Puasa pula ganjarannya amat hebat. Allah SWT menjanjikan bonus yang amat lumayan sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda, Allah SWT berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa, lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibadat puasa membawa bersamanya rasa ihsan iaitu keyakinan bahawa Allah SWT itu Maha Melihat apa yang kita lakukan. Memang benar orang yang berpuasa dalam erti kata menahan diri daripada makan dan minum. Namun, dalam masa yang sama mereka juga mempunyai kelengkapan, kecukupan dan kemampuan makan dan minum yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Pendek kata, jika tidak boleh makan secara terang-terangan, perbuatan itu boleh dilakukan secara sembunyi. Siapa pun tidak akan tahu, sama ada individu itu berpuasa atau tidak. Ini kerana mereka berada pada bulan yang mana semua orang Islam ber­puasa pada adatnya. Puasa tidak seperti solat yang boleh diketahui buat atau tidaknya dengan melihat perbuatan tersebut apatah lagi solat itu ibadat bersifat zahir. Namun dalam konteks puasa hanya Allah SWT dan dia sahaja mengetahui.

Selain itu, puasa juga menjadi kaffarah bagi kesilapan-kesilapan yang kita lakukan. Antaranya:

1.Kaffarah merosakkan puasa kerana berjimak pada siang hari Ramadan yang mana individu terbabit wajib menqada puasa­nya dan wajib memberi makan 60 fakir miskin. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.

2. Kaffarah zihar iaitu memberi makan 60 fakir miskin, jika tidak mampu hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.

3. Jika berlaku pelanggaran dalam larangan ihram untuk ke­semua aspek atas (kecuali aspek hubungan suami isteri) maka damnya iaitu sama ada menyembelih seekor kambing, memberi makan enam fakir miskin setiap seorang dua cupak atau berpuasa tiga hari.

4. Bagi dam kerana tidak berniat di miqat pula ialah menyembelih seekor kambing atau kibasy. Boleh juga 1/7 bahagian daripada unta atau lembu. Jika tidak berkuasa hendaklah seseorang itu berpuasa 10 hari iaitu tiga hari di Mekah dan tujuh hari apabila kembali ke tanah air. Jika tidak berkuasa hendaklah keluarkan 10 cupak makanan asasi bagi 10 hari untuk dibahagikan kepada fakir miskin.

Matlamat puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah untuk melemahkan nafsu yang keji dan seterusnya mendam­pingi Allah SWT. Oleh itu kita hendaklah mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa. Perangi nafsu dan berjuanglah menjaga semua disiplin dalam Ramadan selain makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain daripada perbuatan yang sia-sia. Sebab itu, Rasulullah SAW menasihatkan para pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa untuk menghalang daripada syahwatnya.

Kata pepatah Arab: “Nafsumu jika engkau tidak menyibukkan­nya dengan kebenaran, nescaya dia akan menyibukkan dirimu dengan kebatilan.” Hendaklah kita sibukkan diri dengan program dan aktiviti yang bermanfaat. Masa yang terbiar kosong akan menggalakkan hawa nafsu menyibukkan dirinya dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan. Akibat kejahatannya itu, ramai manusia yang diperdaya dan bertuhankan hawa nafsu.

Ini dinukilkan oleh Allah menerusi firman-Nya: Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya. (al-Jaasiyah: 23)