antara sebab mengapa pengaruh syaitan agak lemah ketika manusia berpuasa.

KENAPA MAKSIAT MASIH BERLELUASA

Berbalik kepada tajuk di atas, perihal syaitan ditambat pada bulan Ramadan adalah perkara ghaib yang kita imani melalui wahyu iaitu sabda Rasulullah SAW:
“Apabila masuk bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu,” – Sahih Bukhari.

Juga sebuah hadis lain yang lebih terperinci:

“Abu Hurairah r.a. melaporkan Rasulullah SAW pernah bersabda: Apabila tiba malam pertama Ramadan, syaitan dan jin yang jahat dibelenggu. Pintu neraka juga ditutup dan tidak ada satu pintu pun dibuka. Semua pintu syurga pula akan dibuka. Kemudian satu suara (malaikat atau suara hati manusia) melaungkan seruan berbunyi – Wahai pencari kebaikan, majulah anda melakukannya. Wahai pencari kejahatan, tahanlah dirimu (daripada sebarang kejahatan). (Ketahuilah) bagi Allah ada ramai hamba yang dibebaskan daripada azab neraka (semoga kamu termasuk dalam kalangan ini). Pembebasan ini berlaku pada setiap malam,” – Sunan Tirmizi.

Ketika mendengar hadis ini, pasti ada yang bertanya: jika benar syaitan diikat mengapa masih banyak jenayah dan dosa dibuat dalam Ramadan? Mengapa masih ada gangguan jin kepada orang yang sakit? Perkara ini sudah dibincangkan oleh para ulama dan antara jawapan yang mereka berikan:

1. Syaitan yang dibelenggu hanya syaitan yang paling jahat.

2. Belenggu syaitan adalah suatu kiasan Rasulullah SAW tentang lemahnya gangguan dan hasutan mereka dalam bulan Ramadan lantaran umat Islam berpuasa.

3. Ia adalah suatu petanda tentang banyaknya tawaran pahala dan keampunan dalam bulan Ramadan sehingga aktiviti syaitan semakin berkurang.

4. Syaitan tidak mampu mengganggu umat Islam dengan hasutan mereka seperti biasa dalam bulan lain kerana umat Islam sibuk dengan puasa pada siangnya dan ibadat pada malamnya.
* Rujuk Tuhfat al-Ahwazi Syarah Sunan al-Tirmizi dan Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari.

LATIHAN TERBAIK

Walau apa pun kefahaman kita terhadap hadis di atas, yang pasti kekangan dan belenggu syaitan akan terbuka apabila Syawal menjengah. Adakah kita mampu berhadapan dengan serangan dan tipu daya mereka kelak?

Ini antara sebab mengapa Ramadan turut dikenali sebagai madrasah atau sekolah Ramadan. Seperti lazimnya mana-mana sekolah, pelajarnya dipersiap bagi menghadapi cabaran di luar sekali.

Ketika mengikat janji mahu merosakkan anak Adam, Iblis mengakui tidak mampu merosakkan hamba Allah yang ikhlas:

“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah jadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan perelok segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali antara zuriat Adam itu hamba-Mu yang ikhlas dalam ibadah atau dibersihkan daripada sebarang syirik,” (al-Hijr 15:39-40).

Puasa Ramadan adalah ibadah paling berkesan memupuk sifat ikhlas seorang hamba. Walau di mana pun berada, dia tetap menjaga puasanya kerana tahu Allah sentiasa memerhati dan menilai puasanya. Si hamba juga sanggup berdiri panjang solat tarawih kerana Allah. Keikhlasan puasa dan qiyam sebegini sangat dibenci syaitan.

Selain itu, puasa juga mampu memupuk sifat takwa sebagaimana ayat yang popular berkaitan puasa:

“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa,” (al-Baqarah 2:183).

Insan bertakwa memiliki kemampuan menapis baik buruk sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar,” (al-Anfal 8:29).

Inilah sebabnya kita perlu sentiasa peka dengan kedatangan Ramadan. Bila Allah beri kita bonus pemenjaraan syaitan dalam bulan Ramadan, jangan pula kita ambil alih tugas si syaitan dengan menghasut, mengapi-api permusuhan dan sebagainya dalam alam nyata serta alam maya.

Sepatutnya antibodi ikhlas dan takwa yang dilatih tubi sebulan Ramadan boleh menjadi bekal dan senjata menghadapi nafsu serta syaitan dalam bulan mendatang.

 

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »