Firman Allah SWT yang bermaksud: Lailatul-Qadar (malam kemuliaan) itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadar: 3)

Nabi Muhammad SAW apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan akan mempersiapkan diri secara fizikal dan mental. Tujuan­nya melipatgandakan amal ibadat. Daripada Aishah r.ha bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid dalam 10 hari yang terakhir bulan Ramadan kemudian baginda bersabda: Carilah lailatul qadar dalam 10 malam yang terakhir di dalamnya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, masjid dan su­rau nampaknya masih penuh walaupun tidak sepadat minggu pertama Ramadan. Kesedaran umat Islam di negara ini untuk mendapat bonus malam al-qadr masih tinggi. Lot letak kereta masjid banyak yang penuh hingga melimpah ke jalan-jalan berdekatan. Sayangnya, ada jemaah yang tidak kekal bersama imam hingga witir. Sepatutnya tidak kiralah berapa rakaat yang imam buat, berazamlah berjemaah hingga selesai. Ia bertujuan mengejar fadilat qiamulail seluruh malam.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berdiri (solat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam). (Riwayat At-Tirmidzi)

Walaupun kita lihat ramai orang ke masjid dan surau pada malam-malam terakhir Ramadan, rupa-rupanya lebih ramai yang ke pusat beli-belah. Habis sesak jalan nak ke pusat beli-belah. Sesaknya bermula maghrib sampailah pusat beli-belah ditutup kira-kira pukul 10 malam.

Bukan salah shopping nak sambut Hari Raya Aidilfitri. Cuma, jangan sampai kita terlepas ganjaran pahala solat tarawih. Yang lebih penting jangan terlepas ganjaran malam al-qadr.

Bagi yang membeli-belah waktu malam, diharap mereka solat tarawih berjemaah bersama ahli keluarga di rumah masing-ma­sing. Sebenarnya tidak susah pun nak solat tarawih di rumah. Pa­ling sikit, tunaikan lapan rakaat dan tiga witir. Bacalah surah-surah pendek yang kita hafal. Barulah dapat nikmat dunia (baju raya) dan juga ganjaran di akhirat.

Pendek kata, jangan libatkan diri kita dengan aktiviti-aktiviti ‘keduniaan’ yang boleh menjejaskan tumpuan kita membuat pecutan terakhir beribadat. Yang terbaik, khususkan 10 malam terakhir ini untuk solat tarawih, ba­nyak baca al-Quran, bersedekah, qiamulail, berzikir dan memohon keampunan Allah.

Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidatina Aishah apabila bertemu lailatul qadar adalah “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan menyukai orang yang memohon ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Dalam beribadat, jangan kita lupakan ahli keluarga kita. Bagi suami, ajak isteri dan anak-anak sama-sama qiamulail sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda SAW. 
 Daripada Aishah r.ha: Biasanya Nabi SAW ketika memasuki 10 (malam terakhir Ramadan) menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya serta mengetatkan kainnya (semangat beribadah dan menghindari isterinya). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sayangnya di negara kita, semangat beribadat pada malam-malam terakhir ini agak terganggu dek lagu-lagu raya yang berkumandang di beberapa corong radio dan pusat beli-belah. Tumpuan puasa adakalanya tergugat kerana ada yang memainkan lagu-lagu raya walaupun puasa baru masuk dua minggu. Tunggulah lepas tiga minggu. Memanglah hari raya hari untuk bergembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik me­rangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita.

Dalam hadis daripada Aishah r.ha: “Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah Aishah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi SAW ber­sabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi golongan wanita yang haid, jangan pula ia dijadikan alasan untuk tidak beribadat dalam 10 terakhir Ramadan. Sebabnya, banyak lagi amalan yang dicintai oleh Allah SWT serta ibadah sunat lain yang dianjurkan yang boleh dilakukan. Antaranya menyedia dan memberi hidangan berbuka puasa, menyediakan makan sahur yang mana boleh dimanfaatkan waktu itu untuk berzikir dan beristighfar dan juga menjauhi larangan agama.

Lebih utama, hayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barangsiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada lailatul qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan (pahala), maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. (Muttafaq ‘alaih)