Pertama: Nuzul al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekali gus.

Kedua: Nuzul al-Quran dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

Peristiwa ini dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW bersamaan 6 Ogos 610M, ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun ada pendapat yang mengatakan turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 M.

Pendapat yang agak masyhur memilih 17 Ramadan ini dipegang sebahagian ulama sirah. Ada juga ulama yang berpandangan ia berlaku pada Isnin tahun Nabi SAW dibangkitkan sama ada pada 7 Ramadan, 14 Ramadan, 21 Ramadan dan 28 Ramadan. Apa yang pasti, al-Quran diturunkan dalam Ramadan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang batil). (al-Baqarah: 185)

Apa yang lebih penting bagi umat Islam adalah bagaimana hubungan kita dengan al-Quran? Sudahkah kitab suci itu dijadikan petunjuk dan pedoman hidup kita seharian? Jika kita sering menyambut hari lahir anak, isteri dan rakan-rakan kita dengan mengadakan majlis doa selamat dan sebagainya, bagaimana pula kita ‘menyambut’ turunnya al-Quran, mukjizat teragung Allah kepada Nabi SAW dan juga umat Islam?

Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bagaimana hubungan baginda dengan al-Quran. Dengan bahasa al-Quran yang serupa iaitu bahasa Arab, pasti ia memberi kelebihan kepada baginda. Namun, baginda tidak hanya sambil lewa. Sebaliknya baginda bersungguh-sungguh dalam membaca dan menghayati maksud al-Quran ­terutama dalam Ramadan.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bemaksud: Dahulu Malaikat Jibril sentiasa berjumpa Rasulullah SAW pada setiap malam Ramadan dan untuk membaca al-Quran bersamanya. (Riwayat Bukhari)

Anda mahu tahu banyak mana baginda SAW membaca al-Quran dalam solatnya? Berikut pengalaman Huzaifah r.a solat tarawih bersama Rasulullah SAW. “Pada suatu malam Ramadan, aku solat bersama baginda SAW di dalam bilik yang dibuat daripada pelepah kurma. Nabi SAW memulai solatnya dengan membaca takbir, dan membaca doa: selanjutnya beliau membaca surah al-Baqarah, aku pun mengira beliau akan berhenti pada ayat ke-100, ternyata beliau terus membaca. Aku pun kembali mengira: baginda akan berhenti pada ayat ke-200, ter­nyata beliau terus membaca hingga akhir al-Baqarah, dan terus me­nyambungnya dengan surah ‘ali Imran hingga akhir. Kemudian baginda menyambung lagi dengan surah al-Nisa’ hingga akhir surah. Setiap kali bertemu ayat berkaitan hal-hal menakutkan, baginda berhenti sejenak untuk berdoa memohon perlindungan. Sejak usai dari solat Isyak hingga akhir malam, di saat Bilal memberitahu beliau bahawa waktu solat subuh telah tiba, baginda hanya solat empat rakaat. (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Ringkasnya, Nabi SAW membaca kira-kira lima juzuk al-Quran dalam solat tarawih. Mari bandingkan dengan kita. Sudah berapa kali kita khatam dalam tempoh 16 hari Ramadan? Sudah berapa juzuk al-Quran yang kita baca dan kita tadabbur dengan pengajarannya?

Imam As Syafi’i pula pada setiap kali Ramadan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali iaitu sehari dua kali khatam. Qatadah As Sadusi, memiliki kebiasaan setiap tujuh hari mengkhatamkan al-Quran. Bagaimanapun, dalam Ramadan beliau mengkhatamkannya sekali setiap tiga malam. Apabila masuk 10 terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap malam sekali.

Menerusi Ramadan, kita memberi makna kepada Rama­dan itu sendiri dengan beribadah malamnya menerusi solat tarawih dan sekali gus kita dapat menghaya­ti bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para imam ketika tarawih. Kita berhadapan dengan pelbagai surah dan kita dapat menghargai kelainan cara Allah SWT menyantuni kita menerusi 114 surah-surah-Nya. Mudah-mudahan pada malam Ramadan, kita dapat merasai satu kesyukuran atas anugerah petunjuk yang Allah SWT beri menerusi al-Quran.