Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rebut peluang ibadah akhir Ramadan

Posted by epondok di Jun 13, 2018


Oleh Hasliza Hassan

 

SEPULUH malam terakhir Ramadan akan tiba ke penghujung tidak berapa hari sahaja lagi dan pecutan untuk mengutip segala ganjaran pahala yang disediakan dari awal hingga akhir bulan mulia ini sepatutnya semakin hebat.

Apatah lagi, ketika ini hadiah cepu emas sedang menanti mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkannya, iaitu malam lebih baik daripada 1,000 bulan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Qadar.

Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr; Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)

Pastinya, kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang rugi, iaitu tidak melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pahala berlipat ganda dan kurniaan lain disediakan Allah SWT, khususnya malam yang menyamai 1,000 bulan.

Simbolik Ramadan ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga menunjukkan mudahnya untuk masuk syurga serta susahnya ke neraka kerana pintunya ditutup. Sesuai sebagai bulan kebaikan, sepatutnya kita melakukan amalan baik sepanjang bulan puasa ini.

Panel Syariah Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Fauzi Mustaffa, berkata hikmah digalakkan meraikan bulan Ramadan setiap tahun sebagai Ramadan yang terakhir kerana hakikatnya kita tidak mengetahui apakah masih berpeluang bertemu Ramadan akan datang.

Beliau berkata, disebabkan itu umat Islam sewajarnya mengoptimumkan peluang yang ada ini untuk melakukan yang terbaik dari segi amalan puasa, bersahur, solat Tarawih, bersedekah, membaca al-Quran dan beriktikaf.

Ibarat banduan akhir

Katanya, ibarat banduan akhir yang menantikan saat kematian, begitu jugalah umat Islam sepatutnya dirasakan dalam melaksanakan ibadah pada bulan puasa ini, seolah-olah ia adalah Ramadan terakhir mereka.

“Banduan akhir ‘tahu’ saat kematian, maka setiap peluang yang ada digunakan untuk bertaubat, menunaikan solat sebanyak yang mungkin dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

“Kita yang tidak tahu bila tibanya ajal sepatutnya lebih-lebih lagi kerana mungkin ini Ramadan terakhir kita. Oleh itu, jangan bertangguh, terutama pada minggu penghujung Ramadan ini, rebut semua peluang sebelum ia meninggalkan kita,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut, Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu dengan ‘itqan’ (sempurna), maka setiap ibadah yang dilakukan hendaklah dibuat sebaik mungkin.

Menurut Mohd Fauzi, Ramadan juga adalah bulan terbaik melakukan perubahan kerana statusnya sebagai bulan penuh keberkatan, rahmat serta pengampunan, tetapi semua itu hanya berjaya jika disertakan semangat yang kuat.

Nekad untuk berubah

Allah SWT tidak akan mengubah nasib seseorang jika mereka tidak mengubah apa yang ada dalam diri, iaitu sikap. Anehnya, tidak ramai yang menanamkan nekad untuk berubah pada Ramadan disebabkan bagi mereka Ramadan tiada beza dengan bulan yang lain.

Sedangkan, setiap yang dilakukan pada bulan penuh keistimewaan ini baik puasa, Tarawih, sedekah, tadarus, semuanya menggugurkan dosa. Justeru, rugilah mereka yang tidak mengambil peluang ini dan melakukan perubahan.

Beliau memberi contoh golongan yang diceritakan dalam ayat 12, surah as-Sajadah, bagaimana orang yang berbuat maksiat di dunia akan tunduk di hadapan Allah SWT dan memohon supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh.

“Inilah orang yang menyesal di akhirat kerana tidak memanfaatkan apa yang Allah SWT beri di dunia. Dalam hadis diriwayatkan Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda, orang yang bijak ialah yang beramal untuk selepas mati.

“Hayati kata-kata hikmah, bekerja kamu untuk dunia seumpama kamu akan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seolah-olah akan mati esoknya. Jangan bertangguh untuk buat baik,” katanya.

Mengenai kejayaan tarbiah pada madrasah Ramadan, Mohd Fauzi berkata, ukurannya dapat dirasakan sendiri oleh yang empunya diri kerana ulama menjelaskan tiga perkara untuk melihat puasa kita tulen atau palsu.

Caranya, dengan melihat adakah selepas berakhir Ramadan kita masih melakukan perkara buruk, kembali bergaul dengan kawan yang tidak baik dan terus menghadiri majlis tidak elok.

Puasa yang berkualiti dapat dinilai apabila kita meneruskan ibadah yang dibuat pada Ramadan seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, bersedekah dan beriktikaf.

Sementara itu, kesan puasa pada orang yang berjaya mencapai matlamat takwa pula ialah yang lalai ingat kepada Allah SWT, yang fasik akan taat, ibadah menjadi ringan, manakala maksiat semakin berat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: