Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2018

Mengekal rentak pasca Ramadhan

Posted by epondok di Jun 29, 2018

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

KITA sudah 2 minggu berada dalam Syawal. Alhamdulillah atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang Allah kurniakan, sekali gus membolehkan kita merayakan Aidilfitri dengan penuh kenikmatan dan ke­gembiraan. Apatah lagi dapat meneruskan amalan ziarah menziarahi dan bermaafan sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Kesibukan berhari raya dan memenuhi undangan rumah terbuka diharap tidak melalaikan kita mengekalkan momentum beribadat sepanjang Ramadan. Sebabnya solat fardu itu bukan part time atau bila kita ada masa tetapi ia perintah yang wajib ditunaikan oleh muslim yang mukalaf dan berakal. Perintah istiqamah ini disebut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Maka tetaplah (fastaqim) kamu dalam jalan yang benar sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan sesiapa yang bertaubat bersamamu dan tidak melampaui batas sesungguhnya Allah Maha Melihat setiap yang kamu kerjakan. (Hud: 112)

Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, khabarkan padaku sesuatu dalam Islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya selain daripadamu? Jawab baginda SAW: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama). (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, inilah seperkara yang amat sukar dalam hidup. Untuk beriman itu agak mudah pada kata-kata namun istiqamah selalunya sukar dilaksanakan. Mungkin ini boleh membantu, kata Saidina Umar al-Khattab: “Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa berubah-ubah seperti musang”. (Lihat Ibnu al-Qayyim dalam Madarij as-Salikin)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Wahai manusia, lakukanlah amalan sesuai de­ngan kemampuan kalian. Sebabnya Allah tidaklah bosan sampai kalian merasa bosan. (Ketahuilah bahawa) amalan yang paling dicintai Allah adalah yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit. (Riwayat Muslim)

Ramadan telah berakhir. Namun, adakah pelbagai amal soleh yang dilakukan sepanjang bulan puasa dapat kekal sehingga ke akhir hayat? Mampukah kita istiqamah solat subuh dan isyak berjemaah selepas Ramadan? Mampukah kita teruskan membaca dan mentadabbur al-Quran yang saban hari kita baca sepanjang bulan puasa?

Menurut Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal dengan panggilan Pak Hamka: “Jika ingin melihat orang Islam…datanglah ke masjid pada Aidilfitri dan Aidiladha tetapi jika ingin melihat orang yang beriman…datanglah ke masjid waktu subuh. Itulah beza orang Islam dengan orang beriman. Sesungguhnya, su­buh itu hakikat diri”.

Ingatlah, natijah daripada puasa Ramadan adalah menjadi orang bertakwa. Bulan Syawallah menjadi kayu ukur tahap keimanan dan ketakwaan seseorang itu. Adalah puasanya berjaya mendidik seseorang itu untuk istiqamah solat berjemaah, solat di awal waktu, banyak bersedekah dan menahan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia serta mengumpat termasuklah ‘mengumpat’ dalam alam siber. Semuanya akan terpancar kepada amalan individu ketika berada dalam Syawal.

Sesudah menyelesaikan tuntutan ibadah puasa, gesaan istiqamah selepasnya mempunyai signifikan yang tersendiri. Keadaan yang sudah bersih selepas sebulan beribadat, beristighfar dan bertaubat umpama bayi yang baharu dilahirkan di atas landasan fitrah. Justeru, ia menuntut untuk dicorakkan lembaran baharu kehidupan selepas mengerjakan Ramadan dengan warna-warna ke­taatan dan melaksanakan kebaikan serta amal soleh.

Untuk itu, marilah sama-sama istiqamah menunaikan solat fardu pada awal waktu dan dilaksanakan secara berjamaah di masjid atau surau; melazimi solat sunat ra­watib; mendirikan solat sunat witir walaupun hanya satu rakaat; berusaha mendirikan qiamulail dan teruskan memperbanyak sedekah dan perasan belas ihsan kepada insan-insan yang memerlukan.

Seperkara yang rugi jika ditinggalkan adalah melaksanakan puasa sunat enam hari Syawal selepas puasa Ramadan kerana pahalanya seperti puasa setahun.

Apabila berakhir Ramadan, sama-samalah kita berdoa dan berusaha sedaya upaya mudah-mudahan amal soleh yang dilakukan akan terus berkekalan sepanjang hidup kita.

 

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah puasa enam menghiasi Syawal

Posted by epondok di Jun 27, 2018

Rafiuddin Mohd. Yusof

 

BULAN Ramadan telah berlalu meninggalkan kita de­ngan Syawal hadir sebagai pengganti kepada seluruh umat Islam. Adalah menjadi lumrah kehidupan kita sebagai insan yang lemah apabila berlalunya Ramadan, maka akan semakin berkurangan segala amal ibadah yang dilakukan kerana keistimewaan Ramadan itu tersendiri.

Namun, bagi Muslim yang benar-benar ikhlas serta bersungguh dalam beribadah bermula di awal Ramadan hingga ke akhir Ramadan, pastinya akan tetap dengan keimanan untuk terus istiqamah meskipun Ramadan telah berlalu kerana mengetahui amal ibadah yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT hendaklah dilakukan pada setiap masa dan tidak melihat pada bulan apa kita berada semata-mata.

Sehubungan itu, bagi menjamin kesungguhan istiqamah da­lam ibadah khususnya ber­kaitan puasa Ramadan, umat Islam dianjurkan supaya melakukan amalan puasa sunat enam Syawal.

Puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal atau disebut juga sebagai ‘puasa enam’ adalah satu perkara yang sangat dituntut oleh agama Islam.

Puasa enam adalah puasa yang dilakukan semasa di dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal kerana pada hari tersebut merupakan hari raya yang adalah satu hari kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan berpuasa.

Maka, diharamkan untuk berpuasa pada hari berkenaan. Sebaliknya, kita diharuskan dan digalakkan untuk meraikan ke­gembiraan 1 Syawal itu selagi mana tidak me­langgar hukum syarak.

Tuntutan puasa enam ini juga ­dise­but oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Baginda SAW ber­sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan puasa pada bulan Ramadan dan enam hari selepas hari raya, dia telah menyempurnakan puasa sepanjang tahun. Ini kerana sesiapa yang mengerjakan kebaikan, dia akan mendapat ganjaran sebanyak 10 kali ganda.”(Hadis Riwayat Nasa’i).

Bagaimanapun bukan satu kewajipan kepada kita untuk mengerjakannya secara berturut-turut, sebagai contoh dari 2 Syawal hingga 7 Syawal atau 14 Syawal hingga 19 Syawal. Sebaliknya, puasa enam ini boleh dilakukan secara berselang atau berturut-turut dengan syarat kita masih berada dalam bulan tu pada tahun yang sama.

Bagi seseorang yang saban tahun mengerjakannya atau ber­azam untuk melakukannya pada Syawal ini, dinyatakan beberapa antara faedah-faedah mengerjakan ibadah puasa enam ini.

Antaranya, puasa enam ini menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun diibaratkan seperti sunat rawatib sesudah solat fardu bagi menyempurnakan kekurangan yang ada iaitu kekurangan puasa kita dalam bulan Ramadan.

Di samping itu, mengulangi dan meneruskan puasa yang dilakukan di dalam bulan Ramadan dengan harapan agar tahap keimanan kita kepada Allah SWT akan kekal serta bertambah walaupun tidak berada lagi dalam bulan Ramadan.

Antara faedahnya lagi adalah sebagai bukti dan cara kita bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan sepanjang bulan Ramadan lalu. Di samping itu, puasa enam ini sebagai penyambung bagi amalan puasa yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadan bertujuan mendekatkan diri dengan Allah SWT tidak terhenti begitu sahaja pada bulan Syawal ini.

Dengan sebab itu, puasa Ra­madan kita akan diiringi oleh puasa sunat enam di bulan ­Syawal dengan bertujuan amalan yang dilakukan itu dapat diteruskan secara istiqamah.

Oleh itu, dalam kesempatan baki Syawal yang ada ini, marilah kita berazam dan berusaha untuk melaksanakan puasa enam ini.

Bagi yang belum bermula, ta­namkan keazaman dan keyakinan bahawa kita mampu untuk melaksanakannya walaupun da­lam suasana meraikan Aidilfitri yang gembira ini.

Namun, jika kita seorang yang cekal dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi, pasti mampu untuk melaksanakannya. Masih sempat lagi untuk berniat dan mengambil ke­sempatan di atas kelebihan ber­puasa sunat enam ini.

Dalam hadis lain daripada Abu Ayub Al-Ansori r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa berpuasa bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam Syawal, maka seolah-olah dia ber­puasa setahun.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Bayangkanlah berapa ba­nyak ganjaran pahala berlipat ganda yang kita akan peroleh jika berjaya melaksanakannya.

Sesungguhnya, bagi seseorang yang beriltizam dan bersungguh-sungguh dengan niat semata-mata kerana Allah SWT, Insya-Allah akan dibalas ­ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukannya.

Semoga dengan keikhlasan dan pengharapan daripada Allah SWT atas puasa sunat enam yang dilakukan ini, kita tidak akan kembali dan sentiasa dihindari daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dan orang yang ber­usaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-Ankabut: 69)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hikmah dialog ahli Syurga dan Neraka

Posted by epondok di Jun 25, 2018

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan yang mengerjakan solat; Dan kami tidak pernah memberi makan orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara salah, bersama-sama orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.” (Al-Muddaththir: 42-46)

Di dalam al-Quran, disebutkan di akhirat nanti manusia terbahagi kepada dua golongan. Pertama, ashab al-yamin atau al-maimanah (golongan kanan), manakala kedua, disebut ashab asy-syimal atau al-masy’amah (golongan kiri). Golongan kanan ialah kelompok yang memperoleh keredaan Allah SWT dan syurga-Nya, sedangkan golongan kiri bakal mendapatkan kemurkaan dan seksa Tuhan.

Ayat di atas menunjukkan hubungan antara ahli syurga dan neraka nanti masih belum putus; mereka boleh bertanya khabar dan melihat wajah satu sama lain. Bagi menjawab persoalan keperluan komunikasi itu, ahli tafsir memberi dua jawapan.

Pertama, dialog terbuka mengenai masa depan akhirat sangat berfaedah bagi orang mukmin semasa di dunia kerana ia membekalkan mereka maklumat lebih jelas terhadap bahaya di sepanjang perjalanan ke akhirat untuk dijauhi.

Ini kerana pengetahuan tempat berbahaya tidak kurang pentingnya daripada pengetahuan hidayah dan kebenaran. Orang yang ingin membina kejayaan masa depan hendaklah mengetahui sifat dan penderitaan yang menimpa orang tidak membina masa depan.

Kedua, pertanyaan kepada ahli neraka mengapa dimasukkan ke neraka, memberi kepuasan tambahan kepada orang mukmin di atas nikmat syurga itu.

Surah al-Mudatsir menggambarkan neraka Saqar ialah tempat penyiksaan yang sangat pedih. Bentuk penyiksaan berupa sengatan api membakar kulit manusia hingga kulit menjadi hitam.

Ibnu Abbas RA berkata, Saqar membakar kulit lalu menghanguskan dan mengubah warnanya.

Jawapan pula membayangkan sifat dan dan perangai ahli neraka sewaktu berada di dunia. Antara yang menyebabkan manusia dimasukkan ke Saqar ialah meninggalkan solat.

Solat ibadat wajib dalam Islam. Ia pengakuan keagungan Allah SWT dan kewajaran-Nya untuk disembah serta dimohon bantuan-Nya. Dengan demikian pengakuan mereka tidak termasuk golongan hamba Allah yang solat mencerminkan buruknya hubungan mereka dengan Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia ialah solatnya. Jika solatnya baik, dia akan bahagia dan beruntung, Jika solatnya buruk, dia termasuk orang rugi. (HR Tirmizi)

Ibadat solat yang dimaksudkan menurut Sayyid Qutb ialah keseluruhan iman. Ini menunjukkan pentingnya dalam akidah Islam sehingga dijadikan lambang dan bukti iman.

Sebab kedua, tidak menolong orang dalam kesusahan. Membantu golongan miskin ialah kewajipan syarie, kemanusiaan, kemasyarakatan, akal dan budaya. Apabila kemiskinan menimpa individu sehingga tidak lagi mampu mendapatkan keperluan asas seperti makan, pakaian, kediaman dan perubatan, masyarakat akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Sikap Islam tegas dan jelas dalam pemberian bantuan kepada golongan miskin apabila menjadikannya sebagai juzuk perlindungan daripada neraka.

Ia juga antara jalan amat berkesan bagi mendekatkan jarak antara golongan kaya dengan miskin dalam masyarakat, sekali gus mencegah kezaliman akibat pengagihan kekayaan yang tidak seimbang.

Mufassirin menyatakan maksud bantuan ialah zakat diwajibkan. Ini kerana meninggalkan pemberian sunat sudah tentu tidak diancam dengan balasan neraka. Tafsiran ayat juga menjadi sandaran kepada yang berpendapat zakat diwajibkan di Makkah cuma penjelasan hukum, nisab dan haul ditentukan di Madinah dan diletakkan di bawah pentadbiran baitulmal.

Ketiga, mendustakan Akhirat. Banyak sekali ayat al-Quran memperkatakannya yang bertujuan membimbing manusia agar kualiti diri ditingkatkan. Pasti ingatan terhadap hari akhirat akan lenyap dalam diri sekiranya tidak pernah bercakap atau mengingatinya.

Antara pendekatan al-Quran ialah menerangkan keperitan dalam diri umat Islam sejak dahulu. Antaranya mereka berhadapan pemimpin zalim yang didukung pengikut mereka. Pertemuan antara pengikut dan pemimpin zalim berlaku tatkala dimasukkan bersama-sama ke dalam neraka Jahanam. Mereka saling melaknat antara satu sama lain dan masih mengingati bagaimana keadaan di dunia ketika berpakat menghina dan memberi gelaran buruk kepada orang beriman.

Iman satu-satunya jalan kita mengenali dan mencapai keredaan Allah SWT. Ia menjadi bekalan menuju ke akhirat. Kita tidak mampu menanggung penderitaan di atas jalan menuju syurga dan tidak pula sanggup melawan nafsu syahwat yang mengheret ke neraka kecuali dengan keimanan. Kekuatan ini akan mengubah penderitaan menjadi kesenangan dan membuat kita sanggup menanggung ujian menuju ke jalan Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran Sumber berfikir aras tinggi

Posted by epondok di Jun 22, 2018

DALAM tradisi keilmuan Is­lam berfikir aras tinggi adalah sesuatu yang dianjurkan. Berfikir aras tinggi menjadikan al-Quran sebagai sumber lantaran tidak saja hal-hal ghaib difahami dan diyakini tetapi hal-hal yang nyata juga diketahui.

Hal-hal yang berkaitan de­ngan akidah tauhid dan implikasi terhadap kehidupan salah satu dari­nya. Kunci yang memberi kekuatan kepada kehidupan seorang Mukmin ialah memahami aspek tauhid dan implikasi terhadap kehidupan.

Mengapa dikatakan berfikir aras tinggi terhubung dengan Allah sebagai Pencipta. Allah ciptakan manusia dengan maksud menjadikannya sebagai ibadullah (ahli ibadah). Maksud ibadah di sini sangat luas. Ia tidak saja merujuk kepada ibadah khususiyyah seperti solat dan siyam semata tetapi ibadah ammah (umum) yang terkait dengan kehidupan. Matlamat akhir yang ingin dicapai oleh manusia dalam beribadah supaya sifat ubudiyyah (kepatuhan) yang tinggi terhadap Pencipta terbina.

Sifat ubudiyyah ini sangat pen­ting bagi ibadullah dan ibadurrahman kerana ia meletakkan diri insan dalam tautan akidah yang kental dengan Allah. Berfikir tentang penciptaan umpamanya terkait dengan Allah. Berzikir tentang Allah terhubung dengan Allah sebagai pemberi rahmah dan nikmah. Allah berada di puncak segala-gala.

Dalam melakukan tadabbur (ka­jian dan telitian) Allah menjadi sumber rujukan dan sandaran. Al-Quran adalah sumber petunjuk di mana manusia menerima makna darinya. Konsep makna tidak hanya dalam batas yang literal (luaran) tetapi konsep makna menganjurkan kepada manusia hal-hal yang nyata dan kaitannya dengan perkara-perkara yang ghaib.

Sifat akidah yang merentasi ialah dalam mengharungi kehidupan semua aspek darinya terkait dengan Allah. Adanya bumi dan langit terkait dengan Allah. Ada­nya rahmah dan nikmah yang diciptakan memberi hikmah kepada manusia datangnya dari Allah. Allah sebagai Pencipta dan Mengurus Atas Segala terhubung dengan Nya.

Manusia diberi akal untuk berfikir. Berfikir adalah jalan untuk menjana ilmu. Berfikir saja tidak memadai kerana pemikiran manusia adalah terbatas. Al-Quran terkandung ilmu dan sumber maklumat yang terhubung de­ngan hal-hal yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Integrasi akliah dan nakliah ini menjadikan tasawwur terbina.

Berfikir aras tinggi tidak si­fatnya kognitif semata tetapi memiliki perenungan yang mendalam mengenai kejadian dan penciptaan yang terkait dengan Allah dan hikmah di sebaliknya. Ilmuwan silam sering menghubungkan apa yang ditemui dengan kebesaran Allah.

Hidrogen, oksigen dan helium umpamanya sifatnya ghaib tetapi wujud di muka bumi. Ia­nya penting bagi kehidupan. Walau sifatnya ghaib tetapi wujud dalam ruang dan memberi kesan kepada kehidupan.

Syurga dan neraka merupakan faktor ghaibiyyat dan diungkapkan dalam al-Quran. Ianya terkait dengan amalan dalam kehidupan supaya manusia dipandu untuk melakukan amal soleh. Amal soleh ini penting supaya kemak­rufan menjadi nyata dan kemungkaran dapat dihindari.

Berfikir aras tinggi membim­bing manusia kepada kebenaran yang hakiki. Pemikiran biasa yang dimiliki oleh manusia sifatnya terhad. Hal-hal yang dicakupi sifatnya luaran tidak ke dalaman. Berfikir aras tinggi dipandu oleh al-Quran dan menyebabkan faktor ghaibiyyah dan batini memandu.

Panduan ini penting supaya pemikiran sebenarnya ialah ilmu yang benar dan bermanfaat. Melihat alam dengan segala mani­festasinya adalah perkara biasa. Tetapi melihat alam sebagai buah ciptaan Allah menghubungkan manusia dengan kebesaran-Nya.

Rahmah dan nikmah hasil ciptaan Allah dikagumi dan disyu­kuri kerana semua itu tidak terjadi dan bergerak sendiri melainkan dengan pedoman sunnatullah. Darinya orang yang beriman membina kepercayaan dan keyakinan bahawa alam ini dicipta dan diurus dengan tertib oleh Allah bukan terjadinya secara kebetulan (by accident) atau terjadi sendiri (by nature).

Berfikir aras tinggi membawa kepada sifat ubudiyyah kepada Allah dan menyebabkan mereka yang beriman yakin bahawa tanpa-Nya alam ini tidak terjadi dan perjalanan cakerawala tidak akan terurus. Al-Quran memberi pedoman kepada hakikat ini mengenai ayat-ayat pembinaan alam (suwarjagat), bumi dan juga manusia. Ayat-ayat itu selari dengan kajian saintifik sejak dulu sehingga kini. Tasawwur berfikir aras tinggi menjadikan kedekatan manusia dengan Allah berlaku dan menjadikan manusia memiliki rasa kehambaan dan kekhalifahan yang tinggi dan jiwa taddabbur yang menghubungkan faktor nakliah dan akliah.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Puasa sunat enam tingkat takwa, baik untuk kesihatan

Posted by epondok di Jun 20, 2018

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Syawal disambut tanda meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Walaupun Ramadan sudah berlalu bukan bermakna segala rutin dan amal ibadah terhenti. Justeru, amalan baik seperti menjaga adab, tatasusila ketika beraya, bersolat pada awal waktu, bersabar dan berpuasa sunat enam Syawal tanda amalan Ramadan terkesan dalam hati.

Kebanyakan umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri secara besar-besaran dan cukup meriah. Kebanyakan mereka bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi ramai bercuti panjang untuk pulang di kampung berkumpul bersama keluarga serta mengunjungi sanak saudara.

Ziarah-menziarahi adalah amalan mulia yang dituntut agama kerana dapat mengeratkan silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya ditambah, maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Riwayat Anas bin Malik)

Tuntutan menghubung silaturahim ditekankan kerana dengan cara itu akan dapat membentuk perpaduan dan ukhuwah sesama Islam. Kesempatan berada pada Syawal yang mulia amatlah dituntut untuk kita terus menjalin perhubungan yang mungkin tidak dapat dilakukan sebelum ini.

Jaga adab, tatasusila di rumah orang

Dalam kegembiraan menyambut lebaran dengan kunjung mengunjung, jangan dilupa adab dan tatasusila ketika berada di rumah orang. Pelihara akhlak dan percakapan kerana itu melambangkan nilai serta tarbiah diri sepanjang Ramadan.

Elak daripada bercakap perkara sia-sia apatah lagi perbualan yang boleh mengguris hati tuan rumah atau tetamu lain. Barangkali kerana bertemu sekali sekala kita terlalu ghairah bercerita pelbagai topik sehingga boleh melukakan hati orang lain dengan soalan atau kata-kata yang sensitif.

Begitu juga ketika menjamu juadah disediakan tuan rumah, jangan sesekali kita mengambil makanan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Amalan membazir bukan sahaja perbuatan yang tidak manis, tetapi ditegah oleh agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Selesai beribadah pada Ramadan, bukan bermakna telah selesai rutin dan amalan ibadah kita pada bulan lain. Walaupun ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan tidak setinggi ganjaran pahala pada Ramadan, tetapi itu adalah kualiti nilai tarbiah diri ketika kita menjalani ibadah bulan mulia itu.

Syawal juga dilihat sebagai medan untuk menentukan sama ada amalan Ramadan benar-benar terkesan dalam hati dan perbuatan kita. Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat pada awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi perbuatan maksiat, bererti madrasah Ramadan kita benar-benar mengukuh dalam diri.

Jika kita meninggalkan amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadah mengikut adat dan budaya sahaja, tetapi tidak melaksanakan amalan itu kerana Allah SWT. Amal ibadah lain yang boleh kita terus laksanakan pada Syawal ialah puasa sunat enam.

Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Ganjaran puasa sunat enam Syawal

Rasulullah SAW menyatakan puasa enam hari selepas Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ganjaran pahala ini hanya terdapat pada puasa sunat enam Syawal dan ia adalah satu kelebihan bagi umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.

Menyingkap hikmah berpuasa enam jika dilihat dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan yang berehat lama pada Ramadan. Jika kita dapat meneruskan puasa pada Syawal, tidak dapat tidak ia seperti satu latihan secara beransur-ansur untuk sistem penghadaman kembali kepada keadaan biasa.

Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa istiqamah beribadah kepada Allah SWT supaya terus dapat membina hubungan dengan Allah SWT dan mengekalkan hubungan baik sesama manusia seperti dilakukan pada Ramadan.

Kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai. Rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah SWT berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT.

Jadikanlah Syawal ini ruang untuk kita meneruskan momentum beramal salih kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat pandangan tertinggi di sisi-Nya dan penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jaga adab, tutur kata ketika ziarah

Posted by epondok di Jun 18, 2018

Oleh Hasliza Hassan

 

SAMBUTAN Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim kerana sudah menjadi budaya bukan sahaja umat Islam, malah masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini untuk saling kunjung-mengunjung pada hari raya.

Suasana harmoni dan keamanan dapat dirasai di saat sanak keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga menziarahi sepanjang Syawal, menikmati juadah dihidangkan sambil berbual mesra bertanya khabar.

Indahnya Islam, setiap tuntutan disediakan garis panduan supaya dapat dilaksanakan sebaiknya dan memenuhi kehendak ajaran agama yang sebenar. Begitu juga dalam aspek menjalinkan silaturahim terutama ketika meraikan Aidilfitri.

Pengerusi Surau Putra Al-Amin Prescint 8 Putrajaya, Zakaria Othman berkata, amalan kunjung-mengunjung untuk mengeratkan silaturahim boleh diluaskan, bukan terhad kepada ahli keluarga yang rapat sahaja.

Beliau berkata, penekanan hendaklah diberi kepada tujuan ziarah iaitu bagi menghubungkan persaudaraan dan mengeratkan hubungan sedia ada selain meluaskan rangkaian kenalan dalam menjalinkan hubungan sesama insan.

“Ibu bapa perlu mainkan peranan untuk mendidik anak supaya berkenalan dengan kaum kerabat. Kita tidak mahu apabila balik kampung anak-anak dibiarkan leka dengan telefon pintar atau menonton televisyen.

“Nabi Muhammad SAW menyuruh kita menyambung silaturahim antara kaum kerabat. Ada adik beradik yang jauh hubungan kekeluargaan kita dituntut pergi mencari. Jika ada orang tua dalam keluarga, tanggungjawab mereka untuk bawa dan perkenalkan susur galur keluarga,” katanya.

Buat persediaan rapi

Katanya, masyarakat sekarang tidak boleh melihat hubungan persaudaraan dalam kalangan yang ada hubungan darah atau kekeluargaan dengan mereka sahaja, sebaliknya hendaklah melebarkan ikatan itu kepada jiran, sahabat serta umat Islam umumnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyentuh mengenai adab berziarah, Zakaria berkata, ada perkara yang sering diabaikan atau tidak disedari kepentingan seperti menyusun program dengan mengambil kira perkara sebelum, semasa dan selepas berziarah.

Antaranya, sebelum bertandang ketua keluarga perlu memaklumkan kepada pasangan serta ahli yang lain mengenai pihak ingin diziarahi supaya mereka tahu latar belakang serta melakukan persediaan yang rapi.

“Contohnya, kita hendak pergi rumah pakcik yang keluarganya bukan orang senang, jadi dari segi pemilihan pakaian perlu sesuai. Janganlah pakai gelang hingga siku sehingga menyebabkan rasa tidak senang mereka kerana mereka tidak berkemampuan.

“Begitu juga dari segi tutur kata, biarlah berjaga-jaga supaya tidak menyakitkan hati tuan rumah nanti. Andai kita kalangan yang berkemampuan, jangan membandingkan diri atau mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pada hari raya sudah menjadi kebiasaan tuan rumah sentiasa bersedia menerima kedatangan tetamu, tetapi mereka juga memerlukan waktu untuk berehat serta melaksanakan kewajipan seperti menunaikan solat.

Justeru, pemilihan waktu untuk berkunjung juga penting dan elakkan waktu yang tidak sesuai seperti ketika tuan rumah sedang berehat atau pada lewat malam. Berbeza dengan rumah terbuka, waktu bertandang telah ditetapkan oleh tuan rumah.

Adab lain perlu dipelihara ialah memberi salam, menunggu izin sebelum memasuki rumah dan duduk di ruang yang disediakan atau dikhususkan oleh tuan rumah. Menjadi tugas ibu bapa menasihat anak supaya tidak bergerak bebas di rumah yang dikunjungi.

Ini kerana ditakuti tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah menyebabkan matlamat berziarah tidak tercapai kerana dikeruhkan oleh suasana itu. Nikmati hidangan yang dihidangkan dan jangan minta berlebihan.

Zakaria mengambil contoh ditunjukkan Rasulullah SAW yang tidak pernah memberi komen negatif terhadap makanan dan Baginda juga akan memberi alasan sebaiknya jika tidak mahu menjamah hidangan disediakan.

“Nabi pernah dihidangkan dhab dan sahabat iaitu Khalid al-Waleed menikmatinya tetapi Baginda tidak makan. Khalid bertanya adakah makanan itu tidak boleh dimakan. Nabi berkata Baginda tidak biasa makan dhab kerana tiada di tempatnya.

“Khalid yang sudah makan rasa senang kerana makanan itu tidak haram manakala tuan rumah pun tidak berkecil hati. Jika diminta komen, berilah komen yang harmoni dan sebaiknya jangan buat sebarang komen terhadap makanan dihidangkan,” katanya.

Pelihara tutur kata

Beliau berkata, kita dituntut untuk menjaga lidah dan memelihara diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti orang lain kerana ia termasuk dalam perkara menjaga hubungan silaturahim.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka.” (Riwayat an-Nasaie)

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaiknya dan mengelak masalah kecil atau remeh menyebabkan hubungan menjadi renggang, bermasam muka hingga saling membenci.

Zakaria berkata, ini boleh berlaku dalam kalangan adik beradik apabila masing-masing tidak berusaha memahami antara satu sama lain ketika semua pulang untuk berkumpul meraikan hari raya di kampung.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberitahu supaya semangat Aidilfitri untuk saling bermaafan, mengeratkan hubungan dan bersedekah terpelihara serta dapat dilaksanakan mengikut cara sepatutnya.

“Ada antara adik beradik yang hidupnya senang, ada pula sederhana sahaja. Apabila balik kampung janganlah kita bermegah-megah atau tunjuk kekayaan hingga ada yang berkecil hati. Ibu bapa berilah layanan sama rata antara anak dan menantu, tidak kira kedudukan mereka,” katanya.

“Sebab itu pada hari raya kita digalakkan saling memberi hadiah antara ahli keluarga dan kanak-kanak supaya dapat menimbulkan suasana kasih sayang dan harmoni,” katanya.

INFO
Adab sebelum berziarah

  • Memilih masa sesuai (digalakkan beritahu tuan rumah terlebih dulu)
  • Memakai pakaian sopan dan menutup aurat
  • Berniat pertemuan dan perpisahan kerana Allah SWT

Adab semasa menziarah

  • Memberi salam dan bersalaman
  • Meminta izin untuk masuk
  • Memendekkan tempoh ziarah
  • Mengawal pandangan
  • Merendahkan suara

Adab selepas menziarah

  • Meminta izin apabila hendak beredar
  • Memberi salam dan bermaafan sebelum beredar

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Memahami ilmu tasawuf tingkat keimanan, perkukuh rohani

Posted by epondok di Jun 17, 2018

Oleh Latifah Arifin

 

KEGAGALAN golongan agamawan dan masyarakat umum memahami istilah sufi yang sarat falsafah antara faktor menyebabkan ilmu tasawuf dipinggirkan, bahkan lebih membimbangkan ia dikatakan bertentangan dengan syarak.

Kesukaran mencari ahli agama yang mampu menterjemah dan memberikan huraian lengkap khususnya ungkapan berkaitan tauhid sufi menyebabkan berlaku salah faham serta persepsi negatif terhadap orang yang mengamalkannya.

Perkara itu dikupas ulama kelahiran Indonesia, Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani yang menyifatkan hal ini perlu diperbaiki segera supaya cabang ilmu berkenaan tidak ditinggalkan.

“Ada golongan akademik Islam memandang tauhid kerohanian ini dengan pandangan akal, iaitu tidak lebih sekadar terminologi falsafah, bukan ilmu agama. Ia tambah melarat apabila ahli agama yang mengajar tidak mampu memahami kitab tasawuf.

“Akhirnya, kerana bimbang melakukan kesalahan dalam penyampaian, maka ia terus ditinggalkan. Lama kelamaan, ia makin parah apabila bertindak mengharamkan tasawuf,” katanya dalam pertemuan dengan BH Agama, baru-baru ini.

Jalan kepada kesempurnaan

Menurut Sheikh Rohimuddin, ilmu tasawuf penting kepada setiap umat Islam ke arah menjadi Muslim yang sempurna. Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana memerlukan keyakinan yang kuat kepada Allah SWT, bukan sahaja daripada lahir, bahkan secara batin.

Katanya, jalan tasawuf sama seperti syariat Islam, cuma bahasa yang ditulis dalam kitab agak rumit kerana padat dengan istilah sufi membuatkan timbul andaian ia berbeza dengan pengajian agama yang biasa dipelajari.

“Contohnya, orang tasawuf berkata hidup ini jangan berikhtiar. Ini bukan bahasa akal, tetapi menuntut kita memahaminya menggunakan bahasa kerohanian. Jadi, orang biasa yang tidak mendalami ilmu tasawuf akan melihat ungkapan ini sebagai ganjil.

“Sedangkan maksudnya, selepas kita berusaha sehabis daya, maka serahkan sebulatnya kepada Allah SWT tanpa berfikir atau berharap kepada hasilnya,” katanya.

Orang sufi melihat maksud ikhtiar ialah memilih dan tertakluk kepada Allah SWT untuk memberikan jawapan, tugas kita sebagai khalifah adalah bekerja serta beribadah dengan sebaiknya tanpa mengharap balasan.

Serius belajar tasawuf

Disebabkan itu, pelbagai polemik timbul kerana ada yang bertindak membuat tafsiran sendiri terhadap ungkapan sufi dan tidak mengambil inisiatif bertanya kepada ilmuwan yang pakar dalam bidang berkenaan.

Kepesatan media sosial hari ini mendorong umat Islam mengambil jalan mudah dengan hanya merujuk kepada video atau maklumat di laman web dan video YouTube oleh ahli agama yang belum tentu mahir dalam tasawuf.

Justeru, beliau berharap masyarakat Islam lebih terbuka dalam memahami pengajaran tasawuf, bagi yang ingin menuntut secara mendalam disarankan belajar dengan orang yang benar-benar arif supaya tidak tersasar daripada hakikat ilmu sebenar.

Syeikh Rohimuddin berkata, golongan agama perlu lebih serius mempelajari bidang ilmu tasawuf kerana ia elemen penting dalam pegangan akidah Islam dan membantu orang awam menzahirkan keimanan secara lahiriah dan memiliki kerohanian yang kukuh.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran sebagai sumber petunjuk

Posted by epondok di Jun 16, 2018

AL-QURAN dalam Surah al-Baqarah ayat 185 Allah menyatakan: “Bulan Ramadan adalah (bulan) yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan batil).”

Maksud petunjuk itu luas maknanya. Ia sekadar ­pengetahuan dan ilmu, data dan fakta, pedoman dan maklumat tetapi petunjuk daripada Allah itu Rabbaniah sifatnya dan mampu membentuk akal fikir dan hati nurani hingga terjelma watak contoh dan mithali.

Turunnya al-Quran di bulan Ramadan memberi erti yang amat besar kepada ahli abid yang sedang melakukan siyam supaya dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dalam maksud melaksanakan yang makruf dan menghindar diri daripada yang mungkar.

Dengan kekuatan akliah manusia tidaklah segala-gala. Binaan ruhiyyah yang menghubungkan akal dengan wahyu menjadikan fikir dan zikir berjalan seiring dan menghasilkan upaya tadabbur yang tinggi akan hal-hal nyata dan hal-hal ghaib.

Al-Quran sebagai faktor hudal linnas dan hudal lil muttaqeen membimbing manusia ke jalan siratul mustaqeen bukannya jalan yang bengkok membawa kepada kesesatan. Petunjuk itu amat penting bagi manusia yang memerlukan sandaran dan pedoman memahami yang ghaib kerana itulah landasan beragama.

Ditanzilkan al-Quran di gua Hira’ memberi makna yang besar kepada seorang Nabi yang amat cintakan kehidupan yang fitrah. Uzlah Nabi cuba mencari ketenangan dan jawapan makna sebenarnya hidup dan kehidupan. Manusia itu sendiri adalah pencari. Dalam usaha pencarian manusia hanya bertemu yang nyata dalam keterbatasan akliahnya.

Al-Quran menghubungkan yang nyata dengan yang ghaib supaya yang nyata itu dikaji kerana setiap kejadian dari Allah tidaklah sifatnya sia-sia tetapi terkandung hikmah yang amat hebat. Tetapi dalam pencarian hidup manusia banyak yang tidak diketahui. Ini menyebabkan kesesatan berlaku sehingga ke hujung hayat.

Surah yang pertama ditanzilkan kepada Nabi Muhammad ialah Iqra’. Ia membawa maksud “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”. Ayat ini memberi makna yang penting bagi manusia iaitu kepentingan ilmu. Ilmu dalam al-Quran adalah suluh. Ia memberi cahaya dan memimpin kebijaksanaan. Darinya manusia terpedoman dan terbimbing dalam kehidupan.

Membaca al-Quran bukan hanya dalam pengertian harfiah untuk mendapatkan fadhilah atau pahala. Al-Quran adalah untuk dimengerti dan difahami baik dari sudut asbab (sebab turunnya) mahu pun dari aspek makna , khulasah dan tafsirnya.

Bacalah! Tidak saja terhubung dengan hal-hal nyata secara empiris tetapi terkandung maksud tadabbur secara rohaniah.  Al-Quran tidak saja bersifat tekstual atau respon kepada apa yang ditanzilkan tetapi lebih bermakna lagi  adalah bersifat kontekstual iaitu sorotan terhadap faktor batini dan ghaib yang memberi makna terhadap kefahaman mengenai manusia, alam, kejadian dan juga peristiwa.

Al-Quran itu sendiri terkandung kisah untuk dijadikan ibrah, perjuangan para Rasul mendepani kerenah kaum yang sezaman dengannya memberikan kita iktibar bahawa sifat kisah dan sejarah adalah mengulangi. Apa yang berlaku di zaman Nabi Lut diulangi kini dalam konteks pola-pola gay dan lesbian yang sedang mewabak. Kalau pada zamannya kaum Lut dihancurkan pada zaman kini umat manusia sedang menghadapi musibah Aids/Hiv yang bakal menghancurkan mereka.

Ayat awal yang turun memberikan petunjuk tentang asal kejadian manusia dari darah beku (alaqa). Ia diperkukuhkan lagi dalam Surah al-Mukminun ayat 12-14 mengenai konsep turabb iaitu tanah yang terkandung banyak rahsia yang terhubung dengan Allah yang Maha Mencipta. Secara saintifik ia memberi asas kepada ilmu mengenai janin atau embriologi dan kedatangan roh kepada manusia.

Roh itu adalah milik Allah dan sifatnya ghaib. Upaya roh membolehkan manusia berfikir dan menjana ilmu. Upaya roh menjadikan kekuatan rohani perkasa dan dapat membeza yang buruk dengan yang baik. Ruh juga memberikan daya kepada manusia supaya ianya menjadi buah amal yang diterima oleh Allah.

Ayat ke 3-5 dalam Surah al-Alaq itu memberikan pedoman kepada manusia mengenai kepentingan alat atau teknologi (kalam) dalam meneroka ilmu (a’lam). Ughul Beg, seorang pakar astronomi Uzbekistan menggunakan balai cerap untuk mengetahui sedikit rahsia alam, cakerawala, bintang-bintang dan kaitannya dengan bumi, cuaca, silih gantian siang dan malam sebagai sunnatullah atau ketentuan dari Allah.

Oleh itu, turunnya al-Quran dalam bulan Ramadan terbinanya tradisi tilawah, tadarus supaya al-Quran tidak saja didekati dengan mengambil barakah harfiah yang dibaca tetapi lebih utama lagi menjadi sumber ilmu yang memberi petunjuk. Manusia boleh jadi pandai atau cerdas-pintar dalam mengingat dan mengkaji sesuatu.

Tetapi ketangkasan akliah saja tidak memadai. Ia menuntut kehebatan ruhiyah yang menjadi titik tolak kepada kelangsungan hidup insan. Petunjuk dari Allah tidak saja memberikan ilham dan inspirasi kepada manusia mengenai sesuatu tetapi juga kebijaksanaan untuk memahami hikmah sesuatu yang dicipta.

Dari situ manusia menerima makna dari maksud kehidupan supaya faktor duniawi dan ukhrawi dapat difahami dengan baik. Darinya usaha pencarian manusia tentang makna diri dan makna kehidupan akan terolah secara zahir tanpa menolak faktor batin. Faktor yang dipandu oleh al-Quran ini bakal menghasilkan manusia yang memiliki sahsiah seimbang dan insan soleh dan solehah yang dirahmati Allah.
DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal

Posted by epondok di Jun 15, 2018

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

 

 Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

 

 Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

 وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ  [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Batas-batas Pergaulan di Hari Raya

Posted by epondok di Jun 15, 2018

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa kita telah sampai ke penghujung bulan Ramadhan dan akan bertemu dengan bulan Syawal. Di mana bulan Syawal merupakan hari kemenangan bagi orang-orang Islam yang berjaya mengawal hawa nafsu dari sebarang kemungkaran selama sebulan pada siang hari Ramadhan, malahan merupakan satu kejayaan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Maka dalam merayakan hari raya aidilifitri, kita janganlah lupa akan batasan-batasan ketika menyambut aidil fitri.

Islam merupakan agama yang begitu munasabah dan praktikal. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya dalam beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, kita akan nampak wajah-wajah keceriaan umat Islam dalam menyambutnya dengan memakai pakaian yang elok, berkumpul seluruh ahli keluarga, kunjung-mengunjung sesama umat Islam dan banyak lagi. Perkara seumpama ini merupakan perkara-perkara yang digalakkan dalam agama Islam bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

Dalam menyambut hari yang penuh kegembiraan, kita janganlah lupa akan batas-batas yang peru dijaga. Antara perkara yang perlu diberi perhatian semasa merayakan perayaan ialah:

a-      Menjaga tutur bicara : dalam kita beramah mesra, setiap pertuturan hendaklah kita jaga supaya tidak menyinggung perasaan saudara kita. Maka berkomunikasilah dengan cara yang baik, jaga tutur kata dan berperilakulah dengan perlakuan yang baik supaya ia akan dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan antara keluarga serta saudara-mara dan bukanlah menambahkan kekeruhan.

b-      Maaf memaafkan: perbuatan memohon serta memberi kemaafan adalah satu amalan yang mulia disisi syarak. ini adalah salah satu adat resam kita apabila menyambut Aidilfitri dengan saling bermaafan antara satu sama lain. Ucapan yang sering kita dengar adalah “maaf zahir dan batin”. Dan memohon maaf bukanlah hanya pada waktu hari raya, akan tetapi pada hari-hari yang lain. Memandangkan inilah peluangnya kita berjumpa dan berkumpul dengan ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat lama yang sudah tidak ditemui, maka ambillah peluang ini untuk memohon ke atas kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan.

c-       Berjabat tangan atau bersalam-salam: jika sebilangan individu, apabila bertemu dengan saudara mara terdekat yang bukan mahram contohnya sepupu, isteri/suami kepada ibu/bapa saudara dan lain-lain yang kita rasakan hampir atau dekat dengan kita, teman-teman, sama ada lelaki atau perempuan ajnabi ialah bersalam-salaman. Di hari perayaan ini, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah bermakna memohon maaf ialah dengan berjabat tangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, perlu dihindari berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi (bukan mahram) adalah haram.

Firman Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 22:

وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آَبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Tafsirnya :

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu-bu tiri kamu) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji (di sisi syara’) dan dibenci (oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan adalah seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

d-      Fesyen dan Aurat: di dalam menyambut dan memeriahkan aidilfitri sudah setentunya akan nampak pelbagai fesyen. Dalam konteks Islam kaedah berfesyen adaah digalakkan (diharuskan akan tetapi, perlu diambil maklum aan batasan dalam hukum syara’. Apa yang menyedihkan ialah mengenakan fesyen yang sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. Umpama memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:

صِنْفَانِ مَنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عاَرِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ…

Maksudnya:Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)…”

(Hadits riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, marilah kita kembali kepada konsep sebenar menutup aurat sepertimana yang telah digariskan didalam Islam agar perayaan yang aidilfitri kita rayakan mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Hari raya pada hakikatnya hari yang sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Namun, dalam meraikannya janganlah lupa batas-batas yang telah ditetapkan, adab-adab, nilai-nilai murni yang perlu dijaga demi meninggikan syiar Islam dan kemuliaan.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »