Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Raih ganjaran di madrasah Ramadan

Posted by epondok di Jun 7, 2018


Oleh Ahmad Tarmizi Ismail

 

Menurut sebahagian ulama’ bahawa ibadat puasa pada peringkat awal Islam disyariatkan pada tahap pilihan iaitu umat Islam diberi pilihan untuk berpuasa atau tidak.

Bagi yang memilih untuk tidak berpuasa mestilah menggantikan dengan fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang ia tinggalkan daripada berpuasa. Namun, berpuasa adalah lebih afdal kerana Allah SWT mengaitkan puasa dengan ketakwaan.

Sudah menjadi kelaziman dalam pensyariatan dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak menjadi beban atau merasa sempit kepada umat Islam. Allah SWT juga memberi keringanan kepada orang sakit atau dalam permusafiran untuk tidak berpuasa tetapi mestilah menggantikannya.

Pada peringkat itu puasa yang disyariatkan bukan puasa sebulan pada bulan Ramadan. Puasa yang dimaksudkan ialah puasa tiga hari dalam sebulan, puasa Nabi Daud dan puasa ‘Asyura.

Allah SWT berfirman: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain, dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin, barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Puasa untuk Allah

Allah SWT memerintahkan umat Islam berpuasa Ramadan iaitu sebulan lamanya menggantikan puasa lain yang hanya sunat dilakukan.

Firman-Nya yang bermaksud: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan batil). Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.

Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Allah SWT telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia kerana padanya diturunkan al-Quran, disyariatkan puasa yang menjadi kefarduan dan dijadikan satu malam dinamakan lailatulqadar, malam lebih baik daripada seribu bulan.

Dalam hadis qudsi diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam kitab sahihnya daripada Abi Hurairah bahawa Allah SWT menyatakan: “Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa maka sesungguhnya ia bagiku (Allah) dan akulah yang memberi balasan dengannya.”

Beri ganjaran

Sebagai umat Islam kita dapat memahami bahawa Allah SWT pasti akan memberikan ganjaran hebat kepada orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Namun, sesuatu amalan hendak dilakukan mestilah bersandarkan kefahaman jelas daripada sumber yang sahih.

Antaranya, hikmah difardukan puasa sebagai tazkiyatun nafsi (penyucian diri) dengan mentaati apa diperintah dan meninggalkan yang ditegah semata-mata kerana Allah SWT.

Dari sudut kajian perubatan, puasa mampu memberi kebaikan terhadap kesihatan. Hal ini terbukti apabila pakar perubatan menemui pelbagai kebaikan bagi menjaga kesihatan dengan berpuasa.

Mengawal nafsu syahwat bersesuaian sabda Nabi Muhammad SAW: “Wahai sekalian para pemuda, barang siapa yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah.

Maka sesungguhnya ia memelihara pandangan dan kemaluan, dan barang siapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa kerana ia adalah pengendur baginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang yang berpuasa akan merasai bagaimana rasanya lapar supaya mereka bersyukur dengan segala nikmat telah dinikmati. Orang berpuasa juga perlu berjihad menahan nafsu dengan sifat kemuliaan seperti sabar, bersyukur dan tidak membazir.

Bulan Ramadan adalah madrasah mendidik diri memantapkan ketakwaan. Madrasah Ramadan dibuka setiap tahun dengan dijanjikan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka. Umat Islam mestilah memperbanyakkan amalan sekali gus menaik taraf kualiti.

Justeru, teruskan usaha dengan beramal secara bersungguh, tekun dan ikhlas, menjaga adab sebagai orang berpuasa serta meningkatkan takwa supaya kita menjadi insan yang istiqamah hasil kejayaan tarbiah madrasah Ramadan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: