Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Jun 2018

Amalkan akhlak mulia diajar a-Quran

Posted by epondok di Jun 5, 2018

Oleh Latifah Arifin

 

AL-QURAN adalah prosedur standard operasi (SOP) yang paling menyeluruh kerana ia bukan sahaja tepat, bahkan kaya dengan petunjuk bagi memandu kehidupan setiap Muslim ke arah yang lebih baik dan berlandaskan syariat.

Bagaimanapun, tanpa penjiwaan dan penghayatan terutama dengan mengambil iktibar terhadap tafsiran setiap ayat al-Quran, kita tidak mampu menjadikan al-Quran sebagai cara hidup.

Pendakwah bebas, Mohammad Rozie Mohd Rejab ketika memimpin sesi tadabbur surah al Hujurat ayat satu hingga 18 berkata, ia antara surah istimewa kerana banyak berbicara mengenai umat termasuk peringatan dan teguran supaya kita menjadi Muslim yang berkeperibadian mulia.

“Dalam ayat pertama surah ini, ia menceritakan bagaimana Allah SWT Maha Lembah Lembut dalam menegur antaranya supaya kita beradab, terutama dalam menjaga hubungan dengan-Nya dan Rasul.

“Sekiranya kita tidak beradab kepada nabi, kesannya amat dahsyat seolah-olahnya orang itu tidak pernah mengerjakan amal soleh.

“Ini adalah teguran Allah SWT, bukan daripada keinginan nabi sendiri,” katanya pada program Hasil #QuranHour yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Zamri Abdul Halim; pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Husamud-din Yaacub dan Pengurus Ikatan Strategik dan Perhubungan Awamnya, Nurhayati Nordin.

Tanamkan sifat sabar

Mohammad Rozie menambah, dalam ayat kelima surah berkenaan pula menjelaskan mengenai kepentingan memupuk sifat kesabaran dalam diri bagi setiap hamba yang beriman.

Sabar mempunyai banyak kebaikan antaranya ia mengundang pengampunan dan membawa kita lebih erat dengan kasih sayang Allah SWT.

“Ingatlah Allah SWT sentiasa bersama orang yang sabar, maka

ia perlu diterapkan dalam diri, terutama untuk mendapatkan penjelasan, meneliti sesuatu khabar berita dan menyelidiki terlebih dulu sebelum disebarkan.

“Sabar membantu kita mendidik nafsu kerana jika tidak, peluang untuk amalan kita rosak atau sia-sia juga cukup besar,” katanya.

Beliau turut menambah, dalam menghadapi perselisihan faham sama ada peringkat keluarga, organisasi atau masyarakat, kita seharusnya menjurus ke arah perdamaian dengan mengambil berat untuk memberikan jalan penyelesaian yang harmoni.

“Sifat mukmin itu bukan suka, bertepuk gembira atau mengecam apabila berlakunya konflik, jika ada pertikaian berlaku kita harus ambil jalan tengah dengan memberi nasihat dan perlu adil iaitu tidak memihak kepada mana-mana individu.

“Apatah lagi pada Ramadan yang mulia ini, siapa yang memutuskan silaturrahim, Allah SWT putuskan ikatan dengan orang berkenaan pada keesokannya,” katanya.

Usah mengeji

Katanya lagi, jika diteliti pada ayat 11 surah sama, Allah SWT turut memberikan teguran kepada kaum Muslim yang suka mencela.

Ia bertepatan dengan situasi masyarakat ketika ini yang kebanyakannya gemar mengecam orang lain tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.

“Kata bijak pandai, orang yang pintar tidak akan meletakkan akalnya di depan lidah, ia bermaksud ketika berbicara sesuatu dia akan fikir sedalamnya.

“Berbeza dengan orang yang dungu, apabila keputusan dibuat, baharu dia mula berfikir dan ketika itu sedar sudah melakukan kesilapan dan terkeluarlah perkataan khilaf dan ralat.

“Ini bukan akhlak yang diajar oleh al-Quran kepada orang mukmin, sebagaimana disebut ulama nusantara, Hamka, jagalah hubungan baik dengan Allah, tidak berlaku sumbang dan merosakkan hubungan itu,” katanya.

Tambahnya, terlalu banyak nilai terpuji yang terkandung dalam surah ini dan ia disampaikan dalam bentuk teguran dan nasihat supaya Muslim sentiasa terpelihara daripada perkara yang mengundang dosa.

Jika kalam al-Quran ini dihayati sepenuhnya, ia boleh menjadi asas untuk pembentukan umat Islam yang berakhlak mulia dan saling hormat di antara satu sama lain.

Pertikaian, perbalahan dan persengketaan sesama Muslim dan orang bukan Islam juga dapat dipupuk dengan penuh nilai kesederhanaan sebagaimana dianjurkan syarak.

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »