Lihatlah, masjid dan surau mula dipenuhi. Siapa sangka, dahulunya semua akan langsung pulang usai solat isyak, namun kali ini setia menanti untuk meneruskan agenda ibadah, meskipun esoknya hari bekerja.

Yang merokok secara automatik mampu menahan godaan dan ketagihan berbelas-belas jam lamanya. Cuma, kembali berasap ketika berbuka. Golongan penghibur dan warga seni, tunduk menghormati dan berhenti segala aktiviti.

Jangan sesekali menyalah anggap tulisan ini. Bukan niat merendahkan mana-mana peribadi. Sedar, kita semua bani insani, tidak terlepas daripada salah dan silap. Namun, bicara ini hanya mahu memugar sedar. Hanya dengan bertukar bulan manusia bertindak mengubah haluan. Segala yang tersasar kembali terarah.

Inilah keunggulan dan ‘kuasa’ Ramadan. Bulan istimewa dihadiahkan Allah. Bukti manusia mampu mengalami perubahan. Sekelip mata bukan kemustahilan.

Cuma soalnya adalah keteguhan. Istiqamah meneruskan perubahan. Itulah sebenarnya medan ujian. Apakah kita benar-benar hamba Allah atau sekadar hamba Ramadan?

INTEGRASI IBADAH DALAM PUASA

Ramadan datang bersilih ganti. Ia sebuah medan latihan moral, lapangan riadah spiritual juga persis ‘kilang’ memproses akal budi. Tujuan utamanya untuk mengembalikan manusia ke landasan takwa.

Sultan al-Ulama Imam al-Izz bin Abd al-Salam rahimahullah menyatakan dalam kitabnya Maqasid al-Saum bahawa faedah puasa ini antara lainnya bertujuan untuk mengangkat darjat, menghapuskan dosa, mengawal syahwat, memperbanyak sedekah, menyempurnakan ketaatan, mensyukuri Maha Pemberi nikmat dan melatih diri menjauhi segala keinginan melakukan maksiat.

Rumusan manfaat puasa ini secara tidak langsung menjelaskan inti pati sebenar dan manifestasi maksud puasa yang terkandung dalam kalimah al-Imsak yang bermaksud menahan diri.

Makna ini bukan sahaja terdapat dalam ibadah puasa. Sedar atau tidak, elemen itu tersisip kemas dalam ibadah-ibadah tunjang yang lain.

Ambil solat sebagai permulaan. Sesudah takbiratul ihram kita memutuskan dan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang dalam solat. Kita tidak makan, minum, berbicara kecuali perkara yang dibenarkan dan sudah pastinya mengikut hukum dan panduan. Pergerakan juga terhad dan terbatas kepada kerukunan solat. Saat menunaikan solat, kita menahan diri, mengawal dan mengikuti segala peraturan.

Lihat pula ibadah haji. Setelah berniat ihram, kita mengawal diri mematuhi setiap larangan ditetapkan. Tidak boleh berhias, memakai wangian, berburu mahupun merosakkan tumbuhan. Suami isteri dilarang melakukan jimak, memulakan persetubuhan dan aktiviti membawa ke arah berlakunya hal tersebut. Semua ini membawa maksud al-Imsak, cuma dalam wajah ihram yang bermaksud berada dalam situasi menahan diri ketika ihram.

Begitu juga perihalnya menerusi ibadah zakat. Seorang hamba menahan kehendak diri dan mengawal nafsu cintakan harta. Firman Allah dalam Surah al-Taghabun ayat 16: “Sesiapa yang mampu mengawal sifat kedekut dirinya, maka dia adalah orang yang berjaya.” Sifat pemurah yang lahir daripada penuaian ibadah zakat menahan jiwa seorang hamba daripada berbelanja sehingga melupakan haknya kepada Allah dan hak kepada umat.

Menariknya, kesemua inti pati ibadah-ibadah yang disebutkan tadi wujud secara kolektif dalam ibadah puasa. Pada siang hari dilarang makan dan minum seperti ketika sedang solat, juga ditegah melakukan hubungan kelamin seperti mana ketika dalam keadaan berihram untuk menunaikan haji. Bukan itu sahaja, lidah juga mesti dikawal sebagaimana dalam solat dan ketika haji daripada berkata-kata secara semberono, apatah lagi mencari perbalahan, mencaci mencela, mengadu domba dan menipu. Zakat fitrah yang difardukan secara khusus pada Ramadan juga memurnikan aspek hikmah yang sama dalam konteks ibadah harta.

KEISTIMEWAAN PUASA

Inilah antara kelebihan dan keistimewaan ibadah yang unik ini. Istimewanya bukan sahaja puasa ini menjadi perhatian utama dan eksklusif daripada Yang Maha Esa, ia juga diangkat menjadi antara pilihan ibadah ketika menebus kaffarah, gantian kepada fidyah akibat melakukan kesalahan dalam ihram dan bentuk penebusan kesalahan-kesalahan melibatkan pelanggaran lain dalam syarak.

Jika mahu dikupas, sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh dijadikan pelajaran dan diambil pengajaran. Madrasah Ramadan bukan hanya diberi jolokan sebegitu tanpa sebab. Jujurnya, meskipun kita ‘didaftarkan’ masuk, namun kelihatan ramai yang belum kunjung lulus setelah tempoh ‘pengajiannya’ tamat.

Justeru, marilah kita mengambil kesempatan dan merebut peluang terbaik ini. Bulan yang sama, masa yang sama, tahun yang sama dan ruang yang dimiliki semua yang direzekikan menjadi tetamu Ramadan.

Bersedialah untuk terus mencorak diri kembali menjadi hamba-Nya yang sejati. Andai inilah yang terakhir buatmu, jadikanlah ia penghabisan yang terbaik untuk dirimu!